Category Archives: ANAM2020

Mengapa industri nasyid sukar tawan hati peminat?

                                                             sumber : carian google

Industri nasyid sememangnya mempunyai peminat yang tersendiri. Elemen kerohanian yang diterapkan di dalam lagu-lagu nasyid kebiasaannya menenangkan jiwa bagi mereka yang menghayati tiap-tiap bait lirik lagu tersebut.

Namun, secara jujurnya sebagai peminat tegar industri nasyid, daripada sudut pandang kacamata saya, promosi menerusi corong-corong radio mahupun dada akhbar agak mengecewakan. Untuk berlaku adil, masih ada digital platform yang memperjuangkan lagu-lagu kerohanian seperti contoh Radio Ikim FM serta Zayan FM. Disebabkan usaha murni ini, ucapan tahniah saya ucapkan kepada kedua-duanya.

Terdapat juga usaha menaikkan semula industri nasyid melalui rancangan realiti muzik iaitu Gema Gegar Vaganza yang diterbitkan pada tahun 2018 oleh Astro Oasis. Bagi pendapat saya, program tersebut memberi impak positif dalam meningkatkan semula populariti penyanyi nasyid profesional samada yang lama mahupun yang baru bertapak seperti kumpulan Hijjaz, Saujana, Inteam serta banyak lagi. Sayang sekali, program yang memberi manfaat seperti itu bertahan sekadar dua musim sahaja. Seharusnya, rancangan realiti tersebut perlu diadakan pada setiap tahun.

Baru-baru ini, telah diadakan Anugerah Nasyid Malaysia 2020 (ANAM) yang berlangsung pada 27 Disember 2020 di Auditorium Perdana Angkasapuri, Kuala Lumpur . Program tersebut telah dipancarkan secara langsung di dalam siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) 1. Perkara tersebut sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan peminat nasyid yang telah lama menunggu anugerah berprestij tersebut diadakan bagi menghargai pengkarya nasyid tanah air.

Anugerah ini tercetus hasil daripada hasrat Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang bersungguh-sungguh ingin membawa irama nasyid kembali mencapai kegemilangan. Saya sangat bersyukur melihat industri nasyid nampak kembali bernyawa melalui usaha ini.

Walaupun begitu, peranan meningkatkan industri nasyid ini perlu diperkukuhkan lagi melalui kekreatifan artis nasyid itu sendiri menjenamakan artis di bawah label mereka. Antara artis muda yang mencuri tumpuan saya adalah artis di bawah label Tarbiah Sentap , iaitu Aniq Muhaimin yang telah memenangi anugerah Artis Nasyid Baru Pilihan di dalam ANAM 2020 baru-baru ini.

Aniq Muhaimin atau dikenali sebagai Aniq Muhai merupakan artis baru yang berpotensi untuk melebarkan bakat ke tahap lebih tinggi melihat kepada hasil ciptaan lagu dan lirik beliau sepenuhnya melalui lagu Hingga Saat Akhir serta lagu-lagu ‘cover’ versi dakwah yang sering dimuatnaik di media sosial beliau. Selain Aniq, artis-artis di bawah label Tarbiah Sentap sering mencuri tumpuan anak muda dengan menggubah lirik lagu-lagu yang trending kepada lirik dakwah yang santai dan positif.

Tahniah kepada pengurusan label Tarbiah Sentap yang telah diasaskan oleh Ustaz Ahmad Adnin Bin Roslan yang aktif sebagai penulis, penceramah serta komposer dalam membawa arus baru ke dalam dunia nasyid. Oleh itu, saya sertakan link Youtube cover lagu Dance Monkey yang telah diubahsuai versi dakwah bagi anda yang belum pernah mendengar karya-karya mereka.

https://www.youtube.com/watch?v=sCk8fnrlXYE
sumber : youtube Tarbiah Sentap

Akhir kalam, saya terpanggil untuk membuka topik ini kerana pada zaman penuh cabaran ini, suntikan rohani melalui lagu-lagu kerohanian sangatlah diperlukan sebagai salah satu cabang medium untuk berdakwah. Saya mendoakan agar industri nasyid dapat mencapai zaman kegemilangan serta dikenali di seluruh dunia seperti kejayaan kumpulan Raihan suatu ketika dahulu. Wallahua’lam.

**Ini hanyalah pandangan peribadi penulis