Mentaati ibubapa itu berat, tetapi mentaati suami itu jauh lebih berat dan lebih besar ujiannya. Kata guru susah dan payah hendak taat itu kerana pahala mentaati suami adalah jauh lebih besar daripada pahala mentaati ibubapa dan apabila pahala lebih besar maka ujiannya juga adalah lebih besar.

Menahan diri daripada meninggikan suara kepada suami itu tidak mudah. Berusaha untuk meminta maaf walaupun suami yang bersalah itu juga tidak mudah. Sabar menghadapi ego suami itu tidak mudah. Mengutamakan keinginan dan hak suami juga tidak mudah. Menuruti perintah suami juga tidak mudah. Berusaha menyambut dan melayani suami selepas pulangnya suami dari tempat kerjanya juga tidaklah mudah.

Kerana semua para wanita itu mampu menjadi isteri, akan tetapi tidak semua para wanita itu mampu menuruti, mentaati, patuh dan merendah diri kepada suaminya. Memang perjuangan menjadi isteri solehah itu tidaklah mudah. Kerana pada perkahwinan itu adanya ujian dan kerana itulah juga Allah memberikan balasan yang terbaik yakni Syurga buat isteri solehah.

Pesan guru— Para suami juga perlulah mengaji ilmu fardhu ain. Supaya dapat menjadi contoh yang terbaik untuk isteri dan anak-anak. Kerana kata guru, suami itu adalah guru kepada isteri dan anak-anaknya. Dalam sedar atau tidak sedar, isteri itu sedang mencontohi kebaikan suaminya. Maka apabila suami sabar, isteri juga akan bertambah sabar dan begitulah seterusnya.

Buat para isteri, selamat belajar dan selamat melalui proses menjadi isteri solehah. Isteri yang solehah itu bukanlah yang tidak pernah melakukan kesilapan dan kesalahan. Tetapi isteri yang solehah itu adalah isteri yang sedar akan kesilapannya dan berusaha untuk memperbaiki kesilapan itu agar tidak diulanginya lagi.

Sumber FB : Sollehah Alami

Ada satu benda yang ramai orang lupa bila hidup jadi serabut. Kita takkan mampu kawal semua yang berlaku pada kita.

Orang boleh buat perangai. Sistem boleh buat hal. Plan boleh hancur. Benda yang kita jaga elok pun, kadang tetap runtuh. Dan masa itu, yang paling memenatkan bukan kejadian dia, tapi perang dalam kepala kita sendiri.
.

Tapi ada satu ruang kecil yang masih milik kita.

Cara kita bertindak balas.

Nada yang kita pilih bila marah. Ayat yang kita tahan daripada keluar. Keputusan yang kita tangguh sampai emosi reda. Cara kita jaga diri walaupun dunia tengah tak baik pada kita.

Sebab dalam banyak situasi, kita tak dapat pilih apa yang jadi, tapi kita boleh pilih siapa kita nak jadi lepas ia terjadi.
.

Kalau hari ini anda rasa hilang kawalan, cuba buat satu benda yang sederhana.

Berhenti sekejap.
Tarik nafas.

Bukan sebab anda lemah. Tapi sebab anda sedang belajar jadi lebih tenang, lebih matang, dan lebih sayang pada diri sendiri.

Sumber FB : Public Health Malaysia

Jangan bawa beban 2025 ke 2026

Peralihan tahun bukan sekadar beralih tahun. Ia adalah satu garis untuk kita melakukan muhasabah dan penambahbaikan kepada diri kita.

Kita ingin jadi lebih baik daripada semalam.

Ada benda yang tak patut dibawa ke tahun depan.

Bukan sebab ia buruk.

Tapi sebab ia dah selesai tugasnya.

Antaranya adalah beban emosi, kejaran yang tak jelas hujungnya, rasa bersalah pada diri sendiri

Sebab hidup tak ikut timeline orang lain.

Tak semua yang berat itu perlu dipikul lama-lama.

Ada beban yang patut dilepaskan.

Supaya langkah jadi ringan.

Supaya nafas jadi panjang.

2026 tak perlukan versi kita yang lebih kuat.

Ia perlukan versi kita yang lebih jelas.

Jelas apa yang nak dikejar.

Jelas apa yang patut dilepaskan.

Dan jelas bila nak berhenti.

Cara paling matang untuk bergerak ke depan adalah dengan meletakkan beban
dan berjalan tanpa drama.

Sumber FB : Ali Daud

NAFS KUSHI — MEMBUNUH “AKU”

Masalah manusia hari ini bukan kurang ibadah. Masalahnya ialah terlalu banyak “aku” dalam ibadah itu. Kita solat, tetapi kita mahu dihargai. Kita berbuat baik, tetapi kita mahu diingat. Kita sabar, tetapi kita mahu orang tahu kita sedang bersabar. Di situlah ego hidup, walaupun mulut menyebut nama Tuhan.

Dalam tasawuf, pembunuhan ego dipanggil nafs kushi. Ia bukan membunuh orang lain.

Ia membunuh suara dalam diri yang sentiasa berkata, “Ana khairun minhu” yang bermaksud “Aku lebih baik daripadanya”, yang merupakan ungkapan kesombongan Iblis ketika menolak perintah Allah untuk sujud kepada Adam.

Suara yang merungut apabila tidak dihormati. Suara yang marah apabila tidak difahami. Selagi suara ini hidup, selagi itu hati tidak pernah benar-benar tunduk.

Nafs kushi bermula pada saat yang sangat kecil tetapi menyakitkan. Saat kita diperlakukan tidak seperti yang kita harapkan. Ego menjerit, “Ini tak adil.”

Di sinilah ujian sebenar. Jika kita terus menyimpan rasa itu, ego membesar. Tetapi jika kita berkata dalam hati, “Apa ertinya semua ini?” sesuatu dalam diri mula mati.

Kita tidak disuruh menjadi lemah. Kita disuruh berhenti memuja diri sendiri. Tidak semua perkara perlu dibalas. Tidak semua perasaan perlu dipertahankan. Tidak semua maruah perlu ditegakkan dengan kemarahan.

Kadang-kadang, kemenangan rohani berlaku apabila kita memilih untuk tidak membela diri.

Ego suka mengira. Siapa yang salah. Siapa yang lebih berjasa. Siapa yang patut meminta maaf dulu. Nafs kushi memutuskan kiraan itu.

Kita terima satu hakikat yang pahit: manusia tidak wajib memahami kita, menghargai kita, atau melayan kita seperti yang kita mahu. Dunia tidak berhutang apa-apa kepada ego kita.

Apabila kita berhenti menuntut layanan, hati menjadi lebih ringan. Bukan kerana masalah selesai, tetapi kerana “aku” sudah tidak berdiri di tengah-tengah segalanya.

Banyak luka hati sebenarnya sembuh bukan kerana orang lain berubah, tetapi kerana kita berhenti berharap mereka berubah.

Nafs kushi juga mengajar satu perkara yang jarang diajar: diam itu kadang-kadang lebih dekat dengan Tuhan daripada hujah.

Memaafkan tanpa penjelasan lebih menyucikan hati daripada membuktikan diri betul. Melepaskan bukan tanda kalah, tetapi tanda ego sedang nazak.

Proses ini tidak indah. Ia sunyi. Ia membuatkan kita rasa tidak penting. Tetapi di situlah keikhlasan mula bernafas. Apabila kita tidak lagi berbuat kerana ingin dilihat. Tidak lagi bersabar kerana ingin dipuji. Tidak lagi beribadah kerana ingin rasa hebat.

Akhirnya, kita sedar sesuatu yang mengejutkan: kebanyakan keresahan kita datang bukan daripada ujian hidup, tetapi daripada ego yang enggan mati. Apabila ego jatuh, hidup masih sama, tetapi hati tidak lagi bergelora.

Itulah nafs kushi.
Bukan jalan untuk menjadi kuat di mata manusia.
Tetapi jalan untuk menjadi kecil di hadapan Tuhan.

Dan dalam kekecilan itulah, jiwa akhirnya merasa aman.

Sumber FB: Ustaz Ahmad Basir, 18/12/2025

Duhai wanita, khususnya para isteri, perbanyakkanlah berselawat kerana selawat di dalamnya terdapat tersangat banyak manfaat.

  1. Selawat Melembutkan Hati Yang Penat.

Isteri selalu menyimpan banyak rasa dalam diam. Selawat buat hati perlahan-lahan lembut, hilang sesak. Jiwa yang letih diusap dengan selawat.

