Anugerah Penasihat Akademik 2025 – Citra Karisma UTM

Alhamdulillah, syukur atas anugerah ini.
Selama bergelar pensyarah dan penasihat akademik, saya tidak pernah terfikir untuk memohon anugerah sebegini kerana saya melihatnya sebagai sebahagian daripada amanah kita dalam memantau pelajar.

Sepanjang 18 tahun menjadi pensyarah, pelbagai pengalaman telah ditempuhi dengan pelajar yang datang dari latar belakang dan kisah hidup yang berbeza. Atas dorongan Ketua Jabatan, saya memberanikan diri untuk memohon meskipun saya tahu ramai lagi rakan pensyarah yang jauh lebih hebat dengan pengalaman luar biasa.

Proses saringan dan temuduga bersama panel sangat mencabar. Namun ada satu kata-kata Prof panel yang benar-benar menyentuh hati saya:

“Menjadi penasihat akademik bukan hanya untuk pelajar yang cemerlang, tetapi juga untuk pelajar yang sedang diuji dengan pelbagai masalah. Kita dipilih untuk menjaga mereka ketika orang lain, termasuk ibu bapa sendiri, mungkin tidak tahu apa yang mereka lalui.”

Saat itu, bergenang air mata saya. Ya, saya diuji dengan anak-anak pelajar yang hilang semangat hidup, yang bergelut dengan masalah mental, malah ada yang terjerat dengan salah laku. Bagaimana kita menyantuni mereka di titik terendah hidup mereka benar-benar menguji hati seorang pendidik.

Saya hanya lakukan apa yang seorang ibu lakukan: mendengar, memberi sokongan berterusan, dan sentiasa memantau setiap bulan, malah setiap minggu bila diperlukan.

Selain itu, saya juga sentiasa membimbing mereka menentukan hala tuju selepas graduasi. Ini kerana bidang pembinaan tidak mempunyai satu laluan kerjaya yang straightforward seperti Seni Bina (arkitek) atau Ukur Bahan (QS). Bidang pembinaan itu istimewa, luas, dan banyak peluang, kita boleh menjadi Construction Planner, Construction Manager, Site Engineer, Site Supervisor, Project Manager dan pelbagai lagi.

Walau tiada satu gelaran spesifik, kita boleh jadi luar biasa!

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.