INDAHNYA AKHLAK NABI MUHAMMAD SAW

Diriwayatkan daripada Ubaidillah bin Utbah r.a katanya: Aku bertanya Saidatina Aisyah r.a dengan berkata: Bagaimana dengan penyakit yang dihidapi oleh Rasulullah s.a.w? Beliau menjawab: Nabi s.a.w sakit sehingga tidak dapat berjalan. Baginda bersabda: Adakah orang ramai telah selesai mendirikan sembahyang? Kami menjawab: Belum dan mereka sedang menunggumu wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Tuangkan air ke dalam bekas untukku. Kami lakukannya, lalu baginda berwuduk. Setelah selesai baginda cuba berdiri. Tapi malang baginda terjatuh dan pengsan.

 

Setelah pulih baginda bersabda: Adakah orang ramai telah selesai mendirikan sembahyang? Kami menjawab: Belum, mereka masih menunggumu, wahai Rasulullah! Baginda bersabda lagi: Tuangkan air ke dalam bekas untukku. Kami lakukannya lalu baginda berwuduk. Setelah itu baginda cuba berdiri, tetapi pengsan lagi. Sebaik sahaja pulih baginda bersabda: Adakah orang ramai telah selesai mendirikan sembahyang? Kami menjawab: Belum, mereka masih menunggumu, wahai Rasulullah! Baginda bersabda: Tuangkan air ke dalam bekas untukku. Kami lakukannya dan baginda berwuduk lagi. Setelah itu baginda cuba berdiri, tetapi pengsan lagi.

 

Setelah pulih baginda bersabda: Adakah orang ramai telah selesai mendirikan sembahyang? Kami menjawab: Belum, mereka masih menunggumu, wahai Rasulullah! Sementara itu orang ramai masih berkumpul di masjid menunggu Rasulullah s.a.w untuk mendirikan sembahyang Isyak yang sudah terlewat. Akhirnya baginda mengutuskan seseorang menemui Abu Bakar agar beliau mengimami sembahyang. Setelah utusan tersebut berjumpa Sayidina Abu Bakar r.a dia terus berkata: Rasulullah s.a.w memerintahkan kamu agar mengimami sembahyang orang ramai.

 

Sayidina Abu Bakar r.a berkata: Aku bukanlah orang yang selayaknya untuk menggantikan tempat tersebut. Lalu meminta Sayidina Umar r.a dengan katanya: Wahai Umar! Imamkanlah sembahyang orang ramai. Ubaidillah berkata: Sayidina Umar menjawab: Kamu lebih layak berbanding dengan aku. Akhirnya Sayidina Abu Bakar mengimami sembahyang mereka sehingga beberapa hari. Kemudian apabila Rasulullah s.a.w beransur pulih, baginda keluar dengan dibantu oleh dua orang sahabat, salah seorangnya ialah Al-Abbas untuk sembahyang Zuhur. Sementara itu Abu Bakar sedang sembahyang mengimami orang ramai.

 

Apabila melihat Rasulullah s.a.w Abu Bakar cuba bergerak untuk berundur ke belakang lalu Nabi s.a.w memberi isyarat kepadanya supaya tidak berbuat demikian. Kemudian baginda bersabda kepada dua orang yang membantunya: Bawakan aku ke tepi Abu Bakar. Mereka berdua membawanya sehinggalah baginda duduk di tepi Abu Bakar. Abu Bakar tetap sembahyang dalam keadaan berdiri. Orang ramai tetap berimamkan Abu Bakar r.a manakala Nabi s.a.w mengikutinya dalam keadaan duduk. (H.R. Muslim)

Speak Your Mind

*