JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor menyasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 usahawan digital dalam kalangan orang muda bagi tempoh dua tahun akan datang.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ia bukan sahaja satu sektor yang selari dengan jiwa dan zaman mereka, malah sektor itu akan mampu bagi membantu mengurangkan kadar pengangguran.
Katanya, ekonomi digital kini menjadi satu daripada tumpuan penting kerajaan yang dilihat berpotensi menyumbang sekitar 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2020.
“Sehingga kini, empat syarikat start-up (permulaan) yang sudah bersedia untuk memasuki pasaran global sedang dalam proses menghasilkan produk berasaskan idea dan perkhidmatan termasuk produk didik hibur (edutainment), gamifikasi, realiti maya ( dan Internet of Things,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Usahawan Digital di Makmal Penyelidikan Universiti Industri, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim dan Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Wahid Omar.
Mohamed Khaled berkata, inisiatif pembangunan usahawan digital itu mendapat kerjasama Pusat Pembangunan Usahawan Johor (EDC) dan Pusat Kecemerlangan Inovasi, Media dan Permainan Digital (MaGICX).
Katanya, program itu bertujuan memberi peluang dan pendedahan kepada belia dalam meningkatkan minat terhadap pembangunan aplikasi dan kandungan kreatif, seterusnya melahirkan bakat tempatan bertaraf antarabangsa.
“Keusahawanan digital memerlukan kemahiran, pendedahan dan strategi perniagaan, yang mana ia berbeza sama sekali dengan keusahawanan konvensional kerana ia berkembang atas platform digital yang bebas dan berteraskan inovasi,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri turut menyarankan bagi sesiapa sahaja yang ingin menceburi bidang keusahawanan digital itu untuk melihat jauh melangkaui konteks Johor dan Malaysia.
“Fikirkanlah produk atau perkhidmatan yang bukan sahaja memberikan pulangan yang baik kepada perniagaan anda semua (usahawan) dan membantu ekonomi setempat,” katanya.
Sumber: Berita Harian