Archives for December 2022

Ujian dari Allah, tanda sayang hamba-Nya

Ujian adalah Kebaikan - ZonCyber

Allah SWT menyayangi dan mengasihi semua makhluk ciptaan-Nya. Kasih sayang Allah SWT kepada makhluk-Nya adalah berbeza-beza termasuk kepada manusia. Allah SWT menyayangi setiap hamba-Nya melalui nikmat dan anugerah dikurniakan sama ada manusia ataupun haiwan yang masing-masing mendapat kurniaan Allah SWT yang tidak terkira.

Melalui pemberian nikmat dan anugerah kepada setiap makhluk dapat diperhatikan betapa kasihnya Allah SWT kepada semua ciptaan-Nya. Sebagai contoh, manusia yang juga kejadian terbaik diciptakan Allah SWT dikurniakan dengan pelbagai kelebihan berbanding dengan makhluk lain.

Malah, semua kejadian lain adalah diciptakan untuk kemudahan dan kegunaan manusia. Bagaimanapun, pada masa sama, manusia pasti akan diuji oleh Allah SWT atas nikmat yang dikurniakan. Antaranya, dengan menurunkan ujian, musibah ataupun bencana yang akan menguji keimanan manusia kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”. (Surah al-Ankabut, ayat 2)

Biasanya manusia akan memikirkan bahawa Allah SWT mengasihinya hanya apabila dikurniakan nikmat dan kelebihan tertentu. Jika Allah SWT menarik balik ataupun mengambil semula daripadanya nikmat dan kurniaan itu maka manusia akan berasa seolah-olah Allah SWT sudah tidak menyayanginya.

Perkara ini berbeza dengan makhluk kerana Allah SWT biasanya menzahirkan kasih sayang kepada makhluk sama ada dengan cara melimpahkan rezeki dan Dia mengambilnya semula juga adalah menjadi satu tanda kasih sayang Allah kepada makhluk-Nya.

Biasanya manusia akan menggunakan kurniaan Allah SWT yang baik sebagai satu kelebihan seperti mempunyai harta benda, kekayaan, kedudukan dan juga kehidupan yang baik.

Namun, apabila Allah SWT menguji dengan menarik sedikit daripada kurniaan-Nya ini, maka manusia sudah merasa kehilangan.

Sedangkan hakikatnya kurniaan itu asalnya daripada Allah dan Dia berhak mengambil semula pada bila-bila masa. Bayangkan, sepanjang tahun, kita dikurniakan kesihatan baik oleh Allah SWT dan sekali-sekala ditimpa kesakitan ataupun keadaan kesihatan yang terganggu.

Ini bukan bermakna Allah SWT sudah tidak menyayangi kita.

Dilihat secara rasional, apabila Allah SWT menguji dengan menarik sedikit daripada nikmat, maka akan menjadikan seseorang itu akan kembali mengingati Allah dan bersyukur di atas nikmat-Nya. Apatah lagi, nikmat kurniaan yang ditarik balik itu hanya sebahagian kecil berbanding dengan yang sudah diperoleh.

Kita sangat bersimpati dengan rakan kita yang sedang diuji. Sangat sukar bagi sesiapa yang menghadapi ujian ataupun musibah daripada Allah SWT untuk menerima kenyataan yang tersirat di sebalik setiap kejadian. Namun, kita perlu kembali kepada Allah SWT sebagai pemilik seluruh alam ini.

Apabila berlakunya sesuatu yang kita harapkan, kita pastinya bersyukur. Apabila berlaku musibah dan ujian, kita sepatutnya bersabar sebagai tanda bahawa kita adalah seorang hamba Allah SWT yang beriman.

Ini yang disebutkan oleh baginda Rasulullah SAW sebagai perkara aneh (ajaib) yang ada pada seorang Mukmin iaitu dia boleh bersyukur kepada Allah SWT dalam segenap keadaan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sangat ajaib keadaan seseorang yang beriman, sesungguhnya segala urusannya adalah baik dan itu tidak terjadi kepada seseorang kecuali hanya bagi orang yang beriman. Jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur maka demikian itu kebaikan buatnya. Dan jika dia mendapat kesusahan, dia bersabar, maka demikian itu adalah kebaikan buatnya”. (Riwayat Ahmad)

Kita yakin rakan yang ditimpa musibah ini pasti akan terus tabah dan bersyukur manakala ramai lagi mereka yang tidak terbabit, bahkan berada dalam keadaan serba sempurna serta lengkap tampil membantu rakan yang memerlukan. Ini adalah bukti bahawa orang Mukmin sebagaimana yang digambarkan oleh Rasulullah SAW adalah seumpama satu tubuh yang masing-masing akan merasai kesakitan yang ditanggung oleh satu-satu anggota bersama dengan anggota yang lain apabila sakit.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perumpamaan golongan Mukminin dalam berkasih sayang dan persaudaraan sesama mereka adalah seperti satu jasad. Jika salah satu anggota badan sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakit dengan berjaga malam dan demam”. (Riwayat Ahmad)

Sebenarnya masyarakat kita di Malaysia secara umumnya amat prihatin dan mengambil berat berkaitan kesusahan yang dihadapi oleh sesama warga negara kita. Apabila berlaku musibah seperti banjir ataupun bencana yang membabitkan saudara kita di mana-mana lokasi sekalipun, maka kita akan melihat ramai yang akan turun membantu sama ada daripada pihak berkuasa sehingga badan bukan kerajaan termasuk juga orang perseorangan.

Perkara ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa semangat ukhuwah (persaudaraan) dalam kalangan rakyat sangat tinggi.

ni bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Persaudaraan sesama Islam itu yang menjadi keutamaan di samping kita juga membantu sesama warganegara kita tanpa mengira bangsa dan agama. Semangat perpaduan ini juga yang menjamin keutuhan negara dan membawa negara ke arah kemajuan.

Tegasnya, apabila Allah SWT mengasihi hamba-Nya, maka pasti Allah SWT akan mengujinya. Ujian Allah SWT hendaklah diambil sebagai satu tanda kecintaan Allah SWT kepada kita.

RUMAH TANGGA – 8 TIPS DAN PETUA KEKAL BAHAGIA

iBila berbicara perihal rumah tangga, banyak cabang yang boleh dibincangkan. Bermulanya dengan isi rumah – suami, isteri, anak-anak, ipar duai, persekitaran juga pelbagai bentuk cabaran dalam melayari rumah tangga sehingga hari ini, adalah satu topik yang tak pernah ketinggalan di dalam kehidupan kita. 

Masakan tidak, sehinggakan adanya satu kementerian yang khusus bagi institusi ini – iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, yang menjaga khusus institusi kekeluargaan di dalam sesebuah rumah tangga. Begitu signifikan pentingnya permulaan satu institusi kecil yang bermula dari sebuah perkahwinan.

Asas & Tanggungjawab Berumah Tangga

Perkahwinan yang sah adalah permulaan kepada rumah tangga. Tak kira agama dan bangsa, ikatan yang sah ini adalah permulaan kepada suatu perjalanan kehidupan yang baru. Suami dan isteri berkongsi sebuah kehidupan dalam membentuk keluarga yang harmoni. 

Disinilah bermulanya sebuah kehidupan yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal dalam melayari kehidupan alam perkahwinan.

Firman Allah di dalam Al-Quran, Ayat 1 surah An-Nisa’ yang bermaksud – “ Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kamu kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya-Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya- zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

Permulaan penyatuan lelaki dan perempuan menjadi suami dan isteri. Kemudian melahirkan zuriat dan keturunan yang membentuk sesebuah rumah tangga yang dibina. 

Suami adalah tunjang utama yang membentuk sesebuah rumah tangga. Dialah yang menjadi ketua keluarga, bertanggungjawab mencari nafkah untuk mengukuhkan ekonomi keluarga, dan juga pembimbing setiap individu sesebuah rumah tangga itu. 

Empat keperluan asas, yang wajib disediakan oleh sang suami termasuklah tempat tinggal (rumah)makananpakaian dan perubatan sekiranya diperlukan. Pelengkap kehidupan dan suri hati suami, seharusnyalah si isteri. Isteri, yang bertanggungjawab memenuhi keperluan batin suami, ketaatan kepada suami didalam menjaga hal keperluan rumah tangga dengan sempurna.  Selalu disebutkan isteri merupakan tulang rusuk suami, diciptakan sebagai pelengkap kehidupan suami.

Kedua-kedua suami dan isteri saling melengkapi. Kekurangan isteri dilengkapi oleh kelebihan suami, begitu jugalah sebaliknya. 

Anak-anak pula tentunya pelengkap di dalam sesebuah perkahwinan. Suami berperanan sebagai ketua, yang mengemudikan arah tuju, dibantu oleh isteri, dan anak-anak dibentuk dari acuan yang ditunjukkan oleh mama dan papa. Begitulah terbinanya sebuah ‘kerajaan kecil’ yang dinamakan rumah tangga.

