Dalam dunia hari ini, orang yang kuat selalunya disangka yang paling bising.
Yang banyak bercakap dianggap berani.
Yang selalu ke depan dianggap berpengaruh.
Padahal realitinya, tidak semua kuasa datang dengan suara.
Ada orang masuk ke dalam bilik tanpa mencari perhatian, tapi tetap diperhatikan.
Tak banyak bercakap, tapi bila bersuara, orang senyap.
Tak pamer apa yang dia buat, tapi hasil kerjanya orang lain yang sibuk ceritakan.
Itulah yang orang hari ini panggil silent aura.
Bukan aura pelik-pelik.
Bukan mistik.
Tapi kesan daripada kawalan diri, kestabilan emosi dan kematangan berfikir.
Orang yang ada silent aura biasanya bukan jenis spontan melatah. Dia lebih suka memerhati. Membaca situasi. Menimbang sebelum bertindak. Sebab itu dia jarang salah langkah. Dan sebab itu juga, dia jarang masuk drama yang tak perlu.
Dalam psikologi, individu begini biasanya mempunyai tahap kesedaran diri yang tinggi. Carl Jung, tokoh psikologi terkenal, menyebut bahawa manusia yang introspektif cenderung memproses maklumat secara mendalam.
Mereka tidak reaktif, kerana mereka faham, tak semua perkara perlukan respon, dan tak semua provokasi layak dilayan.
Tenangnya orang begini sebenarnya mengganggu ego sesetengah orang.
Sebab dia tidak mudah terusik.
Tidak terpancing.
Dan tidak perlu membuktikan apa-apa.
Dalam kajian kecerdasan emosi, Daniel Goleman menjelaskan bahawa individu yang mampu mengawal emosi bukan sahaja stabil dalam diri, malah memberi kesan kepada sekeliling. Emosi itu menular. Tenang itu menular. Dan kehadiran yang stabil boleh menenangkan satu ruang tanpa sepatah kata.
Sebab itu orang senang cerita pada dia.
Bukan kerana dia banyak nasihat.
Tapi kerana dia tidak menghakimi.
Dia dengar tanpa memotong.
Dia hadir tanpa merendahkan.
Dia faham tanpa perlu menunjuk pandai.
Dan yang paling menarik , kesan orang begini biasanya hanya disedari bila dia tiada.
Waktu dia ada, orang rasa biasa.
Bila dia pergi, baru ruang terasa lain.
Sunyi. Longgar. Tak seimbang.
Bukan sebab dia buat bising sebelum ini.
Tapi sebab dia selama ini menjadi penenang tanpa disedari.
Diam yang begini bukan kelemahan.
Ia pilihan.
Ia disiplin.
Ia tanda seseorang itu tahu nilai dirinya dan tahu ke mana perlu dibazirkan tenaga dan ke mana tidak.
Dalam dunia yang semua orang berlumba mahu bercakap,
orang yang tahu bila perlu diam sebenarnya sudah jauh ke depan.
Kerana yang benar-benar kuat,
tak perlu jerit untuk didengar.
Yang benar-benar berisi,
tak sibuk menunjuk untuk diakui.
Dan kadang-kadang,
diam itulah suara paling kuat dalam satu bilik.
- Nizam Dzulkifli
