UTM perkenal SMS Parkir

JOHOR BAHRU: Produk penyelidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengenai sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) parkir yang membolehkan orang ramai menjelaskan bayaran letak kereta melalui SMS akan mula digunakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini mulai bulan depan. Sistem itu yang dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik diketuai oleh Timbalan Pengarah (Inovasi) UTM, Prof Dr Sevia M Idrus, juga menerima permintaan PBT di Pahang dan Terengganu dan dijangka dilaksanakan di kedua-dua negeri berkenaan akhir tahun ini.

Sevia berkata, pembayaran dan penguatkuasaan pintar berasaskan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu membolehkan orang awam membayar parkir menggunakan SMS atau menerusi aplikasi mudah alih, sekali gus mengelak kesulitan pembayaran menggunakan kupon. Menerusi sistem ini, pengguna hanya perlu menghantar maklumat nombor pendaftaran kenderaan, lot parkir dan tempoh parkir menerusi SMS sebelum kredit telefon pengguna ditolak berdasarkan caj parkir yang ditetapkan. “SMS peringatan juga akan dihantar beberapa minit sebelum tempoh parkir tamat yang membolehkan pengguna menambah tempoh parkir yang dikehendaki,” katanya pada sidang media, di UTM, di sini hari ini.

Sevia berkata, buat permulaan, Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) akan menjadi PBT pertama menggunakan sistem itu mulai 1 April ini dan dijalankan secara berfasa membabitkan lebih 30,000 tempat letak kereta yang diuruskan MPJBT. Katanya, langkah MPJBT itu akan diikuti oleh PBT lain di negeri ini secara berperingkat dan pihaknya menjangkakan semua PBT di Johor akan menggunakan sistem berkenaan yang dapat meningkatkan keberkesanan operasi pengurusan tempat letak kereta, selain memudahkan pengguna.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/135694