Ujian Berumah Tangga

Tiada sesebuah perkahwinan yang dibina tanpa melalui sebarang ujian dan dugaan. Bak kata pepatah Melayu, “andai takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai”. Begitu juga dengan rumah tangga. Tak akan dapat lari dari segala bentuk ujian dan dugaan. 

Ada keluarga yang diuji dengan masalah ekonomi, kesihatan, emosi, fitnah dan segala bentuk masalah yang ada ketikanya, menjadi punca perceraian yang memecah belahkan institusi rumah tangga. Perlu kita fahami bahawa segala dugaan dan cabaran adalah untuk menguji kesabaran dan keimanan setiap insan. Juga bagaimana kekentalan jiwa dan emosi untuk menghadapi dugaan. Segalanya adalah untuk menguatkan lagi ikatan dan kasih sayang yang terbina dari ikatan dua jiwa – suami dan isteri. 

Kadang-kadang kekecewaan pasti akan berlaku, hingga membawa kepada kegagalan. Maka perceraian adalah jalan keluar dan penyelesaian terakhir. Namun begitu, perceraian juga bukanlah pengakhiran sesebuah keluarga dari rumah tangga yang runtuh itu. Anak-anak masih memerlukan kepada kedua mama dan papanya, maka keduanya masih perlu memenuhi tanggungjawab terhadap anak-anak yang masih di bawah umur. 

8 Tips & Petua Rumah Tangga Bahagia

1. Bertanggung jawab dan faham hak pasangan

Faham akan tanggung jawab setiap individu di dalam rumah tangga – kewajipan sebagi suami, isteri, ayah, ibu dan anak-anak. Apabila prioriti terhadap rumah tangga adalah yang teratas, maka tanggung jawab akan dilaksanakan dengan sebaiknya didalam sesebuah keluarga yang dibina – juga saling melengkapi antara satu sama lain.

2. Menghargai pasangan

Bertolak-ansur, saling memahami dan menghargai setiap individu didalam rumah tangga suatu keperluan untuk rumahtangga yang bahagia. Kita haruslah bersedia menerima kekurangan pasangan, serta berusaha untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan yag ada pada diri.

3. Elakkan pertelingkahan dan perbaiki komunikasi

Jangan bertelingkah, terutamanya di hadapan anak-anak, walaupun anak masih bayi dan belum memahami. Segala permasalahan dan pertelingkahan perlulah diselesaikan melalui perbincangan dari hati ke hati.  Elakkan masalah berlarutan dalam jangka masa yang lama tanpa sebarang penyelesaian, kerana memilih untuk berdendam dan menyimpan segalanya di dalam hati, adalah ibarat menyimpan satu ‘bom jangka’ – yang kadangkala ianya adalah punca perceraian apabila ia meletup. 

Berkomunikasilah dengan baik, elakkan menggunakan bahasa kesat yang boleh mengguris hati atau menjatuhkan air muka pasangan dan anak-anak. Perlu dititikberatkan, kekerasan di dalam rumah tangga bukanlah penyelesaian terhadap segala konflik yang berlaku, sebaliknya perlu dielakkan.

4. Luangkan masa yang berkualiti

Ahli keluarga di dalam rumah tangga harus memperuntukkan masa berkualiti bersama. Ia akan melahirkan rasa disayangi, diperlukan antara satu sama lain dan dirindui selalu. Antara masa yang paling berkualiti untuk seluruh ahli keluarga – solat berjemaah, makan bersama dan perkongsian waktu santai bersama-sama. Bagi pasangan, paling utama adalah masa untuk menzahirkan semula perasaan romantik anda.

5. Ujian sebagai tanda aras kasih sayang dalam rumah tangga

Ujian yang hadir didalam kehidupan perkahwinan mengukur sejauh mana kemampuan pasangan mempertahankan kasih sayang, juga rasional dalam menghadapi segala cabaran bersama. Ada pasangan, apabila diuji, kasih sayang mereka semakin kuat dengan bersama-sama susah dan senang mengharungi onak dan duri berumah tangga.

6. Kepercayaan terhadap pasangan

Setiap pasangan perlu mempunyai kepercayaan antara satu sama lain, tanpa ragu-ragu. Buangkan rasa ragu-ragu dan syak wasangka yang berlebihan, agar tak menghantui perasaan dan emosi yang boleh menganggu gugat keharmonian rumah tangga.

7. Mendalami ilmu rumah tangga

“Menuntut ilmu hingga ke liang lahad.” Perumpamaan yang sangat relevan dalam mengharungi kehidupan berumah tangga. Setiap hari, pastinya ada perkara baru yang dilalui maka perlu setiap pasangan cuba untuk mendalami ilmu perkahwinan. Belajar dari pengalaman orang lain serta mengambil iktibar dari kisah yang hampir setiap hari ada je kisah baik buruknya yang boleh diambil pengajaran.

8. Berdoa dan banyakkan bersyukur dalam rumah tangga

Tak kira berapa banyak dugaan juga kebahagiaan yang dkecapi, banyakkan berdoa dan bersyukur dengan anugerah jodoh dan ikatan perkahwinan yang telah ditentukan Tuhan. Janganlah dikeluh kesah setiap sesuatu yang telah ditakdirkan, sebaliknya terimalah dengan berlapang dada. Setiap dari individu pastinya mengharapkan rumah tangga yang dibina dibawa hingga ke syurga.

Pahit manis dalam perkahwinan adalah roda sebuah kehidupan. Anak-anak yang dibesarkan, sampai pada satu peringkat umur, akan melalui kehidupan berumah tangga juga. Dan membina satu lagi ‘kerajaan kecil’ yang mencorakkan generasi seterusnya.

Bersediakah setiap seorang dari kita untuk menggalas segala tangggungjawab, serta dugaan yang mendatang? Semoga setiap rumah tangga yang dibina atas fitrah yang Allah ciptakan kepada setiap seorang insan, membawa kepada satu rahmat yang mendorong jalan menuju syurga yang abadi.

Semoga bermanfaat!

Cara Menjaga Kereta Anda dan Mengapa Ia Perlu Dijaga

Apabila anda memiliki kereta, anda akan menghabiskan banyak masa memandunya. Sebab itulah anda perlu menjaganya dengan baik agar ia boleh terus berfungsi tanpa sebarang masalah.

Bukan itu sahaja, kereta anda juga merupakan sebuah aset yang boleh anda tukarkan kepada wang tunai di masa hadapan atau semasa keadaan memerlukan. Jadi, untuk mengekalkan nilai jualan semula yang baik untuk kereta anda pada masa hadapan, penjagaan kereta yang baik memainkan peranan yang penting.

Berikut adalah beberapa tips yang dapat membantu anda menjaga kereta anda dan sebab anda perlu melakukannya.

Tips Penjagaan Kereta

Ikut Jadual Penyelenggaraan

Cara paling mudah untuk menjaga kereta anda adalah dengan mematuhi jadual penyelenggaraan yang telah ditetapkan oleh pihak pengedar kereta. Ia berfungsi sebagai pemeriksaan kesihatan berkala untuk kereta anda dan memandangkan ia dilakukan oleh pemeriksa yang terlatih.

Hal ini juga dapat membantu anda mengesan sebarang kerosakan dari awal dan dapat mengelak dari proses pembaikan yang tinggi kosnya, selain dari memanjangkan hayat kereta anda dengan memastikan ia berjalan dengan lancar.

Pastikan anda menyimpan rekod penyelenggaraan dan resit kerana ia akan membantu anda menjejaki komponen yang telah diubah dan komponen yang perlu diubah. Ini juga akan membantu membuktikan bahawa kereta anda telah dijaga dengan baik apabila anda mahu menjual kereta anda.

check oils

Periksa Paras Minyak & Cecair

Kereta anda bergantung kepada beberapa jenis minyak dan cecair seperti minyak enjin, cecair penyejuk, dan minyak brek untuk berfungsi dengan baik. Minyak dan cecair ini perlu diperiksa secara berkala untuk mengawasi sebarang kebocoran yang akan menyebabkan kerosakan pada enjin anda.

Jika terdapat kebocoran, mengenal pasti warna cecair yang bocor apabila anda melaporkannya kepada pusat servis atau mekanik anda dapat membantu menentukan dari mana ia datang. Ini juga akan membantu mempercepatkan proses pembaikan.

Basuh Kereta Selalu

Ini mungkin kedengaran seperti remeh tetapi menjaga kebersihan kereta anda adalah sangat penting. Bahagian luar kereta sentiasa terdedah kepada panas matahari, hujan lebat, angin berdebu, dan juga najis burung.

Elemen-elemen ini akan mengakibatkan kerosakan kepada badan dan cat kereta anda dan ia akan mengurangkan nilai jualan kereta anda secara drastik jika tidak ditangani. Mencuci kereta anda secara berjadual dapat membantu mengurangkan hakisan pada badan kereta dan juga mengekalkan warna cat kereta anda.

Untuk perlindungan yang lebih baik, hantar kereta anda untuk servis perincian di mana lapisan lilin akan disapu dan kereta akan dikilatkan secara profesional. Sekiranya ia kerap dilakukan, ia akan menjadi satu pelaburan yang berbaloi semasa anda menjual kereta anda di masa hadapan.

check tire

Jaga Tayar

Memandangkan tayar adalah komponen utama yang menghubungkan kereta anda dengan jalan raya, penting bagi anda untuk memeriksanya dengan kerap. Tekanan tayar kereta anda harus diperiksa secara berkala agar ia sentiasa berada di tahap yang disyorkan oleh pengedar kereta anda.

Anda juga boleh menjaga tayar kereta anda dengan menyilang tayar kereta anda agar jangka hayatnya lebih panjang. Ini penting kerana tayar kereta akan haus pada tahap yang berbeza bergantung kepada jenis kereta, kelajuan, serta jalan yang digunakan. Memandu dengan tayar yang sudah haus dan kurang tekanan angin adalah sangat berbahaya dan anda berisiko untuk terlibat dalam kemalangan.

Pastikan Lampu Kereta Berfungsi

Setelah beberapa tahun kereta dipandu, anda mungkin perasan bahawa lampu kereta anda sudah mulai malap, kusam, atau mungkin sudah tidak berfungsi dengan betul. Lampu yang berfungsi dengan baik adalah penting untuk memastikan keselamatan anda di jalan raya kerana ia membolehkan anda dilihat oleh pemandu lain.

Jika anda perasan terdapat mentol lampu yang telah rosak atau terbakar, maklumkan segera kepada pusat servis atau mekanik anda untuk membaikinya. Tetapi pastikan anda menggunakan mentol yang betul supaya lampu anda tidak menyebabkan silau yang ketara bagi pemandu lain. Bagi lampu yang kusam dan kuning pula, ia boleh digilap agar kelihatan seperti baharu.

Artikel berkaitan: Nak Jual Kereta? 17.5 Perkara untuk Naikkan Nilai Kereta Anda

Sebab untuk Menjaga Kereta Anda

Nilai Jual Semula Terjaga

Semakin banyak anda menggunakan kereta anda, semakin banyak nilainya akan susut. Penjagaan kereta yang dilakukan secara berkala dapat membantu mengekalkan nilai jualan semula kereta anda jika anda ingin menjualnya pada masa hadapan.

Mengikuti jadual penyelenggaraan yang telah ditetapkan oleh pihak pengedar akan memastikan kereta anda terjaga dan sentiasa berfungsi dalam keadaan yang baik. Ia juga memberikan anda pengalaman memandu yang lancar.

Apabila tiba masanya untuk menjual kereta, dengan membuktikan bahawa kereta anda telah dijaga dan diselenggara dengan baik dapat memberi anda peluang untuk menetapkan harga jualan yang lebih baik.

Kurang Kos Pembaikan

Kerosakan yang tidak dijangka pasti akan menelan belanja yang banyak untuk dibaiki. Tetapi dengan pemeriksaan rutin, ia boleh dielakkan. Penyelenggaraan kereta secara berkala membolehkan anda mengesan dan membetulkan sebarang isu-isu kecil sebelum ia bertukar menjadi masalah besar yang mungkin akan memerlukan ribuan ringgit untuk dibaiki.

Selain itu, ia juga memastikan kereta anda setiasa berfungsi dalam keadaan yang optimum dan kosnya juga jauh lebih rendah dari membaiki kerosakan besar dengan kereta anda.

Jangan lupa untuk menyimpan buku rekod dan resit penyelenggaraan dengan baik kerana ia merupakan bukti yang dapat membantu anda untuk mendapatkan harga jualan yang lebih baik untuk kereta anda.

Jaminan Keselamatan

Sebab utama anda perlu menjaga kereta anda adalah untuk memastikan ia selamat untuk dipandu. Penyelenggaraan yang kerap akan memastikan semua komponen kereta anda berfungsi dengan baik dan berada dalam keadaan yang elok pada setiap masa.

Anda dan keluarga anda menghabiskan banyak masa di dalam kereta, jadi kereta yang diselenggara dengan baik adalah penting untuk membolehkan anda memandu dengan tenang, sama ada untuk perjalanan yang singkat atau yang jauh.

Impian Anda

udreamr | 15 AMAZING Vision Board Example Ideas for 2023

Kadang-kadang, kita merasakan yang impian atau cita-cita tak perlu ditulis. Cukuplah sekadar teringat-ingat dalam kepala. Tapi sebenarnya kita silap. Bila kita tulis impian kita, kesannya cukup berbeza.

Bila kita hanya teringat-ingat dalam kepala, seolah-olah kita hanya berangan-angan seperti Mat Jenin. Tetapi jika kita mula menulis, seolah-olah kita sudah ada dan tetapkan hala tuju untuk diri kita sampai ke satu destinasi yang diimpikan.

Ketika di sekolah rendah, kita selalu tulis cita-cita dalam biodata kita. Kita sering bertukar-tukar biodata dengan kawan-kawan dan kita mesti tulis cita-cita kita. Tiap-tiap tahun kita berdiri di dalam kelas, perkenalkan diri dan beritahu satu kelas cita-cita kita. Amalan ini ditinggalkan apabila kaki melangkah ke sekolah menengah, universiti dan ke alam pekerjaan. Dan akhirnya kita sendiri lupa apa hala tuju sebenar kita masa di bangku sekolah dulu.

Dan akhirnya kita kecewa dengan kehidupan kita sekarang yang kita sendiri bina tanpa hala tuju.

Perkara ni mungkin nampak macam tak ada apa-apa dan tak lebih dari sekadar sehelai kertas dan sebatang pen, tetapi sebenarnya ia sedang “bekerja” tanpa kita sedari. Kalau kita belajar metafizik atau membaca buku Think and Grow Rich, Napoleon Hill ada menerangkan tentang bagaimana menanam satu idea tu mampu mengubah hidup seseorang.

TULIS SEKARANG IMPIAN ANDA, BINA VISION BOARD ANDA!

Dah nak masuk tahun 2023 jadi tulis saja impian-impian anda untuk tahun depan. Beli rumah? Bercuti? Senaraikan saja impian-impian anda. Menulis impian ini percuma dan tak ada siapa pun marah.

Antara tips untuk menulis impian; Untuk impian jangka masa pendek, pastikan sumber atau jalan untuk capai impian sudah 50% terbentang, supaya kita ada motivasi untuk terus mengejar impian. Contohnya, kalau kita nak beli rumah tahun depan, pastikan sekarang kita dah siap-siap sudah ada duit untuk down payment rumah. Kalau tak ada pun, kita dah kenal pasti sumber untuk dapatkan wang untuk down payment.

Untuk jangka masa panjang, mulakan dengan sedikit. Sebagai contoh, jika kita mahu bebas kewangan maka kita sudah boleh mula mencari ilmu kewangan, menyimpan secara konsisten walaupun sedikit. Dalam erti kata lain, pupuk dulu tabiat kerana nak tukar tabiat bukan mudah.

YAKIN DAN USAHA

Bila dan senaraikan impian-impian kita, langkah seterusnya ialah yakin. Ini bersesuaian dengan hadis yang diriwayatkan oleh Sidna Abu Hurairah r.a, beliau berkata bahawa Nabi Muhammad ﷺ pernah bersabda;

“Aku sesuai dengan persangkaan hamba pada-Ku.”

Bila dah yakin, lakukan tindakan segera untuk mencapai impian kita. Jangan terlalu drastik tapi cukuplah dengan kecil untuk mendapatkan rentak. Contohnya, bila dah niat untuk mendirikan rumah tangga, terus cari ilmu tentang rumah tangga, tambah skill sebagai sebagai seorang suami atau isteri.

Bila kita dah berusaha ke arah mencapai impian, Allah akan menghantar bantuan melalui insan-insan yang terdiri daripada ahli keluarga, sahabat-sahabat dan termasuk mereka yang kita sendiri tak kenali untuk membantu kita. Wallahu a’lam.

Saya dan rasai kekuatannya dan kini giliran anda untuk capai impian anda semua. Selamat bercita-cita dan semoga berjaya!

Pembuatan Roti

pembuatan roti

Selain nasi, roti juga merupakan makanan yang sering diambil sebagai sumber karbohidrat. Terdapat pelbagai jenis roti yang ada dipasaran. Roti putih, roti gandum penuh, roti kismis, roti pelbagai inti dan sebagainya. Pernahkah anda terfikir bagaimana roti boleh terjadi dan apakah penjelasan sains disebalik kemenjadian makanan ini? Artikel ini akan menjelaskan serba sedikit mengenai sains pembuatan roti.

Terdapat pelbagai jenis resepi untuk membuat roti. Kebanyakannya menyenaraikan tepung gandum, yis, sedikit gula, secubit garam, mentega atau marjerin dan sedikit air. Secara ringkasnya terdapat 4 langkah untuk membuat roti iaitu penggabungan bahan bahan, uli menjadi doh, pengembangan dan pembakaran. 

Penggabungan bahan bahan

Pada peringkat permulaan, kesemua bahan disatukan ke dalam bekas. Tepung gandum mengandungi protein glutenin dan gliadin yang tinggi. Kedua dua protein ini  berada dalam kategori glutenAir ditambah kedalam tepung untuk membantu pembentukan gluten.

Gluten ialah jaringan viskoelastik yang berupaya untuk memerangkap gas. Garam bukan sahaja untuk memberikan rasa kepada roti, malah ia membantu untuk memperlahankan proses fermentasi. Selain itu, garam juga boleh menguatkan jaringan gluten seterusnya mengakibatkan doh menjadi semakin elastik. 

Uli menjadi doh

Selain daripada protein, tepung gandum juga mempunyai kanji. Kanji ialah rantaian molekul gula yang panjang. Dengan kehadiran enzim, rantaian gula dirungkai menjadi gula ringkas. Terdapat dua enzim yang terlibat dalam proses ini, iaitu amylase dan maltase. Amylase merungkai kanji menjadi gula maltosa.

Kemudian, enzim maltase merungkai gula maltosa menjadi glukosa (gula ringkas). Glukosa diperlukan oleh yis untuk proses pengembangan. Selain itu, fungsi glukosa ialah memberikan rasa dan warna semasa pembakaran (browning reaction). Lemak (mentega atau marjerin) yang dimasukkan kedalam doh berfungsi sebagai pelincir kepada doh dengan cara melemahkan ikatan gluten dan menjadikan roti lebih lembut. Selain itu, lemak juga berfungsi untuk menstabilkan poket udara doh seterusnya meningkatkan isipadu lof roti. 

Sesetengah resepi menggunakan baking soda atau baking powder kedalam doh. Baking soda hanyalah sodium bikarbonat. Ianya memerlukan air dan asiditi untuk menghasilkan gas karbon dioksida. Tetapi kelemahan baking soda jika ditambahkan kedalam doh, ia memberi rasa kelat sekiranya tidak cukup asiditi untuk menghasilkan karbon dioksida. Baking powder juga ialah sodium bikarbonat, tetapi ia disertakan dengan cream of tartar (potassium bitartrate) iaitu sejenis asid yang boleh mengaktifkan bikarbonat. Ini bermakna, baking powder tidak memerlukan asid yang lain untuk menghasilkan gas karbon dioksida. 

Pengembangan doh

Yis ialah agen yang diperlukan untuk pengembangan doh. Untuk pengetahuan pembaca, yis ialah sejenis mikro organisma fungi satu sel  yang memerlukan gula terutama sekali glukosa untuk menghasilkan karbon dioksida. Gas karbon dioksida yang terhasil menjadikan doh meninggi dan kembang.

Poket udara inilah yang menjadikan tekstur roti keras atau lembut. Saiz poket udara yang tehasil bergantung kepada masa doh direhatkan selepas pengulian. Semakin lama doh direhatkan selepas diuli, semakin tinggi doh mengembang. Selepas doh mengembang, kebiasaannya doh akan ditekan untuk melepaskan gas didalamnya dan diuli sekali lagi.

Pengulian kali kedua ini, akan menjadikan saiz roti lebih seragam. Selain daripada gas karbon dioksida, gabungan yis dan gula menghasilkan ethanol sebagai produk sampingan. Tetapi ethanol ini meruap sebaik sahaja doh dibakar.

Pembakaran

Proses terakhir ini adalah proses yang ditunggu tunggu. Doh siap untuk dimasukkan kedalam oven. Suhu yang digunakan kebiasaannya ialah  220°C selama lebih kurang 35 hingga 40 minit. Sebaik sahaja doh dikenakan haba, ia menjadi lembik, memudahkan sel gas mengembang dan menjadikan doh meninggi.

Proses ini dikenali sebagai oven spring. Punca utama oven spring ini adalah disebabkan oleh alkohol (ethanol) dan air bertukar menjadi gas. Kemudian, gas akan memenuhi ruang diantara rantaian gluten dan menjadikan doh mengembang dan tinggi 2 kali ganda daripada saiz asal. Suhu yang tinggi menukarkan doh roti yang berwarna putih atau pucat menjadi keperangan.

Warna perang ini disebabkan oleh kehadiran gula yang bertukar menjadi karamel apabila dikenakan suhu yang tinggi. Oven spring akan berhenti sebaik sahaja permukaan luaran (crust) roti menjadi keras dan suhu dalaman menjadi sekitar 70-80°C. Pada suhu ini, yis telah mati dan roti selamat untuk dinikmati. 

Laman Edibel Desa Bakti UTM

‘Edible’ landskap adalah satu pendekatan rekabentuk taman yang menggabungkan penggunaan tanaman makanan dan tanaman hiasan. Ia juga dikenali sebagai Laman Dapur, Taman Tumbuhan Makanan (Edible Garden) dan taman komuniti.
 
Rekabentuk ‘Edible’ landskap menyumbang nilai estetik dengan mewujudkan persekitaran ataupun ruang luar yang selesa, menarik dan berfungsi sebagai sumber bahan makanan segar, bahan masakan, kosmetik, perubatan dan wangi-wangian melalui penggunaan tumbuhan ‘edible’.

Resipi Perapan Sate Ayam Sedap

CARA MASAK SATE AYAM YANG SEDAP & BERJUS. MUDAH JE RESIPINYA

Resipi Perapan Sate Ayam Yang Sedap & Juicy. Memang Puas Makan

BAHAN-BAHAN:
1 ekor ayam – ambil isi
1 sudu makan ketumbar – sangai (*) 
2 sudu makan jintan manis – sangai (*) 
1 sudu makan jintan putih – sangai (*) – 
1 inci halia (*)
1 inci kunyit (*)
3 biji bawang Holland (*) – 
1 labu bawang putih (*)
6 batang serai (*)
5 keping nise atau gula kabung – masak dengan segelas air – 
3 sudu asam jawa tanpa biji – 
Gula dan garam secukupnya
Lidi satay untuk mencucuk

CARA MEMASAK:
1.Potong isi ayam berbentuk kiub. Rangka ayam boleh dimasak gulai. Jika nak mudah, boleh beli dada ayam sahaja. Kemudian basuh dan toskan airnya hingga kering.
2. Sementara itu sangaikan ketumbar, jintan manis dan jintan kemudian kisar lumat semua bahan yang bertanda (*).
3. Dalam bekas besar, satukan isi ayam dan ramuan yang dikisar tadi.
4. Kemudian masukkan garam, gula, air nise @ gula kabung dan asam jawa.
5. Gaul rata semua bahan supaya tekstur isi ayam atau daging (jika nak campur) menjadi lembut dan mesra dengan rempah.
6. Perap semalaman atau sekurang-kurangnya 3 jam sebelum dicucuk dan dibakar.

Resipi Perapan Sate Ayam Yang Sedap & Juicy. Memang Puas Makan

RESIPI KUAH SATE

BAHAN-BAHAN:
1/2kg kacang tanah – goreng & kisar kering @ tumbuk – 
2 biji santan kelapa
Serai – diketuk
Air asam jawa secukupnya
6 keping gula nise (gula melaka)
Garam dan gula putih biasa secukupnya (kuah kena mais baru sedap)

BAHAN KISAR HALUS:
Bawang holland
Cili kering
Lengkuas
Jintan manis
Jintan putih

IKLAN

CARA MEMASAK:
1.Tumis kesemua bahan yang dikisar tadi kecuali kacang tanah dan serai hingga garing dan pecah minyak.
2. Kemudian masukkan santan cair dan kisaran kacang tanah. Biarkan mendidih sekejap.
3. Bila nampak sempurna, masukkan bahan-bahan lain dan ubah suai rasa ikut selera masing-masing.
4. Bila kuah kacang sudah pecah minyak, angkat dan hidangkan bersama sate.

TIP MASAK SATE YANG SEDAP & JUICY

Resipi Perapan Sate Ayam Yang Sedap & Juicy. Memang Puas Makan

1.Jika nak sate nampak kuning, boleh tambah serbuk kunyit bergantung pada selera masing-masing.
2. Air lebihan perapan jangan dibuang. Campurkan dengan segelas minyak untuk digunakan semasa membakar sate nanti.
3. Ketuk 2 batang serai, ikat dan celup dalam campuran minyak untuk disapu pada sate. Ia adalah salah satu rahsia sate yang dibakar tetap juicy.
4. Rajin-rajin balikkan sate supaya hasilnya cantik, tidak hangit dan hitam.

JENIS-JENIS TARANNUM SECARA RINGKAS

TARANNUM BAYYATI

Perkataan bayyati adalah dari bahasa Arab yang bererti rumah atau tempat kediaman.

Sifat Tarannum Al-Bayyati

• Lembut disamping tegas.
• Sesuai dengan tobaqot sederhana.
• Harmoni.
• Berunsur ketenangan.

Peranan Tarannum Al-Bayyati

• Memantapkan persembahan.
• Sesuai sebagai tarannum pembukaan dan penutup.
• Pengukuran kepada tarannum sesudahnya.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.

TARANNUM SOBA

Bermaksud rindu. dipopularkan kini oleh qari mesir

Sifat Tarannum Soba

• Gerak ringan meresap jiwa.
• Alunan lembut yang mendayu.
• Sesuai dengan tobaqot sederhana.
• Sesuai dengan ayat memohon, merayu, merintih dan sebagainya.

