Tag Archives: ramadan2021

MEMPERBAHARUI AZAM RAMADAN

Program Pembudayaan al_Quran peringkat pejabat Pusat Islam UTM

Pejam celik tanpa sedar bulan Ramadan al-Mubarak sudah seminggu berlalu . Sudah pasti ramai merindui suasana bulan mulia ini, lebih-lebih lagi baru-baru ini kita telah menerima khabar gembira daripada pihak kerajaan bahawa ibadah solat tarawikh di masjid-masjid serta surau dibenarkan dengan pematuhan kepada Standard Operation Procedure (SOP) yang telah ditentukan. Menurut sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta mengharapkan keredaannya, akan diampunkan semua dosanya yang telah lepas.” (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Berdasarkan hadith ini, jelaslah bahawa orang yang berpuasa di bulan Ramadan dengan ikhlas serta hanya mengharapkan keredaanNya maka akan diampunkan segala dosa-dosa kecilnya.

Dalam pada itu, acap kali apabila memasuki sahaja tahun baru, setiap daripada kita kebiasaannya pasti akan memperbaharui azam masing-masing dengan penuh semangat. Namun, kita tidak sedar bahawa memperbaharui atau tajdid azam sebelum memasuki bulan mulia Ramadan al-Mubarak adalah antara elemen terpenting dalam sebuah perjalanan menjadi hamba Allah yang bertakwa. Natijah berpuasa yang akan membolehkan kita memperoleh takwa dapat disaksikan menerusi firman Allah S.W.T: “Wahai orang-orang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183). Oleh itu, bagi sesiapa yang belum mempunyai azam sebelum memasuki bulan Ramadan, mulai tahun ini berazamlah dengan memperbetulkan nawaitu kita untuk menjadikan Ramadan tahun ini lebih baik daripada tahun sebelumnya. Sesungguhnya, azam atau matlamat yang ditetapkan haruslah jelas dan tidak membebankan supaya mudah-mudahan berkat bulan mulia Ramadan, amalan baik tersebut dapat diamalkan secara berterusan walaupun setelah berlalunya Ramadan itu nanti .

Selain itu, perbanyakkanlah doa kepada Allah yang Esa agar dikurniakan keteguhan iman serta terhindar daripada segala kesesatan dengan memperbanyak bacaan doa ini yang membawa maksud: “Wahai Tuhan kami, janganlah engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi kurnia.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 8). Berdasarkan ayat tersebut, jelaslah bahawa pentingnya mujahadah dalam memperbaharui azam sebelum menjejaki bulan mulia tersebut. Sebagaimana yang diketahui, bulan Ramadan bukanlah seperti bulan yang lainnya. Sebagai contoh, antara keistimewaan bulan Ramadan yang tidak dapat disangkal lagi ialah, apabila berlakunya peristiwa Nuzul Al-Quran di mana peristiwa turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad S.A.W pada 17 Ramadan secara berperingkat sehingga lengkap sebagai kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Lantas, dengan menyedari betapa besar keberkatan bulan Ramadan al-Mubarak, kita akan lebih bersemangat dalam memperbaharui azam dalam bulan mulia ini.

Oleh yang demikian, antara intipati azam yang boleh diikuti adalah dengan berniat untuk istiqamah dalam menunaikan ibadah serta amalan-amalan mulia yang lain. Antara contoh ibadah yang boleh diniatkan untuk kekal konsisten adalah dimulai dengan melazimi solat sunat tahajud serta solat sunat sebelum fajar serta lain-lain lagi. Menurut Saidatina Aisyah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda: “Tidak pernah dilihat Nabi S.A.W begitu mengambil berat berkaitan solat-solat sunat sebagaimana Baginda S.A.W mengambil berat tentang dua rakaat fajar”. (Riwayat al-Bukhari, 1116). Selain daripada itu, Ramadan kali ini berazamlah untuk khatam al-Quran sambil mentadabbur ayat suci al-Quran.

Di dalam situasi negara yang masih lagi dilanda pandemik Covid-19, mendekatkan diri kepada Allah merupakan salah satu kunci terbaik bagi menyeimbangkan semula rohani dan jasmani yang kian meruncing. Diiringi kemuliaan bulan Ramadan al-Mubarak beserta doa orang-orang yang sedang berpuasa, iaitu daripada Abdullah bin Amr R.A berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda: “Bagi orang yang berpuasa ketika dia berbuka doa yang mustajab.” (Lihat: Musnad Abi Daud al-Thoyalisi, 2376).  Dengan itu, semoga hasrat untuk melihat pengurangan kes-kes jangkitan Covid-19 kepada kosong kes pada tahun ini tercapai.

Seterusnya, bulan mulia Ramadan sering kali menjadi medan pengerat hubungan kekeluargaan. Terutamanya ketika bersahur serta berbuka puasa menjadi waktu yang berkualiti apabila setiap keluarga dapat berkumpul bagi menikmati hidangan berbuka puasa bersama-sama. Dalam pada itu, sekiranya ada hubungan kekeluargaan yang sebelum ini mungkin rapuh,mungkin dapat dieratkan semula asbab keberkatan bulan Ramadan al-Mubarak. Oleh itu, dalam konteks ini, berusahalah mengajak ahli keluarga serta sahabat yang kita sayangi bersama-sama untuk tajdid azam yang memenuhi syariat serta menyebarkan kebaikan kepada orang ramai. Menurut Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda: “Barangsiapa yang menyeru (seseorang) kepada hidayah, baginya ganjaran seperti mana ganjaran orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikitpun daripada ganjaran mereka (yang melakukan).” (Riwayat Muslim, 2674).

            Secara keseluruhan, teruskanlah istiqamah dalam bermujahadah untuk menjadi versi diri kita yang terbaik di dunia serta di alam akhirat nanti. Oleh yang demikian, marilah kita menghayati maksud ayat suci al-Quran: “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 148). Semoga Allah mempermudah setiap prakarsa yang kita lakukan dalam perjalanan memperolehi keredaanNya. Insha-Allah.

Penulis

Nurul Hajar Binti Jamaluddin

Pembantu Hal Ehwal Islam

Universiti Teknologi Malaysia