Bagaimana Solat Mempengaruhi Keseluruhan Hidup Kita?

Solat bukan sekadar ibadah. Solat itu nadi kehidupan kita. Solat bukan hanya tentang patuh kepada perintah, tapi tentang membina hubungan dengan Allah. Hubungan antara seorang hamba dan Tuhannya.

Bila seseorang jaga solat, seluruh hidupnya akan berubah. Sebab apa? Sebab solat bukan hanya mencuci dosa tapi SOLAT itu menyusun kembali hati yang kusut berserabut.

Setiap kali sujud, kita sebenarnya sedang meletakkan ego, tekanan, luka dan beban dunia di tanah. Dan saat dahi menyentuh sejadah, itulah detik kita benar-benar menjadi hamba yang sebenar-benar hamba, lemah dan sangat memerlukan.

Solat adalah waktu istimewa yang Allah berikan untuk kita ‘berhenti sekejap dari dunia’.

Saat dunia menolak kita, solat membuka ruang untuk kita.

Saat manusia tidak memahami diri kita, solat menjadi tempat kita meluah segalanya.

SOLAT adalah ruang pertemuan di mana seorang hamba yang hina diizinkan menghadap Tuhan Yang Maha Tinggi tanpa perantaraan, tanpa halangan dan tanpa perlu menunggu giliran.

Lima kali sehari Allah beri kita peluang untuk kembali pulang. Tapi sejauh mana kita hadir dengan hati?

Solat mengubah cara kita berfikir. Orang yang menjaga solat, dia akan mula berfikir dengan cara yang berbeza sebab setiap kali dia berdiri dalam solat, dia sedang berhadapan dengan realiti sebenar bahawa dia hanyalah hamba dan Allah adalah Pemilik segala yang dia miliki.

Hati yang selalu kembali kepada Allah akan terbiasa melihat dunia dengan mata akhirat. Dia tidak mudah dikuasai amarah. Dia tidak mudah mengikut perasaan sebab dia tahu, sebentar lagi dia akan kembali sujud dan di saat itu, dia perlu membawa hati yang bersih untuk berjumpa Allah Ta’ala.

Solat melatih kita untuk sentiasa berhenti sebelum melampaui batas. Solat mengajar kita menilai sebelum bertindak, menimbang sebelum berkata sebab kita tahu, hidup ini bukan untuk buat sesuka hati. Hidup ini ada Tuhan yang memerhati. Solat sentiasa menjadi peringatan kepada diri.

Berapa ramai yang hidupnya nampak bahagia tapi hatinya kosong?

Solat ialah tempat jiwa kembali bernafas. Solat adalah ruang di mana kita tidak perlu berpura-pura kuat. Di hadapan manusia, kita mungkin sembunyikan kesedihan tapi di hadapan Allah—kita boleh lepaskan semuanya.
Air mata. Rasa takut. Harapan. Kekecewaan. Semuanya.

Dan Allah tidak pernah bosan mendengar. Dia tidak pernah menolak tangisan hamba-Nya. Dalam setiap sujud, Dia menanti.

Orang yang menjaga solat hatinya lebih tenang. Bukan sebab kehidupan dia mudah tapi sebab dia tahu ke mana dia harus pergi bila hidup terasa susah.

Solat membentuk akhlak dan menundukkan nafsu. Kalau hati dijaga dalam solat, lidah pun akan dijaga. Kalau tubuh tunduk ketika rukuk, ego akan lebih tunduk dalam kehidupan.

Kalau dahi yang mulia boleh menyentuh tanah kerana Allah ketika bersujud, maka tak layaklah hati itu bersikap sombong terhadap manusia lain.

Solat yang sebenar bukan hanya melatih gerakan tapi membentuk hati. Solat tidak berhenti pada salam. Solat terus hidup dalam akhlak selepasnya. Solat bukan hanya untuk menyucikan dosa tapi menyucikan perangai dan akhlak kita.

Sebab itu Allah berfirman:
“Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.” (Al-‘Ankabut: 45)

Kalau kita masih ringan lidah mencela, mudah tangan menyakitkan dan ringan kaki menuju maksiat, kita perlu bertanya pada diri sendiri:
“Solatku ini, adakah aku lakukan dengan hati?”

Solat tempat kita berlindung, bukan sekadar tempat memohon. Solat bukan hanya tempat kita minta rezeki, minta jodoh, minta syurga tapi SOLAT juga tempat kita tenang bersama Tuhan yang faham semua isi hati kita.

Kadang, kita tak tahu apa nak minta. Kita cuma sedsr yang kita penat. Maka sujudlah. Tak perlu kata apa-apa. Cukup hanya dengan sujud. Allah faham, bahkan apa yang ada dalam diam kita pun, Allah Maha Memahami.

Itulah indahnya SOLAT.
Allah akan menyambut kita, tanpa pernah jemu.

Tapi apa yang terjadi bila solat mula ditinggalkan?

Bila solat tidak lagi dijaga, kita sebenarnya sedang melepaskan pegangan hidup kita satu demi satu. Hati jadi gelisah tanpa sebab. Dosa jadi ringan. Mudah melakukan dosa. Maruah diri mula hilang. Jiwa mula kosong.
Segalanya jadi tidak tenang, walaupun hidup nampak “ok” di mata orang.

Bila solat ditinggalkan, hubungan kita dengan Allah semakin jauh.
Bila hubungan kita jadi semakin jauh dari Allah Ta’ala, hidup kita mula terasa berat sebab kita cuba harungi dunia tanpa bergantung kepada Tuhan. Itulah beban yang terlalu besar untuk ditanggung.

Solat bukan untuk orang yang baik atau orang alim agama. Jangan rasa perlu jadi baik dulu baru mula solat. Jangan tunggu hati bersih baru nak bersujud.

Solatlah…
walaupun kita sedang bergelut dengan dosa.

Solatlah…
walaupun kita belum kuat untuk tinggalkan maksiat.

Bermula dari solat itulah datangnya kekuatan untuk berubah. Allah tidak suruh kita jadi sempurna. Allah cuma mahu kita kembali. Allah akan sambut siapa pun yang pulang walau dalam keadaan paling berdosa sekali pun.

Solat bukan beban, solat itu hadiah. Solat adalah kasih sayang Allah kepada kita. Solat adalah panggilan cinta lima kali sehari untuk kita berhenti, mengadap, dan kembali. Solat bukan tekanan tapi SOLAT itu kelegaan. Solat bukan beban tapi SOLAT itu penyembuhan.

Bila kita benar-benar jaga solat, kita sedang jaga keseluruhan hidup kita. Sebab kehidupan yang ada Allah di dalamnya itu adalah HIDUP yang paling cukup walau apa pun yang hilang di dunia.

.

seketoi sha🧸
kawan Facebook awak.