Peranan Tarannum Soba

• Menenangkan persembahan.
• Membawa kekhusyukan dan keinsafan.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.

TARANNUM HIJAZ

Hijaz ialah sebuah kawasan di dalam Arab Saudi. Sangat popular sebagai suatu cabang pelopor tarannum dahulu. Tetapi kini tarannum hijaz telah diubahsuai oleh Qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.

Sifat Tarannum Hijaz

• Gerak lambat tapi berkesan.
• Ketegasan pendorong semangat.
• Kelincahan menghidupkan persembahan.
• Sesuai dengan mana-mana tobaqot.
• Sesuai dengan ayat perintah, tegas atau marah.
Peranan Tarannum Hijaz.

• Memberi semangat kepada persembahan.
• Memberi kepuasan kepada pembaca dan pendengar.
• Memberi tenaga kepada tarannum sesudahnya.
• Menunjukkan Ketegasan kepada mesej Al-Quran.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.

TARANNUM NAHWAND

Nahwand juga adalah nama suatu tempat. Terletak di Hamadan Parsi (kini Iran). Tetapi kini tarannum nahawand telah diubahsuai oleh qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.

Sifat Tarannum Nahwand

• Gerak ringan yang berkesan.
• Kelembutan bersopan.
• Sederhana memikat jiwa.
• Kehalusan seni.
• Sesuai dengan tobaqot sederhana.

Peranan Tarannum Nahawand

• Melembutkan bacaan.
• Menenangkan jiwa pembaca dan pendengar.
• Sesuai dengan ayat memohon, bercerita dan sebagainya.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.

TARANNUM RAST

Berasal dari parsi (iran) kemudian digunapakai oleh qari-qari Hijazi. Tetapi kini tarannum rast telah diubahsuai oleh qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.

Sifat Tarannum Rast

• Gerak lembut disamping ketegasan.
• Kelembutan alunan.
• Lincah menyemarakkan.
• Sesuai dengan mana-mana tobaqot.
• Sesuai dengan mana-mana bentuk ayat.

Peranan Tarannum Rast

• Memberi semangat kepada persembahan.
• Memberi tenaga kepada tarannum berikutnya.
• Memberi kepuasan kepada pembaca dan pendengar.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.

TARANNUM SIKAH

Berasal dari parsi (iran) kemudian digunapakai oleh qari-qari Hijazi (pada kurun-kurun 7 masihi hingga 19 masihi). Tetapi kini tarannum Sikah telah diubahsuai oleh qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.

Sifat Tarannum Sikah

• Gerak lambat meyakinkan.
• Kelembutan menusuk kalbu.
• Berciri kesedihan dan kerintihan.
• Sesuai dengan ayat-ayat merayu, memohon, merintih dan sebagainya.
• Sesuai dengan mana-mana tobaqot.

Peranan Tarannum Sikah

• Melembutkan persembahan.
• Memberi kepuasan kepada pembaca dan pendengar.
• Membawa kekhusukan dan keinsafan.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.

TARANNUM JIHARKAH

Berasal dari parsi (iran) kemudian digunapakai oleh qari-qari Hijazi (pada kurun-kurun 7 masihi hingga 19 masihi). Tetapi kini tarannum Jiharkah telah diubahsuai oleh qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.

Sifat Tarannum Jiharkah

• Gerak ringan yang berkesan.
• Kelembutan menusuk kalbu.
• Harmoni.
• Sesuai dengan ayat-ayat merayu, memohon, merintih dan sebagainya.
• Sesuai dengan tobaqot sederhana.

Peranan Tarannum Jiharkah

• Menenangkan ketegangan persembahan.
• Melembutkan persembahan.
• Membawa kekhusukan dan keinsafan.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.

PENGENALAN TARANNUM DI MALAYSIA

Qari-qari dari Malaysia masa kini telah mempopularkan bacaan al-Quran dengan tarannum yang disusun seperti berikut:

1. Bayyati, Soba, Hijaz, Nahwand dan Rast.
2. Bayyati, Hijaz, Nahwand, Rast dan Sikah.
3. Bayyati, Nahwand, Rast, Sikah dan Jaharkah.
4. Bayyati, Soba, Nahwand, Rast dan Sikah.
5. Bayyati, Iraqi, Hijaz, Sikah dan Rast.

50% daripada qari di Malaysia membaca dengan bahagian (1) dan (2), 30% pula membaca dengan bacaan mengikut turutan (3), 15% lagi membaca dengan bahagian (4) dan 5% lagi membaca dengan bacaan mengikut turutan (5).

Namun mengikut seorang pakar tarannum di Malaysia, Hj Nik Jaafar bin Nik Ismail; susunan lagu-lagu yang popular di Malaysia ialah
1. Bayyati, Soba, Hijaz, Nahwand dan Rast.
2. Bayyati, Hijaz, Nahwand, Rast dan Sikah.
3. Bayyati, Nahwand, Rast, Sikah dan Jaharkah.
Bagi lagu-lagu lain hanya sebagai selingan sahaja.

KENALI 13 Jenis Batu-Batu Cincin Serta Khasiatnya

Sebagai seorang muslim kita mesti meletakkan 100% pergantungan kita kepada Allah SWT. Tidak ada sesuatu pun yang dapat mendatangkan kebaikan kecuali dengan izin Allah dan tiada suatupun yang bisa membawa mudharat melainkan dengan izin Allah jua. Pemakaian dan penggunaan batu ataupun apa saja benda-benda yang mempunyai kelebihan padanya (dengan izin Allah) adalah tidak salah, akan tetapi mestilah benar-benar/ sungguh difahami dan yakin akan hakikat penggunaan / pemakaiannya.

Batu atau kayu atau apa-apa saja benda yang istimewa adalah anugerah Allah yang sememangnya tidak sia-sia penciptaannya. Seperti garam yang bersifat masin, begitulah juga batu-batu yang istimewa ini bersifat dengan sifat yang wujud padanya masing-masing. Hanya orang yang tahu (berilmu) sahaja yang dapat mengambil manafaat daripadanya.

Fahamilah bahawa batu-batu tersebut tidak mempunyai kuasa. Batu-batu tersebut hanyalah mempunyai kelebihan/ keistimewaan dengan sifat yang ada padanya tetapi kuasa mutlak adalah ditangan Allah. Jadi janganlah lari daripada penggantungan kita sepenuhnya kepada Allah jua. Semoga anda semua mendapat kefahaman yang sungguh tentang hakikat pemakaian batu permata dan beroleh kejayaan dalam cita-cita serta tujuan anda selagi anda tetap diatas jalan Allah

1. BATU HAKIKAT

Batu Hakikat asalnya ialah batu bukit/ gunung. ada juga orang mengelarkan batu ini sebagai batu badar lumut. ini kerana ia mempunyai sejumlah tumbuhan lumut didalamnya dan ia adalah batu hidup bersifat sejuk. Dikatakan batu ini mempunyai khasiat seperti berikut:

menundukkan musuh, menghilangkan sakit dan meyembuhkan penyakit, menghindarkan ganguan makhluk halus, menghilangkan darah gemuruh, serta untuk keselamatan diri

2. BATU PANCA NUR

Batu Panca Nur atau pancha warna adalah sejenis batu akik bercirikan lebih dari dua ke lima warna. Kelebihan dimata umum ialah pada lima warna ini iaitu merah, hijau, kuning, hitam, putih kerana mempengaruhi kekuatan lima pancaindera manusia. Batu Panca Nur yang asli ialah apabila dipegang terasa berat dan getarannya. Batu Panca Nur ini kekuatannya dikatakan mempunyai khasiat seperti berikut:
– Memancarkan cahaya wajah yang menawan kepada sipemakainya
– Memancarkan seri kewibawaan lalu akan dihormati oleh orang sekeliling. – Membangkitkan rasa percaya dan keyakinan yang tinggi dikhalayak ramai
– Menjadikan musuh tidak berupaya untuk membuat sesuatu yang jahat pada kita.
– Orang akan menjadi kagum, sangat percaya dan tertegun dengan kata-kata kita.

3. BATU LAFADH

BATU LAFADH adalah berbentuk/ bergambar/ bertulis secara semulajadi padanya kalimah Allah atau huruf-huruf kalimah . Amat-amat jarang ditemui di dunia perbatuan. Jika ditemui batu jenis ini, anda perlu berhati-hati dan meneliti sepenuhnya kerana terdapat banyak batu-batu campuran yang dibentuk seakan batu-batu yang asli yang mana disebut batu sintesis.

4. BATU SERAI

BATU SERAI hanya diperolehi daripada pokok serai kampung yang berbunga atau pada tumbuhan-tumbuhan yang mengeluarkan bunga seakan bunga padi. Untuk makluman semua, pokok serai adalah tumbuhan yang amat sukar untuk mengeluarkan bunga dan pokok serai yang mengeluarkan bunga amat sukar dan jarang-jarang untuk ditemui. Jika ditemui pokok serai berbunga, untuk mengambil batu-batu yang terdapat dibahagian bawah perdu pokok serai tersebut memerlukan kaedah dan cara-cara yang tertentu dan hanya orang-orang yang arif dengannya saja yang berjaya mendapatkan batu serai. Terdapat pelbagai jenis warna yang biasa didapati seperti warna merah, kuning, warna jernih, biru,hijau dan unggu. Kelebihan dan keistimewaan batu serai dimata umum ialah untuk pemanis dan pelaris.

