JANGAN TAKUT UNTUK BERUBAH

JANGAN TAKUT UNTUK BERUBAH

Apabila kita berubah untuk kebaikan, antara cabaran yang kita hadapi adalah sindiran dari orang di sekeliling kita.

Saya nak kongsi pengalaman agar kita faham cabaran ini. Semalam saya disindir oleh salah seorang orang kuat PPNJ yang saya bagi undi pada pemilihan lepas. Beliau lalu depan saya, bersalam tanpa senyum.

“Kau ni dah pakai kopiah, nak jadi macam ustaz pulak”. Saya tidak menjawab. Hanya senyum.

Oleh kerana nada beliau yang agak sinis, saya percaya ia adalah sindiran yang menggambarkan rasa tidak suka dengan penampilan baru saya. Patut pun, ustaz yang berceramah hanya pakai songkok hitam. Saya pula berkopiah putih.

Saya anggap ini satu cabaran. Biasalah bila kita mahu berubah ke arah yang lebih baik, pasti ada yang tidak gembira, padahal saya bukannya mengganggu sesiapa. Saya pun tak pernah minta apa-apa bantuan dari beliau.

Perubahan yang saya lakukan ini adalah untuk saya sendiri agar lebih ingat yang saya perlu berubah. Saya telah pun menunaikan haji. Umur saya masuk 50 tahun. Ramai kawan-kawan sudah pergi tak kembali. Saya nak apa tunggu lagi. Saya tak mahu bila saya sudah sakit atau terlalu tua, baru ingin memulakan perubahan. Pada saya itu sudah agak terlambat.

Saya pun tak kisah kalau ada yang tidak mahu berkawan dengan saya atau meninggalkan saya kerana perubahan yang saya buat. Pada saya, ia ibarat apabila kita berubah jadi lebah, ramai rakan langau yang meninggalkan kita sebab masih suka berkunjung ke tong sampah, sedangkan kita mula mengunjungi taman bunga. Kita tak rugi.

Saya mahu memperbaiki diri. Menyucikan hati. Banyakkan persediaan untuk kematian yang pasti.

Betul. Mahu berubah tidak perlu sampai pakai kopiah putih macam saya. Tapi kopiah putih ini penting untuk saya memulakan perubahan. Itu cara saya untuk istiqamah. Sekali lagi,itu cara saya.

Jiwa saya sekarang lebih tenang. Tidak lagi mengharapkan undi dan rezeki dari orang. Saya hanya mengharapkan Allah memberikan sahabat, kesihatan dan rezeki yang terbaik. Semoga saya kekal dalam hidayah NYA.

#pengalamankopiahputihdrzubaidi
Sumber: Dr. Zubaidi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *