Dalam meniti kehidupan di dunia yang penuh dengan warna, dugaan serta cabaran ini, kadang-kadang mungkin kita terlupa untuk mencari ketenangan diri.
Mesti ramai di antara kita yang pernah merasa hati bagaikan tidak tenteram biarpun ketika sedang berbaring di atas tilam ketika bersiap sedia untuk melelapkan mata.
Tekanan di tempat kerja, cabaran kehidupan dalam perhubungan serta persekitaran sekeliling mampu memberi impak kepada ketidaktenteraman hati.
Benar tiada kehidupan yang sempurna kerana lumrah manusia pasti ada compang-campingnya dalam menjalani kehidupan.
Namun apa yang kita perlukan dalam kehidupan adalah keseimbangan hidup.
Setiap apa yang dilakukan haruslah seimbang supaya tidak terlebih dan tidak terkurang.
Contohnya jika anda seorang yang bekerja terlalu kuat, akhirnya fikiran anda akan terlampau memikirkan soal kerja serta tubuh akan bekerja lebih dari yang sepatutnya sehingga akhirnya mampu menyebabkan anda jatuh sakit.
Begitu juga dalam perhubungan, terkadang kita mungkin fikir hanya kita sahaja yang betul dalam semua aspek tanpa kita sedari pasangan kita sudah mulai bosan dengan perangai kita yang tidak mahu bertolak ansur.
Sebagai manusia, kita pasti tidak akan dapat lari dari masalah ataupun tekanan.
Namun Allah S.W.T telah mengurniakan kita dengan akal fikiran serta menyediakan umatnya dengan panduan hidup yang serba lengkap iaitu kitab suci Al-Quran.
Di sinilah kita harus bijak menggunakan akal yang dikurniakan hanya kepada manusia. Fikirkan yang mana baik dan buruk .
Jangan terlampau ikutkan hati tetapi sebaliknya kita harus berfikir mengikut logik akal serta perkara yang memberi kebaikan kepada semua pihak.
Dalam kita tidak sedar, jika kita sedang berada di dalam ‘mood’ yang tidak baik, kita juga sedang mengalirkan aura negatif yang sama kepada orang lain di sekeliling kita.
Bukan bererti kita harus memendam rasa dan bersikap hipokrit di depan orang lain. Sebagai contoh, jika di tempat kerja, anda sedang mengalami tekanan, lalu membuat keputusan serta mengeluarkan kata-kata yang mampu membuatkan rakan sekerja anda berubah ‘mood’ sehingga akhirnya keputusan yang dibuat juga menjadi negatif gara-gara anda.
Sebolehnya jika kita berada di dalam keadaan yang tidak tenteram, cuba jauhkan sebentar diri dengan mereka atau persekitaran yang membuatkan kita tidak tenteram.
Ambil udara sedar kerana oksigen membantu kita untuk berfikir dengan lebih waras dan tenang.
Banyakkan minum air putih kerana di dalam air terdapat oksigen yang mampu mententeramkan tubuh badan.
Sekali-sekala keluar bersenam kerana dengan bersenam anda akan mengeluarkan peluh sekaligus mengeluarkan hormon endorfin yang membantu untuk mententeramkan hati kita dan membuatkan kita lebih gembira.
Dekatkanlah diri dengan Allah S.W.T dan sentiasa berdoa dan bercakap dengan Allah. Luahkan segalanya kepadaNya. Baca Al-Quran dan tafsirnya dan pilihlah surah yang mampu memberikan anda semangat ketika itu.
Pemakanan juga memainkan peranan yang penting dalam mengawal ‘mood’ kita. Makanlah makanan seperti ikan salmon, buah anggur, cokelat gelap serta yogurt kerana mengikut kajian saintifik, makanan ini mampu membuatkan anda berasa gembira.
Cipta hobi baru yang boleh membuatkan anda lupa sebentar dengan masalah dan tekanan. Antara hobi yang boleh dicuba adalah membuat kek atau biskut ataupun bermain alat muzik.
Jika anda seorang yang gemarkan muzik, pilihlah lagu-lagu yang boleh memberikan ‘mood’ gembira dan menenangkan. Lebih seronok jika mendengar muzik sambil bersenam. Lebih bersemangat!
Kesimpulannya, ketenangan dalam hidup tidak akan datang dengan sendirinya jika bukan kita yang mencari. Andalah yang paling berhak menentukan apa yang terbaik untuk diri anda kerana tiada yang lebih memahami tubuh kita selain diri kita sendiri.
Recent Comments