Ustaz rasa gembira tengok sokongan rakyat Malaysia kepada atlit yang menyertai Sukan Olympik di Paris.

Tak kira bangsa, agama, warna kulit, parti politik, semuanya bersatu hati menyokong kontigen negara.

Inilah keindahan hidup dalam masyarakat berbilang bangsa. Rasa bahagia bila masing-masing dapat bertoleransi dan bersatu hati mengharapkan kejayaan Malaysia.
.
.
Tuan puan, jangan rosakkan keindahan hidup berbilang kaum di negara kita dengan kata-kata buruk. Tak kira ketika kita bercakap atau meninggalkan komen di media sosial.

Ustaz selalu ulang sebut,

“Jaga lisan. Jaga tulisan. Kata-kata boleh menyebabkan kebencian, kata-kata boleh menyebabkan peperangan.”

Kesan kebencian dan peperangan ni bukan mudah nak di selesaikan. Bukan sekadar beri kesan sebulan dua. Tapi kesannya sangat buruk dan memakan masa bertahun-tahun untuk dipulihkan.

Ustaz dah melawat banyak tempat pelarian kesan dari peperangan.

Sedih tengok kanak-kanak yang membesar dalam khemah. Tak cukup bekalan makanan, tempat tinggal yang dhaif, apatah lagi kemudahan pendidikan yang sempurna.

Semuanya kerana apa? Kesan daripada peperangan sesama manusia.
.
.
Ustaz teringat satu kisah yang berlaku waktu melawat sebuah kem pelarian di Syria.

Ada satu hari tu kami buat edaran di salah sebuah kem pelarian. Macam biasa, lepas sampai, kami keluarkan barang sumbangan. Barang yang disusun dalam kotak besar dikeluarkan satu per satu.

Masa tengah buka dan koyakkan kotak-kotak barang, ustaz rasa pelik. Tiap kali letak ke tanah, ada orang ambil kotak tu.

Letak lagi, ada juga orang ambil. Yalah, bagi kita, kotak yang dah jadi cebisan macam tu dah dikira sampah. Tak boleh nak guna lagi.

Tapi diorang ni berebut bukan main.

Ada budak yang ambil.
Ada ibu-ibu juga yang ambil.

Ustaz jadi hairan. Jadi tanya apa diorang buat dengan kotak tu.

Rupanya kotak tu dijadikan sebagai biskut. Dikoyak kecil-kecil. Dikunyah bagi makan pada anak-anak. Ada juga yang masak dan rebus. Ada yang makan macam tu saja.

Allahuakbar.

Kalau nak difikir dengan akal memang tak logik. Tapi itulah hakikat kehidupan yang mereka. Hidup dalam keadaan serba kekurangan yang terpaksa dilalui oleh ribuan rakyat Syria kesan dari peperangan. Kesannya bukan setakat makan masa setahun dua, tapi berpuluh tahun masih dalam keadaan yang sama.
.
.
Tuan puan yang dirahmati Allah.

Sama-sama kita jaga keharmonian hidup berbilang kaum di negara kita, Malaysia yang tercinta. Caranya mudah, jangan sakiti hati orang lain melalui lisan atau tulisan.
.
.
Hari ini Ustaz nak kongsi 5 tip mudah untuk jaga lisan dan tulisan agar tidak menyakiti hati orang lain. Tak kira berbeza agama dan bangsa atau dengan sesiapa saja kita berkomunikasi.

  1. Berfikir sebelum bercakap.

Pepatah melayu ada sebut, terlajak perahu boleh diundur. Terlajak kata, buruk padahnya.

Betul tuan puan, terlajak kata yang menyakiti hati orang lain sangat buruk kesannya. Ada orang yang putus saudara kerana kata-kata. Berhati-hatilah.. fikir dulu sebelum berkata-kata.

  1. Bercakap dengan Sopan.

Latih diri untuk sentiasa gunakan perkataan yang menghormati orang lain. Walaupun kadang-kadang kita tak setuju dengan pendapat orang yang sedang bercakap dengan diri kita. tidak bersetuju. Contohnya, gunakan “tolong” dan “terima kasih” dalam perbualan.

  1. Kawal Emosi.

Jangan Bercakap Ketika Marah. Dalam Islam pun kita diajar untuk tidak bercakap ketika marah. Kurangkan dulu rasa marah dengan duduk, berbaring atau ambil wudhuk.

  1. Dengar Sebelum Bercakap.

Luangkan masa untuk mendengar pendapat orang lain sebelum memberikan pendapat kita. Ini menunjukkan kita menghargai pandangan mereka dan mengurangkan salah faham.

  1. Elakkan generalisasi.

Apa maksud generalisasi? Maksudnya kita menganggap semua orang sama bila berhadapan dengan satu-satu perkara.

Seboleh mungkin, kita hadirkan rasa empati pada orang, cuba untuk faham dan bayangkan kita berada dalam keadaan mereka. inshaAllah, kita akan lebih fahami orang lain.
.
.
Tuan puan, kita berada di bulan Ogos. Bulan yang sinonim sebagai bulan kemerdekaan negara.

Mengambil semangat ini, sama-sama kita bebaskan diri dari sikap suka timbulkan kebencian. Fokus pada kesatuan.

Semoga kemakmuran dan ketenteraman Malaysia terus dinikmati bukan hanya oleh kita, tapi anak cucu dan generasi kita yang seterusnya.

Amin.

Sumber Facebook: UstazHanafiMalek

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *