“CEO Gaji RM60 Juta Setahun Tak Cukup, Sakau Lagi Duit Syarikat Buat Wedding Kat Istana Versailles!”

Tuan-puan pernah dengar tak orang tua-tua cakap, “Duit ni macam air laut, makin diminum makin haus.”

Itulah perumpamaan paling tepat untuk menggambarkan nafsu serakah manusia. Tak kiralah dia papa kedana atau dia raja segala CEO.

Kalau kita gaji RM3,000, kita rasa kalau dapat RM10,000 tu dah kaya gila. Tapi bila dah dapat, rupanya tak cukup juga.

Hari ini saya nak bawa Tuan-puan menyelami kisah seorang lelaki yang gaji dia setahun mencecah hampir RM60 juta. Ya, Tuan-puan tak salah baca. RM60,000,000.

Tapi bagi dia, duit banyak tu umpama “duit kopi” sahaja. Masih tak cukup untuk tampung gaya hidup kayangan dia.

Nama lelaki ini ialah Carlos Ghosn.

Dalam dunia automotif, Ghosn ni bukan calang-calang orang. Dia ni dulu bertaraf superpower.

Pada akhir tahun 90-an, syarikat kereta gergasi Jepun, Nissan, nyawa-nyawa ikan. Hutang keliling pinggang, kereta tak laku dan tunggu masa nak bankrupt je.

Datanglah Ghosn ni sebagai penyelamat. Dia dihantar oleh Renault (Perancis) untuk ambil alih dan selamatkan Nissan.

Ghosn buat kerja gila. Dia potong kos, dia tutup kilang yang rugi, dia buang pekerja yang tak perlu. Orang panggil dia “Le Cost Killer”.

Hasilnya? Nissan untung berbilion-bilion. Ghosn diangkat jadi hero.

Di Jepun, dia dilayan macam selebriti. Ada komik Manga pasal dia. Rakyat Jepun sanjung dia sebab selamatkan maruah industri negara mereka.

Tapi, di sebalik pujian melangit tu, ada satu barah sedang membiak dalam hati Ghosn.

Barah itu bernama Ego dan Tamak.

Masalah bermula bila Ghosn mula bandingkan gaji dia dengan CEO syarikat kereta Amerika macam General Motors dan Ford.

Dia tengok CEO kat sana dapat ratusan juta dolar. Hati dia panas. Dia rasa dia lebih hebat dari dorang. Dia yang selamatkan Nissan kot?

“Kenapa gaji aku sikit? Aku ni genius!” bisik hati hitam dia.

Maka bermulalah operasi menggunakan duit syarikat untuk kepentingan peribadi secara licik.
Siasatan dalaman Nissan kemudiannya mendedahkan macam-macam belanja pelik.

Ghosn mula guna duit Nissan seolah-olah itu duit bapak dia punya.

Siasatan mendapati ada dana syarikat digunakan untuk beli rumah mewah di Beirut, Lubnan.

Tak cukup dengan itu, ada apartment mewah di Paris.

Dan ada juga rumah peranginan di Rio de Janeiro.
Siapa bayar? Secara teknikalnya, anak syarikat Nissan yang bayar, tapi Ghosn dan famili dia yang duduk sedap-sedap.

Tapi kemuncak ketamakan Ghosn yang buat orang marah berlaku pada tahun 2016.

Masa ni dia nak buat parti besar-besaran sempena ulang tahun isteri dia, Carole, dan juga majlis perkahwinan mereka.

Orang kaya kalau kahwin, buat kat hotel 5 bintang pun dah cukup gah, kan? Tapi Ghosn tak nak biasa-biasa.

Dia nak buat majlis di Istana Versailles, Perancis!

Ya, istana tempat Raja Louis XVI dan Marie Antoinette tinggal sebelum kena pancung tu.

Tema majlis dia pun ala-ala Marie Antoinette. Pelayan pakai rambut palsu putih, pakai baju zaman Renaissance. Makanan mewah, champagne mahal mengalir macam air sungai.

Tuan-puan tahu, kos sewa dewan di istana tu sahaja bernilai €50,000 (RM200,000 lebih).
Dan Tuan-puan tahu siapa yang bayar?

Ghosn didakwa menggunakan “kredit tajaan” yang sepatutnya untuk syarikat Renault, tapi digunakan untuk majlis peribadi dia.

Ghosn dengan muka tak bersalah cakap itu adalah “majlis sambutan ulang tahun perikatan syarikat”. Padahal tarikh tu sama dengan hari jadi dia dan tarikh wedding dia.

Tetamu yang datang pun kawan-kawan selebriti dia.

Dia rasa dia kebal. Dia rasa dia “raja”.

Di Jepun, budaya mereka sangat mementingkan kesederhanaan dan kejujuran. Bos-bos Jepun selalunya naik kereta api je pergi kerja walaupun syarikat untung besar.

Tindakan Ghosn ni sangat menyakitkan hati eksekutif Nissan yang lain. Lama-lama, bangkai gajah mana boleh tutup dengan nyiru.

Pihak berkuasa Jepun mula hidu. Ada “whistleblower” dalam Nissan yang dah tak tahan tengok perangai Ghosn.

Pada November 2018, segala kemewahan Ghosn terhenti.

Dia mendarat di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo dengan jet peribadi. Dia ingat macam biasa, ada orang jemput, bawa beg, hantar balik penthouse.
Tapi kali ni, yang tunggu dia adalah pendakwa raya Tokyo.

Dia ditangkap serta-merta!

Ghosn tergamam. Dari tidur atas tilam empuk di istana, malam tu dia tidur dalam sel penjara Tokyo yang sejuk beku.

Dia diberi makan nasi dalam mangkuk plastik.

Tandas cangkung. Tak ada pemanas.

Jatuh maruah dia. “The Fallen Hero”.

Dunia gempar. Ghosn mati-mati menafikan semua tuduhan. Dia tuduh ini semua konspirasi orang Jepun nak jatuhkan dia sebab dengki.

Dia dikurung berbulan-bulan, lepas tu dibebaskan dengan ikat jamin yang sangat ketat.

Syarat jamin dia ketat gila. Dia kena duduk rumah di Tokyo, CCTV pasang 24 jam di pintu masuk, tak boleh jumpa isteri, pasport semua kena pegang oleh peguam.

Ghosn rasa tertekan. Dia tahu kalau bicara diteruskan, peratusan untuk dia menang di mahkamah Jepun sangat tipis (kadar sabitan di Jepun ialah 99%).

Jadi dia rancang plot lari yang lagi dahsyat dari filem Mission Impossible.

Disember 2019. Akhir tahun.

Ghosn upah bekas tentera khas Amerika (Green Beret) bernama Michael Taylor untuk tolong dia lari.

Pada hari kejadian, ada sekumpulan “pemuzik” datang ke rumah dia kononnya untuk buat persembahan Krismas.

Bila persembahan habis, mereka bawa keluar kotak-kotak alat muzik yang besar. Kotak hitam jenama Yamaha yang selalunya simpan audio equipment atau double bass.

Tuan-puan dapat agak apa jadi?

Carlos Ghosn, CEO yang pernah menggegarkan dunia, yang pernah buat wedding kat istana, melipat badan dia masuk ke dalam kotak alat muzik tu!

Kotak tu ditebuk lubang sikit di bahagian bawah supaya dia boleh bernafas.

Dia diangkut keluar dari rumah, melepasi kawalan polis, dibawa ke lapangan terbang Osaka.

Sebab kotak tu terlalu besar, ia tak muat masuk mesin X-ray kastam lapangan terbang peribadi tu.

Dan sebab kelicikan operatif dia, kotak tu tak diperiksa. Petugas kastam ingat tu barang muzik mahal, jadi mereka lepaskan saja.

Ghosn berjaya lolos naik jet peribadi, terbang ke Turki, dan kemudian ke Lubnan (negara asal dia yang tak ada perjanjian ekstradisi dengan Jepun).

Bila sampai di Lubnan, dia buat sidang media.
Muka bangga.

“Aku bukan lari dari keadilan, aku lari dari ketidakadilan!” jerit dia.

Tapi dunia nampak sisi lain.

Dunia nampak seorang lelaki tua yang sanggup menyorok dalam kotak macam tikus, semata-mata takut nak berdepan dengan akibat perbuatan sendiri.

Sekarang, Ghosn hidup dalam “penjara besar” di Lubnan.

Dia tak boleh keluar dari negara tu sebab ada waran tangkap Interpol (Red Notice).

Rumah dia kat Paris dah kena sita. Duit dia banyak habis bayar peguam. Kawan-kawan lama semua menjauh. Nama dia yang dulu disanjung, sekarang jadi bahan jenaka.

Tuan-puan,
Apa guna gaji RM60 juta kalau tidur tak lena dan jadi buruan polis?

Apa guna buat wedding kat Istana Versailles kalau akhirnya kena lari sorok dalam kotak kayu yang sempit?

Kisah Carlos Ghosn adalah peringatan keras untuk kita semua. Tak kira tinggi mana jawatan kita, undang-undang Tuhan dan hukum kifarah tak pernah buta.

Dia rasa dia memiliki syarikat tu. Dia lupa dia cuma “pekerja” yang makan gaji.

Bila kita ambil hak yang bukan milik kita, walau
seringgit, itulah permulaan kepada kehinaan yang panjang.

Subhanallah, Maha Suci Allah daripada sebarang sifat kezaliman; moga kisah kejatuhan manusia yang angkuh ini menjadi iktibar agar kita sentiasa bersyukur dengan rezeki yang halal, dan dijauhkan daripada sifat tamak yang membinasakan diri sendiri dunia dan akhirat.


Korang dah ada ke buku saya ni?
Buku Keajaiban-Keajaiban Dunia membawa pembaca mengembara ke tujuh bahagian menakjubkan yang menggabungkan sains, sejarah dan keindahan alam. Dari keajaiban bumi purba hingga teknologi moden, setiap bab ditulis dengan gaya santai yang mudah difahami tetapi sarat ilmu. Dapatkan buku ini di Shopee: https://s.shopee.com.my/2g24zyvuWB

Sumber FB : Mazlan Syafie

UTM Open Day