DARI BILIK DARJAH KE MAHKAMAH: 78 MAHASISWA-MAHASISWI PENGURUSAN HARTA TANAH FAHAMI SISTEM KEHAKIMAN DAN PERUNDANGAN NEGARA MALAYSIA

MELAKA, 07 Dis. – Seramai 82 mahasiswa-mahasiswi termasuk pensyarah dari Jabatan Hartanah, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia telah mengadakan lawatan di Kompleks Mahkamah Negeri Melaka. Delegasi terdiri daripada pelajar Tahun 1 Sarjana Muda Pengurusan Harta Tanah yang diiringi oleh Dr. Zafirah Ab Muin, Dr. Aminah Mohsin, Dr. Maryanti Mohd. Raid dan Dr. Farin Ain Ismail Kassim.

Ketibaan Delegasi UTM di Perkarangan Kompleks Mahkamah Negeri Melaka

Antara objektif lawatan ini diadakan ialah untuk merapatkan jurang ilmu pengetahuan yang dipelajari secara teoritikal bagi subjek Malaysian Legal System di dalam bilik darjah dengan amalan praktikal. Ia bertujuan untuk memberi pendedahan langsung kepada para pelajar tentang bagaimana proses mahkamah berfungsi, termasuk prosedur dan mekanisme dalam sistem kehakiman selain dapat melihat bagaimana undang-undang yang dipelajari di kelas diterapkan dalam kehidupan sebenar serta memberikan konteks yang lebih jelas dan relevan kepada pembelajaran mereka.

Sesi Taklimat oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Puan Nur Afiqah Radhiah Binti Zainurin

Lawatan ini dimulakan dengan sesi taklimat dan penerangan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Puan Nur Afiqah Radhiah Binti Zainurin dan seterusnya para pelajar dibawa melawat ke sekitar bangunan kompleks mahkamah. Setelah itu, para pelajar dibantu oleh empat (4) orang Kakitangan Mahkamah telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk merasai sendiri pengalaman mendengar kes perbicaraan di dalam dewan bicara.

Pembahagian Kumpulan oleh Kakitangan Mahkamah Negeri Melaka

Melalui lawatan ini, para pelajar diberikan pendedahan yang menyeluruh mengenai sistem kehakiman dan perundangan negara Malaysia dengan cara yang lebih praktikal dan aplikatif. Ini membolehkan mereka memahami bagaimana undang-undang diterapkan dalam kehidupan sebenar dan pentingnya sistem kehakiman dalam masyarakat. Selain itu, pengalaman yang diperoleh semasa lawatan akademik ini dapat dikaitkan kembali dengan konsep-konsep yang dipelajari dalam kurikulum akademik, menjadikan pembelajaran lebih bermakna dan relevan.

Simulasi Tatacara Asas Proses Perbicaraan Mahkamah di Kalangan Para Pelajar

Para Pelajar Dibawa Melawat ke Perpustakaan Kompleks Mahkamah Negeri Melaka

Sesi Penerangan oleh Kakitangan Mahkamah Negeri Melaka

Sebahagian Mahasiswa Bergambar Kenangan di Bilik Mesyuarat Kompleks Mahkamah Negeri Melaka

Sebahagian Mahasiswi Merasai Sendiri Pengalaman Berada di Lokap Sementara Kompleks Mahkamah Negeri Melaka

Sebahagian Mahasiswa Merasai Sendiri Pengalaman Berada di Lokap Sementara Kompleks Mahkamah Negeri Melaka

Dengan memberikan peluang kepada pelajar untuk melihat dan mengalami proses undang-undang dan kehakiman secara langsung, lawatan akademik ke mahkamah ini menjadi titik tolak yang penting dalam pemahaman mereka tentang sistem perundangan dan keadilan.

Malah, program ‘Mahkamah ke Bilik Darjah’ yang diperkenalkan oleh pihak mahkamah ini juga dapat membantu meningkatkan kesedaran pelajar dan memperoleh pemahaman secara holistik dengan melihat bagaimana undang-undang diterapkan dalam situasi sebenar agar membolehkan pelajar memahami isu-isu moral, etika, dan sosial yang berkaitan dengan sistem kehakiman.

Mahasiswa-Mahasiswi Diberi Peluang Menyarungkan Jubah (Robe) Peguam Di Mahkamah

Oleh itu, lawatan akademik ini juga memberi impak kepada nilai teras yang digarap oleh UTM di mana ia bukan sahaja merupakan usaha dalam melahirkan modal insan dan ilmuwan bertaraf dunia, malah memiliki keperibadian murni serta integriti. Malah selaras dengan visi dan misi UTM, lawatan ini sebagai salah satu platform kepada para pelajar untuk meningkatkan pengetahuan dan pengembangan kemahiran berkomunikasi pelajar, baik dalam konteks formal mahupun informal, kerja berpasukan dan menyumbang kepada pembelajaran sepanjang hayat.

Sesi Pemberian Cenderahati Kepada Wakil Mahkamah Negeri Melaka

Sesi Bergambar Kenangan Delegasi UTM Bersama Kakitangan Kompleks Mahkamah Negeri Melaka

Semoga pendedahan dan pengalaman ini dapat membuka minda para pelajar dengan lebih luas dalam mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang. Diharapkan agar segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh melalui sesi lawatan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh para pelajar.

Jabatan Harta Tanah, FABU UTM mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pihak Mahkamah Negeri Melaka kerana sudi menerima kunjungan untuk sesi lawatan para pelajar.