MENDENGAR (SIRI 12): BUNYIAN DI BUMI SEMUANYA ITU BERTASBIH

“Demi Allah, kembalikanlah hati seorang yang dilanda kesedihan.
Dia tidak lagi mempunyai kekasih yang lain.”

  • Ibrahim Ar-Raqqi

Bicara tentang hukum mendengar, atau secara kupasan umum: Apakah pandangan agama terhadap setiap suara yang kita dengar? Berupa suami alami (iaitu) burung-burung yang berkicauan, suara angin bahkan suara guruh, ribut petir.

Bahkan setiap perkara yang mengeluarkan suara.

Kita telah nyatakan, suara-suara yang indah / bicara-bicara yang baik yang datang daripada al-Quran, yang datang daripada sunnah Nabi SAW, datang daripada nasihat-nasihat yang baik maka ini tidak ada keraguan daripada sudut kebolehannya, dan galakan memperbanyak mendengarnya.

Bagaimana suara-suara yang lain?
Apakah hukum suara-suara yang lain, yang kadang-kala membangkitkan emosi.

Kadang-kadang kita tengok, hanya lantunan musik membuatkan orang menangis, menyebabkan orang sedih atau menyebabkan gembira, emosi dimainkan dengan lantunan bunyi-bunyi.

Atau juga dengan sebab bunyi menjadikan seorang marah, macam orang berdengkur kita dengar, marah?
Marah. Itu bunyi, bukan mereka buat tapi secara semulajadi ia berlaku.

Ada bunyi kita dengar, macam biasa saja.
Ada bunyi kita dengar, membentuk emosi pelbagai,

  • Benci
  • Marah
  • Sayang
  • Gembira
  • Menangis
  • Sedih

Bahkan kadang-kala ada suara menjadikan kita semangat, kita dengar tentang perang, kita semangat. Kita dengar barangkali bunyi air terjun menjadi semangat. Setengahnya bunyi ombak yang memukul pantai, cukup menjadikan dirinya melantun fikirannya pada kenangan puluhan tahun, yang tidak mungkin diingati melainkan waktu ketika itu.

Secara kesimpulan,
Bilamana kita dengar yang baik-baik maka ia memberikan kita kesan yang baik.

Kata Ruwaim bin Ahmad, seorang Ulama bertanyakan Guru-guru di zamannya, apa hukum mendengar musik, lagu-lagu yang baik?

Kata Ulama ketika itu bila seorang itu mendengar, dia seperti sekawan kambing yang didatangi serigala.

Maksudnya, kambing tengah tenang makan rumput, tiba-tiba serigala datang. Apa jadi? Bertempiaran kambing, cemas kerana adanya serigala. Seperti itulah suara-suara, musik kita dengar saja-saja misal kita tengah baca buku dan terdengar satu suara.

Tak kiralah suara orang mengilai; atau
Suara orang sedang bercinta; atau
Bunyi-bunyi tertentu maka kita mula resah kerana kita sedang bermuamalah dengan suara itu.

Misal saya sedang baca buku, tapi saya terdengar suara di luar. Maka saya sedang berinteraksi dengan suara itu. Bahkan jika suara itu suara cemas, gembira, membingitkan telinga? Perumpamaan seperti kambing-kambing didatangi serigala, bertempiaran lari.

Ertinya, kalau seorang mendengar suara yang baik maka dia pun tenang.
Dengan suara tak baik? Dia takkan tenang.

Hatta kita sewa hotel, dengar orang sebelah bergaduh maka kita pun tak tenang.
Atau naik kapal terbang, budak menangis. Kita dengar reaksi tertentu, kita pun jadi tak tenang walau asal kita happy.

Kerana itu setengah Ulama mereka menutup telinga mereka daripada mendengar sesuatu yang tidak baik, ditutup telinga. Bahkan disebutkan dalam hadis Nabi SAW, siapa yang mencuri dengan percakapan orang lain akan dituang di telinganya cairan tembaga panas mendidih.

Kita kadang-kadang suka curi dengar orang cakap. Suka curi dengar, kadang-kadang dicakap itu hal-hal rahsia, hal-hal berkait antara mereka berdua tapi kita pasang telinga. Apatah lagi jenis ambil alat letak di dinding, nak dengar.

Ini orang-orang yang sedang menanti azab Allah SWT.
Sebab itu kita dilarang mencuri dengar, perbualan-perbualan orang yang bersifat peribadi maka kita pun tak ambil pusing. Jangan dok pasang telinga nak dengar, apatah lagi benda-benda mengaibkan.

Kita tengok suami isteri ni macam bergaduh, kita pasang telinga dia bergaduh sebab apa? Kita pasang telinga. Maka telinga ini akan dicurahkan air tembaga panas mendidih, jangan curi dengar..

Kalau kita dengar benda yang baik-baik, okay (takpa).

Kena bezakan:

i) Curi dengar; dengan
ii) Dengar.

Contoh: Orang tu jenis bercakap kuat, maka kita dengar.

Ia lain daripada mencuri dengar, dia contoh: Telinga didekatkan, dengan niat nak tahu orang lain itu cakap apa.

Bila kita dengar sesuatu itu ia akan membangkitkan emosi. Diriwayatkan, Ali bin Al-Muwaffaq berkata ketika dia bertanya, “Apakah hukum mendengar?” (dimaksudkan nasyid / qasidah), sehingga membentuk gerakan kecil seperti menari (dalam Bahasa Arab menyebutnya ‘zafin’) –

  • Orang kita panggil ‘zapin’, atau ‘jipin’ satu bentuk tarian

Dalam Bahasa Arab disebut ‘zafana’ ‘zafuna’, ‘yasfanu’ ‘zaffan’ (orang yang sedang menari).

Kita belajar sejarah (tarian) ‘zapin’ negeri-negeri tertentu, ia asal perkataan Bahasa Arab, yang memberi maksud ‘penari’. Asal tarian zapin ini lebih kepada gerakan huruf, gerakan solat. Atau gerakan ke depan atau ke belakang. Ada zapin,

  • Sufi
  • Johor

Dan terkadang zapin ini gerakan yang meniru patukan ayam, cara ayam. Cara ayam bergerak, mematuk. Elemen alami, kadang-kala berkait dengan Sufi, ia berkait gerakan solat, biasa ke depan, ke belakang.

Zapin asalnya dari Yaman, atau Parsi.
Ditarikan oleh orang lelaki sahaja, tapi kerana evolusi tarian akhir orang perempuan masuk dan orang perempuan menari juga. Itupun diasingkan.

Evolusi yang mula tidak melihat kepada hukum-hakam maka bercampur lelaki, perempuan dan berlaku pendedahan aurat dan sebagainya. Walaupun hukum asal, perempuan ini tak boleh menari di depan lelaki.

Hatta kita sai’e, di kawasan berlari, orang perempuan tak berlari.
Kenapa?
Berlaku gerakan tubuh yang boleh mewujudkan gerakan nafsu lelaki.

Perempuan bila bergerak, lelaki tengok dan dia bernafsu. Berbeza lelaki, purata lelaki macam tu. Kita orang lelaki, kalau perempuan jenis tiang kita tak rasa apa, tapi bila dia mula tunjuk gerakan lemah-longlai, gerakan sekian-sekian maka ini membahayakan.

Ini cerita asal-usul (tarian) zapin, lebih kepada tarian untuk syarat, gerakan ibadat, gerakan alami atau binatang yang hanya dimainkan oleh lelaki. Kemudian orang perempuan masuk, mula berlaku pendedahan aurat dan sebagainya.

Kisah Sufi ini, orang tanyakan: Apakah hukum seorang itu mendengar (nasyid/qasidah) dan sebagainya?

Dia kata, “Saya sendiri suka dengar (musik) dan bila saya dengar saya akan buat satu gerakan (menari).”

Tuan-tuan kena tahu, menari (dimaksudkan) ini tak semacam orang-orang hari ini.

Menari (dimaksudkan) ini hanya gerakan biasa, bak kita ratib (ke kiri dan kanan), membentuk satu gerakan. Dia hanya bangun, gerakan ke depan, belakang. Satu gerakan ringkas, tidaklah sampai peringkat gerakan-gerakan tidak terkawal.

Atau satu gerakan yang menyamai orang-orang fasik.

Dikatakan bahawa, suatu ketika Ibrahim Ar-Raqqi bersama murid-muridnya yang lain sibuk qiyam sambil menangis tapi dia sibuk mendengar bait-bait syair (kata-kata indah) yang menjadikan dia bermuhasabah dan menangis.

Apa kata-kata tersebut..?
Iaitu kata-kata yang berbunyi,

‘Demi Allah..
Kembalikanlah hati-hati orang-orang yang bersedih..

  • Ya Allah kurniakanlah, kembalikanlah hati-hati kepada orang-orang yang bersedih

.. yang tidak ada kekasih melainkan Allah..’

Jadi Ibrahim ar-Raqqi dia perhatikan syair ini dan dia ‘berqiyamullail’ dengan syair ini.

Kita sebut ‘qiyamullail’ iaitu menghidupkan malam, secara umumnya qiyamullail kita sembahyang, baca al-Quran dan berzikir. Sebenarnya dalam definisi qiyam, apa sahaja perbuatan, perkara yang menjadikan kita ingat Allah maka ia disebutkan dengan qiyamullail.

Sebab itu saya tekankan dahulu (bagi) perempuan yang uzur (datang haid) dia kata,

“Ustaz saya uzur tak boleh bangun qiyam..”

Kenapa pulak tak boleh bangun qiyamullail?
Bangun dan berzikir, muhasabah. Bahkan hari ini dengan sistem online hari ini boleh dengar kuliah pukul 2.00 pagi – 3.00 pagi. Atau dengarlah rakaman kuliah maka kita dianggap berqiyamullail.

Jangan mentang-mentang uzur (datang haid, tak solat) maka pukul 8.00 pagi, 9.00 pagi baru bangun tidur. Sebab apa?
Uzur, tak boleh sembahyang Subuh?

Ini salah, salah pemahaman.

Sama orang yang kata, “Ustaz saya nak bangun qiyam tapi sakit perut.. tak sembanhyang.”

Tak, qiyamullail ini bukan sekadar dengan sembahyang.
Tapi juga zikir, atau bermuhasabah. Maka Ibrahim ar-Raqqi dia bermuhasabah dengan satu syair, iaitu kata-kata yang baik.

Apa kata-kata tersebut..?
‘Demi Allah.. kembalikanlah hati seorang yang dilanda kesedihan..
Dia tidak lagi mempunyai kekasih yang lain.’

Wahai Tuhan.., kembalikanlah hati orang yang bersedih ini.. yang tidak ada kekasih melainkan Engkau..

Maksud: Tenangkanlah hati ini Ya Allah.. dengan cinta padaMu,
Dengan bergantung padaMu,
Dengan berharap kepadaMu,
Memohon pertolongan kepadaMu.

Tuan-tuan bila kita nampak ALLAH dalam segala urusan kita, maka tenanglah hati orang yang berdukacita. Tapi bila kita tak nampak Allah dalam segala urusan kita maka bermulalah dukacita kita.

Kita mula bergantung kepada orang itu, ini.
Mula cintakan orang itu ini,
Berharap kepada orang itu dan ini?
Maka bermulalah dukacita kita atau disebut ‘kemurungan, kesedihan, kegelisahan.’

Kerana Allah dan jadikan hati ini tenang dengan mengingati Allah.

Ketahuilah dengan ingat Allah, tenang hati.
Kalau kita sentiasa muhasabah diri kita dah membina hubungan dengan Allah, makin kita rasa Allah segala-galanya dalam hidup, maka makin kita rasa tenang.

“Saya tawakal kepada Allah.”

“Saya mintak tolong kepada Allah.”

“Saya mengadu kepada Allah.”

“Saya bersabar kerana Allah.”

“Saya buat ini kerana Allah.”

Bila datang Allah semua, tuan-tuan .. hati ini hilang kemurungannya, hati ini hilang kesedihannya. Hati ini hilang lemahnya.

TAPI bila yang datang itu selain Allah belaka,

“Bergantung kepada isteri saya,..”

“Saya bergantung kepada suami saya..”

Ini fikir, “Ustaz ini kalau suami saya mati, macam mana nak dapat duit..”

“Kalau suami saya mati, siapa nak hantar saya ke sana sini. Saya lesen pun takda.”

“Saya ni kalau suami mati, macam manalah saya nak membesarkan anak-anak. Anak-anak pulak kecik-kecik belaka ni..”

Tuan-tuan, orang yang letakkan begitu maka dia jadi kemurungan. Sebab itu orang-orang yang sentiasa meletakkan Allah, bila dia letakkan Allah:

i) Dia melihat dunia sementara, dia takkan cenderung pada dunia;
ii) Dia takkan berdukacita dengan apa akan berlaku esok hari, dia tak fikir apa akan berlaku esok hari. Tapi orang yang terus memikirkan dia takkan jadi bijak;
iii) Dia sentiasa tinggalkan syahwatnya, dia tak ikut syahwat dia. Bila mula mengikut syahwat, mula berlaku kemurungan.

Contoh ikut syahwat: Makan, lambat sarapan je kita jadi sedih. Murung. Padahal boleh je tukar jadi niat puasa.

Tapi orang yang sarapan lambat dia jadi murung, sedih.
Tengok isteri baru nak masak? Dia sedih. Mungkin dia jadi marah!

Orang bijaksana bukan hanya tak cenderung pada dunia, tak bersedih dan tinggalkan syahwat bahkan dia

iv) Sentiasa percayakan Allah, dia yakin percaya ikut mana pun, Allah berikan rezeki, Allah jaga dia, Allah pelihara dia, Allah pelihara pasangan-pasangan dia.

Ini jiwa-jiwa yang kuat.

Maka syair ini menyebutkan, dengan nama Allah / demi Allah, pulangkan / sembuhkan hati yang bersedih yang tak ada melainkan Engkau.

Kita dah sebutkan, bila kita jadikan hari-hari kita pergantungan, pengharapan kepada Allah maka kita gembira. Kalau hari-hari kita bergantung berharap kepada orang maka kita pun jadi sedih. Sedih tak menentu.

Kadang-kadang kita kata, Ustaz kenapa saya bangun tidur sedih.
Ada hari sedih sungguh.. kenapa?

Takda apa-apa, sebab dalam jiwa kita dah berbekas kesan-kesan pergantungan kepada manusia. Tapi kalau kita gembira, ada hari kenapa rasa gembira, seronok? Rasa happy, bermotivasi.

Kerana dalam hati kita dah ada kesan-kesan cinta kepada Allah.

Diceritakan bahawa Sahl bin Abdullah at-Tustari bila mendengarkan ayat al-Quran:

فَٱلْيَوْمَ لَا يُؤْخَذُ مِنكُمْ فِدْيَةٌۭ

“Oleh itu, pada hari ini tidak diterima penebus diri dari kamu.”

(Surah Al-Hadid, 15)

  • Dan ingatlah pada hari ini (Kiamat), Allah Taala takkan terima sebarang bentuk pembayaran / tebusan

Kita ni dekat dunia, kita sentiasa fikir ada apa-apa kita bayar je.
Saman, denda?
Takpalah kita pun ada kenal orang, ‘cable’ itu in.

Ingat Akhirat kelak, kita bersendirian seorang diri. Kita tak boleh guna anak untuk tebus kesalahan kita, atau pasangan kita, atau Mak Ayah. Semua kita tak boleh guna. Kita akan bertanggungjawab secara 100 peratus.

Dekat sini, dunia bila ada apa-apa ujian musibah kita beri orang ini dan ini,
“Biarlah orang ini bertanggungjawab.. orang ini tolong bayar. Biar orang ni ‘back-up’ kita, jadi kambing hitam kita. Orang ini kita tuding jari pada dia, kita cuba tebus.”

Orang kata, “Kenapa awak jahat?”

Dijawab, “Kawan saya jahat.. saya ikut dia.”

“Kenapa awak buat benda ni?”

