Projek Sedekah RM10 (Edisi 3.0) Day 1

with No Comments

“Wahai orang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah) sebahagian rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi persahabatan yang akrab dan tidak ada lagi syafaat.” (Al-Baqarah: 254)

Sesetengah orang melihat sedekah ini suatu yang tidak wajar. Alasannya kerana kononnya harta yang ada itu merupakan hasil usaha gigih mereka.  Sebagaimana firman Allah swt dalam surah Al-Baqarah ayat 254 di atas agar kita segera memanfaatkan rezeki yang Allah berikan, sebelum rezeki yang banyak itu tidak memberi apa-apa keuntungan kepada pemiliknya. Bagi umat Islam, selain kewajipan berpuasa di siang hari, Ramadan adalah pesta ibadah untuk setiap muslim melakukan lebih banyak kebajikan. Ramadan adalah detik terbaik dan peluang buat setiap individu muslim menggandakan pahala dan memohon keampunan dengan berpuasa pada siangnya dan menghidupkan malam-malamnya dengan qiyamullail, beriktikaf dan bertadarus Al-Quran.

Dengan berlumba-lumba dan bersegera dalam melakukan kebaikan (Fastabiqul Khairat), setiap insan dituntut tidak melepaskan apa sahaja peluang kebajikan atau pintu kebaikan yang ada di hadapan mata apatah lagi dalam bulan Ramadan yang penuh barakah ini.  Antara kebajikan yang dituntut di sepanjang Ramadan selain berpuasa dalam ertikata puasa yang sebenar, adalah dengan memperbanyakkan amal jariah seperti berinfaq, berwaqaf dan mengeluarkan zakat.

Alhamdulillah, 22 Mei 2019 jam 10.10 pagi Nuzul Quran saya dan Nurul Hamizah bertolak ke Banda Aceh bagi melaksanakan Projek Sedekah RM10 (Edisi 3.0).  Kami menginap di Hadrah Hotel (1 malam RP270 ribu), suasana yang cozy dan cafe hipster di bawah bilik hotel. Makanan sahur yang enak dan mengenyangkan. Malam itu kami iftar bersama dan solat terawih di masjid Baiturrahman.

Projek Sedekah RM10 kali ini agak istimewa kerana kehadiran sahabat lama saya (roomate 3 semester) di UiTM Jengka iaitu Fazilah Osman untuk menyampaikan zakat dan sedekah syarikatnya kepada anak-anak yatim/pesantren. Agak havoc juga pabila geng bergabung terutama ketika membeli barang keperluan di Suzuya mall untuk diagihkan ke lokasi pertama rumah pondok pesantren yang terpilih tahun ini.

17 Ramadan 1440H Kami memulakan program ke lokasi Pondok Pesantren Tahfizul Quran di Desa Luthu Dayah Krueng, Sibreh, Aceh Besar.  Wakil pesantren 3 orang ustaz menerima kedatangan kami. Keadaan pondok pesantren agak tidak selesa, tempat tidur tanpa kipas dan tingkap. Ianya agak menyedihkan saya secara peribadi dan saya sendiri tak sanggup untuk berdiri lama bersama anak-anak pesantren kerana sebak.  Ketua Projek, Hajjah Sazalina telah menyampaikan duit rupiah dan sebahagian barang keperluan yang diberikan adalah biskut, susu, maggi, gula, minyak masak, teh, milo, beras dan lain-lain.  Berkongsi rezeki bersama anak-anak 50 orang tahfiz dan anak yatim (7 orang), terpancar kegembiraan dan syukur mereka dengan kehadiran kami.  Fazilah telah menyampaikan zakat duit rupiah dan membeli beberapa peralatan elektrik iaitu 6 buah kipas dan sebuah peti sejuk beku untuk menyimpan barang-barang keperluan memasak dan makanan basah.

Jazakallahu khair kepada semua keluarga, rakan dan sahabat FB Hajjah Sazalina yang telah memberikan sumbangan.