5. BATU ZAMRUD

Emrald atau zamrud merupakan batu permata bewarna hijau yang sentiasa dikagumi ramai sejak dahulu lagi. Peminat batu cincin kebanyakannya mengakui batu ini adalah amat cantik dan berkhasiat tinggi dari segi spiritual. Kekerasan zamrud dalam skala Mohs ialah diantara bacaan 7 hingga 9. Sememangnya batu zamrud adalah sangat berharga dan tidak ramai yang dapat memilikinya kerana faktor harganya yang agak tinggi. Zamrud jarang dijumpai didalam saiz yg besar dan batu zamrud yang paling bernilai/ paling tinggi kualitinya berasal dari negara colombia yang harganya boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit. Emrald atau zamrud merupakan batu permata atau birthstone untuk mereka yang lahir dalam bulan mei. Walaubagaimanapun batu ini tetap sesuai dipakai oleh sesiapa sahaja tanpa mengira bulan kelahiran. Pada masa dahulu, zamrud hanya dipakai oleh golongan bangsawan,raja-raja dan pembesar negara sebagai simbol keagungan dan kekuasaan. Para pemakai batu zamrud juga percaya dan yakin batu ini akan memberi keuntungan da keyakinan yang tinggi.

6. BATU BADAR BESI

Batu badar besi juga biasa disebut sebagai batu pati ayam atau istilah sainsnya ialah magnetsteen kerana apabila diajukan besi magnet padanya, batu tersebut akan bergerak berputar-putar. Masyarakat umum mengenali batu badar besi dalam golongan pusaka mistik yang diyakini memberi khasiat dan kelebihan yang banyak.

Batu badar besi mengandungi unsur ferum dengan kandungan oksigen yang tinggi sehingga memiliki warna abu kehitaman dan memiliki kekerasan 5-6 skala Mohs. Sebenarnya batu badar besi banyak dijumpai didaerahbrazil, mexico, Australia dan amerika yang mana dekat dgn kawasan pergunungan yang sering terjadi banjir lahar ratusan tahun dahulu.

Cerita masyur yang diketahui mengenai khasiat batu badar besi adalah banyak sekali. Yang paling utamanya ialah anti senjata tajam atau kebal bahkan kebal kepada peluru. Lainnya ialah sebagai pagar diri, mampu melindungi pemiliknya dari bahaya sihir, anti cukur dan menghindarkan aura jahat.

7. BATU KECUBUNG

Amethyst yang juga dikenali sebagai kecubung merupakan batu yang berwarna ungu. Kecubung berasal dari perkataan Greek yang bermaksud penawar dimana wujud kepercayaan lama menunjukkan arak yang diminum di dalam gelas amethyst tidak akan menyebabkan sipeminumnya menjadi mabuk. Amethyst atau kecubung mempunyai kekerasan 7 pada skala Mohs. Kecubung dipercayai telah mula digunakan sejak zaman awal Mesir kuno. Kecubung yang berkualiti hanya boleh didapati di negara-negara seperti Brazil, Uruguay, Siberia, Russia dan India.

Batu Kecubung merupakan batu permata yang popular sebagai bahan perhiasan raja-raja dan pembesar-pembesar negara zaman lampau. Selain warna ungu, ia juga mempunyai beberapa warna yang menarik. Contohnya bewarna merah jambu tetapi kecubung yang paling berharga semestinya bewarna ungu kebiru-biruan. Batu Kecubung/ Amethyst merupakan birthstone untuk mereka yang lahir pada bulan Februari. Dimata umum masyarakat, kelebihan dan keistimewaan kecubung ialah untuk pengasihan dan bisa mewujudkan aura menawan kepada pemakainya.

8. DELIMA MERAH

Ruby atau batu delima merah dikenali kerana warna merahnya yang menggambarkan perasaan cinta, kuasa dan kemegahan. Inilah raja segala batu permata atau dikenali sebagai “king of germstone”yang begitu popular diseluruh nusantara bahkan seantero dunia. Delima merah amat sinonim dan mashyur dalam masyarakat melayu kerana kecantikan fizikal batu ini dan khasiat yang menjalarinya, batu ini juga sebenarnya terdapat dalam warna merah jambu (pink) dan merah hati (merah tua). Delima adalah batu permata yang sangat keras dengan ukuran 9 pada bacaan skala Mohs. Delima yang paling popular tentunya berasal dari negara Burma (sekarang Myammar) kerana kualiti dan kecantikan batunya.

Walaubagaimanapun terdapat juga bekalan batu delima yang berkualiti yang dilombong dari negara lain seperti negara Afrika selatan, pakistan, Afghanistan, Tanzania dan negara India. Ruby atau delima merupakan birthstone ataupun batu untuk mereka yang lahir pada bulan Julai. Didalam pengentahuan masyarakat melayu nusantara, Delima merah berada dalam mitos khasiat yang paling tinggi iaitu untuk pelindung diri dari ancaman jahat termasuk sihir, bagi pembesar atau pemerintah, Ruby dikatakan dapat membuka aura keagungan yang menjadikan orang ramai patuh pada pemakainya. Kelebihan Delima merah yang paling masyur dalam masyarakat melayu ialah kebal umum dan bagi golongan peniaga pula dikatakan untuk kekayaan. Ruby atau batu delima terbaik adalah dari negara burma dimana harganya mengikut timbangan karat.

9. CHRYSOBERYL CAT’S EYE (MATA KUCING)

Batu mata kucing atau ‘cats eye’ diberi nama kerana apabila didalam kegelapan dan ada sedikit cahaya, maka akan muncullah segaris sinar pada batu ini mirip mata haiwan bernama kucing. inilah uniknya batu ini sehingga ramai yang tergila-gila mencarinya. Batu cats eye ini banyak terdapat dalam warna coklat kehitaman, kuning madu dan warna hijau muda. cats eye mempunyai ketahan yang kuat kerana batu ini mempunyai kekerasan pada ukuran 8-9 pada skala Mohs.

Chrysoberyl merupakan batu permata yang mempunyai nilai yang tinggi di pasaran dengan kualiti yang sangat baik. Negara pengeluar utama batu mata kucing ini termasuklah Russia, Tanzania, Sri Lanka, India, Brazil, dan Timur Afrika. Cats eye @ Chrysoberyl menjadi batu yang digemari oleh ramai peminat dan pengumpul yang profesional. Ini kerana batu permata ini sangat sukar untuk didapati dan harganya yang agak mahal. Cat’s eye yang baik mempunyai cahaya sebagai jaluran di bahagian tengah. Apabila membeli batu yang asli, pastikan “mata kucing” pada batu tersebut berada di bahagian tengah dan “mata” tersebut boleh “terbuka” dan “tertutup” apabila batu itu dicondongkan. Kelebihannya dimata umum dikatakan banyak sekali seperti memberikan keyakinan dan menjadikan lawan /musuh gerun dan takut pada kita serta memberi aura penarik kepada pemakainya juga dikaitkan dengan kesihatan (menghindar penyakit fizikal dan mengelak sihir).

10. BATU TIGER EYE (MATA HARIMAU)

BATU TIGER EYE juga dikenali sebagai batu mata harimau ini tergolong dalam keluarga Quartz. Batu ini diberi nama kerana warna dan jaluran cahaya yang meliputinya apabila dipandang seolah-olah seperti mata sang harimau yang sedang merenung tajam. Warna dominan bagi batu ini ialah kuning yang bercampur dengan hitam dan campuran coklat serta oren. Kekerasan skala mohs bagi batu tiger eye ialah pada bacaan 7 yang banyak dijumpai di negara afrika selatan, russia, australia barat, negara jerman dan china. Tiger’s eye sesuai dipakai oleh semua golongan dan berbagai peringkat lapisan masyarakat. Khasiat dan kekuatan yang menjalarinya dipercayai menjadikan pemakainya akan digeruni lawan dan dihormati kawan, segala perintah dan kata-kata sipemakainya akan mudah diterima dan dipatuhi orang. Batu ini juga dipercayai menjadi senjata menangkis pebuatan sihir dan jahat.

11. BATU JARUM MAS

Batu jarum mas termasuk dalam kumpulan batu-batu jenis Quartz iaitu ia adalah jenis Rutilated Quartz. Terdapat banyak warna batu dalam kumpulan quartz ini seperti warna merah jambu, kuning, biru dan hijau serta hitam dan putih tetapi batu jarum mas biasanya mempunyai warna dominan jernih keputihan dengan didalamnya terdapat hablur warna kuning yang terbentuk memanjang seolah-olah seperti bentuk jarum.

Batu jarum mas mempunyai paling banyak jenis dan nama kerana quartz ialah salah satu unsur mineral yang paling banyak didapati dibahagian kerak bumi. kekerasan batu jenis ini berada pada ukuran 7 skala Mohs. terdapat catatan menyatakan quartz adalah bahan yang biasa digunakan sebagai bahan mistik dalam mitologi orang asli Australia yang menunjukkan batu ini mempunyai khasiat dan kelebihan yang besar dalam dunia mistik. didalam masyarakat melayu nusantara, Batu jarum mas dipercayai menjadi alat pertahanan diri dan untuk keselamatan pemakainya.

12. BATU NILAM (SHAPHIRE)

Nilam juga biasa disebut sebagai sapphire atau safir. Batu nilam amat dikenali didunia perbatuan sebagai batu yang digemari ramai pencinta batu permata dan sukar untuk diperolehi. Struktur mineralnya adalah berbentuk kristal tunggal aluminium oksida yang mana menyebabkan nilam memiliki kekerasan yg cukup tinggi iaitu bacaan 9 pada skala Mohs. Nilam dipasaran ketika ini banyak berasal dari negara Burma, Srilangka, Thailand,Russia, kalimantan Indonesia dan juga Afrika.

Batu permata Nilam yg terkenal didunia adalah blue shaphire (safir berwarna biru) yang mana struktur mineral dan seratnya memiliki keunikan pancaran cahaya yang berbeza-beza menjadikannya kelihatan amat mempersonakan. Terdapat juga nilam berwarna hitam, kuning dan putih tetapi harganya tidak standing dengan nilam berwarna biru. Kelebihan dan mitos yang menjalar pada batu nilam ini diyakini dapat menjernihkan fikiran, meningkatkan kekuatan fizikal dan kedamaian hati, membawa kebahagiaan, meningkatkan keyakinan dan tujuan hidup. Raja-raja dan para pemerintah negara memakai nilam untuk menampilkan wibawa dan sebagai pertahanan yg kuat terhadap bahaya. Keistimewaan dimata umum yang paling utama bagi batu nilam ini ialah menyerlahkan aura penarik bagi pemakainya. Batu yang istimewa ini ialah birthstone atau batu yang sesuai untuk mereka yang lahir pada bulan september.

13. BATU PIRUS (TURQUOISE)

Batu Pirus juga dipanggil sebagai “turqouise”dikenali ramai pecinta batu permata sebagai batu yang berwarna biru dan hijau dengan jaluran urat yang menarik dan unik terbentuk padanya. Batu pirus mempunyai campuran mineral tembaga, aluminium dan ferum (besi) yang memberikan peranan terhadap pembentukan warnanya. semakin biru warnanya menunjukkan kandungan tembaga didalamnya adalah tinggi dan jika warna hijaunya yang menonjol, menunjukkan kandungan ferum (besi) pula tinggi. Batu pirus direkodkan mempunyai kekerasan pada bacaan 5-6 pada skala Mohs. Ia banyak di jumpai di negara Iran, Afghanistan, Israel, Amerika dan negara Mexico. Biasanya batu ini banyak dipakai oleh mereka yang berumur 40 tahun keatas.

Peminat batu ini begitu teruja dengan pirus kerana keindahan dan keunikan urat-urat batunya yang terbentuk dengan menarik dan cantik. Batu pirus yang paling terkenal dan tinggi harganya dipasaran ialah pirus berwarna biru atau hijau dari negara Iran yang tidak memiliki jaluran atau corak diatasnya. Khasiat yang menjalari batu istimewa ini dipercayai membantu dalam proses penyembuhan penyakit, memberikan ketenangan minda dan membuka aura kekuatan diri khususnya kekuatan dalaman atau rohani.

Suku Suku Separuh

Apakah suku suku separuh?

Suku suku separuh sebenarnya adalah satu konsep pemakanan yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam program Pinggan Sihat Malaysia.

Konsep ini adalah bagi memudahkan visualisasi dalam pinggan dalam pembahagian jenis makanan ketika waktu makan.

Sebelum ini kita asyik dikhabarkan tentang piramid makanan sihat, namun dari sudut aplikasi panduan tersebut masih susah dizahirkan kebanyakan orang.

Apabila pembahagian jenis dan kuantiti makanan ditunjukkan di atas pinggan, barulah mudah sikit untuk kita jadikannya panduan kan?

Ia juga merupakan salah satu cara kita mengubah amalan pemakanan dalam menjalani gaya hidup yang lebih sihat.

suku suku separuh

Apakah jenis pembahagian dalam diet suku suku separuh?

Secara asasnya, kita akan bahagikan pinggan kita kepada 3 bahagian.

  1. Suku pinggan dengan sumber karbohidrat.
  2. Suku pinggan dengan sumber protein dan lemak.
  3. Separuh pinggan dengan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Saya letakkan sumber karbohidrat kerana konsep pemakanan ini adalah fleksibel.

Ini bermakna, jika anda makan nasi, maka suku pinggan itu adalah nasi. Suku lagi adalah lauk. Suku lagi adalah sayur dan buah.

Manakala jika anda makan bihun sup, suku pinggan atau mangkuk itu adalah bihun. Suku lagi adalah lauk seperti kepingan ayam atau daging, separuh lagi adalah ulam dan sayur-sayuran serta pencuci mulut dengan buah-buahan.

Maka, konsep ini adalah panduan yang fleksibel jika anda faham asasnya.

Nak buat nasi goreng atau mi goreng pun boleh aplikasi cara yang sama. Bahagikan bahan dalam pinggan dengan suku suku separuh, kemudian baru kita goreng.

Nanti saya akan terangkan dengan lebih teliti di bawah bagaimana nak lakukan pembahagian komponen makanan ini dalam konsep suku suku separuh.

Kebaikan Pinggan Sihat Malaysia

Konsep pemakanan ini sebenarnya memberikan kita pelbagai kebaikan dari beberapa aspek.

Memudahkan hidangan seimbang

Dengan mengingati konsep ini, pembahagian nutrisi makro iaitu karbohidrat, protein dan lemak yang seimbang dalam setiap hidangan menjadi lebih mudah.

Ia akan mengelakkan kita daripada makan mana-mana komponen makanan secara berlebihkan terutamanya karbohidrat.

Sebenarnya, adalah lebih baik untuk kita dapatkan sumber nutrisi ini mengikut keperluan badan.

Tetapi jika anda rasakan mengira keperluan ini menyusahkan, panduan ini boleh menjadi rujukan umum supaya mencapai keperluan ini sebaik mungkin.

Makan lebih banyak sayur dan buah

Konsep pemakanan ini juga akan memudahkan kita untuk makan lebih banyak sayur dan buah-buahan.

Perkara ini adalah fakta, berdasarkan laporan NHMS 2019, 94.9% rakyat Malaysia tidak mengambil sayur dan buah yang mencukupi.

Adakah anda sebahagian daripada 94.9% tersebut?

Menurunkan berat badan

Konsep pemakanan ini juga merupakan sesuatu yang disebut-sebut dalam media sosial apabila telah ramai individu yang menurunkan berat badan dengan mengamalkan konsep ini.

Secara teori, ia adalah sesuatu yang selari dengan konsep penurunan berat badan.

Apabila kita mengawal sajian karbohidrat serta mengambil sumber protein dan sayur-sayuran yang mencukupi. Badan kita menerima sumber kalori yang berkhasiat dan berkualiti.

Apabila ia dilakukan dengan mengelakkan sumber pemakanan yang tidak sihat dan tinggi dengan gula, pasti berat badan akan turun dan membantu anda mencapai BMI yang normal.

Membantu kita amalkan pemakanan sihat

Pemakanan sihat adalah komitmen sepanjang hayat. Bukan untuk sebulan sahaja.

Jika dilihat, konsep ini bukan sahaja memudahkan kita membahagikan jumlah nutrisi utama supaya seimbang, tetapi ia menekankan juga beberapa perkara utama bagi menjamin pemakanan yang sihat.

  1. Kawal jumlah pengambilan karbohidrat terutamanya karbohidrat ringkas.
  2. Ambil sayur dan buah yang mencukupi.
  3. Ambil protein dari sumber asli dan bukan makanan diproses.
  4. Elakkan makanan terutamanya minuman bergula.

Dengan sentiasa berpegang kepada konsep-konsep utama ini, dengan izin Tuhan badan kita akan kekal sihat dan sedar tak sedar makin menawan dan jelita, gitu.

Adakah suku suku separuh sejenis diet?

Bergantung kepada apa definisi perkataan diet ini kepada diri anda.

Jika diet yang anda maksudkan adalah satu kaedah pemakanan yang anda hanya mahu buat selama sebulan dan mengharapkan berat anda turun, konsep ini bukan untuk anda.

Tetapi jika diet yang anda maksudkan adalah gaya hidup pemakanan sihat yang anda mahu amalkan sepanjang hayat, maka ya, ia adalah sejenis diet.

Faham kan?

Maksud saya, diet suku suku separuh adalah sesuatu yang perlu kita amalkan setiap hari dalam hidup kita.

Jika ia diamalkan, kita mempunyai peratusan yang tinggi untuk mengelakkan penyakit kronik dan berpotensi untuk menurunkan berat badan.

Jika anda hanya mahu ‘diet’ untuk sebulan kemudian marah kenapa berat tidak turun-turun. Ini bukan untuk anda. Kerana konsep asas diet anda adalah salah sejak dari mula lagi.

Cara-cara melakukan suku suku separuh

Okey, sekarang jom kita lihat secara praktikal bagaimana mahu melakukannya.

Saya rujuk terus Panduan Pinggan Sihat Malaysia yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Bahagikan pinggan kepada 3 bahagian

Sumber: Panduan Pinggan Sihat Malaysia

Saiz pinggan yang sesuai digunakan adalah saiz diameter 10 inci atau 25cm.

Bahagikan pinggan dengan garisan bayangan kepada dua bahagian di tengah, kemudian pada satu bahagian, bahagikan kepada lagi dua bahagian.

Isi suku pertama dengan karbohidrat

Sumber: Panduan Pinggan Sihat Malaysia

Saranan Panduan Pinggan Sihat Malaysia adalah komponen karbohidrat ini difokuskan pada sumber karbohidrat yang kompleks.

“Rakyat Malaysia digalakkan untuk memilih bijirin penuh pada
bahagian pinggan ini.”Panduan Pinggan Sihat Malaysia, 2016

Oleh itu, pemilihan beras perang, roti, mi dan pasta bijiran penuh adalah sumber karbohidrat kompleks yang baik.

Bijiran penuh membekalkan serat dan vitamin kepada badan.

Ia juga tidak menyebabkan kenaikan insulin secara mendadak berbanding roti dan nasi putih.

Kawalan gula dan insulin yang baik membantu kita mengelakkan obesiti dan diabetes.

Isi suku kedua dengan protein

Sumber: Panduan Pinggan Sihat Malaysia

“Ikan disarankan dimakan lebih kerap dalam seminggu – ikan
seperti tuna, salmon, kembung dan tenggiri mengandungi asid
lemak omega 3 yang penting untuk kesihatan jantung.”Panduan Pinggan Sihat Malaysia, 2016

Sumber protein yang sihat menjamin pembinaan tisu dan otot yang lebih baik.

Adalah amat penting sumber protein yang kita dapatkan adalah dari sumber asli dan tidak diproses.

Contoh sumber protein yang diproses adalah seperti daging burger, sosej, nugget, daging cincang yang ditambah bahan pengawet.

Fokuskan pengambilan protein dari sumber asli seperti ikan-ikan yang tinggi omega 3, sumber tumbuhan serta ayam dan daging asli yang tidak diproses.

Contoh sumber protein dari sumber tumbuhan adalah termasuk kekacang (dal,kacang kuda, kacang merah, kacang soya, badam, walnut, pistasio) dan biji-bijian (biji bunga matahari).

Separuh pinggan diisi sayur & buah

Kebaikan dan kekuatan konsep suku suku separuh ini adalah pada bahagian ini.

Ia mengingatkan kita untuk mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan yang mencukupi dalam setiap hidangan.

Jika tidak, biasanya satu pinggan itu akan dipenuhi nasi, suku lauk dan selalunya tiada pun lauk sayur-sayuran. Betul tak?

Kalau anda tidak mengaku sekali pun, statistik memang menunjukkan hanya 4.1% rakyat Malaysia yang mengambil 5 sajian sayur dan buah setiap hari.

Jadi baik mengaku sahajalah, melainkan anda memang tergolong dalam kumpulan cemerlang tersebut.

Diet yang mengandungi serat yang tinggi boleh mengurangkan risiko penyakit kardiovaskuar, obesiti dan diabetes.Panduan Pinggan Sihat Malaysia, 2016

Oleh itu, adalah sangat penting untuk kita mendapatkan sajian sayur & buah yang mencukupi setiap hari dan konsep suku suku separuh ini adalah peringatan yang baik untuk kita.

Anda boleh lihat dalam panduan yang telah saya tulis berkenaan bagaimana nak cukupkan 5 sajian sayur & buah yang disyorkan untuk maklumat lanjut.

Lengkapkan sajian dengan air tanpa gula

Komponen terakhir adalah air minuman selapas makan.

Fokuskan pada air kosong atau teh dan kopi yang tidak bergula.

Panduan ini juga menyarankan susu dan produk tenusu bagi membekalkan vitamin serta mineral yang baik untuk badan,

Harus diingat, produk tenusu perlu diteliti akan gula tambahan jika ia adalah produk yang berperisa.

Gula tiada nutrisi dan bukan nutrisi penting untuk badan. Ingat tu.

Baik, jom kita rumuskan.

Langkah-langkah melakukan diet suku suku separuh.

  1. Bahagikan pinggan kepada 3 bahagian utamaGunakan saiz pinggan 10 inci atau 25 cm. Bahagikan pinggan menggunakan garisan bayangan kepada separuh. Kemudian pada satu bahagian, bahagikan lagi kepada dua untuk mendapatkan 2 bahagian 1/4. Maka dapatlah bahagian suku suku separuh tersebut.
  2. Suku bahagian karbohidratSuku bahagian bayangan kita itu diisi dengan karbohidrat seperti nasi, mi atau roti. Disyorkan karbohidrat kompleks.
  3. Suku bahagian proteinBahagian ini diisi dengan lauk dan sumber protein yang sihat. Elakkan sumber protein yang diproses.
  4. Separuh bahagian sayur & buahDapatkan sekurang-kurangnya satu sajian sayur dan satu sajian buah dalam setiap hidangan. Melalui pembahagian separuh pinggan khas buat sayur & buah, pasti akan membantu kita mencapai target ini.
  5. Minum air tidak bergulaMakanan dan minuman yang tinggi gula meningkatkan risiko kita untuk mendapat penyakit kronik. Elakkannya dalam setiap hidangan.

Contoh gambar menu suku suku separuh

Baik, sekarang kita dah faham teori, jom kita lihat contoh-contoh menu untuk lihat contoh praktikal.

Semua sumber gambar diambil daripada Panduan Pinggan Sihat Malaysia, KKM 2016.

contoh menu suku suku separuh
contoh menu suku suku separuh

Kalau bihun sup, mi sup, laksa, mi kari dan nasi goreng, nak suku suku separuh macam mana?

Lihat saja gambar di bawah, anda pasti faham.

suku suku separuh bihun sup
suku suku separuh nasi goreng

Mudah kan?

Selari dengan saranan antarabangsa

Pinggan sihat Malaysia ini juga selari dengan saranan Healthy Eating Plate oleh Havard School of Public Health.

Perbezaannya adalah ia telah dikemas-kini dengan saranan dan kajian terkini mengenai pengambilan lemak sihat seperti minyak zaitun, minyak kelapa dan sumber minyak sihat dalam ikan, avokado dan kekacang dalam setiap sajian.

Saranan pemakanan USDA 2015-2020 telah memansuhkan saranan limitasi kolesterol daripada diet pada 300mg yang dinyatakan dalam saranan tahun-tahun sebelumnya.

Saranan kini adalah sebanyak 20-35% jumlah kalori harian adalah daripada sumber lemak yang baik. Tetapi harus dipastikan lemak yang diambil bukan dari kategori lemak trans dan pengawalan lemak tepu.

Saranan Pinggan Sihat Malaysia masih belum dikemas-kini. Saya mengharapkan ia turut disertakan dalam versi akan datang.

suku suku separuh

Tips-tips untuk mula

Dalam melakukan satu perubahan, yang penting adalah ia dilakukan sedikit demi sedikit.

Jika kita lakukan sesuatu secara drastik, besar kemungkinan ia hanya dilakukan dalam masa singkat dan tidak menjadi sebahagian dalam hidup kita.

Mulakan satu demi satu dan jangan terlalu tertekan dalam melakukannya.

Dalam menjadikan suku suku separuh ini amalan, mungkin anda boleh mulakan dengan satu langkah yang anda rasa mudah dahulu.

Sebagai contoh, jika anda rasa suku pinggan nasi itu adalah sangat sedikit kerana kebiasaan anda makan adalah satu pinggan penuh sampai melimpah-ruah nasi.

Mungkin anda boleh mulakan dengan menambah sajian sayur-sayuran dahulu.

Kurangkan nasi sedikit dan tinggalkan lebih ruang untuk sayur-sayuran berbanding hari biasa. Cuba lakukan selama 1-2 minggu.

Selepas itu, kurangkan lagi jumlah nasi dan tambah lagi jumlah sayur dan teruskan hingga nasi dapat dikurangkan ke suku pinggan.

Jangan lakukan secara drastik. Jika tidak, emosi anda akan rasa seperti tak kenyang lah, tak cukup lah, tak ada tenaga lah. Walhal ia tiada kaitan pun dengan perubahan jumlah makanan anda.

Tips utama, buat sedikt demi sedikit, tetapi berterusan.

Letakkan target mengapa anda mahu ubah gaya pemakanan anda dan usaha ke arah tersebut.

Boleh kan?