Tengok orang lain beli itu ini, jalan ke sana sini, menyebabkan diri tertanya: “saya mahu juga.”

Itulah naluri manusia. Siapa tidak suka.

Namun soalan seterusnya ialah: “mahu bayar pakai apa? Bil yang ada pun tidak semestinya lepas bayar. Inikan pula untuk menempah tiket kapal terbang untuk anak beranak.”

Dalam Surah al-Baqarah ayat ketiga, dijelaskan sifat orang bertaqwa apabila bercakap pasal rezeki.

الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ
Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

Antara dapat rezeki atau beri rezeki, orang yang sentiasa peka pada Tuhan akan mengutamakan ‘beri’.

Bukan terima.

Kerana rezeki ialah milik Allah. Allah boleh bagi pada sesiapa yang dikehendakinya. Kita usaha, namun ketentuan rezeki untuk menempah tiket ke London, Mekah atau Lenggong adalah milik Allah.

Apabila kita fokuskan pada apa yang perlu ‘diberi’, maka kita kurang mengira-ngira apa yang saya perlu dapat. Kita memang mahu untuk dapat macam-macam. Namun ia akan selalu mengecewakan.

Apabila kita mengira-ngira apa yang perlu saya beri dan rancang kewangan, Tuhan akan menyusun apa yang perlu kita dapat. Tidak semena-mena kita akhirnya mendapat tiket ke Mekah atau mengirup udara Tokyo. Atau paling tinggi harapan untuk mendapat rahmat menghirup wangian syurga.

Memberi dan berkhidmatlah walau ia lelah.

Sumber Facebook : Fazrul Ismail

lensaquran

tulistadabbur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *