LA TAHZAN SIRI 18: “Mengingat Allah Akan Mententeramkan”

Link Live Dari Ustazah Muzayyanah @ustazahmuzayyanah : (20+) Facebook

Bab 18 : Mengingat Allah Akan Mententeramkan

Kejujuran itu kekasih Allah. Keterusterangan merupakan sabun pencuci hati. Pengalaman itu bukti. Dan seorang pemandu jalan tidak akan membohongi rombongannya. Tidak ada satu pekerjaan yang lebih melegakan hati dan lebih agung pahalanya selain berzikir kepada Allah.

            Kerana itu, ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat (pula kepadamu…. (Al-Baqarah:152)

            Berzikir kepada Allah adalah syurga Allah dibumiNya. Maka siapa yang tidak pernah memasukinya, ia tidak akan dapat memasuki syurgaNya di akhirat kelak. Berzikir kepada Allah merupakan penyelamat jiwa dari pelbagai kerisauan, kegundahan, kekesalan dan goncangan. Dan zikir merupakan jalan pintas paling mudah untuk meraih kemenangan dan kebahagian hakiki. Untuk melihat faedah dan manfaat zikir, cuba perhatikan Kembali beberapa pesan wahyu Ilahi! Dan cubalah mengamalkannya pada hari-hari anda, nescaya anda akan mendapatkan kesembuhan!

            Dengan berzikir kepada Allah, awan ketakutan, kegalaun, kecemasan dan kesedihan akan sima. Bahkan dengan berzikir kepadaNya segunung tumpukan beban kehidupan dan permasalahan hidup akan runtuh.

            Tidak menghairankan bila orang-orang yang selalu mengignat Allah sentiasa Bahagia dan tenteram hidupnya. Itulah yang memang seharusnya terjadi. Ada pun yang sangat menghairankan adalah bagaimana orang-orang yang lalai dari berzikir kepada Allah itu justeru menyembah berhala-berhala dunia. Padahal….

            (Berhala-berhala) itu mati tidak hidup dan berhala-berhala itu tidak mengetahui bilakan penyembah-penyembahnya akan dibangkitkan. (An-Nahl:21)

            Wahai orang yang mengeluh kerana sukar untuk tidur, yang menangis kerana sakit, yang bersedih kerana sebuah tragedi dan yang berdukacita kerana suatu musibah, sebutlah namaNya yang kudus!

….apakah kamu mengetahui ada seorang yang sama dengan Dia (yang patut disembah)? (Maryam: 65)

            Semakin banyak anda mengingat Allah, fikiran anda akan semakin terbuka, hati anda semakin tenteram, jiwa anda semakin bahagia, dan Nurani anda semakin Sentosa. Itu kerana dalam mengingat Allah terkandung nilai-nilai ketawakkalan kepada-Nya, keyakinan penuh kepadNya, ketergantungan diri hanya kepadaNya, kepasrahan kepadaNya, berbaik sangka kepadaNya dan pengharapan kebahagian dariNya. Dia sentiasa dekat ketika si hamba berdoa kepadaNya, sentiasa mendengar ketika diminta dan sentiasa mengabulkan jika dimohon. Rendahkan dan tundukkan diri anda ke hadapanNya, lalu sebutlah secara berulang-ulang namaNya dan penuh berkah itu dengan lidah anda sebagai pengakuan akan keEsaanNya. Sampaikan pujian doa, permohonan dan permintaan ampunan anda kepadaNya. Dengan begitu nescaya anda – berkat kekuatan dan pertolongan dariNya – akan mendapatkan kebahagiaan, ketenteraman, ketenangan, cahaya penerang dan kegembiraan. Dan….

kerana itu Allah memberikan kepada mereka pahala di dunia dan pahala yang baik di akhirat …. (Ali-‘Imran: 148)

  • Sumber : Kitab La Tahzan : Jangan Bersedih (Don’t Be Sad) Setelah Kesulitan Pasti ada Kemudahan. Penulis : Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni (Penterjemah: Noraine Abu).
  • (Ditaip semula dari Kitab La Tahzan sebagai bacaan bersama).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *