Isu Kesihatan Mental

with No Comments

Saya bukan pakar tentang psikiatri cuma ingin mendapatkan info tentang isu kesihatan mental yang saya dapat melalui beberapa carian dan nasihat ahli ilmuan agama. Masalah kesihatan mental dan penyakit mental telah menjadi semakin bertambah dan terdapat peningkatan dari tahun ke tahun di Malaysia. Peningkatan yang ketara adalah kadar bunuh diri dan penyakit mental sejak sedekad lalu berpunca daripada tahap kesihatan mental yang lemah.

Tiada definisi spesifik berkenaan kesihatan mental. Kesihatan mental adalah satu keadaan yang sejahtera di mana seseorang individu menyedari tentang keupayaan diri, dapat mengendalikan tekanan dengan baik, dapat bekerja secara produktif dan mampu menyumbang kepada masyarakat. Ini bermaksud, kesihatan mental adalah asas kepada kesejahteraan individu dan kemampuan masyarakat berfungsi secara effektif. Kesihatan mental adalah ekspresi emosi dan melambangkan keupayaan untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai tekanan dan tuntutan hidup. (Sumber: Portal Rasmi MyHealth KPM)

Situasi tersebarnya virus COVID-19 yang dihadapi oleh dunia sekarang lebih terdedah kepada peningkatan masalah kesihatan mental di kalangan kita. Beberapa usaha oleh pihak KPM dan WHO ada menyatakan beberapa iklan menerusi laman sesawang: https://www.who.int/malaysia/emergencies/covid-19-in-malaysia/informasi/kesihatan-mental

“Pandemik COVID-19 adakalanya mungkin akan membebankan. Cuba teruskan dan maju ke hadapan – ini akan membantu memulihkan #MentalHealth anda.​ Adalah normal untuk merasa takut dan cemas ketika pandemik cov-19 ini.​ Bercakap tentang perasaan anda akan mengurangkan keresahan anda. Tetapkan masa bila anda akan mengikuti perkembangan COVID-19, dan hadkan berapa lama anda menghabiskan masa membaca atau menontonnya setiap hari.​” ~World Health Organization (WHO) Malaysia

Kita boleh rujuk dan baca buku panduan yang dikeluarkan oleh Malaysia Psychiatric Association dengan klik link ini: https://www.myhealthmylife.com.my/sites/default/files/2020-09/Mental_Health_Booklet%28MLY%29.pdf

Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam Artikel, Bayyan Linas siri ke 216 “Islan, Joker & stigma Masalah Mental” menyatakan Para fuqaha dan usuliyyun mentakrifkan gila dan penyakit mental sebagai: “Kecelaruan akal sehingga menghalang kebolehfungsian perlakuan atau percakapan mengikut cara yang betul.” (Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaityyah, 16/99).

Menurut pandangan sarjana Muslim dalam bidang psikologi, mereka membahagikan masalah mental kepada dua jenis:

  1. Sakit mental yang berpanjangan (mutbiq)
  2. Sakit mental sementara (‘aridh/ghair mutbiq) yang boleh disembuhkan dengan ubat-ubatan dan rawatan-rawatan. (Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyyah, 16/101).

Dalam fiqh, seorang gila yang membunuh tidak ada hukuman balas (qisas) baginya. Ini adalah pandangan majoriti para ulama dan tiada khilaf padanya. Pandangan ini juga dipersetujui oleh Sheikh Abdul Qadir al-Audah. Beliau menyatakan tidak boleh menyabitkan hukuman jenayah ke atas orang yang menghidap penyakit halusinasi atau skizofrenia. (Lihat Tasyri’ al-Jinai al-Islami, 1/504)

Sama juga halnya dengan pesakit mental; apa jua yang berlaku selama mana dalam tempoh berkenaan – sekiranya disahkan oleh pakar sebagai di luar kawalan – samada perbuatan, perkataan mahupun pengakuan, maka ia tidaklah dikira berdosa dari sudut syarak.

Ini berdasarkan hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha.

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثٍ عَنْ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنْ الصَّغِيرِ حَتَّى يَكْبُرَ وَعَنْ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ أَوْ يُفِيقَ

Maksudnya :” Diangkat pena pada tiga golongan iaitu orang yang tidur sehingga terjaga , anak kecil sehingga dia besar dan orang gila sehingga dia berakal atau sedar.” (Riwayat al-Nasaie, no. 3432). Untuk baca lebih lanjut, boleh klik pautan ini: https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/3733-bayan-linnas-siri-ke-216-islam-joker-dan-stigma-masalah-mental

Ibn Rajab al-Hanbali meninggalkan kepada kita satu pesanan yang cukup terkesan tentang betapa pentingnya bersabar dalam menempuhi kesukaran hidup. Menurutnya: “Jika kesempitan itu semakin berat dan sukar, seorang hamba akan berputus asa. Demikianlah keadaan makhluk yang tidak mampu menyingkap keluar dari kesukaran. Dan dia menggantungkan hatinya kepada Allah SWT semata-mata. Inilah hakikat tawakkal kepada Allah SWT. Inilah yang menjadi sebab-sebab terbesar untuk tercapainya hajat-hajat. Ini kerana Allah SWT akan mencukupkan orang yang bertawakkal kepada-Nya. Firman Allah SWT: ‘Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/493).

“Dalam satu kesukaran, ada banyak kemudahan, solusi dan jalan keluar bagi apa-apa permasalahan.” ~ Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri