FALSAFAH KEPIMPINAN DIRI

1. PENEROKAAN TERHADAP DIRI SENDIRI

  • Mengenali diri sendiri & mengetahui kepercayaan diri sendiri
  • Mengetahui keutamaan dan matlamat diri sendiri
  • Mengenal pasti kekuatan diri, kelemahan yang perlu diperbaiki, nilai yang dipegang oleh diri sendiri dan motivasi diri sebagai pendidik.
  • Menggunakan pendekatan penilaian kendiri/refleksi kendiri
  • Mendapatkan maklum balas daripada rakan sejawat dan pelajar
  • Melakukan refleksi kendiri untuk lebih memahami diri sendiri dan melakukan penambahbaikan secara berterusan.

2. PENERIMAAN TERHADAP DIRI SENDIRI

  • Menerima dan memahami tingkah laku diri sendiri
  • Menerima dan memahami motivasi diri sendiri
  • Meningkatkan kemahiran berkomunikasi secara berkesan untuk menyampaikan idea dengan efektif
  • Menyelesaikan konflik dengan berhikmah
  • Membimbing dan menyokong pelajar serta rakan pensyarah muda/baru
  • Mencari peluang untuk membina rangkaian profesional dan mengadakan jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan, swasta, badan berkanun dan komuniti

3. PENGURUSAN DIRI

  • Mengetahui aspek dan bidang yang perlu pelajari
  • Menyediakan pelan pembelajaran sepanjang hayat
  • Menetapkan matlamat yang jelas dan boleh diukur untuk pengajaran, penyeliaan, penyelidikan, penulisan, perundingan dan pembangunan profesionalisma.
  • Mempelbagaikan strategi pengurusan masa untuk mengimbangi antara pengajaran, penyelidikan, penyeliaan, perundingan, tugas pentadbiran dan kehidupan peribadi secara berkesan.
  • Mengutamakan tugas dan menguruskan tekanan dengan baik melalui teknik relaksasi minda (mindfulness), keutamaan tugasan, dan pembahagian tugasan yang efisien.

4. PERKEMBANGAN DIRI

  • Mengaplikasikan apa yang telah dipelajari
  • Melaksanakan rutin orang berjaya untuk menyokong perkembangan diri
  • Mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk mencipta kejayaan
  • Membina hubungan baik dengan rakan sejawat, pelajar dan pihak berkepentingan lain dalam komuniti dan bidang ilmu
  • Mendengar secara aktif untuk memahami keperluan orang lain.
  • Mewujudkan persekitaran yang kolaboratif dan menyokong dalam jabatan dan pelajar.
  • Mewujudkan peluang pembelajaran sepanjang hayat dengan menghadiri bengkel, persidangan, dan seminar yang berkaitan dengan pendidikan dan kepimpinan.

ASPEK YANG BERJAYA & CEMERLANG

  • Perkhidmatan Profesional seperti penglibatan sebagai penceramah, juri, panel forum yang dijemput oleh pihak luar seperti agensi, sekolah dan yayasan
  • Mempunyai Sijil Amalan Guaman dan Sijil Kaunselor Berdaftar
  • Mempunyai pengalaman bekerja di agensi kerajaa, swasta dan persendirian
  • Mempunyai pengalaman sebagai Sukarelawan JKM & Sukarelawan Kaunselor Berdaftar

ASPEK YANG PERLU PENAMBAHBAIKAN

  • Meningkatkan kemahiran penulisan kertas kerja penyelidikan untuk memohon geran penyelidikan dalaman, FRGS dan geran luar/industri
  • Meningkatkan penulisan artikel jurnal dalam bidang kaunseling dan integrasi bidang perundangan
  • Meningkatkan penulisan buku penyelidikan dan buku karya asli dalam bidang kaunseling dan integrasi bidang perundangan

Definisikan kejayaan mengikut acuan diri sendiri, capai kejayaan dengan peraturan dan panduan yang ditetapkan oleh diri sendiri, serta bina kehidupan yang membanggakan diri sendiri untuk dijalani.

Permulaan Kehidupan Di Sekolah Pendidikan, FSSH, UTM.

Tarikh keramat 20 Mac 2023 mengubah kehidupan Nur Azmina Paslan.

Berbekalkan tawakal maka berhijrah dari Utara ke Selatan. Tujuannya untuk bertebaran di atas muka bumi ALLAH yang luas. Semakin jauh berhijrah semakin luas pengalaman dan pemikiran.

Berbekalkan kepercayaan dan keyakinan kepada panel Kaunseling, diri ini memulakan tugas sebagai pensyarah kanan sepenuh masa memberikan fokus kepada panel, jabatan asas pendidikan, sekolah pendidikan seterusnya fakulti.

Terima kasih kepada Dr Tan Joo Siang, Profesor Madya Dr Mastura Mahfar, Dr Jamaludin Ramli dan Dr Aqeel Khan kerana menerima kehadiran diri ini dalam panel kaunseling untuk bekerjasama sebagai satu pasukan.

Berkenalan dan membina hubungan bersama para pensyarah Jabatan Asas Pendidikan & Sains Sosial. Terima kasih Profesor Madya Dr Mahani Mokhtar yang menerima kehadiran diri ini dalam JAPSS.

Keluarga besar Sekolah Pendidikan, FSSH. Terima kasih Pengerusi Sekolah, Professor Nor Afandy Yahaya yang menerika kehadiran diri ini di Sekolah Pendidikan, FSSH, UTM.

Moga dengan penghijrahan ini memberikan kekuatan untuk diri ini mencorakkan masa depan yang lebih baik serta mengukuhkan kerjaya dalam bidang akademik.

Alhamdulillah ala kulli hal. Haza min fadhli rabbi.

Pengalaman sebagai Pensyarah Kontrak

Pada tahun 2022 selepas tamat pengajian Doktor Falsafah, melapor diri sebagai pensyarah kontrak dalam bidang Kaunseling untuk memperoleh ilmu dan pengalaman dalam bidang akademik.

Tujuannya untuk memberi sumbangan ilmu dan kemahiran melalui pengalaman bekerja si swasta selama bertahun-tahun.

Bidang akademik yang pada awalnya terasa begitu aneh dan rutin harian berubah 360 darjah.

Sedikit demi sedikit menyesuaikan diri dengan skop tugasan yang melibatkan pengajaran, penyeliaan, penyelidikan, penerbitan, perundingan, pengkomersialan dan perkhidmatan profesional.

Pada masa yang sama tidak meninggalkan rutin kerjasama program untuk memberikan sumbangan kepada agensi dan masyarakat.

Di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan selama bertahun-tahun menuntut ilmu dan mencorakkan masa depan yang lebih baik berbanding 10 tahun sebelum ini.

Pengalaman yang terindah sepanjang berada di Universiti Sains Malaysia.

Pada 1 Mac 2023 secara rasminya meletakkan jawatan sebagai Pensyarah Kontrak untuk berhijrah demi masa depan yang lebih baik. Yakin dan percaya dengan penghijrahan terkandung 1001 hikmah.

Alhamdulillah ala kulli hal. Haza min fadhli rabbi.

Pengalaman Kerjaya Sebagai Pekerja Sosial

Pada tahun 2017 memasuki perkhidmatan awam sebagai Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Gred 29 di Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memperoleh ilmu dan pengalaman melalui proses bekerja secara formal

Melapor diri di Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Putrajaya. Kemudian menjalani on job training selama dua minggu di Taman Seri Puteri dan Taman Sinar Harapan di Cheras.

Kemudian menjalani kursus Pembangunan Profesionalisma Pegawai dan Program Transformasi Minda sebagai syarat untuk pengesahan jawatan.

Setelah tamat berkursus, diberikan penempatan untuk bertugas secara rasmi. Pada tahun 2018 melapor diri di Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu. Kemudia ditempatkan sebagai Pegawai Hal Ehwal Penghuni di Sekolah Tunas Bakti Marang Terengganu.

Pada tahun 2019 kembali ke Pulau Pinang dan ditempatkan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Barat Daya, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang.

Ditugaskan di Unit Kanak-Kanak dan Perintah Khidmat Masyarakat. sebagai Pegawai Akhlak dan Pegawai Sosia. Skop tugasan yang banyak mengendalikan temubual dan penyediaan Laporan Akhlak dan Laporan Sosial sebagai pengesyoran kepada majistret untuk menjatuhkan hukuman kepada pesalah kanak-kanak/bawah umur.

Pada November tahun 2019 secara rasminya meletakkan jawatan sebagai Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat untuk fokus kepada pengajian PhD demi masa depan yang lebih baik.

Alhamdulillah ala kulli hal. Haza min fadhli rabbi.

Pengalaman Kerjaya Sebagai Kaunselor Berdaftar

Permulaan menceburi bidang kaunseling adalah ketika chambering di firma guaman yang memerlukan diri ini berinteraksi dan berkomunikasi dengan klien yang menghadapi konflik dalam rumahtangga, proses penceraian di Mahkamah Syariah dan proses penyesuaian diri klien pasca penceraiaan.

Ketika itu menyebabkan ada keperluan untuk diri ini mempunyai kemahiran asas menolong klien dan kemahiran kaunseling khususnya Kaunseling Perkahwinan & Kaunseling Keluarga.

Maka bermula perjalanan sebagai pelajar pasca siswazah Kaunseling secara separuh masa di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia.

Proses pengajian yang memerlukan diri ini menjalani praktikum di Pusat Pengajian Komunikasi dan internship di Universiti Teknologi Mara Cawangan Permatang Pauh, Pulau Pinang. yang sangat berharga sepanjang internship dan tidak dapat dilupakan.

Disamping praktikum dan internship, projek akhir Sarjana Kaunseling sangat membantu memberikan pendedahan kepada penulisan ilmiah dalam bidang pendidikan.

Pesanan Dr Mohamad Hashim Othman kepada kami bertiga: Belajar bersama-sama, bergraduasi bersama-sama.

We grow together and support each other sepanjang pengajian Master hingga ke PhD.

Setelah tamat pengajian Sarjana Kaunseling, bermula cabaran sebagai Kaunselor Berdaftar dengan penerimaan masyarakat terhadap perkhidmatan Kaunseling secara berbayar mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Lembaga Kaunselor Malaysia.

Selain mengendalikan sesi kaunseling, memberi sumbangan sebagai Sukarelawan Kaunselor Berdaftar terhadap program psikopendidikan kepada masyarakat anjuran Lembaga Kaunselor Malaysia.

Pengalaman yang sangat berharga adalah apabila diberikan peluang untuk mengendalikan sesi kaunseling kelompok bersama banduan wanita dalam penjara.

10 tahun proses dan perjalanan untuk membina kerjaya bukanlah suatu yang mudah. The journey is not easy. Alhamdulillah ala kulli hal. Haza min fadhli rabbi.

Pengalaman Kerjaya Sebagai Peguam Syarie

Bermula sebagai pelajar Syariah & Undang-Undang di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Sepanjang bergelar mahasiswi selama empat tahun, memperoleh banyak pengalaman ketika Latihan Industri di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang & Jabatan Pendakwaan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

Setelah bergraduat, memulakan perjalanan chambering di firma guaman untuk melayakkan diri ditauliahkan sebagai Peguam Syarie. Pengalaman chambering yang berharga walaupun perit kerana ketika itu majikan memberikan RM500 sebulan. Sepanjang chambering perlu belajar hidup susah.

Setelah diisytiharkan sebagai Peguam Syarie, bermulalah liku-liku perjalanan yang penuh dengan cabaran yang tidak terjangka dek akal.

Bidang Guaman Syarie membentuk daya tahan dan daya tindak diri untuk berhadapan dengan realiti kes di Mahkamah Syariah dan realiti ragam klien yang sebenar. Sepanjang belajar di universiti banyak memfokuskan kepada teori. Setelah bekerja diri ini perlu belajar untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari secara praktikal dan belajar daripada pengalaman.

Pengalaman yang sangat mencabar dan berharga adalah ketika temubual di hadapan Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor.

Tiada kejayaan dalam bergolek khususnya dalam proses membina kerjaya dalam bidang yang diceburi. Segala keperitan dan kesusahan yang dilalui terasa begitu manis dan memberikan satu kepuasan. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.

Prinsip diri ini: Terus berjuang selagi bernyawa. Yakin pada ALLAH. Yakin pada proses. Proses pembelajaran sepanjang hayat.

Sejarah Pendidikan

Perjalanan ke pengajian tinggi bermula dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia di SMKA Al-Irshad Kepala Batas. Kemudian meneruskan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah & Undang-Undang di Universiti Malaya. Saya berjaya menamatkan pengajian dan bergraduasi pada tahun 2014.

Kemudian saya menyambung pengajian Sarjana Kaunseling di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (Kampus Induk) secara separuh masa sambil bekerja. Saya berjaya menamatkan pengajian dan bergraduasi pada tahun 2017.

Setelah itu saya menyambung pengajian Doktor Falsafah dalam bidang Kaunseling di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (Kampus Induk) secara separuh masa sambil bekerja. Saya berjaya menamatkan pengajian PhD pada tahun 2021 dan bergraduasi pada tahun 2022.

Biodata

Nama saya Dr. Nur Azmina Binti Paslan. Saya berasal dari Pulau Pinang. Mula berkhidmat di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia pada 20 Mac 2024. Bidang pengkhususan saya adalah Pendidikan Bimbingan & Kaunseling di bawah Jabatan Asas Pendidikan & Sains Sosial.