  1. Selawat Datangkan Ketenangan Yang Stabil.

Emosi isteri naik turun sebab beban harian. Tapi selawat bagi tenang. Tenang yang tak dicari dari manusia. Tetapi tenang yang ALLAH limpahkan asbab keberkatan selawat.

  1. Selawat Buka Pintu Rezeki Keluarga.

Isteri yang rajin selawat, ALLAH lapangkan rezekinya dan rezeki rumahtangga pun turut terbuka.

  1. Selawat Jadikan Isteri Lebih Kuat Dalam Ujian.

Bila isteri diuji ( emosi, mental, rumahtangga ) selawat buat dia tak jatuh. ALLAH bagi kekuatan dari arah yang dia tak sangka.

  1. Selawat Tarik Kasih Sayang.

Selawat tarik kasih sayang, antara dia dan ALLAH, antara dia dan suami, antara dia dan anak-anak. Bila isteri Selawat, ALLAH lembutkan hubungan. Hilang tegang. Hilang keras kepala. Hilang baran. Diganti dengan rahmat dan kasih sayang.

  1. Selawat Jadi Penawar.

Isteri banyak fikir pasal suami, anak, rumah, keluarga.

Tapi siapa fikir hati dia?

Selawat jadi penawar yang sembuhkan hati yang tak pernah rehat.

Bila isteri selawat, ALLAH bukan sahaja tenangkan hatinya, malah ALLAH kuatkan dirinya, lembutkan jiwanya dan luaskan rezeki keluarganya.

Maka perbanyakkanlah Selawat.
Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad.

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَ لآ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ

لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّٰهِ ٱلْعَلِيِّ ٱلْعَظِيمِ‎

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَىٰ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰ آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Sumber FB : yusnizayaziz

24 Jamadil Akhir 1447H
15 Disember 2025

PESAN KEPADA ANAK HIDUP MESTI ADA PRINSIP.Satu kaedah yang paling berkesan untuk menanam prinsip hidup ialah menggunakan kata-kata hikmah kepada anak-anak.

Ungkapan-ungkapan yang baik itu mesti sentiasa diulang-ulang agar masuk ke dalam minda separa sedar (subconscious mind) anak-anak.

Contohnya, dunia tempat berpenat, akhirat tempat berehat, cinta Rasulullah adalah jalan mencintai Allah dan banyak lagi. Pasakkan prinsip hidup ini berulang kali.

Anak-anak akan sering melakukan kesalahan walaupun telah diperingatkan berkali-kali.

Jadi kita perlu menasihatinya berulang-ulang kali juga sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah,

Baginda mengamalkan kaedah mengulang kata-kata yang baik dalam mendidik.

Ya, pengulangan ialah ibu pengetahuan.

Marilah kita fikirkan, apakah kata-kata yang boleh menaikkan semangat anak-anak supaya mereka mempunyai prinsip dalam hidup. Prinsip hidup inilah yang akan dibawa ke mana-mana.

Tidak kira semasa belajar, sudah bekerja, berumah tangga, mempunyai anak-anak dan sebagainya. Hidup orang yang berprinsip lebih teguh, tahan uji, lebih dinamik dan konsisten.

Antaranya apa yang dipesankan oleh Rasulullah kepada Ibnu ‘Abbas r.a:
Ertinya: “Wahai anak, aku (mahu) mengajarkan kamu dengan satu pesanan. Jagalah (tanggungjawab terhadap) Allah, Allah pasti akan menjaga kamu. Jagalah (tanggungjawab terhadap) Allah, kamu pasti akan mendapati-Nya di hadapan mu. Jika kamu ingin meminta sesuatu, mintalah kepada Allah. Dan jika kamu ingin mendapatkan pertolongan, dapatkanlah daripada Allah.”
(Riwayat al-Tirmizi)

Inilah hadis Rasulullah SAW yang sangat baik untuk diterapkan kepada anak-anak sebagai prinsip hidup.

Dengan prinsip sebegini, mereka boleh menghadapi apa jua keadaan dengan sabar, tidak melatah dan tidak terburu-buru membuat keputusan.

Hadis ini mempunyai impak yang kuat pada jiwa anak-anak agar mempercayai qadak dan qadar Allah SWT.

Lebih banyak ada dalam buku ini – https://ezy.la/wahai-ibu-jadilah-madrasah-anakmu

Sumber FB: Ustaz Pahrol Mohamad Juoi 15/12/2025

MALANG TAK BERBAU. SEKEJAP SAJA BUTA SEBELAH MATA

Lepas balik dari Syria, Ustaz sempat jumpa seorang kawan. Ustaz panggil dia Zack. Dia tinggal di Bukit Permata. Ustaz jumpa dia di Sri Gombak.
.
.
Cerita Zack.

Masa Deepavali baru-baru ini, dia turun ke gelanggang badminton macam biasa. Seronok dapat main badminton. Keluarkan peluh, badan rasa lebih sihat dan segar.

Waktu tu Zack main dengan seorang coach badminton. Semuanya berjalan seperti biasa. Tiada apa yang ganjil.

Masa tengah seronok libas raket, tiba-tiba satu bulu tangkis meluru laju. Smash dari depan.

Pap! Bulu tangkis itu singgah tepat ke mata kanan Zack.

Zack terkejut dan pegang mata kanan yang dah terasa sakit dan kelam. Bila dia tengok balik tangan tu dengan sebelah mata lagi, nampak tangan berlumuran dengan darah.

Rupanya spek mata sukan yang dipakai pecah berkecai. Serpihannya terkena mata, masuk hingga ke retina dan saraf mata.

Apa berlaku, mata sebelah kanan Zack tak dapat melihat, buta sebelah mata.

Tuan puan bayangkan.

Zack ni seorang yang sihat tubuh badan, aktif bersukan. Badannya fit tak ada masalah. Muka hensem, baik dan memang kaki jemaah masjid dan surau. Tapi takdir Allah, tiba-tiba hadapi musibah yang tak dijangka.
.
.

Apa yang Ustaz nak tekankan di sini adalah, bila Allah nak datangkan sesuatu musibah, sekejap saja berlaku. Jangan kata badan kita sihat, aktif ke sana sini, jadi kita akan sihat selamanya.

Jangan anggap kerja kita baik, gaji masuk tiap-tiap bulan beribu-ribu. Jadi kita akan selamat bertahun ke depan.

Bukan macam tu ya tuan puan. Kena ingat semua yang ada pada kita adalah milik Allah. Bila-bila dia nak ambil, sekejap saja berlaku. Sekelip mata.
.
.

Musibah yang datang tanpa tanda ni tuan puan, bukan tanda Allah zalim. Bukan tanda Allah kejam. Sudah tentu penuh dengan rahsia dan hikmah.

Namun apa yang Ustaz nak tekankan melalui cerita ini adalah sikap berhati-hati dan berjaga-jaga.

Jangan merasa selesa dengan nikmat Allah sampai kita lupa Allah mampu ambil bila-bila masa. Jangan merasa semua nikmat itu milik kita sedangkan semuanya cuma pinjaman sementara.
.
.
Ustaz nak kongsi 3 perkara mudah berdamai dengan musibah yang datang tanpa dijangka. Ustaz ringkaskan sebagai STM.

Pertama, S untuk SYUKUR.

Bila Allah masihkan pinjamkan kita nyawa, jadilah orang yang bersyukur.

“Terima kasih ya Allah, aku masih hidup di bumi ini.”
“Terima kasih ya Allah, masih pinjamkan nyawa ini.”

Prinsip orang bersyukur adalah dia sedar diri sebagai penerima dan peminjam. Ada Allah sebagai pemberi dan pemilik nikmat.
.
.
Kedua, T untuk TAAT.

Selepas syukur, lalui hidup sebagai hamba yang taat. Maksudnya ikut perintah Allah, Tinggalkan apa yang Dia larang.

Allah beri nikmat harta, kita zakat dan sedekat.
Allah beri ilmu. Sampaikan dan sebarkan kepada orang lain.
Allah beri masa. Banyakkan zikir, amal soleh dan sebagainya.
.
.
Ketiga, M untuk MANFAAT.

Manfaat ni maksudnya kebaikan yang kita boleh bagi manfaat kepada orang lain.

Allah bagi manfaat harta, kita bantu orang susah. Allah bagi tangan dan tenaga, kita bantu orang dengan tenaga yang kita ada.

Allah bagi telinga dan mata, kita guna untuk lihat dan dengar perkara baik-baik. Dengar kuliah agama, belajar dan sebagainya.

Begitulah cara kita manfaatkan setiap kurniaan Allah Taala.
.
.
Tuan puan yang dirahmati Allah.

Ujian datang bukan untuk merendahkan martabat kita. Tapi dengan ujian, martabat seorang hamba jadi lebih tinggi di sisi Tuhan.

Jom ambil pelajaran dari apa yang berlaku pada Zack, kawan ustaz.

Ujian boleh datang bila-bila masa. Bukan tunggu kita bersedia. Ia boleh datang bila-bila masa tak kira ketika kita sedang ketawa, sedang sihat, sedang rasa semuanya baik-baik saja.

Sebab itu, jangan tangguh untuk menjadi hamba yang lebih dekat dengan Allah. Jangan tunggu sakit baru nak ingat Tuhan. Jangan tunggu kehilangan baru nak belajar bersyukur.

Sama-sama kita doakan agar Zack kuat hadapi ujian. Doakan juga agar Allah bagi kesembuhan dan penglihatan semula kepada Zack. Sebab Zack ini sangat baik orangnya. Selalu ke masjid dan surau untuk solat jemaah.
.
.
Jom pujuk hati.

Jika hari ini Allah masih pinjamkan nikmat, terima nikmat itu dengan syukur. Gunakan ia dengan taat. Dan sebarkan ia menjadi manfaat.

Sebab bila ujian datang, yang akan menguatkan kita bukan harta, bukan tubuh yang kuat, tetapi hati yang sudah lama bersandar kepada Allah.

Moga Allah pelihara iman kita sebelum Dia menguji.

Jika kita sedang diuji, moga kita redha dan tenang menghadapinya.
.
.

Sumber FB : UstazHanafiMalek 15/12/2025

Saya berusaha bersama Al-Quran.Dan sehingga hari ini, saya masih berusaha setiap hari menyelami Al-Quran mencari rahmat Allah.

Malam-malam saya terus berusaha diisi dengan membaca, mengkaji dan menganalisis ayat-ayat Allah,moga allah rahmati jalan usaha ini hingga anak zuriat menjadi hamba abdikan diri untuk agama

kerana cahaya Al-Quran bukan sekadar dibaca,
tetapi ia hidup dalam jiwa

hingga Allah mengizinkan hati ini berfikir dan sedar melalui petunjuk-Nya.

Al-Quran mendidik saya satu perkara besar tentang kehidupan:

Jika kita memberi layanan yang baik kepada sesiapa pun
sama ada staf, manusia di sekeliling kita,
namun dibalas dengan kejahatan dan keburukan,
jangan bersedih.

Kerana balasan manusia tidak pernah menentukan nilai kita.
Tetapi balasan Allah itulah yang menentukan masa depan jiwa kita.

Tadabbur Surah Yusuf 12:21 — Kebaikan Yang Dijaga Allah

وَقَالَ ٱلَّذِي ٱشۡتَرَىٰهُ مِن مِّصۡرَ لِٱمۡرَأَتِهِۦٓ أَكۡرِمِي مَثۡوَىٰهُ…

Nabi Yusuf a.s. pernah:
• Dikhianati saudara sendiri
• Dijual sebagai hamba
• Dilayan sebagai barang dagangan

Namun Allah menggerakkan hati manusia lain untuk berkata:

“Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya.”

Di saat Yusuf tidak mampu membela diri,
Allah sendiri menjaga maruah dan masa depannya.

Dan Allah menegaskan:

“Allah Maha Berkuasa atas urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Makna Tadabbur:
• Kebaikan yang kita beri, Allah yang akan memeliharanya
• Kezaliman manusia tidak membatalkan janji Allah
• Layanan baik kita hari ini mungkin menjadi sebab Allah memuliakan kita di masa depan
• Apa yang berlaku bukan kebetulan, tetapi takdir Ilahi

Ibrah Kehidupan
• Jangan berhenti berbuat baik walau disakiti
• Jangan ukur kebaikan dengan respon manusia
• Jangan kecewa bila usaha disalah tafsir

Kerana:

Orang yang tidak putus asa menanti balasan Allah,
akan disambut dengan layanan Allah yang jauh lebih baik
daripada apa yang manusia mampu beri.

🤲 Doa Jiwa

“Ya Allah, jika manusia menyakiti kami,
jangan Engkau biarkan hati kami rosak.
Tetapkan kami dalam kebaikan,
dan uruskanlah hidup kami sebagaimana Engkau menguruskan Nabi Yusuf
ketika dia tidak punya sesiapa selain-Mu.”

Sumber FB : Ustazah Nazirah

UTM Open Day