BERSUARA ATAU TIDAK?


BERSUARA ATAU TIDAK?

Tidak semua mampu bertutur atau berkata-kata yang membawa faedah kepada diri atau orang lain walaupun bertutur itu tanpa kos.

Lalu ada dua pilihan, berkata baik atau berdiam diri. Hadis riwayat Imam Bukhari merekodkan,

Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah beliau berkata baik atau beliau diam …..

Benar, bertutur kata kelihatan percuma. Namun jika direnung senyap-senyap, ada harga yang wajib dilunas walaupun tidak perlu bersegera membayarnya.

Pilihan berkata baik atau berdiam diri merupakan tawaran wajib jika kita mahu beriman denganNya dan meyakini hari pembalasan di akhirat.

Harganya mahal … syurga atau neraka. Maksudnya, kita membayar tutur kata dengan bayaran tersebut.

Pilihan manusia pelik.

Ramai – sengaja – memilih pilihan ketiga yang tidak terkandung di dalam pesanan Baginda SAW di atas.

Mereka memilih untuk berkata – misalnya – yang membawa fitnah dan memecah belah.

Malah sanggup beria-ia menyatakan kepalsuan akibat mahu mencapai keuntungan dunia yang sedikit.

Ada juga yang berdiam diri – termasuk mereka yang berilmu agama tinggi – walaupun kemungkaran berada di depan mata, hatta dilaksana oleh isteri (suami) atau anak-anak.

Pilihlah untuk bertutur atau berdiam diri. Biar pilihan itu untuk mencari keredhaanNya.

Nota: Menulis itu juga sebahagian daripada bertutur… Berhati-hatilah.


Sumber : Prof Muhd Kamil Ibrahim, 28/3/2020, 6.05 am

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *