Select Page

Sejarah UTM

Universiti Teknologi Malaysia (singkatan: UTM) merupakan sebuah universiti di Malaysia. Namanya ditukar daripada Institut Teknologi Kebangsaan kepada Universiti Teknologi Malaysia pada 1 April 1975. Walau bagaimanapun, UTM sebenarnya mencapai taraf universiti 3 tahun lebih awal iaitu pada 14 Mac 1972. UTM amat terkenal dalam bidang kejuruteraan baik didalam mahupun diluar negara. (Wikipedia)

Rujuk link berikut:

  1. Sejarah Penubuhan UTM
  2. Peristiwa Penubuhan UTM

Landskap dan Rekabentuk UTM

Kampus induk Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor berkeluasan 1,222 hektar. Ia terletak kira-kira 18 kilometer daripada Lapangan Terbang Sultan Ismail, Johor Bahru. Sejak di awal penubuhannya, universiti ini berhasrat membangun dan memajukan pelbagai program akademik dalam bidang sains dan teknologi di Malaysia. Universiti ini juga telah menjadi penyumbang utama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan teknologi industri.

Cogan kata ‘Kerana Tuhan untuk Manusia’ memberi kesan terhadap konsep perancangan dan pembangunan kampus apabila kampus ini menjadikan Masjid Sultan Ismail sebagai nadi utama kepada pembangunan fizikal keseluruhan kawasan. Bersebelahannya, terdapat bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah sebagai simbol bahawa ilmu pengetahuan adalah penting dan perlu diletakkan di tempat yang paling tinggi dalam pemikiran manusia. Dari segi perancangan, Kampus UTM mengaplikasikan konsep tata atur berdasarkan corak pentadbiran berpusat yang secara langsung memudahkan pelajar memahami corak perancangan kampus secara umum.

Kawasan pusat kampus atau zon pentadbiran menempatkan bangunan pentadbiran, Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP), Dewan Sultan Iskandar (dewan utama), Masjid Sultan Ismail, Perpustakaan Sultanah Zanariah, pejabat pos selain kemudahan perbankan dan kemudahan sokongan lainnya. Lokasi Masjid Sultan Ismail yang berdekatan dengan zon pentadbiran dengan kebanyakkan fakulti di sekelilingnya, ditambah pula dengan faktor rekabentuknya yang menonjol menjadikan ia sebagai satu daripada mercutanda utama kampus. Menara masjid ini menjadi titik fokus yang jelas kelihatan walaupun dalam jarak yang agak jauh.

Secara keseluruhannya, perletakan zon pentadbiran yang dilingkungi oleh sebahagian besar fakulti menampakkan seolah–olah ia saling menyokong di antara satu sama lain. Perkaitan di antara bangunan agak jelas lebih-lebih lagi dengan perletakan zon pentadbiran yang strategik dan praktikal berdasarkan faktor jarak perjalanan daripada fakulti, masa perjalanan, keadaan topografi serta elemen binaan. Ini tidak sekadar memudahkan para pelajar untuk berurusan malah dapat menggalakkan pelajar memanfaatkan kemudahan yang disediakan.

Konsep pembangunan berpusat ini juga telah mewujudkan hierarki penggunaan kawasan di mana terdapat saling kaitan dalam perancangan perletakan kelompok fakulti. Misalnya, Fakulti Alam Bina (FAB) yang menempatkan para pelajar seni bina, perancang bandar dan ukur bahan terletak berdekatan dengan Fakulti Geoinformasi yang menempatkan pelajar ukur tanah. Fakulti tersebut pula mempunyai perkaitan dengan Fakulti Awam yang menempatkan pelajar jurutera awam, struktur dan mekanikal.

Kampus UTM dahulunya dipenuhi dengan hutan kelapa sawit namun kini dipelbagaikan dengan aneka landskap lembut yang ditanam sejajar dengan laluan kenderaan untuk merealisasikan konsep tropika yang cuba diketengahkan sejak di awal perancangannya. Maka tidak hairanlah wujudnya taman tropika di tasik UTM yang merupakan simbolik kepada rekabentuk seni bina kampus dan juga menggambarkan manifesto universiti yang menitik beratkan ciri tropika sebagai asas rekabentuk kampus UTM.

Rekabentuk pintu gerbang yang menjadi laluan masuk ke UTM melambangkan konsep ‘Kerana Tuhan Untuk Manusia’. Terdapat logo UTM di antara kedua–dua laluan masuk di bahagian kiri dan kanan. Ciri rekabentuk pintu masuk ini diadaptasikan daripada seni bina pantai timur iaitu rumah bujang berpeleh. Ciri tersebut dapat dilihat berdasarkan tipikal bumbung dan ukiran konkritnya.

Pintu masuk ini juga mempunyai laluan yang agak besar bagi menampung jumlah trafik keluar masuk setiap hari. Rekabentuk pintu masuk UTM ini boleh dikatakan terbaik kerana senibinanya mempunyai kesinambungan imej dengan keseluruhan pembangunan di UTM ini dari perspektif rupa dan bentuk bumbung yang menerapkan seni bina rumah Terengganu.

Karakter landskap setiap kawasan dalam Kampus UTM mempunyai perkaitan dengan konsep tropika yang cuba di terapkan.Sepanjang laluan kampus di tanam dengan pokok dari spesies gelam, hujan, palma, ketapangdan tanaman penutup bumi yang di tanam di sepanjang laluan sebelum masuk ke pintu gerbang utama kampus UTM. Di sepanjang laluan tersebut di tanam pokok yang berkanopi ataupun mempunyai ciri – ciri teduhan yang berdiameter besar untuk mewujudkan suasana redup dan menyamankan kepada pengguna siarkaki di bahu jalan. (Rujukan)

Gambar Ehsan dari Google.