Konvensyen KKP di IPT 2024

Assalamualaikum semua. Sihat?

Pada 24-25 Jun 2024 yang lalu, saya telah dijemput sebagai salah seorang speaker bagi sesi Pengurusan Bahan Kimia di IPT, Konvensyen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Institut Pengajian Tinggi 2024. Saya diberi mandat untuk berkongsi bagaimanakah UTM menguruskan bahan kimia secara berpusat melalui Unit Pengurusan Bahan Kimia (Chemical Management Unit (CMU)), Pusat Pengurusan Makmal Universiti.

Majlis Pembukaan Konvensyen
Flyers Konvensyen
Agenda Konvensyen

Untuk makluman, UTM adalah universiti awam pertama di Malaysia yang menubuhkan satu unit pengurusan berpusat untuk bahan kimia dan gas. Bermula pada tahun 2012, CMU mula beroperasi dengan hanya menguruskan perolehan bahan kimia P&P sahaja. Seiring dengan perkembangan semasa & penekanan dari aspek undang-undang, setelah 12 tahun beroperasi, CMU kini pemacu utama kepakaran berkaitan pematuhan undang-undang pengurusan bahan kimia dan gas dalam kampus, baik di kampus induk, iaitu mahupun di kampus cawangan Pagoh dan Kuala Lumpur.

Atas kapasiti ini, pihak urusetia memohon agar UTM dapat berkongsi ilmu & pengalaman bagaimanakah menubuhkan dan menguruskan bahan kimia & gas secara berpusat kerana kebanyakan universiti masih mengamalkan pengurusan secara kendiri mengikut fakulti dan persendirian. Slot untuk pengurusan bahan kimia ini berlangsung selari dengan 3 slot bengkel yang lain pada hari pertama konvensyen, dengan setiap satu slot diwakili oleh setiap universiti yang hadir.

Sesi pengurusan bahan kimia dimulakan dengan penceramah pertama, iaitu Pn. Mazlina dari DOSH Kedah. Beliau menyampaikan tajuk Pematuhan Undang-undang berkaitan Penggunaan Bahan Kimia di Tempat Kerja. Saya adalah penceramah kedua, yang membentangkan perkongsian bertajuk Chemical Management System Framework at UTM.

Sesi Pembentangan pertama oleh
Pn. Mazlina, DOSH Kedah
Wakil IPT di Malaysia
Diskusi adakah releven pemusatan pengurusan gas & bahan kimia dilaksana?
Sesi pembentangan kedua
Hanya sejam masa untuk pembentangan
Penutup bengkel

Saya telah bertugas di CMU selama 9 tahun, menjadi tulang belakang pembangunan CMU sejak tahun 2015 sehingga kini. Terdapat beberapa universiti yang menjadi mentee dan telah mengikut jejak langkah UTM dengan menubuhkan CMU juga di universiti mereka – seperti UTHM, UniMAP dan Unisza. Melihat kepada senario hari ini, saya boleh katakan IPTA sedang menuju ke arah pemusatan pengurusan bahan kimia dan gas kerana pelbagai isu yang timbul terutamanya dari aspek pematuhan undang-undang KKP dan pengurusan kewangan.

Antara resolusi yang berjaya dicapai untuk dimajukan kepada pihak KPT dalam bengkel selama 3 jam ini ialah :

  • Bersetuju menubuhkan sistem pengurusan bahan kimia berpusat bagi IPTA/IPTS yang menggunakan bahan kimia untuk mengurangkan kos lebihan pembelian, penyimpnanan dan perlupusan bahan kimia.
  • IPTA/S yang telah berjaya menubuhkan unit pusat, menjadi mentor kepada universiti yang berminat.
  • Mencadangkan pihak KPT untuk mengeluarkan garis panduan berkaitan pengurusan bahan kimia secara berpusat kepada semua IPTA/S.

Konvensyen yang berlangsung selama 2 hari ini sebenarnya julung julung kali diadakan selepas 20 tahun dianjurkan oleh Majlis Bersama Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan IPT/IPP Malaysia. Satu program yang saya rasakan amat penting, menjadi platform dan wadah perkongsian warga IPT tentang KKP. Saya memuji urusetia akan penganjuran konvensyen ini dan semoga ianya dapat dilaksanakan lagi sebagai program rutin pada tahun-tahun akan datang.

Gambar sekitar majlis penutup :

Penyampaian sijil penceramah
Sijil yang diterima
Penutupan majlis oleh Pengarah JKKP Negeri Perlis

Saya berterima kasih kepada pihak penganjur atas kesudian untuk menjemput saya berkongsi pengalaman. Dapat berkongsi di pentas kebangsaan adalah satu perkara yang sangat diluar jangkaan saya. Justeru saya sangat hargai peluang dan kesempatan yang diberikan ini. Terima kasih!