Category Archives: fast track

KEJAYAAN CALON SPM PRO MAX YANG LUARBIASA

Gambar kenangan penulis bersama guru-guru serta anak-anak Tadika Ihsan pada tahun 2018

Pada ketika ini, masalah pandemik Covid-19 masih lagi membelenggu negara kita meskipun populasi yang mendapat vaksin semakin meningkat dari hari ke hari. Namun, seperti yang kita ketahui, penyaluran medium ilmu masih tetap diteruskan meskipun pelbagai cabaran dihadapi oleh pelbagai pihak terutamanya pengurusan guru,murid-murid yang mengambil peperiksaan penting serta ibu bapa yang terlibat dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Namun begitu, menariknya baru-baru ini kita dikejutkan dengan pencapaian membanggakan calon-calon SPM 2020 yang juga digelar calon SPM PROMAX bagi sesetengah netizen, kerana isu penangguhan peperiksaan penting tersebut sebanyak tiga kali menyamai versi sesebuah telefon berjenama yang terkenal di Malaysia ini. Menurut laporan akhbar Berita Harian, seramai 9,411 calon SPM daripada jumlah keseluruhan calon SPM telah berjaya memperoleh keputusan semua A. Tahniah! https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/826087/9411-calon-spm-2020-memperolehi-keputusan-semua

Jika ditelusuri, saya mengenang kembali detik pembelajaran semasa zaman menduduki sekolah rendah. Terdapat satu peperiksan iaitu dinamakan Peperiksaan Tahap Satu (PTS) yang membolehkan pelajar tahap satu yang lulus cemerlang di dalam peperiksaan tersebut terus menginjak ke Darjah Lima tanpa perlu melalui pembelajaran Darjah Empat. Ketika itu, nama jolokan kepada kawan-kawan yang berjaya PTS ini kami panggil ‘budak lompat’. Kiranya mendapat gelaran geng budak pandai zaman itu. Ketika itu, saya antara calon yang tidak berjaya. Tahniah rakan-rakan yang berjaya dan ada yang saya bertemu kembali sama-sama berkhidmat di UTM. Namun begitu, sistem PTS telah dimansuhkan ketika Dr Maszlee Malik menjadi Menteri Pendidikan atas beberapa faktor. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/01/516704/10-sebab-peperiksaan-tahap-satu-dimansuhkan-maszlee

Selain itu, ketika saya menuntut di alam universiti, sekali lagi kami melalui fasa atau trend menamatkan pengajian dengan cepat iaitu melalui sistem fast track. Bagi sesiapa yang berminat untuk menghabiskan pengajian awal daripada tempoh sepatutnya, sesetengah universiti ada menawarkan sistem tersebut kepada sesiapa yang layak dan berminat. Bagi pendapat peribadi saya, tidak salah mengambil peluang yang ditawarkan. Malahan, ia bagus dalam menjimatkan masa dan pelajar tersebut dapat melebarluaskan kerjaya dalam usia yang muda. Ia menjadi pembakar semangat bagi rakan-rakan yang lain untuk fokus dan berkobar-kobar mencapai keputusan akhir dengan tujuan GRAD ON TIME.

Walau bagaimanapun, kedatangan pandemik Covid-19 pada penghujung tahun 2019 telah mengubah 360 darjah lanskap pendidikan. Bukan sahaja di Malaysia, malahan seantero dunia menghadapi perkara yang sama. Jika dahulu, pembelajaran secara bersemuka, namun kini, medium dalam talian menjadi perantara utama. Sekiranya dahulu, sesiapa yang menghabiskan pelajaran di dalam usia yang muda menjadi sebutan ramai, namun kini pelajar yang berjaya mengharungi peperiksaan besar walaupun dalam tempoh yang panjang, merekalah yang layak dibanggakan. Ini kerana, mereka merupakan generasi pertama melalui pelbagai perubahan fasa-fasa pembelajaran penuh liku.

Oleh itu, antara pengajaran yang boleh kita rungkaikan melalui perubahan tempo pembelajaran yang berbeza daripada zaman sebelum pandemik dan selepas pandemik ialah kita tidak perlu mengikuti langkah orang lain dalam menentukan hala tuju kehidupan kita. Sesungguhnya, Allah telah merakamkan firmanNya menerusi kalamullah : bermaksud ” Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”(Surah al-Baqarah, 2:286).

Akhir kalam daripada saya, menimba ilmu itu tiada tarikh expired. Oleh itu, perbanyakkan menimba ilmu agar seimbang dunia akhirat kerana itulah bekalan kita di alam yang kekal di sana nanti. Insyaa-Allah.