PROGRAM WE CARE DAY: KITA ADALAH SAMA

 PROGRAM WE CARE DAY: KITA ADALAH SAMA

Sekolah Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia dengan kerjasama Little Genius Theraphy and Learning Centre telah menganjurkan Program We Care Day yang bertemakan “Kita Adalah Sama” pada 2 Mac 2019. Program tersebut melibatkan 146 orang mahasiswa UTM yang terdiri daripada 48 orang mahasiswa jurusan Pendidikan Sains Sukan, 58 orang mahasiswa Pendidikan Kemahiran Hidup serta 40 orang mahasiswa Kejuruteraan Mekanikal. Selain itu, program ini juga melibatkan 36 orang pelajar dan 10 orang guru daripada Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indahpura (SMPKVIP), Kulai, Johor.

 

Program tersebut telah dirasmikan oleh Dr. Mohd Rustam Mohd Rameli, Pensyarah Kanan yang mengajar subjek Psikologi Pendidikan dan Atribut Kejayaan Graduan. Matlamat bagi program ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada mahasiswa tentang kepelbagaian murid bermasalah pembelajaran serta memberi kesedaran kepada peserta akan aplikasi konsep psikologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada mahasiswa untuk melatih diri berkaitan kemahiran komunikasi, kemahiran memimpin, kemahiran berfikir, kemahiran kerja secara berkumpulan serta kemahiran menyesuaikan diri yang selari dengan objektif pembelajaran bagi subjek Atribut Kejayaan Graduan.

 

Program We Care Day dimulakan dengan ucapan perasmian dan diikuti dengan slot ceramah bertajuk “Saya Bangga Menjadi Guru Pendidikan Khas” oleh Puan Hemarani yang berkongsikan tentang pengalaman mengajar beliau serta perkongsian teknik mengajar pelajar pendidikan khas. Terdapat juga pertandingan poster berkaitan kesedaran terhadap pelajar pendidikan khas.  Sebanyak 23 poster telah dipertandingkan dan telah dinilai oleh 8 orang juri jemputan daripada SMPKVIP dan juga oleh pensyarah Sekolah Pendidikan, UTM.

 

Showcase oleh pelajar-pelajar SMPKVIP menjadi tarikan utama bagi Program We Care Day. Sebanyak 7 booth pameran dibuka yang terdiri daripada booth badge printing, booth ukiran buah dan hiasan cup cake, booth dandanan rambut, booth housekeeping, booth refleksologi, booth gunting rambut dan booth rawatan kuku. Menariknya, kesemua pameran dan servis yang ditawarkan dikendalikan oleh pelajar-pelajar Pendidikan Khas yang mempunyai masalah penglihatan, pendengaran dan pembelajaran. Pelajar-pelajar tersebut merupakan pelajar-pelajar yang mengikuti program pengajian Perkhidmatan Estetik, Dandanan Rambut, Penyediaan dan Pembuatan Makanan, Housekeeping Operation serta Desktop Publishing.

 

Respon yang diterima daripada mahasiswa adalah positif kerana mereka menyatakan bahawa peluag sebegini jarang diperoleh lebih-lebih lagi melibatkan pelajar pendidikan khas. Mahasiswa yang terlibat sebagai peserta juga menyatakan mereka lebih menyedari bakat dan kelebihan tertentu yang dimiliki golongan pelajar kelainan upaya ini. Menurut Dr. Mohd Rustam, program ini menjadi platform yang berkesan bagi meningkatkan kepekaan mahasiswa terhadap kepelbagaian kategori pelajar yang ada di sekolah serta memberi ruang mahasiswa untuk berfikir tentang aplikasi konsep psikologi pendidikan yang telah dipelajari oleh mahasiswa mahasiswi dari sekolah Pendidikan.