Menteri Pendidikan Tinggi lancar Classroom of the Future

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh melancarkan konsep bilik kuliah masa hadapan yang dikenali sebagai “Classroom of Future” dan UTM-Huawei iLearning Cloud Showcase di Pusat Kecemerlangan Inovasi, Media dan Permainan Digital (MaGICX), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), hari ini.

Dato’ Seri Idris Jusoh menandatangani plaque Classroom of Future.

Pengarah MaGICX, Prof Madya Dr Mohd Shahrizal Sunar berkata, konsep bilik kuliah masa hadapan menggunakan teknologi Realiti Maya (VR) dan Cisco SPARK bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dengan lebih interaktif.

Menurutnya, penggunaan teknologi berkenaan dapat membantu pelajar merasai pengalaman seperti berada dalam situasi sebenar dan mereka dapat berinteraksi dengan pensyarah atau pakar yang berada di tempat lain dalam masa nyata.

Majlis pelancaran konsep bilik kuliah masa hadapan itu selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mereka bentuk semula pengajaran dan pembelajaran pendidikan tinggi.

“MaGICX menggunakan kepakaran mereka dalam membantu membangunkan inovasi pembelajaran berasaskan teknologi digital bagi pendidikan tinggi di Malaysia.

“Teknologi VR sangat signifikan untuk menyokong pelajar berinteraksi dengan kandungan pembelajaran di samping dapat merasai pengalaman berada dalam situasi sebenar selain dapat mengurangkan kos pembelajaran,” katanya.

Dr Mohd Shahrizal berkata, penggunaan teknologi VR membolehkan mahasiswa dan pensyarah Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum dapat belajar dan merasai suasana sebenar berada di pelantar minyak di tengah laut tanpa perlu berada di tempat sebenar.

Katanya, teknologi berkenaan boleh digunakan oleh mahasiswa dan pensyarah pelbagai jurusan yang memerlukan pendedahan dan pengalaman sebenar di lapangan tanpa perlu hadir di lokasi sebenar.

Dr Mohd Shahrizal membantu Dato’ Seri Idris memakai peralatan realiti maya.
Dato’ Seri Idris dan Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah berkomunikasi dengan robot di UTM-Huawei iLearning Cloud Showcase.
Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dan Dato’ Seri Idris melihat teknologi digital yang digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran.
Dato’ Seri Idris mendengar taklimat mengenai UTM-Huawei iLearning Cloud Showcase.

Read more