“Bukan saya buat, dia suruh!”

Kita cuba jadikan orang lain sebagai tebusan kita. Kelak Akhirat ditanyakan:
“Kenapa jahat?! Kenapa tak sembahyang!”

Kita kata, “Ikut kawan..”

Tak diterima.
Tidak ada ‘fidyah’, tidak ada denda’, tidak ada ‘kambing hitam, tidak ada ‘back-up’, ‘cable’. Jawablah sendiri maka dihukum dengan kesalahan sendiri.

Maka Sahl bin Abdullah at-Tustari bila dengar ayat ini dan dia pun takut. Dia kata, tidak ada yang kuat yang mampu untuk menghadapi hari tersebut.

Diceritakan tentang satu ketika, bila Abu Abdur Rahman as-Sulami bertemu Abu Utsman al-Maghribi kemudian mereka jumpa seorang yang sedang menjatuhkan timba ke dalam telaga menggunakan alatnya yang mengeluarkan bunyi.

Kata Abu Utsman, “Wahai Abu Abdurrahman, kamu tahu bunyi itu makna apa?”

Jawabnya, “Tak tahu.”

Jawab Abu Utsman, “Bunyi itu mengatakan: Allah.. Allah.. Allah…”

Bahkan diriwayatkan Saidina Ali bin Abi Thalib RA, tiba-tiba bunyi loceng lalu kata Ali: “Kamu tahu loceng itu bunyi apa maksudnya?”

Kata para sahabat, “Tak tahu..”

Lalu kata Saidina Ali, “Loceng itu kata: Subhanallah.. Tuhan Yang Maha Benar.. Maha Suci Allah, Tuhan Yang Maha Benar. Dan sesungguhnya Allah, As-Somad itu tempat bergantung yang kekal.”

Di sini satu analisis yang perlu kita faham, setiap bunyi yang keluar adalah memuji dan memuja Allah. Apa buktinya?

Dalam al-Quran Allah berfirman,

تُسَبِّحُ لَهُ ٱلسَّمَـٰوَٰتُ ٱلسَّبْعُ وَٱلْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ

“Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah.”

(Surah Al-Isra, 44)

  • telah bertasbih kepada Allah tujuh petala langit dan bumi dan apa yang terkandung di dalamnya

فِيهِنَّ ۚ وَإِن مِّن شَىْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِۦ وَلَـٰكِن لَّا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ ۗ إِنَّهُۥ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًۭا

“Dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.”

(Surah Al-Isra, 44)

  • tidak ada sesuatu pun di muka bumi ini melainkan ia bertasbih kepada Allah dan kamu tak faham tasbih mereka. Dan Allah Taala itu Tuhan Yang Maha Lembut, dan Tuhan Yang Maha Pengampun.

Allah sendiri menyatakan bahawa apa di bumi ini, sama ada yang mengeluarkan bunyi atau tak mengeluarkan bunyi.. mereka sedang bertasbih kepada Allah. Hatta katak-katak yang berbunyi, sedang bertasbih kepada Allah.

Hatta kita dengar angin yang lalu di celah-celah pokok-pokok sedang bertasbih kepada Allah. Kita dengar ombak-ombak sedang bertasbih kepada Allah. Bertasbih kepada Allah kata Ulama dengan dua (2) cara:

  1. dengan lidah
  2. dengan keadaannya, yang menunjukkan kebesaran, kekuasaan Allah.

Bila kita lihat laut, kita melihat kebesaran Allah kerana Allah yang menciptakan bukan manusia menciptakan laut. Maka di situ kita lihat kebesaran Allah SWT. Dan setiap bunyi yang keluar, hatta bunyi hujan.

Kita katakan ini bunyi guruh di langit menandakan takut kepada Allah.

وَيُسَبِّحُ ٱلرَّعْدُ بِحَمْدِهِۦ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِۦ وَيُرْسِلُ ٱلصَّوَٰعِقَ فَيُصِيبُ بِهَا مَن يَشَآءُ وَهُمْ يُجَـٰدِلُونَ فِى ٱللَّهِ وَهُوَ شَدِيدُ ٱلْمِحَالِ

“Dan Dia lah juga yang guruh dan malaikat bertasbih memujiNya, kerana takut kepadaNya. Dan Dia lah juga yang menghantarkan petir, lalu Ia mengenakan dengan panahannya kepada sesiapa yang dikehendakinya Dan mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan Allah (dan kuat kuasaNya) Padahal Ia Amat keras azab seksanya.”

(Surah Ar-Ra’d, 13)

  • telah bertasbih guruh di langit dan Malaikat, kerana takutkan Allah.

Kita dengar bunyi guruh, menakutkan.

Sebenarnya guruh itu sedang takutkan Allah. Kita? Takutkan guruh.
Tapi guruh tadi keluarkan suara kerana bertasbih, takut dan bimbang kekuasaan Allah. Allah sebutkan dalam al-Quran sehingga dalam al-Quran ada satu surah bernama, Ar-Ra’d (Guruh).

Bila ia keluarkan bunyi ia lebih kuat daripada letupan bom. Menakutkan.

Kita dengar bunyi guruh di sana, meletup. Allah jelaskan bunyi guruh itu, dengan firmannya:

وَيُسَبِّحُ ٱلرَّعْدُ بِحَمْدِهِۦ

“Dan Dia lah juga yang guruh dan malaikat bertasbih memujiNya.” (13:13)

  • telah bertasbih guruh dengan memuji Allah.

وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ

“Dan MalaikatNya..”

مِنْ خِيفَتِهِۦ

“Kerana takutkan Allah.”

Bila kita takut, datang rasa takut maka kita akan kata: “Subhanallah.. Subhanallah.. Subhanallah ..” Setiap kali datang rasa takut.

Kita rasa sedih, kita sebut Istighfar.

Tapi bila kita takut, kita akan sebut: Subhanallah (Maha Suci Allah)!
Maka hilanglah takut kita dengan bertasbih kepada Allah Taala, kerana kita melihat semua benda ini akur kepada peraturan Allah.

Kita tengok gempa yang kuat, kita kata Subhanallah!
Ini semua hanya tentera-tentera kecil Allah.

Kita dengar guruh yang kuat, kita sebut ‘Subhanallah..’
Ini tentera-tentera kecil Allah, bagaimana dengan Allah?

Setiap kali kita melihat dengan segala keajaiban yang menakutkan, segala kekuatan yang tak terkalah kita kata: ‘Subhanallah’.. kerana Allah yang sempurna daripada segala yang kita lihat, Allah kuat daripada segala yang kita tengok. Allah cantik daripada segala yang kita pandang lalu kita kata:

“Subhanallah..”

Waima Subhanallah (dilafazkan) sebagai tanda kita takjub,
Waima Subhanallah tanda kita takut,
Supaya Allah Taala pelihara kita.

Kita masuk rumah dan kata ‘Subhanallah..’, tiba-tiba tengok ada benda-benda terbang yang niat nak ganggu kita. Tiba-tiba tengok air mineral depan kita terbang, apa kita sebut?

‘Subhanallah!’ (Maha Suci Allah)
Jatuh semula (air mineral).

Tiada dapat melawan kekuasaan Allah, dan kesempurnaanNya.

Ada orang kata, “Ustaz, kalau sebut ‘Allahuakbar’?

Iya juga. Kadang-kadang kita takut, maka sebut ‘Allahuakbar!’ (Allah Maha Besar), kerana takda yang lebih besar. Ini antara dua kalimah yang kita gunakan bila kita berhadapan sesuatu yang menakjubkan.

  • Allahuakbar
    Kalimah ini juga dilafazkan kerana kita melihat sesuatu dengan takjub.

Nak beritahu semua bunyi terhasil di muka bumi ini waima daripada binatang, atau daripada makhluk-makhluk Allah yang lain, bunyi-bunyi ini semua zikir kepada Allah. Bukan bunyi-bunyi biasa, semua zikir.

Bukan kata,
“.. ini bunyi timba ni..”
“.. ini bunyi angin.. bunyi pokok..”

Sumber Facebook: TOKKU PASIR GUDANG

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *