FAEDAH MEMPUNYAI HOBI
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, hobi dapat didefinisikan sebagai aktiviti kegemaran yang dilakukan pada waktu senggang dan bukan merupakan pekerjaan utama. Peribahasa rambut sama hitam tapi hati lain-lain menunjukkan bahawa setiap individu mempunyai hobi yang berbeza-beza dan tersendiri. Sebagai analoginya, ada yang suka bersukan, ada yang minat mengumpul setem, ada juga yang gemar mendaki gunung dan pelbagai hobi yang lain. Persoalannya, mengapakah setiap insan di dunia ini perlu mempunyai hobi? Sesungguhnya semua orang mempunyai alasan tersendiri yang menyebabkan mereka melakukan hobi yang digemari itu. Menurut pandangan saya, hobi memang sewajarnya dimiliki oleh semua orang tanpa mengira usia, pangkat dan keturunan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti positif seumpama ini banyak memberikan maslahat dalam kehidupan setiap insan. Tidak terkecuali saya, yang turut memperoleh kebaikan daripada hobi yang saya lakukan. Oleh hal yang demikian, faedah-faedah hobi yang mewarnai fokus perbincangan akan dikupas dengan lebih terperinci.
Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa hobi juga dapat menambahkan ilmu pengetahuan saya yang sedia ada. Sebagaimana yang kita ketahui, hobi seperti membaca, melayari internet dan menonton televisyen dapat membantu meningkatkan pengetahuan am seseorang. Selain itu, saya juga dapat menguasai kemahiran dalam melakukan aktiviti harian seperti memasak dan melukis. Sebagai contoh, aktiviti mengait yang telah saya praktikkan dari hari ke hari dapat meningkatkan kemahiran saya lagi dan akhirnya dapat menghasilkan sesuatu karya kreatif yang menarik seperti peribahasa sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. Bukan itu sahaja, saya juga dapat menambakan ilmu pengetahuan apabila menonton rancangan dokumentari di televisyen seperti Majalah 3 dan ‘Insect War’. Bahkan, dalam zaman yang serba canggih ini, saya juga boleh mendapatkan informasi yang saya perlukan dengan mudah melalui internet. Maka, jelaslah bahawa dengan mempunyai hobi yang tertentu dapat membantu saya dalam menambahkan ilmu pengetahuan dan meningkatkan penguasaan serta kemahiran diri dalam pelbagai bidang karya kreatif.

Suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan adalah apabila saya mempunyai hobi, saya dapat mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Hobi yang sering saya lakukan untuk mengekalkan kesihatan fizikal dan mental adalah dengan mendaki gunung, berjoging dan berenang. Dengan melaksanakan hobi ini, daya tahan kardiovaskular dapat ditingkatkan. Hal ini secara tidak langsung, dapat meningkatkan imuniti badan saya daripada sebarang jangkitan penyakit seperti demam, selesema dan batuk. Hal ini seterusnya dapat membantu saya melaksanakan aktiviti harian secara efektif kerana badan cergas, otak cerdas. Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, apabila saya memanfaatkan masa saya dengan hobi yang saya gemari secara tidak langsung dapat mengurangkan stres. Hal ini adalah kerana, apabila saya melakukan hobi, saya akan menumpukan sepenuh perhatian terhadap aktiviti tersebut dan bukannya memikirkan masalah kehidupan yang kadang kala membebankan minda saya. Bagi membuktikan perkara ini, apabila saya membaca novel, saya akan leka dengan mesej yang ingin disampaikan oleh novelis, sehingga melupakan masalah yang membelenggu sukma buat seketika. Tegasnya, dengan mempunyai hobi saya dapat kepuasan diri kerana melakukan sesuatu aktiviti yang digemari dan membebaskan diri daripada sebarang masalah yang menghimpit kalbu.

