“Cakap Bolehlah, Kau Tak Rasa”

“CAKAP BOLEHLAH. KAU TAK RASA”

Bila kita ada masalah. Itulah dialog yang biasa kita ungkapkan. “Kau takkan faham. Kau cakap bolehlah, sebab kau tak rasa”. Adakala ia datang dalam bentuk rupa manusia – melihatnya, hati jadi geram dan marah.

Di lain masa, ia menjelma berwajahkan pintu rumah kita – rasa nak hentak dan tendang saja!
Kekadang pula, ia tiba umpama kereta jiran yang ‘parking’ menghalang jalan di hadapan rumah – ia mengundang amarah yang tidak kita jangka.

Banyaknya masalah! Hujan lebat pun masalah! Panas terik pun masalah! Pergi kerja, masalah! Duduk saja pun masalah.

Aduhailah, manusia-manusia.

Manakan nak kebah demam masalah, selagi kamu tak berhenti menganggapnya sebagai masalah.

Mana nak tenang hidup di dunia, bila kamu sendiri yang mencari, mencipta dan merumitkan masalah!

“Ah! Kau cakap besar senanglah. Kau tak ada masalah. Tak macam aku…,”

Tiada bumi yang tak ditimpa hujan. Dan kalau memang terik mentari mencetus kemarau yang panjang, di situlah ujian untuk sesetengah orang. Jadi, kita tidak berseorangan dalam menghadapi pelbagai ranjau dan dugaan.

Bukan kita seorang yang punya masalah dan terpaksa menghadapinya dengan bersusah-payah.

Cukup-cukuplah merasakan hanya diri kita saja yang teruk diuji dengan masalah yang tak sudah-sudah. Sebenarnya, tiada istilah hanya hidup kita seorang diuji. Walau acap kali, kita rasakan asyik-asyik kita saja yang diuji. Sedang hakikat sebenar, tidak begitu.

Semua orang ada ujian hidup masing-masing. Ada masalah yang tersendiri. Tiada yang lebih, tiada yang kurang.

Tiada yang ‘malang’ kerana diuji dan tiada yang ‘bertuah’ kerana terlepas daripada cengkaman masalah tersebut.

Dan, sudah tentu bukan tugas kita untuk membuat perbandingan – ‘masalah aku lagi berat dan dia pula yang ringan-ringan’. Allah Maha adil dalam pentadbiran-Nya.

Demikian juga, Allah mengetahui kesanggupan serta limitasi setiap manusia bergelar hamba-Nya. Tidak perlu kita membuang masa mempersoalkan qada’ dan qadar yang sudah tertulis untuk kita.

Melihat orang lain tersenyum sedang hati kita menangis, jangan lekas berkesimpulan dirinya tidak diuji dengan masalah. Kita ini tidak akan pernah tahu sudah berapa banyak air matanya yang jatuh.

Beruntunglah hidup insan, yang sedar Allah sedang beri ujian kepadanya. Dan kesedaran itulah motivasi untuk lebih positif, bertahan dan bersabar dalam ‘berurusan’ dengan takdir-Nya.

Masalah itu ada – lain orang, lainlah perisanya.

Benar. Adakalanya masalah itu sukar untuk dielakkan. Ia akan datang kepada kita. Lain orang, lainlah isunya. Jangan hairan bila ada yang menangis tujuh hari tujuh malam, menolak untuk makan dan sudah tidak ‘berselera’ untuk hidup lagi semata-mata kerana kematian anak kucing.

Kedengaran tidak logik bukan? Tapi ia benar berlaku.

Janganlah kita cepat menghukum atau menghakiminya sesuka hati kita. Sungguh, kita sebenarnya tidak tahu serupa apa yang dia rasa.

Manusia, tidak perlu sebab yang besar atau serius pun untuk berdukacita. Kadang kerana hal-hal remeh saja pun cukup memberikan impak yang besar dalam hidupnya. Seperti kisah si kawan yang kematian kucing itulah. Isu yang kecil dan remeh bagi kita, tapi itulah tekanan terbesar bagi dia.

Dalam dia melayan emosi kerana anak kucingnya mati, mungkin ada orang lain yang menangis kerana ayahnya sakit tenat. Ada insan lain yang dirundung celaru dan buntu lantaran tak senang duduk kerana dibebani dengan masalah hutang.

Ada orang lain, yang bersedih-sedih kerana mak ayahnya baru bercerai. Tidak kurang juga, yang menderita hati kerana begitu tertekan dengan kemiskinan.

Mungkin kita-kita ini pula terbawa-bawa layankan sedih, seusai menonton filem syurga yang tak dirindukan.

Pendek kata, setiap insan pasti lalui kesulitan dalam hidup. Kecil atau besar, remeh atau serius, boleh selesai atau tidak – itu bakal ditentukan oleh individu itu sendiri.

Bagaimana dia memandang sesuatu isu itu sebagai masalah dan apa usahanya dalam mencari solusi terhadap permasalahan yang dihadapinya.

Jadi, masalah itu sebenarnya lumrah. Biasa. Semua alami. Yang merumitkan, yang menyerabutkan, yang menjadikan ia bertambah teruk bukanlah masalah yang sedang kita hadapi.

Tapi kitalah yang menjadikan diri kita sebagai punca dan faktor bertambah rumitnya sesebuah masalah.

Ya, kita! Diri sendiri!

Ubahlah. Cukup-cukuplah masalah yang sudah sedia ada. Janganlah kita menjadi ‘masalah’ terhadap diri kita sendiri. Bijaklah mengendalikan emosi. Jangan terbawa-bawa dengan amarah, sedih mahu pun dukacita yang keterlaluan hingga sukar untuk kita mengawalnya.

Perbanyak zikir dan istighfar untuk menjemput ketenangan dalam diri. Stres yang sedikit, sebenarnya mampu menyegarkan prestasi seseorang.

Memang itu tujuan Allah berikan ujian. Melatih diri kita untuk mahir berinteraksi dengan cabaran dan memikirkan solusi yang terbaik. Bukannya mempersoal mengapa asyik-asyik diri kita saja yang menjadi mangsa keadaan.

Ingatlah diri! Kesenangan atau kesusahan, kedua-duanya ujian.

Lain orang, lainlah kemampuan. Allah tahu, siapa layak diuji dengan kesusahan dan siapa yang mampu ‘bersabar’ mengendalikan kesenangan.

Buktinya, ada orang yang hidupnya susah – namun, tetap bahagia kerana mampu bersyukur dan berasa kecukupan. Ada juga orang kaya, tapi punya kerendahan hati dan sangat dermawan.

Oleh itu, pandanglah masalah sambil muhasabah – apa pun jua ‘perisa’ masalah yang kau hadapi, jalani ia dengan sebaik-baik cara.

Moga kita mampu menjadi manusia berinisiatif yang produktif dan bijaksana mengendalikan apa pun masalah atau ujian pada hari-hari mendatang.

Wallahu’alam

Sumber:

Sdr Syamsul Debat
Personaliti TV Al-Hijrah
Presiden ADAM
Duta Rasmi HB Travel dan KRS Travel

#adminigfanpagefacebookSSD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *