BAGAIMANA HIDUP TANPA ROPOL

Hidup tanpa ropol bermaksud kehidupan yang minima dan secukupnya dari segi pemikiran, percakapan, perbuatan dan pemilikan. Semua perkara yang lebih, itu renda-renda saja. Macam renda langsir.

Ada tiga sebab kenapa elok hidup tanpa ropol.

Pertama, kita dapat susun keutamaan hidup. Utamakan yang penting, fokus yang itu dulu. Berjalan penting. Berjalan di atas karpet merah, tak penting. Nak hidup kena makan. Tapi nak hidup tak perlu makan di restoran mewah lima bintang.

Kedua, kita dapat kurangkan kos. Kita boleh pilih sama ada nak bayar kos SARA HIDUP, atau nak bayar kos GAYA HIDUP. Kalau minum di gerai tepi jalan, kita bayar kos sara hidup. Kalau minum di tempat beropol, kita bayar kos gaya hidup. Buat pilihan.

Ketiga, kita dapat fokus kepada matlamat akhir. Apa matlamat akhir kita? Nak mati. Apa matlamat akhir bekerja? Nak sara keluarga. Apa matlamat akhir belajar? Nak dapat pekerjaan yang baik. Fokus kepada matlamat akhir. Selain itu, renda-renda kehidupan, seperti renda langsir saja.

Hidup tanpa ropol bukan bermaksud kita tak boleh beli rumah, tak boleh beli kereta, tak boleh pergi melancong. Hidup tanpa ropol bukan bermaksud merempat, sehelai sepinggang. Hidup tanpa ropol bermaksud kita buang perkara-perkara tak penting dalam hidup. Utamakan yang penting.

Kita banyak buat benda semata-mata nak jadikan orang suka dengan kita, tapi mereka tak kisah pun dengan apa yang kita buat. Orang tak kisah, kita stress lagi. Apabila kita cuba nak gembirakan semua orang, akhirnya kita jadi manusia paling tak gembira.

Bagaimana nak hidup tanpa ropol?

1. Usah sibuk nak ambil tahu hal orang lain yang tak ada kena mengena dengan kita. “Hari ini kau dan dia kutuk aku. Esok aku dan dia kutuk kau pula.” Elakkan buang masa.

2. Usah semak kepala berfikir perkara-perkara yang tak relevan. Don’t overthink. Dunia berpusing, kepala kita jangan ikut berpusing.

3. Ada duit belanja, tak ada duit ikat perut. Usah berhutang perkara tak perlu. Apabila kita berhutang, kena bayar interest. Kita boleh berikan nama-nama yang fancy, kalau dah bayar lebih tinggi melangit, itu namanya interest.

4. Biar orang nak kata apa, kita buat hal kita. Kalau kita berhenti setiap kali anjing menyalak, lambatlah kita nak sampai.

5. Buat perkara-perkara penting. Selain itu semua renda-renda kehidupan. Usah terikut-ikut dengan renda kehidupan dalam media sosial. Orang yang kita nampak gembira dalam media sosial, belum tentu bahagia.

6. Kita tak perlu banyak apps atau WhatsApp group. Buang apps yang tak perlu dari handphone. Keluar dari WhatsApp group sekiranya ia tidak bersifat membangun. Fokus. Saya tak ada satu pun WhatsApp group kecuali dengan anak-anak. Hidup tenang.

7. Bahagia bukan apa yang kita miliki. Bahagia ialah apa yang kita rasai. Fokus kepada “experience economy” atau ekonomi pengalaman. Apabila ada peluang, terokai dunia luar. Sekiranya tak dapat pergi ke luar negara lagi, baca di internet, tonton YouTube. Ada rezeki nanti, pergi.

8. Usah merungut apa yang kita tak ada. Cuba lihat apa yang kita ada. Kita tak boleh ubah hakikat kita dilahirkan dalam keluarga miskin (seperti saya). Namun, kita boleh berusaha untuk berjaya. Fokus kepada usaha, bukan miskin.

Akhir sekali ingatlah bahawa dunia tidak pernah meninggalkan kita. Sebaliknya, kitalah yang akan meninggal dunia. Sekiranya kita junjung dunia, kita akan penat dan tidak ke mana-mana. Sebaliknya jika kita pijak dunia, kita akan dapat menerokai seluruh dunia!

Sumber : Norizan Bin Sharif

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *