Select Page

Apa pentingnya hobi kepada manusia ?

Hobi merupakan satu aktiviti yang memberi kepuasan kepada diri dan ia dipilih khas berdasarkan keunikan citarasa dan bakat yang ada pada setiap individu. Melalui hobi, kita dapat meningkatkan kepuasan dalam dalam diri serta memberi nilai yang berharga kepada kehidupan kita. Seperti senaman, ia sangat penting untuk memastikan badan sentiasa sihat. Begitu juga minda kita, ia perlu sentiasa ‘sihat’ dengan menambah pelbagai aktiviti yang menenangkan jiwa dan minda kita. Banyak artikel dan kajian menyatakan bahawa manusia yang melakukan aktiviti kegemaran mereka akan kurang terdedah dengan gejala seperti kemurungan , kesunyian dan masalah negatif yang lain.

 

Di sini saya ingin berkongsi 8 sebab mengapa hobi adalah penting :
1. Merawat Letih 
Hobi adalah perkara termudah untuk mengembalikan keseimbangan tubuh badan kita daripada menjadi lesu akibat terlalu penat bekerja dan tertekan. Disebabkan hobi adalah aktiviti kesukaan kita, ia akan memberi lebih keseronokan dan kepuasan. Walaupun hobi juga memerlukan sejumlah tenaga tetapi anda pasti akan dapat merasa perbezaan tenaga semasa melakukan aktiviti ini.
2. Peluang Mengenali Diri
Barangkali hobi adalah aktiviti yang paling sesuai untuk kita mendalami dan memahami diri kita dengan lebih jauh. Jenis hobi tidak penting dalam proses kendiri tetapi masa peribadi kita yang diluangkan untuk hobi akan memberi kesan kepada pemahaman diri tentang bagaimana kita menguruskan masa untuk hobi dan cara kita melaksanakan ia.
3. Sebagai Alternatif Kepada Kerjaya
Ramai daripada kita yang berjaya dalam hidup bermula daripada hobi. Bukan sahaja memberi pulangan yang lumayan tetapi dalam masa yang sama memberi kepuasan dan keseronokan daripada hobi yang kita lakukan. Apabila kita menggabungkan matlamat dengan hobi maka kita telah berjaya memberi makna yang indah dalam hidup ini.
4. Keseronokan Jangka Panjang
Ramai yang berpendapat bahawa waktu yang sesuai menjalankan hobi ialah ketika seseorang sudah tidak berkerja dan pencen. Namun spekulasi ini ternyata salah kerana waktu itu kita sudah tidak berupaya menjalankan aktiviti seperti ini kerana kudrat dan faktor kesihatan. Namun pada mereka yang memulakannya sejak dari awal remaja, apabila mereka tua mereka masih berupaya melakukan aktiviti ini kerana ia telah menjadi sebati dalam diri.
5. Memberi Kebebasan Dalam Keseronokan
Jangan hanya bergantung kepada keseronokan daripada luaran kerana ianya tidak kekal. Contohnya kita bergantung pada movie, rakan dan sebagainya. Cuba lahirkan keseronokan dari dalam. Hanya kita dan hobi yang mengetahui apakah jenis hiburan yang benar-benar diperlukan oleh kita.
6. Menyedari dan Mengingati Bakat Yang Kita Ada
Melalui kerja, kita dapat menyedari apakah tahap kompetensi dan kecekapan kita. Sama seperti hobi kita juga akan dapat membongkar apakah bakat yang terpendam dalam diri. Ketika kita sedang asyik dalam berhobi waktu itulah kita akan mengetahui bakat yang jarang ada pada seseorang tetapi ada pada kita.
7. Peluang Menemui ‘Geng Kita’
Apabila menjalankan hobi, sudah tentu kita akan bertemu dengan ramai orang semasa mencari barang yang diperlukan untuk hobi tersebut. Dan lama kelamaan kita akan bertemu dengan orang yang sama dan di kedai yang sama. Kemudian kita menjadi ramah. Dan kemudian kita bertukar pendapat dan sebagainya. Bukankah lebih baik daripada asyik bertemu dengan orang yang terpaksa kita jumpa di tempat kerja kita bertemu dengan orang yang mempunyai persamaan dengan kita.
8. Peluang Berkongsi
Apabila kita mempunyai hobi, kita semakin pakar dan arif dengan nilai dan keistimewaan seseuatu bidang itu.   Dan daripada itu kita juga dapat memanfaatkan kepakaran kita dengan mereka-mereka yang rapat dengan kita. Contohnya apabila kita minat bercucuk tanam. Pokok yang cantik boleh diberikan pada mereka yang rapat dengan kita. Begitu juga jika kita minat muzik, idea dan pendapat juga boleh dikongsikan. Dengan cara ini kita dapat jimat masa dan wang tetapi memberi hadiah yang besar nilainya kepada orang yang tersayang.