SAUDARA MARA TAK JADI DATANG BERAYA: SEDIH, KECEWA & TERKESAN

Hari raya sepatutnya menjadi masa menggembirakan, namun ada kalanya ia juga menguji hati. Bayangkan, kita dah bersungguh-sungguh memasak, menghias rumah, dan menanti dengan penuh harapan saudara mara yang berjanji nak datang beraya. Tapi bila malam tiba, pukul 10 malam, masih tak ada kelibat mereka. Bila call, dengan tenang mereka jawab, “Tak jadi datang.”

Rasa hampa, kecewa, dan sedih pastinya terpalit. Ramai yang mungkin memandang ringan situasi ini dan berkata, “Alah, tak payah sedih-sedih, sedekahkan je makanan tu kat surau.” Tapi hakikatnya, bagi tuan rumah yang dah bersusah payah, kata-kata itu tidak meredakan rasa kecewa.

KEPENTINGAN MENEPATI JANJI

Islam sangat menekankan adab dalam memenuhi janji. Rasulullah SAW bersabda:

“Tanda orang munafik ada tiga: Apabila berbicara, ia berdusta; apabila berjanji, ia mengingkari; dan apabila diberi amanah, ia berkhianat.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Bayangkan perasaan tuan rumah yang sudah bersiap siaga menyambut tetamu, tapi akhirnya menunggu tanpa hasil. Janji yang tak ditepati bukan sekadar mengecewakan, tetapi juga menimbulkan rasa tidak dihargai. Apatah lagi, ketika mengetahui tetamu tersebut sebenarnya berkunjung ke rumah orang lain.

RASA TERPINGGIR & RENDAH DIRI

Tidak dapat dinafikan, ada segelintir yang memilih rumah siapa yang nak diziarahi berdasarkan status, pangkat, atau kedudukan. Rumah saudara yang lebih berada atau berpangkat tinggi, sering menjadi pilihan. Rumah kita? Jauh, katanya. Sedangkan bila kita buat majlis, berkali-kali kita datang ke rumah mereka tanpa berkira soal jarak atau kepenatan.

Tuan rumah yang kecewa bukan kerana makanan yang tak habis, tapi lebih kepada rasa tidak dihargai. Penat lelah menyediakan juadah terasa sia-sia. Kadang-kadang, bukannya susah pun nak maklumkan lebih awal kalau tak jadi datang. Sekurang-kurangnya, tuan rumah tak terkejut dan boleh buat perancangan lain.

MELENTUR BULUH BIAR DARI REBUNGNYA

Sikap ini juga sering datang dari didikan ibu bapa. Anak-anak akan belajar dari contoh yang diberikan oleh ibu bapa. Kalau dari kecil sudah dibiasakan tidak menepati janji atau memilih bulu dalam berkawan, besar kemungkinan anak-anak akan terbawa-bawa sikap tersebut sampai dewasa.

Islam mengajar kita menghargai persaudaraan. Datang berziarah bukanlah soal makanan yang dihidangkan, tetapi lebih kepada mengeratkan silaturahim dan menghormati jemputan. Janganlah kita terlalu memilih dalam berkawan atau berkunjung. Hormati semua tanpa mengira status.

HARGAILAH PERSAUDARAAN & SILATURAHIM

Hargai kawan yang tetap sudi berkunjung walaupun rumah kita biasa-biasa sahaja. Kawan yang tidak berkira walaupun jarak jauh. Mereka inilah yang benar-benar menghargai persahabatan.

Jika kita pernah berada dalam situasi ini, jangan mudah berkecil hati. Sedekahkan makanan kepada jiran atau orang yang memerlukan. Jadikan iktibar agar kita tidak melakukan hal yang sama kepada orang lain. Biar kita yang menjaga adab dan menghormati persaudaraan, insyaAllah ganjarannya tetap ada.

SEBELUM MENYESAL, FIKIRKAN KESAN PERBUATAN

Aidilfitri bukan sekadar perayaan makan-makan. Ia adalah masa untuk memupuk kasih sayang, menyambung silaturahim, dan saling menghargai. Jangan biarkan kebiasaan buruk memilih tempat ziarah merosakkan ukhuwah kita.

Kadang-kadang, manusia tidak tahu menghargai hingga kehilangan. Jangan sampai nanti, bila tiada lagi jemputan ke rumah kita, baru kita sedar betapa pentingnya menjaga hubungan sesama insan.

Semoga kita lebih peka terhadap perasaan orang lain dan lebih berhati-hati dalam menjaga adab dan akhlak, terutamanya ketika berziarah. Jangan sampai kerana sedikit kesilapan, kita hilang kawan dan saudara yang selama ini ikhlas menerima kita.

___

Sumber Telegram : Ceramah Ustaz & Ustazah

April, 2025/1446H😊

https://wa.me/60142767238?text=ebookCeramah
UTM Open Day