Kuliah Subuh pagi tadi, ustaz cerita pasal rezeki. Tapi ada satu bahagian yang buat hati saya terus rasa nak call mak ayah.

“Kadang rezeki kita ni bukan sebab kita hebat. Tapi sebab ada doa dari ibu ayah yang Tuhan dengar lebih dulu dari segala usaha kita.”

Ustaz diam sekejap. Suasana dalam masjid pun senyap.

“Kita usaha macam macam. Tapi rupanya yang buka jalan tu bukan resume kita, bukan skill kita, tapi doa ibu, atau ayah kita yang diam-diam sebut nama kita dalam doa-doa mereka.”

Dan ustaz kongsikan 3 amalan untuk jaga hubungan ni:

  1. Jangan putus doakan mereka, walau mereka dah tiada. Doa anak soleh itulah yang akan jadi salah satu rezeki yang terus mengalir buat kita. Dan lebih kita doakan mereka, lebih Allah mudahkan urusan kita pula.
  2. Selalu minta mereka doakan kita. Malu? Jangan. Doa ibu ayah bukan biasa-biasa. Kadang satu hajat dari mulut mereka boleh jadi sebab pintu rezeki terbuka luas tanpa kita sangka.
  3. Jangan kecewakan hati mereka. Kalau kita pernah buat silap, cepat-cepat minta maaf. Jangan tunggu raya. Jangan tunggu mereka sakit. Sebab bila hati mereka terguris kadang itu juga sebab kenapa rezeki kita tersekat lama.

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًا

“Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya kamu tidak menyembah selain Dia, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra’, 17:23)

Kemudian beliau sambung dengan hadith Nabi SAW,

ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ لَا تُرَدُّ: دَعْوَةُ الْوَالِدِ لِوَلَدِهِ…

“Tiga doa yang tidak akan ditolak: doa orang tua kepada anaknya…”(Hadith Riwayat al-Tirmizi: 1905)

Kawan-kawan. Kalau hari ni rezeki kita rasa sempit cuba tanya, berapa kali kita doakan mak ayah dalam sehari?
Dan bila kali terakhir kita minta mereka doakan kita?

Kadang kita usaha kuat tapi doa mereka lagi kuat.
Kadang kita buat semua benda tapi berkat mereka yang menjadikan hasilnya luar biasa.

Jangan lupa, mungkin kejayaan kita hari ini adalah hasil air mata ibu, dan sujud malam seorang ayah yang tak pernah kita tahu.

Begitulah. Doa buat mereka yang dah tiada. Minta doa jika mereka masih ada dengan kita.

Arif Sukri
Hargai, sayangi, doakan mereka.

Sumber FB : Arif Sukri

Segala harta benda dan kemewahan material yang kita miliki seperti pakaian, kenderaan, rumah, perhiasan, dan lain-lain. Walau secantik mana pun, seberapa mahal pun, atau sebanyak mana pun harta yang kita kumpul, semuanya akan mengalami kemusnahan, usang, rosak, atau akhirnya ditinggalkan apabila kita meninggal dunia. Kita tidak akan membawa harta-benda ini ke alam kubur.

Satu-satunya “harta” atau amalan yang akan terus memberikan manfaat dan pahala yang berterusan, bahkan selepas kita tiada, adalah sedekah. Sedekah di sini bukan hanya terhad kepada wang ringgit, tetapi juga merangkumi ilmu yang bermanfaat yang diajarkan, usaha yang membantu orang lain, masa yang diluangkan untuk kebaikan, dan segala bentuk sumbangan yang ikhlas untuk kesejahteraan sesama manusia dan agama. Pahala dari sedekah ini akan terus mengalir dan menjadi bekalan kita di akhirat, kekal abadi.

Jangan terlalu terpaut pada kemewahan dunia yang sementara. Sebaliknya, ia mendorong kita untuk lebih fokus kepada amalan kebajikan dan sedekah sebagai pelaburan jangka panjang untuk kehidupan akhirat.

Sumber FB: Mohd Salleh

  1. Bacalah Al Quran kerana sesungguhnya ia akan datang kepada kita pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat pada hari kiamat kepada orang yang membacanya.
    (HR Muslim)

Al Quran berkata…
“Jadikan aku sahabatmu di dunia, maka akan aku jadikan kamu sahabatku di akhirat nanti.”

  1. Seandainya hati kita bersih, maka kita tidak akan pernah merasa bosan dari membaca Al Quran. Seluruh Al Quran itu adalah kebaikan. Membacanya adalah kebaikan, menghafalnya adalah kebaikan, memahaminya adalah kebaikan, mengamalkannya juga adalah kebaikan. Semakin banyak waktu dengan Al Quran, kita semakin berlama-lama dengan kebaikan. Semakin lama semakin baik.
  2. Al Quran itu, kita tidak mampu mengubah isinya namun isi Al Quran boleh mengubah hidup kita. Al Quran akan menghalang kita daripada perbuatan maksiat. Tetapi jika kita selalu bermaksiat, maka maksiat itu akan menghalang kita daripada Al Quran.
  3. Al Quran itu seperti sebuah utusan kehidupan. Kamu bertanya, ia menjawab. Kami mendengarkab, ia memberikan kita suatu kepuasan. Jiwa bahagia akan menjadi teman hidup bagi mereka yang suka membaca Al Quran.
  4. Sangat penting kita merutinkan bacaan Al Quran dalam keseharian kita. Di antara sebab paling utama bertambahnya keikanan seseorang adalah membaca Al Quran dan menyemak bacaannya. Maka mari kita berusaha menjadikan AlQuran itu sebagai bacaan rutin yang wajib kita baca setiap hari walau sesibuk apa sekalipun. Nescaya kita akan mendapat ketenangan, kenyamanan, keyakinan kepada Allah dan mendapat taufik darinya.

Sebagaimana Allah berfirman…
“Dan jika dibacakan Al Quran kepada orang yang beriman, maka iman mereka akan bertambah kuat.”(Al Anfal: ayat 2)

“Kami tidak menurunkan Al Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah.”
(Surah Tahaa ayat 1-2)

Allah berfirman..
“Dan Kami turunkan dari Al Quran ini sesuatu yang merupakan penyembuh dan rahmat buat orang-orang mukmin.”
(Al Isra ayat 82)

  1. Jika kita membaca Al Quran tetapi tidak dapat menikmati kesenangan dan merasa kesusahan padahal Al Quran ada di hadapannya, maka pasti mereka tidak dapat menikmati lazatnay Al Quran.
    Buka hati kita untuk Al Quran, ia suatu mukjizat agung. Ia kenal siapa sahabat sejatinya, maka ia akan menampakkan rahsianya kepada sahabatnya. Maka jadilah orang yang selalu bersahabat dengan Al Quran.
  2. Al Quran itu sumber ketenangan hati iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenang tenteram.
    (Al Ra’d ayat 28)

Al Quran itu mengandungi petunjuk, rahmat, nasihat dan penawar.

Allah menyebutkan…
“Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Rabbmu(Al Quran) dan penyembuh bagi penyakit-penyakut di dalam dada (hati manusia) dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
(Surah Yunus ayat 57)

  1. Seperti biasanya, membaca Al Quran itu menjadi rutin harian. Tidak lengkap terasa hidup jika tidak membacanya. Mesti mencari masa untuk kalam Allah ini. Selepas solat, selalu merutinkan empat halaman Al Quran. Ada juga waktu tidak sempat kerana kesibukan kerja. maka carilah waktu lain. Mungkin ketika di dalam kereta, ketika menunggu di kaunter, ketika sebelum tidur. Paling utama, sempatkan membacanya ketika sebelum kita merebahkan badan di pembaringan. Paling tidak membaca surah Al Mulk.

Sumber FB : FaridahAlu

5/7/2025

Pernah dengar nama Hiroyuki Sanada? Seorang pelakon Jepun. Tapi kali ni, bukan lakonan dia yang aku nak cerita. Tapi satu kata-kata dia yang padu dan buat aku termenung lama…

“Ada orang nak sangat ada kolam renang kat rumah. Tapi orang yang dah ada kolam tu, kadang seminggu pun tak jejak air. Berhabuk je memanjang…”

Macam kena batang hidung sendiri, kan?

Cerita dia begini…

Satu hari aku duduk minum kopi dengan kawan lama. Tengah borak pasal hidup dan impian. Aku cakap:

“Aku nak sangat ada rumah besar, kolam renang sendiri. Best weh, tak payah pergi hotel.”

Dia senyum. Perlahan-lahan dia cakap, “Aku ada kolam kat rumah. Tapi aku rasa kali terakhir aku terjun, masa anak aku umur 5 tahun. Sekarang dia dah masuk tingkatan 2.”

Terkedu.

Kata Hiroyuki lagi…

“Orang yang kehilangan orang tersayang, rasa kosong. Tapi yang masih ada mak ayah, suami isteri, anak-anak… kadang lebih banyak merungut daripada menghargai.”

Terus teringat seorang kawan. Hari-hari update status rindu mak dia yang dah tak ada. Tapi ada juga kawan lain, yang mak ayah masih sihat, tapi rasa berat nak call 5 minit pun.

Dan lagi…

“Yang bujang menangis nak pasangan. Yang dah kahwin, kadang asyik mengeluh pasangan tak faham.”

Lucu tapi betul. Macam kita ni selalu fikir ‘rumput jiran lagi hijau’. Tapi hakikatnya… rumput tu hijau sebab dia siram dan jaga tiap hari.

“Yang lapar, sanggup bayar apa saja untuk sepinggan nasi. Tapi yang kenyang, komplen lauk tak sedap.”

Terasa.

Kadang kita lupa, ada orang tengah kira syiling nak beli nasi lemak, tapi kita buang sebab sambal terlebih manis.

Dan yang paling kena…

“Yang tak ada kereta, berangan nak ada. Yang dah ada, asyik banding dengan kereta orang lain.”

Macam tak pernah puas.

Moral dia satu jer.

Belajar hargai apa yang kita ada sekarang. Sebab mungkin benda yang kita anggap biasa-biasa, sebenarnya luar biasa di mata orang lain.

Ada orang sanggup tukar tempat dengan kita, kalau boleh.

Kadang kita cari bahagia terlalu jauh, sedangkan dia duduk diam-diam kat depan mata.

Jadi…

Kalau kau tengah baca ni, tarik nafas. Tengok sekeliling.

Jangan tunggu kehilangan baru nak belajar menghargai. Syukurlah.

Mohd Firdaus Mohd
1 Julai 2025, Selasa

syukurselalu

Sumber FB : Mohd Firdaus Mohd

Rehat Bukan Salah: Bila “Buang Masa” Jadi Jalan Menuju Hikmah

Ada masa, kita duduk diam sekejap…
Tiba-tiba rasa bersalah.

Bukan buat maksiat.
Bukan leka berjam-jam.
Cuma baring 10 minit selepas solat.
Atau termenung sekejap lepas penat kerja.

Lalu datang suara dalam kepala,
“Eh, kenapa aku malas sangat ni? Banyak kerja belum siap.”

Kita hidup dalam zaman yang terlalu mengagungkan kesibukan.
Semakin sibuk, semakin kita rasa kita berguna.
Tapi, Quran dan Sunnah ajar kita sesuatu yang lain.

  1. Tafakkur Bukan Buang Masa
    Allah sebut tentang orang yang bijak bukan kerana mereka banyak kerja.
    Tapi kerana mereka banyak fikir.

“…dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi…”
(Surah Ali ‘Imran, 3:191)

Tafakkur ini tak berlaku dalam kesibukan.
Ia lahir bila kita beri ruang untuk diam.
Ruang untuk merenung.
Ruang untuk melihat hidup dari sisi yang lebih dalam.

  1. Nabi SAW Ajarkan Kita Erti Sunyi
    Sebelum wahyu turun, Nabi SAW menyendiri di Gua Hira’.
    Tiada nota. Tiada laptop. Tiada tugas.

Yang ada hanyalah langit, batu, dan sunyi.
Tapi di situlah bermulanya perubahan dunia.

Dalam hidup kita, mungkin “gua Hira’” itu ialah masa kita termenung di balkoni, atau masa kita duduk sekejap dalam kereta, tanpa buka radio.

Ia bukan masa sia-sia. Ia adalah ruang menunggu hidayah masuk ke dalam hati.

  1. Rehat Itu Sunnah
    Ada sahabat yang terlalu kuat ibadah — hingga hampir tak tidur, tak bersama keluarga.

Apa kata Nabi SAW?

“Sesungguhnya badanmu ada hak atasmu. Isterimu ada hak atasmu…”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Rehat bukan kelemahan.
Ia sebahagian daripada amanah.
Menjaga tubuh dan fikiran supaya tidak rebah ketika perlu berdiri.

  1. Ketenangan Itu Hadiah, Bukan Pembaziran
    Allah berfirman:

“Dialah yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang yang beriman.”
(Surah al-Fath, 48:4)

Ketenangan bukan datang waktu kita mengejar.
Kadang ia hadir bila kita berhenti, dan membenarkan jiwa bernafas.

Itulah yang artikel atau kajian barat hari ini baru sedar.
Tentang pentingnya ruang kosong dalam hari.
Tentang bagaimana “wasting time” boleh menyembuhkan jiwa.
Tentang bagaimana ‘doing nothing’ sebenarnya mengajar kita sesuatu yang besar.

.
.
.

Kita bukan mesin.
Kita manusia yang ada roh, akal, dan fitrah.

Jika Allah ajar kita berzikir sambil duduk dan baring,
jika Rasulullah s.a.w pernah menyendiri sebelum diangkat menjadi Rasul,
jika para sahabat pun ditegur bila keterlaluan bekerja tanpa rehat…

Maka tidak salah untuk kita berhenti sejenak.
Bukan untuk lari daripada tanggungjawab,
tapi untuk kembali dengan lebih jelas, lebih jernih, dan lebih kuat.

Mungkin, dalam waktu kita duduk tanpa arah itu,
Allah sedang menanam satu kefahaman yang takkan datang dalam sibuk.

Sumber FB : Ustaz Fazrul Ismail

JUMAAT, 27 JUNE 2025 BERSAMAAN 1 MUHARRAM 1447H : BERMULA LAH TAHUN BARU ISLAM

Biizdnillah, hari ini kita masuk ke tahun hijriah yang baru iaitu tahun 1447H. Masa berlalu begitu pantas, diam tak diam umur kita semakin banyak tatkala hakikatnya yang kita perlu SEDAR bahawa kita semakin dekat untuk bertemu Tuhan.

Mari kita renung-renungkan dan bermuhasabah agar tahun baru pada kali ini menjadikan kita lebih berinspirasi untuk mempertingkatkan amal soleh dan berbuat banyak kebaikan pada baki usia yang masih tersisa.

Yang Pertama, kita jangan tunggu sehingga usia tua baharu nak speer beramal, kerana ketika itu keadaan kesihatan kita akan semakin lemah dan semakin teruk. Kita sering dengar dan mungkin dapat lihat sendiri betapa ramai insan yang di pertengahan usia telah mendapat sakit berat seperti darah tinggi. kencing manis, jantung, strok, gaot dan sebagainya. Begitu banyak berita yang kita dengar insan-insan yang kita kenali telah kembali bertemu Tuhan di awal usia, qadarullah akibat kematian mengejut. Akhir zaman ini ramai manusia akan mengalami kematian mengejut sebagai mana yang telah dikhabarkan oleh Nabi ﷺ bahawa ia merupakan petanda kiamat semakin hampir. Justeru, jika kita usia masih muda atau memiliki kesihatan yang baik, waktu inilah yang kita perlu usahakan utk perhebatkan amal ibadah, rajin-rajin ke masjid (bagi yang lelaki), rajin-rajin ke majlis-majlis ilmu, rajin-rajin baca Quran dan banyak berbuat kebaikan.Jangan kita kita memerlukan pahala yang banyak untuk berhijrah ke alam lain yang panjang. Pahala adalah dana akhirat kita. Jika kita tidak berusaha untuk memperbanyakkan pahala, pastinya kemiskinan amal akan membuatkan kita sengsara di akhirat.

Yang kedua, apabila masuk usia 40 adalah usia yang membawa rentak kebiasaan kehidupan kita hingga ke penghujungnya. Justeru, kita kena renung dan lihat diri kita apabila masuk usia 40 tahun. Kalau kita tak bawa jiwa@diri kita kepada Agama, tak ubah keadaan kita untuk mendekatkan diri kepada Allah maka apabila kita masuk ke usia 40 tahun bawaan diri kita pada usia tersebut akan kekal hingga kita mati. Maksudnya, jika umur kita 40an masih lagi tak solat maka akan berterusanlah selamanya sehingga kita mati, kalau 40an masih tak tutup aurat maka berkemungkinan besar akan kekal lah keadaan itu sampai kita mati, kalau dah usia 40an masih kita masih melayan karaoke, maka sampai ke tua pun kita akan terus bergelek @ berdangdut. Kalau dah masuk 40 kita masih lagi lagho (buat hal yg sia-sia, masjid tak nak pergi, kuliah jauh sekali, quran tak bukak, hanya sibuk buat hal yg tak manfaat) maka akan berterusanlah keadaan kita hingga akhir hayatnya.

Maka kerana itu , tentang usia 40tahun ni Allah SWT ada sebut di dalam Quran dan menyarankan agar kita membaca DOA ini sebaik masuk usia 40 tahun, sebagaimana yang difirmankan di dalam surah Al-Ahqaf surah yg ke 46, ayat 15 iaitu:-

حَتَّى إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَال

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

“Sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa,

“Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau redhai. Berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri “.
(QS. Al-Ahqaf: 15)

Justeru, pada tahun baru Islam 1447H yang bermula hari ini, kepada mereka yang masuk usia 40 tahun, silalah baca doa ini, jika tak boleh baca dal bahasa arab maka bacalah di dalam bahasa rumi. Angkat tangan dan baca doa ini sungguh-sungguh.

Dan yang terakhir, nasihat saya luangkan masa kalian untuk membaca perkongsian atau nasihat yang baik-baik. Ini ini kerana meskipun melalui bacaan (penulisan), ilmu tetap boleh masuk (sampai) ke hati kita, walaupun kita tidak jumpa dengan penulisnya atau menerima ijazah darinya. Yang penting kalian IKHLAS dan luruskan niat untuk mencari redha Allah SWT.

Semoga nasihatku ini bermanfaat.

ISTIQOMAH ZIKIR PAGI, JANGAN TINGGAL BACA SAYYIDUL ISTIGHFAR DAN BANYAKKAN BERSELAWAT PADA HARI JUMAAT.

~ MRJ

ESOK KITA MASUK 1 MUHARRAM 1447H, JADI PADA MALAM NI, ESOK NAK BUAT APA?

Insyaa Allah, malam ni kita akan masuk ke tahun baru Islam yang baharu iaitu 1 Muharram 1447H. Beberapa perkara perlu kita ulangkaji berkenaan apakah amalan yang sahih untuk kita sama-sama ambil manfaat di dalam bulan haram yang berharga ini.

  1. Yang pertama, bulan Muharram adalah termasuk di dalam empat bulan-bulan haram yang Allah SWT muliakan, di mana pada bulan-bulan haram ini amal soleh kita kita dilipat kali gandakan. Muharram adalah bulan haram yang ketiga berturut selepas Dzulkaedah dan Dzulhijjah.
  2. Apabila masuk malam 1hb Dzulhijjah kita disunnahkan untuk membaca doa melihat hilal selepas maghrib iaitu dengan membaca doa ini. Doa ini tidak khusus pada bulan Muharram semata tetapi tetap dibaca pada malam awal bulan-bulan yang lain.

اللَّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْأَمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ، وَالتَّوْفِيقِ لِمَا نُحِبُّ وَتَرْضَى، رَبُّنَا وَرَبُّكَ اللَّهُ

Maksudnya: “Ya Allah keluarkanlah daripada anak bulan ini ke atas kami dengan kamanan dan keimanan, serta berikanlah keselamatan dan keIslaman, bantulah atas setiap apa yang kami sukai dan yang Engkau redhai. Tuhan kami dan Tuhanmu (anak bulan) ialah Allah SWT”. [Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith 888]

  1. Adapun membaca doa khusus awal tahun, doa akhir tahun, membaca yassin 3 kali maka saranan ini bukan sunnah. Kita mungkin telah terbiasa dengan amalan ini sesebelum ini namun dari sudut pendalilan hadis ia tidak sahih. Justeru bacalah doa melihat hilal pada no.2 di atas. Amalkan yang sahih tinggalkan yang tidak shahih. Tidak perlu baca doa awal/akhir tahun dan tidak perlu baca yassin 3 kali. Bacalah Al-Quran sambung dari bacaan sebelumnya(yang kita dah baca).
  2. Pada bulan Muharram ini, kita disunnahkan untuk berpuasa sunat khusus pada tarikh-tarikh berikut:-

a. Puasa Tasu’a (9 Muharam 1447H) : 5 Julai 2025 – Sabtu

b. Puasa Asyura (10 Muharam 1447H) : 6 Julai 2025 – Ahad

c. Puasa Yaumul Bidh 13, 14, 15 Muharam (Hari Putih) : iaitu pada tarikh 9, 10, 11 Julai 2025 – Rabu, Khamis, Jumaat.

d. Kita dianjurkan untuk berpuasa sunat pada setiap hari Isnin dan khamis.

  1. Tidak ada puasa khusus 1 Muharram dan tidak ada amalan khusus pada malam 1 Muharram. Namun tetaplah kita istiqomah membaca Al-Mulk , bertahajjud pada malam hari. Kebetukan esok hari jumaat maka bacalah surah Al-Kahfi pada malam ini.

Semoga kita sentiasa berusaha untuk beramal dengan amalan yang sahih daripada Nabi ﷺ agar amalan kita diterima oleh Allah SWT.

Sila sharekan perkongsian ini.

ISTIQOMAH ZIKIR PETANG.

Sumber FB ~MRJ

Jalan cerita dan kisah kehidupan kita Allah sudah tetapkan yang terbaik.

Tidak perlu menjadi orang lain, jadilah diri sendiri. Tidak perlu bandingkan diri dengan orang lain. Syukuri apa yang Allah kurniakan buat diri kita.

Fokus kepada apa yang kita perlukan dalam hidup.
Gandakan ketaatan kepada Allah.
Bina hubungan yang paling istimewa dengan Al Quran.
Lazimi doa dan zikir. Istighfar..istighfar..istighfar..

Hati akan lapang..
Jiwa sentiasa damai.
Hati sentiasa bersyukur.

Orang lain lebih hebat dari kita? Lebih kaya dari kita? Anak-anak mereka lebih berjaya dari anak kita?
Alhamdulillah kita turut bergembira dengan rezeki mereka. Jangan ada hasad. Itu merosakkan hati.

Melihat orang lain ada kekurangan? Tanam rasa empati. Doakan mereka, moga Allah permudahkan urusan mereka.

Firman Allah dalam Surah Al Hadid ayat 22 dan 23 :

مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةࣲ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَا فِيٓ أَنفُسِكُمۡ إِلَّا فِي كِتَٰبࣲ مِّن قَبۡلِ أَن نَّبۡرَأَهَآۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرࣱ

Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

لِّكَيۡلَا تَأۡسَوۡاْ عَلَىٰ مَا فَاتَكُمۡ وَلَا تَفۡرَحُواْ بِمَآ ءَاتَىٰكُمۡۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخۡتَالࣲ فَخُورٍ

(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

tahsinmadinah

Sumber FB : Ainun Mardhiah

Selepas Solat Isyak saya tersandar di dinding surau. Penatnya ya rabbi. Bukan penat biasa, tapi rasa macam nak demam. Dah ada selsema sikit. Itulah yang melemahkan tu. Biasalah lelaki kan, semua dia boleh hadap kecuali…demam. Hahaha. Pelik tapi benar.

Sambil tengok jemaah lain mula keluar seorang demi seorang. Tak semena-mena datang seorang lelaki, lingkungan usia awal 40-an, duduk di sebelah saya. Wajahnya saya rasa pernah nampak. Tapi tak pasti di mana.

“Ustaz ada masa kejap tak?” lelaki ini tanya perlahan.

Saya angguk dan jawab “Kalau tak panjang sangat, insya-Allah boleh.”

Dia tunduk. Nafasnya berat.

“Saya sebenarnya buntu ustaz. Isteri saya dah tak macam dulu.”

Saya diam. Sekadar memandang tanpa menyampuk. Kadang diam itu ubat untuk orang yang hampir rebah. Cerita abang ini bagaikan ubat demam saya. Tuhan hantar.

Lelaki ini sambung bercerita,

“Ustaz, isteri saya ni dulu dia jenis suka ketawa. Jenis mudah terhibur. Tapi sekarang senyum pun susah. Macam hidup dia kosong.”

Dia berhenti seketika. Matanya merenung lantai marmar surau. Macam tembus dan ada skrin yang kami sama-sama boleh tengok.

“Kami ada dua anak. Dua-dua autism. Yang sulung jenis suka mengamuk malam-malam. Menjerit. Hentak kepala. Yang kedua pula tak bercakap langsung. Langsung tak pandang mata. Kalau duduk depan, rasa macam bercakap dengan dinding.”

“Saya kerja siang malam, ustaz. Nak tambah pendapatan saya buat Grab selepas habis waktu pejabat. Kadang balik rumah pun badan dah tak larat. Saya mengaku. Banyak kali isteri minta tolong, saya buat tak layan. Bukan sebab tak peduli. Tapi sebab tak tahu nak buat apa. Saya takut silap. Saya takut anak tantrum makin teruk.”

Saya pandang dia. Wajahnya penuh keletihan. Bukan sekadar letih fizikal. Letih jiwa. Letih rasa bersalah.

“Semalam saya balik lewat, anak sulung tengah mengamuk. Saya tengok isteri tengah peluk anak kuat-kuat sambil menangis. Anak dia peluk, dia marah, tapi tangan tak lepaskan. Air mata dia mengalir, tapi mulut dia masih pujuk.”

Abang ini berhenti bercerita. Air mata mula mengalir. Jantan mana yang tak tersentuh kalau dah cerita begini. Ini yang aku lemah ini. Terpaksa la tahan wajah kacak ini dari ditumbangkan sang air mata.

“Lepas tu isteri pandang saya. Dia cakap, awak tak nampak ke saya dah nak gila? Awak tahu tak saya mandi sekali je hari ni?? Saya makan sisa anak. Awak tahu tak saya tak sempat pun tidur semalam??”

Lelaki ini mengesat air matanya. Tapi makin dilap makin laju jatuhnya. Saya juga. Mujur ridak jadi penyelamat.

“Ustaz, saya bukan suami yang baik. Tapi saya sayang dia. Cuma saya tak tahu nak tunjuk macam mana.”

Saya angguk perlahan. Nafas saya tarik dalam-dalam.

“Tuan, kadang isteri kita tak perlukan lelaki yang sempurna. Tapi dia perlukan lelaki yang hadir. Bukan sekadar balik. Tapi hadir. Duduk sebelah. Pegang tangan. Dengar cakap dia. Tolong apa yang patut tolong. Buat apa yang boleh buat. Dengar sikit cerita yang dia nak cerita. Masa dengar tu tengok dia betul-betul.”

Saya tanya perlahan.

“Pernah tak tuan beri tolong dia apa yang patut waktu dia nampak sangat letih?”

Dia geleng kepala perlahan.

“Pernah tak dengar cerita dia letih jaga anak istimewa tuan sensorang?”

Dia tunduk lagi.

“Pernah tak ambil cuti, sehari dua, jaga anak, biar isteri tidur, makan, mandi dengan tenang?”

Dia masih diam.

Saya teruskan.

“Tuan tahu tak, orang perempuan ni, kalau dia letih sangat, kadang dia tak marah pun pada anak. Dia cuma kecewa sebab dia rasa terperangkap. Dia rasa keseorangan.”

“Dan bila tuan tak hadir waktu dia hampir tumbang, dia rasa macam kalah sorang-sorang. Dia tak perlukan pelukan pun masa tu. Dia cuma perlukan seseorang yang nampak dia, dengar dia, dan faham yang dia tengah menahan dunia dalam diri.”

Lelaki ini menangis lagi. Kali ini lebih senyap. Air mata bagai hujan. Saya biarkan. Biar dia lepaskan semuanya. Masa ni saya dah kering air mata.

Saya nasihatkan beliau ambil cuti beberapa hari. Bawa isteri jumpa Doktor. Ada doktor autism kat hospital tu. Sambil tu tolong apa yang patut kat rumah, minta isteri rehat.

Beberapa minggu lepas itu, dia mesej saya.

“Ustaz, kami pergi jumpa pakar kanak-kanak autism di hospital (sekian sekian) Doktor bagi penerangan panjang. Tapi satu benda je yang betul-betul sentap saya.”

Lelaki ini kata doktor bagi pesanan sentap.

“Encik, anak encik bukan masalah. Anak encik cuma perlu dua orang dewasa yang bersatu. Bukan seorang yang penat sorang-sorang.”

Perrgh. Doktor pun. Tapi betullah tu.

Lepas sesi tu, dia mula ambil cuti hujung minggu. Belajar jaga anak. Mandikan, bagi makan, duduk sama-sama waktu anak mengamuk.

Dia cakap, mula-mula kekok. Tapi lama-lama dia rasa lain. Rasa macam baru kenal anak sendiri. Baru kenal erti jadi ayah. Baru tahu penatnya jaga anak autism.

Dan malam semalam, dia datang lagi ke surau. Selepas salam, dia duduk sebentar di tempat yang sama. Pandang saya dan senyum.

“Ustaz, saya nak ucap terima kasih. Isteri saya dah mula senyum balik. Dia masak hari-hari sekarang. Bukan sebab saya minta. Tapi sebab dia dah mula bahagia.”

Saya senyum. Dalam hati saya ucap Alhamdulillah. Syukur ya Allah. Satu lagi keluarga diselamatkan bukan dengan duit, bukan dengan kuasa, tapi dengan kehadiran dan sedikit empati.

Dan ya, akhirnya dia beritahu juga,

“Ustaz, semalam saya peluk isteri saya. Lama. Dia menangis. Tapi kali ni bukan sebab kecewa. Dia kata, terima kasih sebab masih ada. Dia pula suruh saya buat Grab balik. Tapi saya dah buat jadual sekarang ustaz. Takmau dah jadi macam sebelum ni…”

Kawan,

Kadang pasangan kita bukan berubah sebab dia hilang cinta. Tapi sebab dia penat menanggung segalanya sendiri.

Jangan tunggu dia jatuh baru kita hulur tangan. Jangan tunggu dia rebah baru kita sedar dia tunjang sebenar dalam rumah.

Kerana wanita yang kita nikahi itu, bukan robot. Dia manusia yang punya rasa. Ada hati yang juga perlu dirawat. Ada emosi yang perlu dibalut. Ada jiwa yang perlukan sokongan.

Dan kadang, hanya dengan perhatian, kasih sayang, dan sedikit usaha memahami, beban di bahu isteri jadi ringan.

Yang ringan itulah kadang jadi sebab rumah tangga terus hidup. Anak-anak terus membesar dengan jiwa yang cukup. Dan suami isteri terus bertahan dalam dunia yang makin menekan.

Kerana dalam rumah yang kecil itulah sebenarnya syurga boleh bermula. Dengan hati yang saling memahami. Dengan masa yang saling diberi. Dan dengan cinta yang dibina kembali, perlahan-lahan.

Tak perlu jadi lelaki sempurna.

Cukuplah jadi lelaki yang nampak. Yang dengar. Yang hadir.

Sumber FB : Anas Jamaluddin
Masih belajar menjadi lelaki yang hadir, bukan sekadar wujud.

Tanah Ini Masih Tenang – Kau Tahu Kenapa?

Lihatlah peta itu.
Gempa menggoncang dari kiri dan kanan,
utara dan selatan.
Lingkaran api menyala tanpa henti.
Gunung bernafas, dasar laut retak,
tanah-tanah timur dan barat seperti sedang menyucikan dirinya.

Tapi kau, Malaysia…
kau masih tenang.
Di tengah ribut geologi,
kau tetap diam seperti anak kecil yang sedang dijaga ibunya.

Kau tahu kenapa?

Kerana tanah ini pernah dizikirkan.
Pernah dijaga dengan air mata.
Pernah diangkat oleh doa-doa yang kita sendiri tak pernah tahu.
Bukan hanya dari masjid dan surau,
tetapi juga dari bukit-bukit sunyi,
rumah panjang yang khusyuk,
padang-padang terbuka tempat manusia sujud dalam bahasa yang berbeza
tapi jiwa yang sama.

Kerana ada hati-hati emas
yang pernah mencintai tanah ini tanpa menginginkannya jadi milik.
Ada jiwa-jiwa tersembunyi
yang menghidupkan malam hanya untuk satu permintaan:
“Ya Tuhan, peliharalah tanah kami…”

Merekalah jantung sebenar tanah ini
bukan tokoh besar, bukan nama yang masyhur,
tetapi orang-orang kecil yang hatinya besar,
yang tak dikenang di bumi, tapi dikenali di langit.

Dan ada pula anak-anak yang tak mampu melafazkan kata,
tapi roh mereka sentiasa berzikir dalam diam.
Mereka tak menghafal doa panjang,
tapi kehadiran mereka menenangkan ruang.
Mereka adalah anak-anak syurga
yang masih berjalan di bumi
anak-anak autism yang sering kita tidak faham,
tapi langit sangat mengenali mereka.

Mereka bukan beban.
Mereka adalah penjaga keseimbangan.
Frekuensi bersih yang menyerap gelombang kekotoran dunia,
tanpa meminta pujian atau pemahaman.
Mereka juga… adalah benteng yang tidak kelihatan.

Ini bukan sekadar peta gempa.
Ini adalah peta keajaiban doa.
Peta resonans hati yang bersih,
yang menjadi perisai bumi lebih kuat dari tembok besi.

Tanah ini bukan sekadar bentuk daratan.
Ia adalah Semenanjung dan Kepulauan Emas
dari Tanah Melayu hingga Borneo,
dari desa ke dusun, dari laut ke langit.
Dan emas tidak bergetar seperti tanah biasa.
Ia stabil,
kerana ia lahir dari perut bumi,
seperti sabar yang lahir dari luka,
seperti redha yang lahir dari kehilangan.

Ramai tidak tahu,
masih ada wali-wali tersembunyi
yang tidak dikenali manusia,
tetapi sentiasa dikenali langit.

Mereka bukan menghantar bala,
mereka menahan bala.
Doa mereka adalah dinding getaran,
menahan marah langit, menenangkan roh bumi.

Malaysia…
kau mungkin bukan pusat ekonomi dunia,
tapi kau jantung dunia dari sisi getaran.
Degupan lembut di tengah hiruk-pikuk.
Hati yang masih hidup dalam dunia yang makin beku.

Dan mungkin…
itulah sebabnya Tuhan masih menahan bumi ini dari marah.

Tapi jangan angkuh dengan tenangmu.
Kerana yang menahan gegaran itu
bukan teknologimu, bukan kekuatanmu,
tetapi kesucian doa yang tak pernah kau nampak.

Selagi ada yang jujur,
selagi ada yang sujud dengan sebenar-benar tunduk,
tanah ini akan terus dijaga.

Tapi jika kita lupa…
jika emas dalam hati mula tercemar dengan tamak dan dusta,
perisai itu juga akan runtuh sedikit demi sedikit.

Tanah ini bukan sekadar tempat tumpah darahmu.
Ia adalah tapak kasih sayang para wali,
yang mengikat langit dan bumi dengan doa yang tersembunyi.
Ia adalah tempat roh-roh bersih pernah tinggal,
dan meninggalkan frekuensi perlindungan
yang tidak dapat dilihat tetapi masih terasa hingga kini.

Jagalah ia.
Sama ada di semenanjung atau di pulau,
di kota atau pedalaman.
Kerana bumi ini tidak menyoal bangsa atau negeri,
ia hanya mencari getaran yang bersih.

Kerana bila hati ini hancur,
barulah kita akan tahu
apa maknanya
bila tanah mula bersuara.

Sumber FB: June CK Meng