Inilah kata yang diucapkan oleh seorang anak muda pada tahun 2018 melalui satu video yang dia rakamkan.
Video ini dikenal sebagai “The Final Message” dan tersebar meluas setelah dia meninggal dunia.
Kisah ini amat menginspirasi ramai orang di seluruh dunia.
Ketika pertama kali dengar ucapan anak muda bernama Ali Banat ini, rasa meremang. Tak dapat nak bayangkan apa perasaan dia semasa merakam kata-kata akhirnya.
Allahuakbar.
Siapakah Ali Banat?
Ali Banat merupakan seorang usahawan yang kaya raya di Sydney, Australia juga anak tunggal kepada seorang jutawan.
Sebelum disahkan menghidap kanser, dia hidup dalam keadaan serba mewah. Sehingga dikatakan bahawa seliparnya saja dah bernilai AUD 700.
Doktor mengesahkan Ali Banat menghidap kanser sekitar tahun 2015 dan dia hanya mampu bertahan hidup selama 6 bulan.
Apa berlaku lepas itu. Ali menjual segala hartanya. Rumah, kereta mewah, pakaian mahal dan sebagainya lalu tubuhkan satu badan untuk bantu orang-orang susah.
Kebanyakkan kerja kebajikan yang dia lakukan di sekitar Afrika.
Kehidupan Ali Banat berubah.
Dari seorang anak muda yang hidup sekadar untuk ‘enjoy’ dengan kemewahan yang dia ada menjadi anak muda yang bertaqwa. Harta yang dia ada digunakan di jalan dakwah dan kerja kemanusiaan.
Dalam satu siri temubual, Ali pernah berkata,
“Alhamdulillah.., saya telah diberikan satu anugerah oleh Allah. Allah telah anugerahkan penyakit kanser kepada saya. Dengan penyakit ini, hidup saya telah berubah.”
MashaAllah.
Ali mengganggap ujian kanser ini sebagai anugerah.
“Setiap apa yang Allah bagi adalah anugerah. Tak kira kecil atau besar. Kita dapat bernafas dan menyedut udara setiap hari pun anugerah Allah.”
Menurut Ali lagi, ramai orang mempunyai tujuan hidup yang salah.
Ketika diuji dengan sakit, dan dapat tahu hidup dah tak lama barulah mereka akan sedar bahawa semua harta benda dan kemewahan itu dah tak berguna lagi.
“Harta benda ini dah tak bernilai lagi berbanding sepasang kasut untuk anak-anak Afrika yang hidup kesusahan dan berkaki ayam.”
Ali meneruskan hidupnya yang berbaki dengan kerja-kerja amal.
Biarpun awalnya dia disahkan mampu bertahan selama 6-7 bulan sahaja, Allah dah panjangkan umurnya sehingga bertahan selama 3 tahun lagi.
Pada tahun 2018, Ali menghembuskan nafasnya yang terakhir dan pulang menghadap Tuhan yang Maha Esa.
Tuan puan.
Banyak yang kita dapat pelajari dari kisah Ali Banat.
Pandanglah kehidupan dan apa yang datang di dalamnya sebagai satu anugerah dari Allah.
Allah beri kita harta yang melimpah, itu adalah anugerah. Anugerah untuk kita bersyukur dan banyakkan sedekah.
Allah beri kita harta yang kita rasa itu amat kecil, itu juga anugerah. Anugerah untuk kita bersabar.
Allah beri kita kesihatan yang baik. Anugerah untuk kita manfaatkannya dengan ikhlas dalam ibadah, bekerja, menimba ilmu dan sebagainya.
Allah uji kita dengan penyakit. Anugerah buat kita terus merenung dan bermuhasabah lebih dari orang lain. Juga anugerah untuk kita gigih dalam beramal bakti.
Nabi pernah sebut,
“Ajaibnya orang beriman, semua urusannya baik-baik belaka. Diberi kebaikan dia bersyukur. Diberi keburukan dia bersabar.”
Tuan puan,
Mari kita sahut seruan nabi untuk menerima apa jua ketetapan Allah dengan jiwa yang penuh dengan iman.
Jadi hamba yang bersabar dengan ujian.
Jadi hamba yang bersyukur dengan nikmat kebaikan.
Alhamdulillah,
Alhamdulillah,
Alhamdulillah.
Alhamdulillah ‘ala kulli hal,
Alhamdulillahillazi bini’matihi tatimmusholihat..
Alhamdulillah