Saat sakaratul maut, orang dah tak ingat apa-apa dah. Dah tak ingat anak dan isteri. Dah tak ingat duit dalam bank. Dah tak ingat harta. Yang ingat,

‘Aku lepas ni ke mana?’

Semua kembali kepada diri kita. Sekiranya kita benar-benar bertaubat dengan taubatan Nasuha yakni yang sebenar-benarnya taubat, pasti ALLAH akan mengampuni dosa-dosa kita.

Balik kepada niat. Kita nak mati dalam Taubatan Nasuha yang diterima ALLAH.


Kita tidak tahu bila kita akan mati.

Orang yang sakitnya kritikal, yang 50-50 peluangnya untuk hidup jika melakukan pembedahan. Pembedahannya sangat berisiko. Yang doktor kata dalam 3 orang yang melakukan pembedahan kerana penyakit yang begitu, seorang daripadanya pasti meninggal.

Insan yang sakit ini dan ahli keluarganya seumpama ‘macam dah tahu hari matinya sudah terlalu hampir’.

Makanya insan yang sakit dan ahli keluarganya sudah ready dengan apa yang bakal berlaku. Mereka anak beranak dah saling minta maaf. Sempat berwasiat juga.

Orang yang seakan tahu matinya sudah terlalu hampir ini bersihkan dirinya dengan taubat, Istighfar minta ALLAH ampunkan segala dosa.

Preparation kita sebelum mati bukan hanya membersihkan zahir sahaja tapi batin juga mesti dibersihkan sebelum bertemu dengan ALLAH.

Bayangkan orang yang meninggal tiba-tiba.

Dia ingatkan dia sesak nafas tiba-tiba biasa-biasa sahaja. Dia tak sempat pun ketika itu untuk bertaubat kepada ALLAH di atas segala dosa-dosanya. Bahkan dia masih sempat berfikir kalau dia sihat nanti dia nak sambung perniagaan dan perniagaannya masih rasuah dan masih riba.

“Kalau aku sihat nanti aku nak buat begitu begini…”

Begitu begininya itu masih dalam maksiat. Kalau dia mati, dia tidak Taubatan Nasuha.

Na’uzubillahi Min Zalik.


Meskipun dosa kita begitu besar, pengampunan-NYA jauh lebih besar. Sebab itulah hari-hari saban saat kita kena berniat nak mati dalam Husnul Khotimah.

Kalau dah nak mati dalam Husnul Khotimah yakni penyudah yang baik, jadi bila kita nak start jadi orang baik yang sungguh-sungguh?

Nak jadi baik ni jangan bertangguh lagi dah.

Jika jadi isteri, jadilah isteri yang baik.
Jadi anak, jadilah anak yang baik.
Jadi pekerja, jadilah pekerja yang baik.

Start sekarang juga jadi baik. Jangan bertangguh-tangguh.

“Saya nak jadi baik lepas pergi umrah. Balik je umrah saya nak jadi baik.”

Kalau macam tu memang lambat lagilah kau nak jadi baik. Kau buat je terus baik bila kau ada niat nak jadi baik walaupun dengan hanya sekelumit baik. Andai ALLAH matikan kau pada situasi itu walaupun kau belum betul-betul baik, kerana niat kau yang bersungguh-sungguh nak jadi baik itu kau dimatikan dalam Husnul Khotimah. Insya-ALLAH.

Bersungguh-sungguhlah dalam taubat duhai sahabat-sahabat. Jangan kita buat main-main perkataan taubat ni.

Kalau kita buat main-main macam mana ALLAH nak bersungguh-sungguh memberi keampunan kepada kita?

Taubat ni tak boleh main-main.


Syaitan paling menyampah tengok orang Islam istiqomah dalam taat dan istiqomah dalam kebaikan.

Katanya syaitan,

“30 tahun dah dia jadi wanita solehah. Isteri kepada suaminya. Sekarang aku nak usik-usik sikit. Bagi dia hilang istiqomah.”

Yang ALLAH nak tuntut daripada kita adalah istiqomah. Yang syaitan paling cemburu dengan kita adalah istiqomah. Maka suka tak suka, kita kena istiqomah.

Bila kita tak istiqomah, kita takkan dapat kejayaan menuju Jannah. Kita takkan dapat.

Yang nak mati dalam kebaikan, jangan bertangguh. Kena mulakan sekarang dengan melakukan kebaikan dan kena istiqomah.


Sebenarnya syaitan yang lebih istiqomah daripada kita. Istiqomahnya syaitan itu bermakna dia tak pernah berputus asa mengganggu hidup orang beriman.

Orang yang tak baik dan belum beriman, syaitan bagi leka dengan dunia dan harta benda. Orang ni fikir,

‘Aku tak payah solat. Yang penting aku kaya raya. Aku tak solat pun aku buat kebaikan lain. Aku buat baik yang lain walaupun aku tak cukup solat 5 waktu.’

Orang yang dah sedia baik pulak, yang solat tak tinggal, tudung labuh, si iblis dan syaitan ni istiqomah ganggu jugak.

“Hang sorang je orang paling baik kat taman ni. Ada orang tudung labuh kaw-kaw macam kau kat taman ni? Takde kan? Kau sorang je kan? Maka ke Syurga lah kau dengan tudung labuh kau. Ke Syurga lah kau dengan sedekah kau yang tiap-tiap hari selambak tu.”

Bila dibisik hasutan iblis dan syaitan sebegitu, dia pun mulalah perasan,

“Haa… memang aku sorang je tudung labuh kat taman ni.”

Begitulah iblis dan syaitan yang istiqomah mengganggu orang-orang beriman. Dia tengok dulu orang yang dia nak ganggu ni. Orang iman kuat, dia kacau macam ni. Orang iman tak kuat pula dia kacau macam tu. Bukan sama.

ALLAH bagi ujian kepada kita berbeza mengikut kemampuan kita. Begitu iblis dan syaitan nak kacau kita, dia tengok dulu level iman kita takat mana. Yang datang mengganggu kita tu pun sama level atau lebih tinggi level kepakarannya daripada kita.

Jadilah orang beriman. Orang beriman kental dengan ujian.


Semua kembali kepada diri kita. Jika kita benar-benar bertaubat dengan Taubatan Nasuha, pasti ALLAH akan mengampuni dosa-dosa kita.

Sahabat,

Meskipun dosa kita begitu besar, pengampunan-NYA jauh lebih besar.

Katanya ALLAH dalam Surah Az-Zumar ayat 53,

قُلْ يٰعِبَادِيَ الَّذِيْنَ اَسْرَفُوْا عَلٰٓى اَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوْا مِنْ رَّحْمَةِ اللّٰهِ ۗاِنَّ اللّٰهَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ جَمِيْعًا ۗاِنَّهٗ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

Katakanlah, “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH. Sesungguhnya ALLAH mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.”


Kita terlupa bahawa sebenarnya ALLAH nak tengok bagaimana kita bangkit . Yang mana kata ALLAH,

“Wahai hamba-hamba-KU yang menzalimi diri sendiri.”

Kadang-kadang kita tak sedar. Kita ada peluang buat baik tapi kita keluar daripada kebaikan itu.

Bukankah kita yang zalim pada diri sendiri?

ALLAH letakkan ujian itu merupakan jalan ke Syurga bila kita redho tapi kita nak keluar daripada ujian itu. Kita keluar daripada landasan menuju Syurga. Kita tak nampak itu adalah jalan ke Neraka kerana itulah sebenarnya cara kita menzalimi diri sendiri tanpa sedar.

ALLAHU AKHBAR.


Janganlah kita berputus asa daripada rahmat ALLAH. Sesungguhnya ALLAH mengampuni semua dosa. Sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

ALLAH menyatakan dalam satu hadis Qudsi.

“Wahai anak Adam, selagi kamu berdoa dan berharap kepada AKU, pasti AKU ampuni segala dosa yang kamu buat dan AKU tidak peduli berapa banyaknya. Wahai anak Adam, andai dosa-dosa kamu bagaikan awan di langit, kemudian kamu memohon ampun kepada AKU, pasti AKU mengampuni kamu.
Wahai anak Adam, sesungguhnya andai kamu datang kepada AKU dengan membawa dosa-dosa seisi bumi kemudian kamu menghadap AKU, sedangkan kamu tidak menyekutukan AKU, AKU akan mengampuni dosa-dosa yang seisi bumi banyaknya itu.”

Baiknya ALLAH. Walaupun dosa-dosa sebanyak awan di langit, ALLAH ampunkan dosa kita. Kita kalau orang berkali-kali buat salah kat kita, kita dah malas nak maafkan muka penipu tu. Tapi ALLAH, walaupun dosa-dosa kita sebanyak awan di langit, syaratnya kita minta ampun dan tidak menyekutukan ALLAH, ALLAH pasti mengampuni kita.


Banyak mana pun dosa yang kita buat, tetaplah bersujud, beristighfar, minta dengan ALLAH melalui Taubatan Nasuha, tinggal segala maksiat, terus taat dalam kebaikan dan amal solihat sampai ke akhir hayat.

Sahabat,

Kalau ditimbang, dosa kita lebih banyak sudah tentu kerana dari umur muda sampai umur berapa puluh tahun masih bermaksiat. Tapi sekali kita dapat peluang taubat, jangan sia-siakan. Istiqomah sampai ke akhir hayat.

Sahabat,

Istiqomah inilah yang penat. Syaitan datang nak bagi kita give up dan putus asa. Lagi kita nak jadi baik, lagi kita nak bertaubat, lagi macam-macam ujian datang. Maka teruslah berada dalam kelompok circle yang baik, majlis ilmu saban hari, Al-Quran jangan tinggal. Percayalah anda akan bertemu dengan sesuatu yang baik untuk dirimu dan baik disisi ALLAH SWT.


[ Sebahagian intipati nota kuliah dan tazkirah dari Ustazah Zai dalam Fasobrun Jamil pagi semalam. Alhamdulillah. Jazakillahu Khair Ustazah ❤️]

Wallahua’lam.
Semoga bermanfaat.

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَ لآ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ

لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّٰهِ ٱلْعَلِيِّ ٱلْعَظِيمِ‎

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَىٰ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰ آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Sumber FB:

yusnizayaziz

yusfasobrunjamil

13 Jamadil Awal 1444H
6 Disember 2022