Carilah circle yang baik.

Gambarkan jenazah kita berada di ruang tamu sedang ditutup dengan kain putih.

Siapakah yang berada di sekelilingnya?

Kalau kita tak direzekikan anak-anak yang membaca Al-Quran 30 juzuk atau mendoakan doa-doa kebaikan, yang datang itu adalah kawan-kawan kita yang macam mana?

Adakah yang hanya datang dengan auratnya yang terbuka, yang kurang sempurna?

Adakah yang hanya datang berbicara?

“Ingat tak lagi dulu kita pergi karaoke sama-sama dengan dia?”

Kalau kita mati zaman kita jahil dulu-dulu, mungkin itulah bicaranya.

Tapi tidak lagi kalau kita dimatikan oleh ALLAH dalam waktu yang sekarang ini. Sebab kita sudah memperbetulkan siapa yang bakal menziarahi jenazah kita.

Kita nak hari mati kita nanti diziarahi oleh ramai kawan-kawan yang mengaji majlis ilmu sama-sama. Dibacakan Al-Quran 30 juzuk oleh kawan-kawan.

Tak payah bergaduh isu sampai ke tak sampai.

Kita baca 1 juzuk dalam tempoh tak sampai seminggu, pahalanya untuk kita. Orang dalam pahala, doanya Insya-ALLAH diangkat oleh ALLAH. Orang dalam pahala, mudah ke Syurga ALLAH. Bila berada dalam Syurga ALLAH, apa yang kita nak minta pada ALLAH, dapat.

Antaranya,

“Ya ALLAH, aku tak nampak kawan aku si fulan bin si fulan. Boleh tak aku nak jumpa dia? Aku nak bawak dia sekali masuk dalam Syurga.”

Mudah-mudahan kita yang dipinta kepada ALLAH oleh sahabat kita, untuk dibawa sekali masuk ke dalam Syurga.

Sebab itu kita kena cari circle yang betul.


Dalam mencari circle yang betul, kadangkala kita diuji juga.

“Asyik pergi masjid siang malam tapi mengumpat orang jugak.”

“Siapa kak yang mengumpat tu?”

“Dialah.”

“Biarlah dia. Yang penting yang mengumpat tu bukan akak.”

………………………

“Pergi saja majlis ilmu tapi dia tu zalim dekat orang. Dok buat aniaya dekat orang. Hutang orang tak nak bayar.”

“Siapa kak?”

“Orang tu lah.”

Dok diam sudah.

Jika mampu, tegurlah.
Nasihat.

Yang penting jangan kita zalim pada orang.

Syukur jadi orang yang dizalimi kerana orang yang dizalimi doanya diangkat oleh ALLAH. Orang yang dizalimi dalam lindungan kasih sayang ALLAH. Dia tak buat dosa. Dia dizalimi.

Jangan menjadi orang yang menzalimi. Orang yang menzalimi ni ALLAH jauh dari dia. Malaikat rahmat tak bawa rahmat kasih sayang ALLAH kepada dia. Sebab dia menzalimi orang.

Berhentilah daripada membicarakan orang tu jahat, orang tu buruk.

Fokus dengan kebaikan apakah yang kita sudah buat?


Kita banyak bercerita tentang zalimnya orang buat pada kita. Tetapi kita terlupa nak cerita yang kita zalim pada diri kita sendiri.

ALLAH dah tunjuk jalan ke Syurga dan jalan ke Neraka. Jalan ke Neraka itu juga yang menjadi lazat bagi kita.

Saat bibir kita menyatakan nak Syurga, tetapi perangai kita tak ubah macam ahli Neraka.

Akui sahaja!

Sebagaimana taubatnya Nabi Adam AS,

رَبَّنَا ظَلَمْنَآ اَنْفُسَنَا وَاِنْ لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الْخٰسِرِيْنَ

“Ya RABB kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi.”


CARA UNTUK MENCAHAYAKAN HATI.
…………………………………………….

  1. Baca Al-Quran.

Itulah yang akan terangkan kubur kita di Alam Barzakh dan akan luaskan kubur kita yang sempit.

…..

  1. Mengurangkan makan.

Bila banyak makan, banyak tidur, banyak cakap, ia akan menggemukkan nafsu. Kita nak kuruskan nafsu dengan kurangkan makan, kurangkan tidur dan kurangkan cakap.

…..

  1. Mendirikan malam.

Kalau tak mampu sepanjang malam, paling kurang 2 rakaat Tahajjud.

…..

  1. Bermunajat pada waktu malam.

Bercakap-cakap dengan ALLAH. Beristighfar sehingga jatuh airmata keinsafan.

…..

  1. Mendampingi orang soleh.

Tengok cara dia bercakap, cara dia makan , cara dia menyantuni orang lain. Kita dapat ilmu.

…..

  1. Diam dari perkara yang tiada kaitan.

Benda yang tak ada kena mengena dengan kita, tak payahlah kita menyibuk. Tinggalkan.

…..

  1. Jangan menghina ahli maksiat.

Kalau kita tak boleh pimpin tangan si ahli maksiat ke jalan Akhirat, tinggalkan mereka. Sebab kita takut kita pula yang terikut rentak mereka.

Kita berpisah dengan dia bukan kerana benci tetapi kerana kita takut terjebak dengan dosa yang dia buat. Jadi tinggalkan ahli maksiat dan jangan hina ahli maksiat. Hari ini kita hina dia, kita tak tahu ALLAH Maha Membolak Balikkan hati. Besok dia mati Husnul Khotimah, kita yang perasan baik sangat ni, Na’uzubillahi Min Zalik.

Kita tak tahu siapa yang akan diangkat oleh ALLAH dalam darjat yang tinggi.

…..

  1. Tidak berlebih-lebihan dalam urusan manusia.

Kalau kita sudah mengusahakan, jangan berlebih-lebihan sebab takdir sudah berada dalam perancangan ALLAH yang terbaik.

Kita plan A tapi yang jadi B. Maka yakinlah yang terbaik untuk kita adalah B.

Terus bersangka baik kepada ALLAH. ALLAH sedang siapkan sesuatu yang lebih indah daripada perancangan kita.

…..

  1. Makan makanan yang halal.

Nak hidup bercahaya, makan makanan yang halal.


[Sebahagian tazkirah dari Ustazah Muzayyanah dalam Kuliah Dhuha – Ya ALLAH, Kurniakan Bagiku Hati Yang Bercahaya. Alhamdulillah. Jazakillahu Khair Ustazah.]

Wallahu’alam.
Semoga bermanfaat.

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَ لآ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ

لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّٰهِ ٱلْعَلِيِّ ٱلْعَظِيمِ‎

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَىٰ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰ آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

yusnizayaziz

ustazahzai

27 Jamadil Awwal 1446H
29 November 2024