MAJLIS PERASMIAN PROJEK PEMASANGAN SISTEM PENUAIAN AIR HUJAN DI MASJID AL-MUTTAQIN Usahasama : UTM dan Komuniti Wangsa Melawati

MAJLIS PERASMIAN PROJEK PEMASANGAN SISTEM PENUAIAN AIR HUJAN DI MASJID AL-MUTTAQIN WANGSA MELAWATI KUALA LUMPUR 

Usahasama : UTM dan Komuniti Wangsa Melawati

Universiti Teknologi Malaysia dengan kerjasama Komuniti Hijau, Jawatankuasa Masjid Al-Muttaqin dan DBKL telah melancarkan Projek ‘Pemasangan Sistem Penuaian Air Hujan di Masjid Al-Muttaqin’ bertempat di Dewan Serbaguna Al-Muttaqin. Pelancaran projek ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Hamdan bin Mohd. Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Wangsa Maju. Turut hadir adalah Prof. Dr. Shamsul bin Sahibudin, Pro-Naib Canselor UTM Kampus Kuala Lumpur.

Dalam penekanan teras strategik universiti iaitu ‘Sumbangan Yang Terbaik Kepada Komuniti’, kepakaran sedia ada di UTM dimanfaatkan demi memenuhi keperluan masyarakat sekitar. Projek sistem penuaian air hujan (SPAH) ini dipohon oleh pihak masjid sebagai langkah penjimatan penggunaan air bersih di Masjid Al-Muttaqin selaras dengan saranan kempen berjimat cermat kerajaan dalam penggunaan air terawat. Menurut ketua projek, Dr. Aznah Nor Anuar daripada Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun, UTM Kampus Kuala Lumpur, projek ini juga bertujuan untuk mendidik komuniti mengenai pengurusan air secara lestari serta memberi peluang kepada pelajar universiti untuk membantu komuniti dengan ilmu pengetahuan yang mereka pelajari. Projek ini telah mendapat bantuan dana daripada Unit NBOS, Bahagian Perancangan, Penyelidikan dan Penyelarasan Dasar, Kementerian Pendidikan Tinggi.

Majlis tersebut dimulai dengan ceramah khas bertajuk ‘Pengurusan Air Secara Lestari dari Perspektif Islam’ oleh Dr. Mohammad Fathi bin Yusof, Felo Penyelidik (Undang-Undang Islam) di Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), UTM. Majlis diteruskan dengan taklimat ringkas dan paparan video berkaitan projek oleh Ketua Kumpulan. Di dalam ucapan perasmian YBhg. Datuk Hamdan telah mengucapkan tahniah kepada yang terlibat dan berharap agar program ini menjadi perintis dan memberi aspirasi kepada masyarakat setempat untuk menjimatkan penggunaan air dan berupayamembina sistem yang sama di kawasan masing-masing. Jalinan hubungan libatsama antara pihak universiti dan komuniti juga adalah penting dalam memastikan projek yang dijalankan memberi impak yang tinggi lagi menyeluruh kepada rakyat.

Selain itu, majlis pelancaran ini turut di meriahkan dengan aktiviti pameran oleh syarikat persendirian seperti Auralite (M) Sdn. Bhd. dan I-Controls Solutions (M) Sdn. Bhd. serta agensi berkaitan iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memberi maklumat kepada yang hadir tentang kepentingan dan manfaat SPAH.

Seramai 200 tetamu telah hadir di majlis tersebut termasuk pemimpin masjid sekitarnya, ketua kawasan penduduk, NGO, pensyarah-pensyarah, guru-guru, pelajar universiti, kolej dan sekolah serta masyarakat setempat. Majlis berakhir sekitar jam 12.00 tengahari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *