LA TAHZAN SIRI 23: “Allah Adalah Satu-satunya Penolong”

Link Live Dari Ustazah Muzayyanah @ustazahmuzayyanah : (20+) Facebook

Menyerahkan semua urusan kepada Allah, bertawakkal kepadaNya, percaya terhadap janji-janjiNya, redha dengan apa yang dilakukanNya, berbaik sangka kepadaNya, dan menunggu dengan sabar pertolongan dariNya, merupakan sebahagian daripada buah keimanan yang paling besar dan merupakan salah satu daripada sifat mukmin yang paling mulia. Dan ketika seorang hamba merasa tenang bahawa apa yang akan terjadi itu baik baginya, dan ia menggantungkan setiap permasalahannya hanya kepada Tuhannya, maka ia akan memperolehi pengawasan, perlindungan, kecukupan, kekuatan serta pertolongan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala.

            Ketika Nabi Ibrahim ‘Alaihissamal dilempar ke dalam api, ia mengucapkan, “Hasbunallah wa ni’mal wakil (Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung)”, maka Allah pun menjadikan api yang panas itu dingin seketika dan Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam pun selamat (tidak terbakar).

            Demikian juga halnya yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabatnya Radhiyallahu ‘anhum tatkala mereka mendapat ancaman dari pasukan kafir dan penyembah berhala, di mana mereka juga mengucapkan, “ Hasbunallah wa ni’mal wakil.”

…. cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung. Maka mereka kembali dengan ni’mat dan kurnia (yang besar dari) Allah, mereka tidak mendapat bencana apa-apa, mereka mengikuti keredhaan Allah. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar. (Ali-‘Imran:173-174).

Manusia tidak akan mampu melawan setiap bencana, menakluk setiap derita, dan mencegah setiap malapetaka dengan kekuatannya sendiri. Ini adalah kerana, manusia diciptakan sebagai makhluk yang sangat lemah. Mereka hanya akan mampu menghadapi semua itu dengan baik apabila mereka bertawakkal kepada Tuhannya, percaya sepenuhnya kepada Pelindungnya, dan menyerahkan semua perkara kepadaNya, maka ia akan memperolehi kekuatan.

      Sebaliknya, jika mereka tidak bertawakkal, jalan keluar mana lagi yang boleh dilakukan oleh hamba yang hina dina ini dalam menghadapi berbagai-bagai macam ujian dan cubaan?

….dah hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakkal jka kamu benar-benar beriman. (Al-Ma’idah:23)

Oleh kerana itu, wahai orang yang menyedari kelemahan dirinya, bertawakkallah kepada Yang Maha Kaya dan Yang Maha Kuat, yang mempunyai kekuatan yang amat besar, yang tiada bandingannya agar diri anda selamat dari berbagai kesusahan dan keluar dari bencana!. Jadikanlah “hasbunallah wa ni’mal wakil” syair dan semboyan yang selalu menyelimuti Langkah hidup anda. Jika harta anda berkurangan, hutang anda banyak, sumber penghidupan anda berkurang, dan mata pencarian anda menyempit, mengadulah kepada  Tuhanmua seraya mengucapkan “hasbunallah wa ni’mal wakil”.

      Apabila anda takut menghadapi musuh, cemas terhadap perlakuan orang zalim, atau khuatir terhadap permasalahan kehidupan, maka ucapkanlah dengan tulus akan kalima: “hasbunallah wa ni’mal wakil”.

…. dan cukuplah Rabbmu menjadi Pemberi Petunjuk dan Penolong. (Al-Furqan:31)

  • Sumber : Kitab La Tahzan : Jangan Bersedih (Don’t Be Sad) Setelah Kesulitan Pasti ada Kemudahan. Penulis : Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni (Penterjemah: Noraine Abu).
  • (Ditaip semula dari Kitab La Tahzan sebagai bacaan bersama).

LA TAHZAN SIRI 21: “Anda Lebih Beruntung Daripada Yang Lain”

Link Live Dari Ustazah Muzayyanah @ustazahmuzayyanah : (20+) Facebook

Terumbang-ambing adalah merupakan ciri orang yang ditimpa musibah dan dihempas bencana. Rumahnya selalu dipenuhi suasana kedukaan. Di setiap sudut wajahnya mengalir air mata sebagaimana kesedihan di Lembah Bani Sa’ad.

Sesungguhnya betapa banyaknya penderitaan yang terjadi, dan betapa ramai pula orang-orang yang sanggup bersabar menghadapinya. Maka anda bukanlah satu-satunya orang yang ditimpa bencana. Bahkan, mungkin penderitaan atau bencana yang menimpa anda tidaklah seberapa sekiranya dibandingkan dengan bencana orang lain. Lihatlah berapa ramai manusia di dunia ini yang terbaring sakit di atas katil selama bertahun-tahun lamanya dan mereka hanya mampu membolak-balikkan badannya sahaja, lalu merintih kesakitan dan menjerit menahaan penderitaan.

Berapa ramai orang yang dipenjara selama bertahun-tahun lamanya tanpa dapat melihat cahaya matahari walaupun sekali dan mereka ini hanya mengenal jerijil-jerijil selnya sahaja.

Betapa ramai orang tua yang kehilangan permata hatinya pada saat masih mud abelia, masa yang seharusnya dihiasi oleh kesenangan.

Betapa ramainya manusia di dunia ini yang menderita, mendapat pujian, mendapat ujian dan cubaan, belum lagi kepada mereka yang setiap saat menahan himpitan hidup!.

            Kini, sudah tibalah waktunya untuk anda mengunjungi mereka yang mengajarkan ilmu yang menyakinkan diri mereka bahawa hidup ini adalah penjara bagi orang mukmin dan rumah bagi kesedihan dan penderitaan. Di pagi hari, istana-istana kehidupan penuh sesak dengan penghuninya, namum menjelang senja tiba-tiba istana-istana itu menjadi runtuh. Mungkin saat ini kekuatan masih utuh, badan masih sihat, harta melimpah, dan keturunan banyak jumlahnya. Namun dalam hitungan beberapa hari sahaja semuanya boleh berubah, jatuh miskin, kematian datang secara tiba-tiba, perpisahan yang tidak dapat dihindarkan, dan sakit yang menyerang secara tiba-tiba.

Dan telah nyata bagimu bagaimana Kami berbuat terhadap mereka dan telah Kami berikan kepadamu beberapa perumpamaan. (Ibrahim : 45)

Oleh itu sebaiknya anda hendaklah mempersiapkan diri sebagaimana persiapan seekor unta berpengalaman yang akan mengiringi anda menyeberangi padang Sahara. Anda juga hendaklah membandingkan penderitaan anda dengan penderitaan orang-orang yang berada di sekeliling anda dan penderitaan orang-orang yang wujud sebelum anda, supaya anda sedar bahawa keadaan andalah yang lebih baik jika dibandingkan dengan keadaan mereka! Bahkan, anda akan merasakan bahawa penderitaan anda itu hanyalah sebahagian daripada duri-duri kecil yang tidak ada ertinya. Maka panjatkan segala kepujian kepada Allah di atas semua kebaikanNya itu, bersyukurlah kepadaNya di atas apa yang telah diberikan kepada anda, bersabarlah di atas semua yang diambilNya dan muhasabahlah terhadap diri sendiri di atas segala kelemahan, dosa dan kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan dan ziarahilah orang-orang yang menderita di sekitar anda.

      Anda boleh mengambil banyak di antara suri teladan Rasululah Shallallahu ‘alaihi wasallam sepanjang hidupnya, yang ditimpa dengan berbagai ujian dan dugaan sebagai bimbingan buat anda. Baginda pernah dilempar kotoran unta oleh orang-orang kafir Mekah, kedua kakinya dicederai dan wajahnya mereka lukai, dikepung dalam suatu kaum beberapa lama hingga beliau hanya dapat makan dedaunan apa adanya sahaja, diusir dari Mekah, dipukul gerahamnya hingga retak. Kemuliaan isterinya difitnah, 70 di kalangan sahabatnya terbunuh, dah kehilangan beberapa orang anaknya. Bahkan baginda pernah menahan laparnya dengan mengikatkan batu di perutnya. Beliau pernah dituduh sebagai seorang penyair (bukan penyampai wahyu Allah), dukun, orang gila dan pembohong. Namun, Allah melindunginya dari semua itu. Dan semua perkara tadi adalah merupakan cubaan dan dugaan yang harus beliau hadapi dalam perjuangannya dan penyucian jiwa yang tiada tara dan bandingannya.

      Sebelum itu, Nabi Zakaria dan Nabi Yahya ‘Alaihimassalam dibunuh, Nabi Musa ‘Alaihissalam diusir dan dikejar oleh Fir’ain dan Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam dibakar hidup-hidup. Cubaan-cubaan itu turut menimpa para khalifah dan para pemimpin kita; Umar Radhiyallahu ‘anhu dilumuri dengan darahnya sendiri, Uthman Radhiayallahu ‘anhu dibunuh secara diam-diam, dan Ali Radhiayallahu ‘anhu ditikam dari belakang. Dan masih banyak lagi di antara para pemimpin kita yang turut menerima dugaan yang sama di mana punggung para Imam penuh dengan bekas sebatan, orang-orang terpilih dimasukkan ke dalam penjara dan juga dibuang ke negeri lain.

      Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan). (Al-Baqarah:214)

  • Sumber : Kitab La Tahzan : Jangan Bersedih (Don’t Be Sad) Setelah Kesulitan Pasti ada Kemudahan. Penulis : Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni (Penterjemah: Noraine Abu).
  • (Ditaip semula dari Kitab La Tahzan sebagai bacaan bersama).

LA TAHZAN SIRI 22: “Solat, Ubat Mujarab Pengusir Kesedihan”

Link Live Dari Ustazah Muzayyanah @ustazahmuzayyanah : (20+) Facebook

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam surah Al-Baqarah, ayat 153:

           Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat…

            Apabila ketakutan meliputi anda, kesedihan menghimpit anda dan kerisauan mencekik anda, maka bersegeralah anda mendirikan solat, nescaya jiwa anda akan kembali tenteram dan tenang! Sesungguhnya solat itu – atas izin Allah – boleh menjaga anda dengan menghilangkan kesedihan dan kerisauan yang menghimpit anda selama ini.

            Ketika Rasulullah Shallahu ‘alaihi wasallam dirundung masalaha, baginda bersabda kepada Bilal bin Rabbah Radhiyallahu ‘anhu:

            Wahai Bilal, aku dapat merasa tenang dengan solat. (Al-Hadith).

            Begitulah, solat benar-benar merupakan penyejuk hati dan sumber kebahagiaan bagi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

            Saya telah banyak membaca sejarah hidup beberapa orang tokoh kita. Dan umumnya, apabila saat mereka dihimpit dengan persoalan hidup dan menghadapi banyak dugaan, maka mereka segera memohon pertolongan Allah dengan mendirikan solat dengan khusyu’. Begitulah cara mereka mencari jalan keluar, sehinggalah kekuatan, semangat dan tekad hidup mereka pun pulih kembali.

            Solat khauf dilaksanakan pada saat-saat genting, yakni saat kematian terjadi di mana-mana dan banyak nyawa melayang akibat peperangan. Apabila keadaan semakin memburuk, maka solat akan memperbaikinya. Ini merupakan isyarat bahawa sebaik-baik penenang jiwa dan ketenteraman hati adalah solat yang khusyu.’

            Setiap generasi umat manusia yang sedang menderita berbagai penyakit kejiwaan saat ini, hendaklah sering mengunjungi masjid dan menghamparkan keningnya di atas lantai tempat sujud dalam rangka meraih keredhaan dari Ilahi. Dengan melakukan sedemikian, nescaya ia akan selamat dari pelbagai himpitan hidup. Jika tidak, tangisannya tentu akan membakar kelopak matanya dan kesedihan akan menghancurkan urat sarafnya. Maka jelaslah bahawa seseorang itu tidak memiliki sebarang kekuatan pun untuk meraih ketenangan dan ketenteraman hati selain dengan mendirikan solat.

            Salah satu daripada nikmat Allah yang paling besar – jika kita mahu berfikir – ialah pelaksanaan solat wajib lima waktu dalam sehari-semalam, yang merupakan sebagai penghapus dosa-dosa dan pengangkat darjat kita di sisi Tuhan. Di samping itu, solat lima waktu juga merupakan ubat yang paling mujarab untuk mengubati pelbagai kesedihan dan berbagai macam penyakit yang kita deritai. Betapapun, solat mampu meniupkan ketulusan iman dan kejernihan iman ke dalam relung hati, sehingga hati redha dengan juga ketentuan Allah.

            Adapun mereka yang menjauhi masjid dan meninggalkan solat, maka mereka hanya akan beralih dari kesusahan yang satu ke kesusahan yang lain, dari goncangan jiwa yang satu ke goncangan jiwa yang lain, dan dari kesengsaraan yang satu ke kesengsaraan yang lain.

….maka kecelakaanlah bagi mereka dan Allah menghapus amal-amal mereka. (Muhammad: 8)

  • Sumber : Kitab La Tahzan : Jangan Bersedih (Don’t Be Sad) Setelah Kesulitan Pasti ada Kemudahan. Penulis : Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni (Penterjemah: Noraine Abu).
  • (Ditaip semula dari Kitab La Tahzan sebagai bacaan bersama).

LA TAHZAN SIRI 20 : “Jalani Hidup Apa Adanya”

Link Live Dari Ustazah Muzayyanah @ustazahmuzayyanah : (20+) Facebook

Bab 20: Jalani Hidup Apa Adanya

Keadaan dunia ini penuh kenikmatan, banyak pilihan, penuh rupa, banyak warna. Semua itu bercampur baur dengan kecemasan dan kesulitan hidup. Dan anda adalah sebahagian dari dunia yang berada dalam kesukaran.

            Anda tidak akan pernah menjumpai seorang ayah, isteri, kawan, sahabat, tempat tinggal atau pekerjaan yang padanya tidak terdapat sesuatu yang menyulitkan. Bahkan kadangkala justeru pada setiap hal itu terdapat sesuatu yang buruk dan tidak anda sukai. Maka dengan itu, padamkanlah panasnya keburukan pada setiap hal itu dengan dinginya kebaikan yang ada padanya. Itu kalau anda mahu selamat dengan adil dan bijaksana. Kerana setiap luka ada harganya.

            Allah mengkhendaki dunia ini sebagai tempat bertemunya dua hal yang saling berlawanan, dua jenis yang saling bertolak belakang, dua kubu yang saling bertentangan, dan dua pendapat yang saling bertentangan, yang baik dengan yang buruk, kebaikan dengan kerosakan, kebahagiaan dengan kesedihan. Dan setelah itu, Allah akan mengumpulkan semua yang baik, kebagusan dan kebahagian itu di syurga. Adapun yang buruk, kerosakan dan kesedihan akan dikumpulkan di neraka.

            Dunia adalah terlaknat. Semua yang ada di dalamnya terlaknat, kecuali zikir (ingat) kepada Allah, perbuatan yang dicintai Allah dan sesuatu yang dapat mendekatkan diri hamba kepadaNya, serta orang yang berilmu atau orang yang mempelajari ilmu yang bermanfaat, (Al-Hadith)

            Maka jalanilah hidup ini sesuai dengan kenyataan yang ada, jangan larut dalam khayalan dan jangan anda menerawang ke alam imaginasi. Hadapi kehidupan ini apa adanya, kawallah jiwa anda untuk dapat menerima dan menikmatinya. Bagaimanapun, tidak mungkim semua teman tulus kepada anda dan semua perkara sempurna di mata anda. Sebab ketulusan dan kesempurnaan itu ciri dan sifat kehidupan dunia.

            Janganlah seorang mukmin membenci Wanita mukminah (yang menjadi isterinya), kerana jika dia tidak menyukai salah satu perangai isterinya, tentu dia akan menyukai perangainya yang lain.

            Adalah sayugianya bila kita merapatkan barisan, menyatukan langkah, saling memaafkan dan berdamai kembali, mengambil hal-hal yang mudah kita lakukan, meninggalkan hal-hal yang menyulitkan, menutup mata dari beberapa hal untuk saat-saat tertentu, meluruskan langkah dan mengesampingkan berbagai hal yang menganggu.

  • Sumber : Kitab La Tahzan : Jangan Bersedih (Don’t Be Sad) Setelah Kesulitan Pasti ada Kemudahan. Penulis : Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni (Penterjemah: Noraine Abu).
  • (Ditaip semula dari Kitab La Tahzan sebagai bacaan bersama).

LA TAHZAN SIRI 19: “Pendengki Lebih Rendah Daripada Yang Didengki

Link Live Dari Ustazah Muzayyanah @ustazahmuzayyanah : (20+) Facebook

Bab 19 : Pendengki Lebih Rendah Daripada Yang Didengki

Kedengkian (hasad) itu seperti makanan masin yang sentiasa merapuhkan tulang. Hasad itu juga seperti penyakit kronik yang selalu merosakkan tubuh secara perlahan-lahan sehingga membusuk. Ada ungkapan : “Tidak ada yang menyenangkan dari seorang pendengki, kerana ia akan selalu menjadi musuh dalam selimut. “Ada pula orang-orang yang berkata seperti ini: “Celaka benar seorang pendengki; memulai dengan persahabatan dan mengakhiri dengan pembunuhan.

            Saya berusaha mencegah diri peribadi saya dan juga anda agar tidak mengidap penyakit dengki. Ini merupakan wujud kasih-sayang saya terhadap diri saya sendiri dan terhadap anda sebelum dapat mencurahkan kasih-sayang kepada orang-orang lain. Bagaimana pun, dengan dengki terhadap orang lain, kita sama halnya dengan memberi makan kesedihan kepada daging-daging kita, memberi minum kegelisahan kepada darah kita dan menyebarkan rasa mengantuk pelupuk mata kita kepada orang lain.

            Seorang pendengki itu, ibarat orang yang menyalakan pemanggang roti, lalu setelah panas ia memasukkan dirinya sendiri ke dalam pemanggang itu. Keresahan, kecemasan dan kegelisahan hidup merupakan penyakit-penyakit yang dilahirkan oleh sifat dengki untuk mengakhiri ketenteraman, kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Bencana besar yang menimpa seorang pendengki adalah dikeranakan ia selalu melawan qadha (ketentuan Allah), menuduh Allah tidak adil dalam kebaikanNya, melecehkan syariat, dan selalu menyeleweng dari ajaran-ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

            Sesungguhnya kedengkian itu merupakan penyakit yang tidak bakal mendatangkan pahala, dan juga bukan cubaan yang akan mendatangkan balasan baik dari Allah bagi para pelakunya. Seorang pendengki akan selalu panas ketika melihat orang lain mendapatkan kenikmatan dan kelebihan. Dan itu akan berlanjut sampai ia mati, atau terkadang sampai kenikmatan orang lain tadi sudah tidak ada lagi.

            Semua orang boleh diajak bersahabat, kecuali seorang pendengki. Sebab seorang pendengki akan selalu membawa kita agar meremehkan nikmat-nikmat Allah, menanggalkan semua keperibadian baik kita, melepaskan ciri kehormatan kita dan meninggalkan semua sejarah baik kita. Itulah hal-hal yang akan membuat seorang pendengki menerima – meski mungkin dengan berat hati – anda sebagai sahabatnya. Akan tetapi, bukankah kita harus berlindung kepada Allah dari kejahatan seorang pendengki  ketika mendengki?

            Betapapun, seorang pendengki itu tetap seperti ular hitam berbisa yang tidak akan pernah diam sebelum menyemburkan bisanya pada tubuh yang tidak berdosa.

            Sesungguhnya saya peringatkan anda agar jangan sekali-kali cuba untuk memiliki rasa dengki. Berlindunglah kepada Allah agar tidak bergaul dengan seorang pendengki, kerana Dialah yang selalu mengawasi anda!.

  • Sumber : Kitab La Tahzan : Jangan Bersedih (Don’t Be Sad) Setelah Kesulitan Pasti ada Kemudahan. Penulis : Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni (Penterjemah: Noraine Abu).
  • (Ditaip semula dari Kitab La Tahzan sebagai bacaan bersama).

LA TAHZAN SIRI 18: “Mengingat Allah Akan Mententeramkan”

Link Live Dari Ustazah Muzayyanah @ustazahmuzayyanah : (20+) Facebook

Bab 18 : Mengingat Allah Akan Mententeramkan

Kejujuran itu kekasih Allah. Keterusterangan merupakan sabun pencuci hati. Pengalaman itu bukti. Dan seorang pemandu jalan tidak akan membohongi rombongannya. Tidak ada satu pekerjaan yang lebih melegakan hati dan lebih agung pahalanya selain berzikir kepada Allah.

            Kerana itu, ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat (pula kepadamu…. (Al-Baqarah:152)

            Berzikir kepada Allah adalah syurga Allah dibumiNya. Maka siapa yang tidak pernah memasukinya, ia tidak akan dapat memasuki syurgaNya di akhirat kelak. Berzikir kepada Allah merupakan penyelamat jiwa dari pelbagai kerisauan, kegundahan, kekesalan dan goncangan. Dan zikir merupakan jalan pintas paling mudah untuk meraih kemenangan dan kebahagian hakiki. Untuk melihat faedah dan manfaat zikir, cuba perhatikan Kembali beberapa pesan wahyu Ilahi! Dan cubalah mengamalkannya pada hari-hari anda, nescaya anda akan mendapatkan kesembuhan!

            Dengan berzikir kepada Allah, awan ketakutan, kegalaun, kecemasan dan kesedihan akan sima. Bahkan dengan berzikir kepadaNya segunung tumpukan beban kehidupan dan permasalahan hidup akan runtuh.

            Tidak menghairankan bila orang-orang yang selalu mengignat Allah sentiasa Bahagia dan tenteram hidupnya. Itulah yang memang seharusnya terjadi. Ada pun yang sangat menghairankan adalah bagaimana orang-orang yang lalai dari berzikir kepada Allah itu justeru menyembah berhala-berhala dunia. Padahal….

            (Berhala-berhala) itu mati tidak hidup dan berhala-berhala itu tidak mengetahui bilakan penyembah-penyembahnya akan dibangkitkan. (An-Nahl:21)

            Wahai orang yang mengeluh kerana sukar untuk tidur, yang menangis kerana sakit, yang bersedih kerana sebuah tragedi dan yang berdukacita kerana suatu musibah, sebutlah namaNya yang kudus!

….apakah kamu mengetahui ada seorang yang sama dengan Dia (yang patut disembah)? (Maryam: 65)

            Semakin banyak anda mengingat Allah, fikiran anda akan semakin terbuka, hati anda semakin tenteram, jiwa anda semakin bahagia, dan Nurani anda semakin Sentosa. Itu kerana dalam mengingat Allah terkandung nilai-nilai ketawakkalan kepada-Nya, keyakinan penuh kepadNya, ketergantungan diri hanya kepadaNya, kepasrahan kepadaNya, berbaik sangka kepadaNya dan pengharapan kebahagian dariNya. Dia sentiasa dekat ketika si hamba berdoa kepadaNya, sentiasa mendengar ketika diminta dan sentiasa mengabulkan jika dimohon. Rendahkan dan tundukkan diri anda ke hadapanNya, lalu sebutlah secara berulang-ulang namaNya dan penuh berkah itu dengan lidah anda sebagai pengakuan akan keEsaanNya. Sampaikan pujian doa, permohonan dan permintaan ampunan anda kepadaNya. Dengan begitu nescaya anda – berkat kekuatan dan pertolongan dariNya – akan mendapatkan kebahagiaan, ketenteraman, ketenangan, cahaya penerang dan kegembiraan. Dan….

kerana itu Allah memberikan kepada mereka pahala di dunia dan pahala yang baik di akhirat …. (Ali-‘Imran: 148)

  • Sumber : Kitab La Tahzan : Jangan Bersedih (Don’t Be Sad) Setelah Kesulitan Pasti ada Kemudahan. Penulis : Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni (Penterjemah: Noraine Abu).
  • (Ditaip semula dari Kitab La Tahzan sebagai bacaan bersama).

LA TAHZAN SIRI 17: “Ambillah Madu Dan Jangan Rosak

Link Live Dari Ustazah Muzayyanah @ustazahmuzayyanah : (20+) Facebook

Bab 17 : Ambilah Madu dan Jangan Rosak Sarangnya

Di mana pun kelembutan itu berada, ia akan menghiasi tempat itu. Demikian halnya bila ia dicabut dari suatu tempat, ia akan mengotorinya. Kelembutan tuturkata, senyuman tulus di bibir dan sapaan-sapaan yang terpuji saat bersua merupakan hiasan-hiasan yang selalu dikenakan oleh orang-orang mulia.

Semua itu merupakan sifat seorang mukmin yang akan menjadikannya seperti seekor lebah; makan dari makanan yang baik dan menghasilkan madu yang baik. Dan bila hinggap pada setangkai bunga, ia tidak akan merosakkannya. Itu kerana Allah menganugerahkan pada kelembutan sesuatu yang tidak Dia berikan kepada kekerasan.

            Di antara manusia terdapat orang-orang ‘istimewa’ yang membuat banyak kepala tunduk hormat menyambut kedatangannya, orang datang berduyun-duyun kerana ingin melihat mukanya, banyak hati bersimpati padanya dan banyak jiwa memujinya. Dan mereka itu tidak lain adalah orang-orang yang banyak dicintai dan dibicarakan manusia dikeranakan kedermawanan dan kelobaannya, kejujurannya dalam berjual beli dan keramahan dan sopan-santunnya dalam bergaul.

            Mencari banyak teman merupakan tuntunan dalam hidup yang selalu dicontohkan oleh orang-orang terhormat dikeranakan akhlaq dan perilakunya yang terpuji. Mereka itulah orang-orang yang selalu berada di tengah-tengah kerumunan manusia dengan senyum yang merekah, keramahan yang mententeramkan dan sopan-santun yang menyejukkan. Dan kerana itu, mereka selalu ditanyakan dan didoakan ketika tidak terlihat.

            Orang-orang yang Bahagia memiliki tuntunan akhlaq yang secara garis besar tercakup dalam slogan:

…. tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. (Fushshilat: 34)

            Begitulah mereka dapat memupuskan rasa dengki dengan emosi yang terkawal, kesabaran yang menyejukkan, dan kemudahan memaafkan yang mententeramkan. Mereka adalah orang-orang yang mudah melupakan kejahatan dan mengingat kebaikan orang lain. Kerana itu, takkala kata-kata kotor dan keji terlontar untuk mereka, telinga mereka tidak akan merah dibuatnya. Bahkan mereka memandang kata-kata itu sebagai angin lalu yang tidak akan pernah kembali.

            Mereka itulah orang-orang yang selalu berada dalam kedamaian, orang-orang yang berada di sekitar mereka merasa aman, dan kaum Muslimin yang bersama mereka pun merasa tenteram.

Orang muslim adalah orang yang orang-orang muslim lainya selamat dari gangguan lidah dan tangannya. Orang mukmin adalah orang yang orang-orang lainya merasa aman dari gangguannya, naik dalam jiwa mahupun harta mereka (Al-Hadith)

Sesungguhnya Allah telah menyuruhku untuk menyambung tali silaturahim dengan orang yang telah memutuskannya dariku, memaafkan orang yang telah menzalimiku, dan memberikan harta kepada orang yang tidak memberikan harta kepadaku (Al-Hadith)

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) (Ali-‘Imran:134)

            Sampaikan khabar gembira kepada mereka bahawa, balasan Allah atas ketenangan, ketenteraman dan kedamaian mereka adalah akan disegerakan. Khabarkan pula sebuah khabar gembira kepada mereka bahawa mereka juga akan mendapatkan balasan besar di akhirat berupa syurga-syurga dan sungai-sungai yang indah di sisi Rabb mereka kelak. Yakni:

Di tempat yang disenangi di sisi Rabb Yang Berkuasa (Al-Qamar:55)

  • Sumber : Kitab La Tahzan : Jangan Bersedih (Don’t Be Sad) Setelah Kesulitan Pasti ada Kemudahan. Penulis : Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni (Penterjemah: Noraine Abu).
  • (Ditaip semula dari Kitab La Tahzan sebagai bacaan bersama).

LA TAHZAN SIRI 16: “Iman Adalah Kehidupan Yang Sebenarnya”

Link Live Dari Ustazah Muzayyanah @ustazahmuzayyanah : (20+) Facebook

Orang-orang yang sesungguhnya paling sengsara adalah mereka yang miskin iman dan mengalami krisis keyakinan. Mereka ini, selamanya akan berada dalam kesengsaraan, kepedihan, kemurkaan dan kehinaan.

            Dan barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit…. (Thaha: 124)

            Tiada ada sesuatu yang dapat membahagiakan jiwa, membersihkannya, menyucikannya, membuatnya Bahagia, dan mengusir kegundahan darinya selain keimanan yang benar kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, Tuhan semesta alam. Ringkasnya, kehidupan akan terasa hambar tanpa iman.

            Dalam pandangan para pembangkang Allah yang sama sekali tidak beriman, cara terbaik untuk menenangkan jiwa adalah dengan bunuh diri. Menurut mereka ini, dengan bunuh diri mereka akan terbebas dari segala tekanan, kegelapan dan bencana dalam hidupnya. Betapa malangnya hidup yang miskin iman! Dan betapa pedihnya seksa dan azab yang akan dirasakan oleh orang-orang yang menyimpang dari tuntunan Allah di akhirat kelak!.

Dan, (begitu pula) Kami memalingkan hati dan penglihatan mereka seperti mereka belum pernah beriman kepadaNya (Al-Quran) pada permulannya, dan kami biarkan mereka bergelimang dalam kesesatannya yang sangat sesat. (Al-An’am: 110).

            Kini, sudah saatnya dunia menerima dengan tulus ikhlas dan berima dengan sesungguhnya bahawa “tidak ada Tuhan selain Allah”. Betapapun, pengalaman dan ujian terhadap manusia sepanjang sejarah kehidupan dunia ini dari abad ke abad telah membuktikan banyak hal; menyedarkan aqal bahawa berhala-berhala itu takhayul belaka, kekafiran itu sumber petaka, pembangkangan itu dusta, para rasul itu benar adanya, dan Allah benar-benar Sang Pemilik kerajaan bumi dan langit-segala puji bagi Allah dan Dia sungguh-sungguh Maha Kuasa atas segala sesuatu.

            Seberapa besar – kuat atau lemah, hangat atau dingin-iman anda, maka sebatas itu pula kebahagiaan, ketenteraman, kedamaian dan ketenangan anda.

Barangsiapa mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. (An-Nahl: 97).

            Maksud kehidupan yang baik (hayatan thahhibah) dalam ayat ini adalah ketenangan jiwa mereka dikeranakan janji baik Tuhan mereka, keteguhan hati mereka dalam mencintai Dzat yang menciptakan mereka, kesucian nurani mereka dari unsur-unsur penyimpangan iman, ketenangan mereka dalam menghadapi setiap kenyataan hidup, kerelaan hati mereka dalam menerima dan menjalani ketentuan Allah, dan keikhlasan mereka dalam menerima taqdir. Dan, itu semua adalah karena mereka benar-benar yakin dan tulus menerima bahwa Allah adalah Tuhan mereka, Islam agama mereka dan Muhammad adalah Nabi dan Rasul yang diutus Allah untuk mereka.

  • Sumber : Kitab La Tahzan : Jangan Bersedih (Don’t Be Sad) Setelah Kesulitan Pasti ada Kemudahan. Penulis : Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni (Penterjemah: Noraine Abu).
  • (Ditaip semula dari Kitab La Tahzan sebagai bacaan bersama).

LA TAHZAN SIRI 14: “Lapangkan Dada Anda Dengan Ber’uzlah”

Link Live Dari Ustazah Muzayyanah @ustazahmuzayyanah : (20+) Facebook

Mengasingkan diri yang diajarkan syariat dan sunnah Rasul adalah menjauhkan diri dari kejahatan dan pelakunya, orang-orang yang banyak waktu kosongnya, orang-orang yang lalai, dan orang-orang yang senang membuat huru-hara. Dengan begitu, jiwa anda akan selalu terkawal, hati menjadi tenang dan sejuk, fikiran selalu jernih, dan anda akan merasa leluasa dan bahagia berada di taman-taman ilmu pengetahuan.

                Mengasingkan diri (‘uzlah) dari semua hal yang melalaikan manusia dari kebaikan dan ketaatan merupakan ubat yang sudah diuji dan dibuktikan kemujaraban oleh para ahli pengubatan hati. Banyak cara untuk menjauhkan diri dari kejahatan dan permainan yang sia-sia. Di antaranya adalah; mengisi waktu dengan menyuntukkan wawasan baru ke dalam aqal fikiran, menjalankan semua hal yang sesuai dengan kaedah “takut kepada Allah”, dan juga menghadiri majlis-majlis pertaubatan dan zikir. Betapapun, perkumpulan atau majlis yang terpuji dan patut dikunjungi adalah yang digunakan untuk menjalankan solat berjama’ah, menuntut dan mengajarkan ilmu atau untuk saling membantu dalam kebaikan. Maka dari itu, hindarilah majlis-majlis yang tidak jelas tujuannya dan tidak pula berguna! Jaga kesucian kulit anda, tangisilah kesalahan anda dan jagalah lidah anda! Semoga dengan itu rumah anda dapat membahagiakan hati anda.

                Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan merupakan serangan mematikan bagi jiwa dan ancaman yang membahayakan keamanan dan kedamaian diri anda. Sebabnya, melakukan hal itu bererti anda telah bergaul dengan syaitan-syaitan pembisik desas-desus, penyebar khabar bohong, peramal bencana dan petaka. Dan itu, akan membuat anda mati tujuh kali dalam sehari sebelum anda benar-benear mati. Maka….

    jika mereka berangkat bersama-sama kamu, nescaya mereka tidak menambah kamu selain dari kerosakan belaka…. (AT-Taubah: 47)

                Atas dasar itu, harapan saya satu-satunya adalah suapaya anda menjalani apa pun keadaan anda, tetap menyendiri di “bilik” anda dan hanya keluar untuk berkata atau berbuat baik saja. Pada saat seperti itu hati anda akan benar-benar menjadi milik anda, sehingga waktu dan umur anda selamat dari kesia-siaan, lidah anda terhindar dari menggunjing (ghibah),hati anda bersih dari kerisauan, telinga anda terjauh dari ucapan kotor, dan jiwa anda bebas dari berburuk sangka.

                Siapa pun yang selalu mencuba pasti akan mendapat pengetahuan. Siapa pun yang membiarkan jiwanya bersama-sama keragu-raguan dan bercampur-gaul bersama orang awam, maka katakanlah “Alaihissalam!” (Semoga dia mendapat keselamatan).

  • Sumber : Kitab La Tahzan : Jangan Bersedih (Don’t Be Sad) Setelah Kesulitan Pasti ada Kemudahan. Penulis : Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni (Penterjemah: Noraine Abu).
  • (Ditaip semula dari Kitab La Tahzan sebagai bacaan bersama).

LA TAHZAN SIRI 13: “Masih Ada Yang Selalu Mengabulkan

Link Live Dari Ustazah Muzayyanah @ustazahmuzayyanah : (20+) Facebook

Siapakah yang berhak mejadi tempat mengadu orang-orang yang dilanda kegelisahan, kesempitan, kesulitan dan kesedihan?. Kepada siapakah mereka harus memohon pertolongan? Siapakan yang layak menjadi tempat bergantung, memohon, meminta dan meratap semua makhluk? Siapakan yang berhak menjadu gantungan hati dan selalu diucapkan oleh lidah manusia? Tidak lain, adalah hanya Allah yang tiada Tuhan selain Dia.

            Bagiku dan juga anda, adalah suatu kewajipan untuk berdoa dan meminta kepadaNya dalam keadaan lapang mahupun sempit, dalam keadaan mudah mahupun ketika susah. Kita harus menumpahkan semua permasalahan ke pangkuanNya dan kita juga tetap harus bertawassul kepadaNya. Kita harus duduk bersimpuh di depan pintu gerbangNya sambil memohon, menangis merendahkan diri dan meminta ampunanNya. Dan kemudaian, tunggulah! Kerana pada saatnya nanti akan datang pertolongan, ma’unah (huluran), bantuan dan kemudahan yang bersumber dariNya.

….Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepadaNya…(An-Naml:62)

Jawabahnya adalah bahawa, Allahlah yang menyelematkan orang yang tenggelam, memberi jalan keluar orang-orang yang mengalami kesulitan, menolong orang-orang yang dizalimi, memberi petunjuk orang yang sesat, menyembuhkan orang yang sakit, dan meringankan beban orang yang mendapat cubaan.

….Maka apabila mereka naik kapal, mereka berdoa kepada Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya. (A’-Ankabut: 65)

            Di sini, saya tidak akan memaparkan doa-doa pengusir rasa dukacita, gundah dan sedih. Bagaimanapun, sebaiknya anda mempelajari sendiri kalimah-kalimah doa yang indah dalam kitab-kitab hadith. Setelah itu, mengadulah, merataplah, berdoa dan memohonlah kepadaNya. Dan bila anda sudah berhasil menemukanNya, bererti anda telah mendapatkan segalanya. Akan tetapi, jika anda kehilangan iman kepadaNya, nescaya anda telah kehilangan segalanya.

            Doa anda kepada Rabb terhitung sebagai wujud lain dari ibadah dan bukti ketaatan besar yang akan mendatangkan suatu pemberian yang lebih dari apa yang anda minta. Maka dari itu, seorang hamba yang benar-benar mengetahui hakikat berdoa kepada Allah, nescaya ia tidak akan pernah resah, gundah dan berserabut fikirannya.

            Semua tali akan mengerut kecuali taliNya, dan semua pintu akan tertutup kecuali pintuNya. Allah Maha Dekat, Maha Mendengar dan Maha Menjawab. Dia mengabulkan doa setiap orang yang berada dalam kesulitan. Dia memerintahkan anda – kerana anda manusia yang selalu memerlukan dan lemah, dan Dia Maha Kaya, Maha Kuat, Maha Tunggal dan Maha Terpuji – agar sentiasa berdoa. Dia berfirman:

….berdoalah kamu kepadaNya, nescaya akan Kuperkenankan bagimu…. (Al-Mu’minum: 60)

            Ketika musibah dan bencana datang silih berganti menimpa anda, berzikirlah kepadaNya, sebtulah namaNya, mohonlah pertolonganNya, dan mintalah jalan keluar dariNya!. Tundukkan wajah untuk mengkuduskan namaNya demi mendapatkan mahkota kemerdekaan dariNya! Lekatkan hidung pada tempat anda bersujud kepadaNya agar anda mendapatkan keselamatan! Angkat kedua tangan anda, buka kedua telapak tangan anda, perbanyak memohon kepadaNya, jangan nada bosan meminta kepadaNya, dan jangan anda berpaling dari depan pintuNya! Harapkanlah kelembutan kasih-sayang dariNya, nantikan pertolonganNya, nyaringkan suara anda tatkala menyebut namaNya, dan selalu berbaik sangka kepadaNya! Curahkan seluruh waktu anda untukNya dan beribadahlah kepadaNya dengan tekun agar anda mendapatkan kebahagiaan dan kemenangan.

  • Sumber : Kitab La Tahzan : Jangan Bersedih (Don’t Be Sad) Setelah Kesulitan Pasti ada Kemudahan. Penulis : Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni (Penterjemah: Noraine Abu).
  • (Ditaip semula dari Kitab La Tahzan sebagai bacaan bersama).