Link Live Dari Ustazah Muzayyanah @ustazahmuzayyanah : (20+) Facebook
Wahai manusia; setelah lapar ada kenyang, setelah haus ada kepuasan, setelah berjaga malam ada tidur nyenyak, dan setelah sakit ada kesembuhan. Setiap yang hilang pasti ketemu, dalam kesesatan akan datang petunjuk, dalam kesulitan ada kemudahan, dan setiap kegelapan ada terang-benderang.
…mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada RasulNya) atau sesuatu keputusan dari sisiNya….(Al-Ma’idah: 52).
Sampaikan khabar gembira kepada malam hari bahawa, sang fajar pasti datang mengusirnya dari puncak-puncak gunung dan dasar-dasar lembah; kepada orang yang dilanda kesusahan bahawa, pertolongan akan datang secepat kilatan cahaya dan kedipan mata, kepada orang yang ditindas bahawa kelembutan dan dekapan akan segera tiba.
Saat ada melihat hamparan padang Sahara yang seolah memanjang tanpa batas, ketahuilah bahawa di sebalik kejauhan itu terdapat kebun yang rimbun penuh hijau dedaunan. Ketika anda melihat seutas tali meregang kencang, ketahuilah bahawa, tali itu akan segera putus.
Setiap tangisan akan berhujung dengan senyuman, ketakutan akan berakhir dengan rasa aman, dan kegelisahan akan sima oleh kedamaian. Kobaran api tidak mampu membakar tubuh Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam. Dan itu kerana pertolongan Ilahu membuka ‘jendela’ yang mengalirkan…
….kesejukan dan keselamatan…. (Al=Anbiya’: 69)
Lautan luas tidak kuasa menenggelamkan Kalimur-Rahman (Musa ‘Alaihissalam). Itu tidak lain kerana suara kebenaran yang kuat berkata:
….Sekali-kali tidak akan tersusul; sesungguhnya Rabbku besertaku, kelak Dia akan memberi petunjuk kepadaku. (Asy-Syu’ara’:62)
Ketika bersembunyi dari kejaran kaum kafir dari sebuah gua, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam yang ma’sum mengkhabarkan kepada Abu Bakar Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Allah Yang Maha Tunggal dan Maha Tinggi ada bersama mereka. Sehingga, rasa aman, tenteram dan tenang pun datang menyelimuti Abu Bakar Radhiyallahu ‘anhu.
Mereka yang terpaku pada waktu mereka yang terbatas dan pada keadaan mereka yang (mungkin) sangat kelam, umumnya hanya akan merasakan kesusahan, kesengsaraan dan keputusasaan dalam hidup mereka. Itu, kerana mereka hanya menatap dinding-dinding bilik dan pintu-pintu rumah mereka saja. Padahal, mereka seharusnya menembuskan pandangan sampai ke belakang tabir dan berfikir lebih jauh tentang hal-hal yang berada di luar pagar rumahnya.
Maka dari itu, janganlah anda merasa terhimpit sejengkal pun, kerana setiap keadaan pasti berubah. Dan sebaik-baik ibadah adalah menanti kemudahan dengan sabar. Betapapun, hari demi hari akan terus berganti, tahun demi tahun akan selalu berganti, malam demi malam pun datang silih berganti. Meski demikian yang ghaib akan tetap tersembunyi, dan Sang Maha Bijaksana tetap pada keadaan dan segala sifatNya. Dan Allah mungkin akan menciptakan sesuatu yang baru setelah itu semua, tetapi sesungguhnya setelah kesulitan itu tetap akan muncul kemudahan.
- Sumber : Kitab La Tahzan : Jangan Bersedih (Don’t Be Sad) Setelah Kesulitan Pasti ada Kemudahan. Penulis : Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni (Penterjemah: Noraine Abu).
- (Ditaip semula dari Kitab La Tahzan sebagai bacaan bersama).