Kursus Security Personnel : To Enhance Competency & Communication (SECC 2.0) diadakan mulai 7 – 9 Januari 2023 (Sabtu – Isnin) bertempat di Nurjannah Camp & Eco Resort, Pontian, Johor
KURSUS SECURITY PERSONNEL : TO ENHANCE COMPETENCY & COMMUNICATION (SPECC 2.0)
Jamuan AJK desa bakti UTM 2022 / 2023
Jamuan makan-makan sesama ahli jawatankuasa Desa Bakti 2022/2023
Ujian dari Allah, tanda sayang hamba-Nya
Allah SWT menyayangi dan mengasihi semua makhluk ciptaan-Nya. Kasih sayang Allah SWT kepada makhluk-Nya adalah berbeza-beza termasuk kepada manusia. Allah SWT menyayangi setiap hamba-Nya melalui nikmat dan anugerah dikurniakan sama ada manusia ataupun haiwan yang masing-masing mendapat kurniaan Allah SWT yang tidak terkira.
Melalui pemberian nikmat dan anugerah kepada setiap makhluk dapat diperhatikan betapa kasihnya Allah SWT kepada semua ciptaan-Nya. Sebagai contoh, manusia yang juga kejadian terbaik diciptakan Allah SWT dikurniakan dengan pelbagai kelebihan berbanding dengan makhluk lain.
Malah, semua kejadian lain adalah diciptakan untuk kemudahan dan kegunaan manusia. Bagaimanapun, pada masa sama, manusia pasti akan diuji oleh Allah SWT atas nikmat yang dikurniakan. Antaranya, dengan menurunkan ujian, musibah ataupun bencana yang akan menguji keimanan manusia kepada Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”. (Surah al-Ankabut, ayat 2)
Biasanya manusia akan memikirkan bahawa Allah SWT mengasihinya hanya apabila dikurniakan nikmat dan kelebihan tertentu. Jika Allah SWT menarik balik ataupun mengambil semula daripadanya nikmat dan kurniaan itu maka manusia akan berasa seolah-olah Allah SWT sudah tidak menyayanginya.
Perkara ini berbeza dengan makhluk kerana Allah SWT biasanya menzahirkan kasih sayang kepada makhluk sama ada dengan cara melimpahkan rezeki dan Dia mengambilnya semula juga adalah menjadi satu tanda kasih sayang Allah kepada makhluk-Nya.
Biasanya manusia akan menggunakan kurniaan Allah SWT yang baik sebagai satu kelebihan seperti mempunyai harta benda, kekayaan, kedudukan dan juga kehidupan yang baik.
Namun, apabila Allah SWT menguji dengan menarik sedikit daripada kurniaan-Nya ini, maka manusia sudah merasa kehilangan.
Sedangkan hakikatnya kurniaan itu asalnya daripada Allah dan Dia berhak mengambil semula pada bila-bila masa. Bayangkan, sepanjang tahun, kita dikurniakan kesihatan baik oleh Allah SWT dan sekali-sekala ditimpa kesakitan ataupun keadaan kesihatan yang terganggu.
Ini bukan bermakna Allah SWT sudah tidak menyayangi kita.
Dilihat secara rasional, apabila Allah SWT menguji dengan menarik sedikit daripada nikmat, maka akan menjadikan seseorang itu akan kembali mengingati Allah dan bersyukur di atas nikmat-Nya. Apatah lagi, nikmat kurniaan yang ditarik balik itu hanya sebahagian kecil berbanding dengan yang sudah diperoleh.
Kita sangat bersimpati dengan rakan kita yang sedang diuji. Sangat sukar bagi sesiapa yang menghadapi ujian ataupun musibah daripada Allah SWT untuk menerima kenyataan yang tersirat di sebalik setiap kejadian. Namun, kita perlu kembali kepada Allah SWT sebagai pemilik seluruh alam ini.
Apabila berlakunya sesuatu yang kita harapkan, kita pastinya bersyukur. Apabila berlaku musibah dan ujian, kita sepatutnya bersabar sebagai tanda bahawa kita adalah seorang hamba Allah SWT yang beriman.
Ini yang disebutkan oleh baginda Rasulullah SAW sebagai perkara aneh (ajaib) yang ada pada seorang Mukmin iaitu dia boleh bersyukur kepada Allah SWT dalam segenap keadaan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sangat ajaib keadaan seseorang yang beriman, sesungguhnya segala urusannya adalah baik dan itu tidak terjadi kepada seseorang kecuali hanya bagi orang yang beriman. Jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur maka demikian itu kebaikan buatnya. Dan jika dia mendapat kesusahan, dia bersabar, maka demikian itu adalah kebaikan buatnya”. (Riwayat Ahmad)
Kita yakin rakan yang ditimpa musibah ini pasti akan terus tabah dan bersyukur manakala ramai lagi mereka yang tidak terbabit, bahkan berada dalam keadaan serba sempurna serta lengkap tampil membantu rakan yang memerlukan. Ini adalah bukti bahawa orang Mukmin sebagaimana yang digambarkan oleh Rasulullah SAW adalah seumpama satu tubuh yang masing-masing akan merasai kesakitan yang ditanggung oleh satu-satu anggota bersama dengan anggota yang lain apabila sakit.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perumpamaan golongan Mukminin dalam berkasih sayang dan persaudaraan sesama mereka adalah seperti satu jasad. Jika salah satu anggota badan sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakit dengan berjaga malam dan demam”. (Riwayat Ahmad)
Sebenarnya masyarakat kita di Malaysia secara umumnya amat prihatin dan mengambil berat berkaitan kesusahan yang dihadapi oleh sesama warga negara kita. Apabila berlaku musibah seperti banjir ataupun bencana yang membabitkan saudara kita di mana-mana lokasi sekalipun, maka kita akan melihat ramai yang akan turun membantu sama ada daripada pihak berkuasa sehingga badan bukan kerajaan termasuk juga orang perseorangan.
Perkara ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa semangat ukhuwah (persaudaraan) dalam kalangan rakyat sangat tinggi.
ni bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Persaudaraan sesama Islam itu yang menjadi keutamaan di samping kita juga membantu sesama warganegara kita tanpa mengira bangsa dan agama. Semangat perpaduan ini juga yang menjamin keutuhan negara dan membawa negara ke arah kemajuan.
Tegasnya, apabila Allah SWT mengasihi hamba-Nya, maka pasti Allah SWT akan mengujinya. Ujian Allah SWT hendaklah diambil sebagai satu tanda kecintaan Allah SWT kepada kita.
RUMAH TANGGA – 8 TIPS DAN PETUA KEKAL BAHAGIA
iBila berbicara perihal rumah tangga, banyak cabang yang boleh dibincangkan. Bermulanya dengan isi rumah – suami, isteri, anak-anak, ipar duai, persekitaran juga pelbagai bentuk cabaran dalam melayari rumah tangga sehingga hari ini, adalah satu topik yang tak pernah ketinggalan di dalam kehidupan kita.
Masakan tidak, sehinggakan adanya satu kementerian yang khusus bagi institusi ini – iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, yang menjaga khusus institusi kekeluargaan di dalam sesebuah rumah tangga. Begitu signifikan pentingnya permulaan satu institusi kecil yang bermula dari sebuah perkahwinan.
Asas & Tanggungjawab Berumah Tangga
Perkahwinan yang sah adalah permulaan kepada rumah tangga. Tak kira agama dan bangsa, ikatan yang sah ini adalah permulaan kepada suatu perjalanan kehidupan yang baru. Suami dan isteri berkongsi sebuah kehidupan dalam membentuk keluarga yang harmoni.
Disinilah bermulanya sebuah kehidupan yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal dalam melayari kehidupan alam perkahwinan.
Firman Allah di dalam Al-Quran, Ayat 1 surah An-Nisa’ yang bermaksud – “ Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kamu kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya-Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya- zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”
Permulaan penyatuan lelaki dan perempuan menjadi suami dan isteri. Kemudian melahirkan zuriat dan keturunan yang membentuk sesebuah rumah tangga yang dibina.
Suami adalah tunjang utama yang membentuk sesebuah rumah tangga. Dialah yang menjadi ketua keluarga, bertanggungjawab mencari nafkah untuk mengukuhkan ekonomi keluarga, dan juga pembimbing setiap individu sesebuah rumah tangga itu.
Empat keperluan asas, yang wajib disediakan oleh sang suami termasuklah tempat tinggal (rumah), makanan, pakaian dan perubatan sekiranya diperlukan. Pelengkap kehidupan dan suri hati suami, seharusnyalah si isteri. Isteri, yang bertanggungjawab memenuhi keperluan batin suami, ketaatan kepada suami didalam menjaga hal keperluan rumah tangga dengan sempurna. Selalu disebutkan isteri merupakan tulang rusuk suami, diciptakan sebagai pelengkap kehidupan suami.
Kedua-kedua suami dan isteri saling melengkapi. Kekurangan isteri dilengkapi oleh kelebihan suami, begitu jugalah sebaliknya.
Anak-anak pula tentunya pelengkap di dalam sesebuah perkahwinan. Suami berperanan sebagai ketua, yang mengemudikan arah tuju, dibantu oleh isteri, dan anak-anak dibentuk dari acuan yang ditunjukkan oleh mama dan papa. Begitulah terbinanya sebuah ‘kerajaan kecil’ yang dinamakan rumah tangga.
Ujian Berumah Tangga
Tiada sesebuah perkahwinan yang dibina tanpa melalui sebarang ujian dan dugaan. Bak kata pepatah Melayu, “andai takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai”. Begitu juga dengan rumah tangga. Tak akan dapat lari dari segala bentuk ujian dan dugaan.
Ada keluarga yang diuji dengan masalah ekonomi, kesihatan, emosi, fitnah dan segala bentuk masalah yang ada ketikanya, menjadi punca perceraian yang memecah belahkan institusi rumah tangga. Perlu kita fahami bahawa segala dugaan dan cabaran adalah untuk menguji kesabaran dan keimanan setiap insan. Juga bagaimana kekentalan jiwa dan emosi untuk menghadapi dugaan. Segalanya adalah untuk menguatkan lagi ikatan dan kasih sayang yang terbina dari ikatan dua jiwa – suami dan isteri.
Kadang-kadang kekecewaan pasti akan berlaku, hingga membawa kepada kegagalan. Maka perceraian adalah jalan keluar dan penyelesaian terakhir. Namun begitu, perceraian juga bukanlah pengakhiran sesebuah keluarga dari rumah tangga yang runtuh itu. Anak-anak masih memerlukan kepada kedua mama dan papanya, maka keduanya masih perlu memenuhi tanggungjawab terhadap anak-anak yang masih di bawah umur.
8 Tips & Petua Rumah Tangga Bahagia
1. Bertanggung jawab dan faham hak pasangan
Faham akan tanggung jawab setiap individu di dalam rumah tangga – kewajipan sebagi suami, isteri, ayah, ibu dan anak-anak. Apabila prioriti terhadap rumah tangga adalah yang teratas, maka tanggung jawab akan dilaksanakan dengan sebaiknya didalam sesebuah keluarga yang dibina – juga saling melengkapi antara satu sama lain.
2. Menghargai pasangan
Bertolak-ansur, saling memahami dan menghargai setiap individu didalam rumah tangga suatu keperluan untuk rumahtangga yang bahagia. Kita haruslah bersedia menerima kekurangan pasangan, serta berusaha untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan yag ada pada diri.
3. Elakkan pertelingkahan dan perbaiki komunikasi
Jangan bertelingkah, terutamanya di hadapan anak-anak, walaupun anak masih bayi dan belum memahami. Segala permasalahan dan pertelingkahan perlulah diselesaikan melalui perbincangan dari hati ke hati. Elakkan masalah berlarutan dalam jangka masa yang lama tanpa sebarang penyelesaian, kerana memilih untuk berdendam dan menyimpan segalanya di dalam hati, adalah ibarat menyimpan satu ‘bom jangka’ – yang kadangkala ianya adalah punca perceraian apabila ia meletup.
Berkomunikasilah dengan baik, elakkan menggunakan bahasa kesat yang boleh mengguris hati atau menjatuhkan air muka pasangan dan anak-anak. Perlu dititikberatkan, kekerasan di dalam rumah tangga bukanlah penyelesaian terhadap segala konflik yang berlaku, sebaliknya perlu dielakkan.
4. Luangkan masa yang berkualiti
Ahli keluarga di dalam rumah tangga harus memperuntukkan masa berkualiti bersama. Ia akan melahirkan rasa disayangi, diperlukan antara satu sama lain dan dirindui selalu. Antara masa yang paling berkualiti untuk seluruh ahli keluarga – solat berjemaah, makan bersama dan perkongsian waktu santai bersama-sama. Bagi pasangan, paling utama adalah masa untuk menzahirkan semula perasaan romantik anda.
5. Ujian sebagai tanda aras kasih sayang dalam rumah tangga
Ujian yang hadir didalam kehidupan perkahwinan mengukur sejauh mana kemampuan pasangan mempertahankan kasih sayang, juga rasional dalam menghadapi segala cabaran bersama. Ada pasangan, apabila diuji, kasih sayang mereka semakin kuat dengan bersama-sama susah dan senang mengharungi onak dan duri berumah tangga.
6. Kepercayaan terhadap pasangan
Setiap pasangan perlu mempunyai kepercayaan antara satu sama lain, tanpa ragu-ragu. Buangkan rasa ragu-ragu dan syak wasangka yang berlebihan, agar tak menghantui perasaan dan emosi yang boleh menganggu gugat keharmonian rumah tangga.
7. Mendalami ilmu rumah tangga
“Menuntut ilmu hingga ke liang lahad.” Perumpamaan yang sangat relevan dalam mengharungi kehidupan berumah tangga. Setiap hari, pastinya ada perkara baru yang dilalui maka perlu setiap pasangan cuba untuk mendalami ilmu perkahwinan. Belajar dari pengalaman orang lain serta mengambil iktibar dari kisah yang hampir setiap hari ada je kisah baik buruknya yang boleh diambil pengajaran.
8. Berdoa dan banyakkan bersyukur dalam rumah tangga
Tak kira berapa banyak dugaan juga kebahagiaan yang dkecapi, banyakkan berdoa dan bersyukur dengan anugerah jodoh dan ikatan perkahwinan yang telah ditentukan Tuhan. Janganlah dikeluh kesah setiap sesuatu yang telah ditakdirkan, sebaliknya terimalah dengan berlapang dada. Setiap dari individu pastinya mengharapkan rumah tangga yang dibina dibawa hingga ke syurga.
Pahit manis dalam perkahwinan adalah roda sebuah kehidupan. Anak-anak yang dibesarkan, sampai pada satu peringkat umur, akan melalui kehidupan berumah tangga juga. Dan membina satu lagi ‘kerajaan kecil’ yang mencorakkan generasi seterusnya.
Bersediakah setiap seorang dari kita untuk menggalas segala tangggungjawab, serta dugaan yang mendatang? Semoga setiap rumah tangga yang dibina atas fitrah yang Allah ciptakan kepada setiap seorang insan, membawa kepada satu rahmat yang mendorong jalan menuju syurga yang abadi.
Semoga bermanfaat!
Cara Menjaga Kereta Anda dan Mengapa Ia Perlu Dijaga
Apabila anda memiliki kereta, anda akan menghabiskan banyak masa memandunya. Sebab itulah anda perlu menjaganya dengan baik agar ia boleh terus berfungsi tanpa sebarang masalah.
Bukan itu sahaja, kereta anda juga merupakan sebuah aset yang boleh anda tukarkan kepada wang tunai di masa hadapan atau semasa keadaan memerlukan. Jadi, untuk mengekalkan nilai jualan semula yang baik untuk kereta anda pada masa hadapan, penjagaan kereta yang baik memainkan peranan yang penting.
Berikut adalah beberapa tips yang dapat membantu anda menjaga kereta anda dan sebab anda perlu melakukannya.
Tips Penjagaan Kereta
Ikut Jadual Penyelenggaraan
Cara paling mudah untuk menjaga kereta anda adalah dengan mematuhi jadual penyelenggaraan yang telah ditetapkan oleh pihak pengedar kereta. Ia berfungsi sebagai pemeriksaan kesihatan berkala untuk kereta anda dan memandangkan ia dilakukan oleh pemeriksa yang terlatih.
Hal ini juga dapat membantu anda mengesan sebarang kerosakan dari awal dan dapat mengelak dari proses pembaikan yang tinggi kosnya, selain dari memanjangkan hayat kereta anda dengan memastikan ia berjalan dengan lancar.
Pastikan anda menyimpan rekod penyelenggaraan dan resit kerana ia akan membantu anda menjejaki komponen yang telah diubah dan komponen yang perlu diubah. Ini juga akan membantu membuktikan bahawa kereta anda telah dijaga dengan baik apabila anda mahu menjual kereta anda.
Periksa Paras Minyak & Cecair
Kereta anda bergantung kepada beberapa jenis minyak dan cecair seperti minyak enjin, cecair penyejuk, dan minyak brek untuk berfungsi dengan baik. Minyak dan cecair ini perlu diperiksa secara berkala untuk mengawasi sebarang kebocoran yang akan menyebabkan kerosakan pada enjin anda.
Jika terdapat kebocoran, mengenal pasti warna cecair yang bocor apabila anda melaporkannya kepada pusat servis atau mekanik anda dapat membantu menentukan dari mana ia datang. Ini juga akan membantu mempercepatkan proses pembaikan.
Basuh Kereta Selalu
Ini mungkin kedengaran seperti remeh tetapi menjaga kebersihan kereta anda adalah sangat penting. Bahagian luar kereta sentiasa terdedah kepada panas matahari, hujan lebat, angin berdebu, dan juga najis burung.
Elemen-elemen ini akan mengakibatkan kerosakan kepada badan dan cat kereta anda dan ia akan mengurangkan nilai jualan kereta anda secara drastik jika tidak ditangani. Mencuci kereta anda secara berjadual dapat membantu mengurangkan hakisan pada badan kereta dan juga mengekalkan warna cat kereta anda.
Untuk perlindungan yang lebih baik, hantar kereta anda untuk servis perincian di mana lapisan lilin akan disapu dan kereta akan dikilatkan secara profesional. Sekiranya ia kerap dilakukan, ia akan menjadi satu pelaburan yang berbaloi semasa anda menjual kereta anda di masa hadapan.
Jaga Tayar
Memandangkan tayar adalah komponen utama yang menghubungkan kereta anda dengan jalan raya, penting bagi anda untuk memeriksanya dengan kerap. Tekanan tayar kereta anda harus diperiksa secara berkala agar ia sentiasa berada di tahap yang disyorkan oleh pengedar kereta anda.
Anda juga boleh menjaga tayar kereta anda dengan menyilang tayar kereta anda agar jangka hayatnya lebih panjang. Ini penting kerana tayar kereta akan haus pada tahap yang berbeza bergantung kepada jenis kereta, kelajuan, serta jalan yang digunakan. Memandu dengan tayar yang sudah haus dan kurang tekanan angin adalah sangat berbahaya dan anda berisiko untuk terlibat dalam kemalangan.
Pastikan Lampu Kereta Berfungsi
Setelah beberapa tahun kereta dipandu, anda mungkin perasan bahawa lampu kereta anda sudah mulai malap, kusam, atau mungkin sudah tidak berfungsi dengan betul. Lampu yang berfungsi dengan baik adalah penting untuk memastikan keselamatan anda di jalan raya kerana ia membolehkan anda dilihat oleh pemandu lain.
Jika anda perasan terdapat mentol lampu yang telah rosak atau terbakar, maklumkan segera kepada pusat servis atau mekanik anda untuk membaikinya. Tetapi pastikan anda menggunakan mentol yang betul supaya lampu anda tidak menyebabkan silau yang ketara bagi pemandu lain. Bagi lampu yang kusam dan kuning pula, ia boleh digilap agar kelihatan seperti baharu.
Artikel berkaitan: Nak Jual Kereta? 17.5 Perkara untuk Naikkan Nilai Kereta Anda
Sebab untuk Menjaga Kereta Anda
Nilai Jual Semula Terjaga
Semakin banyak anda menggunakan kereta anda, semakin banyak nilainya akan susut. Penjagaan kereta yang dilakukan secara berkala dapat membantu mengekalkan nilai jualan semula kereta anda jika anda ingin menjualnya pada masa hadapan.
Mengikuti jadual penyelenggaraan yang telah ditetapkan oleh pihak pengedar akan memastikan kereta anda terjaga dan sentiasa berfungsi dalam keadaan yang baik. Ia juga memberikan anda pengalaman memandu yang lancar.
Apabila tiba masanya untuk menjual kereta, dengan membuktikan bahawa kereta anda telah dijaga dan diselenggara dengan baik dapat memberi anda peluang untuk menetapkan harga jualan yang lebih baik.
Kurang Kos Pembaikan
Kerosakan yang tidak dijangka pasti akan menelan belanja yang banyak untuk dibaiki. Tetapi dengan pemeriksaan rutin, ia boleh dielakkan. Penyelenggaraan kereta secara berkala membolehkan anda mengesan dan membetulkan sebarang isu-isu kecil sebelum ia bertukar menjadi masalah besar yang mungkin akan memerlukan ribuan ringgit untuk dibaiki.
Selain itu, ia juga memastikan kereta anda setiasa berfungsi dalam keadaan yang optimum dan kosnya juga jauh lebih rendah dari membaiki kerosakan besar dengan kereta anda.
Jangan lupa untuk menyimpan buku rekod dan resit penyelenggaraan dengan baik kerana ia merupakan bukti yang dapat membantu anda untuk mendapatkan harga jualan yang lebih baik untuk kereta anda.
Jaminan Keselamatan
Sebab utama anda perlu menjaga kereta anda adalah untuk memastikan ia selamat untuk dipandu. Penyelenggaraan yang kerap akan memastikan semua komponen kereta anda berfungsi dengan baik dan berada dalam keadaan yang elok pada setiap masa.
Anda dan keluarga anda menghabiskan banyak masa di dalam kereta, jadi kereta yang diselenggara dengan baik adalah penting untuk membolehkan anda memandu dengan tenang, sama ada untuk perjalanan yang singkat atau yang jauh.
Impian Anda
Kadang-kadang, kita merasakan yang impian atau cita-cita tak perlu ditulis. Cukuplah sekadar teringat-ingat dalam kepala. Tapi sebenarnya kita silap. Bila kita tulis impian kita, kesannya cukup berbeza.
Bila kita hanya teringat-ingat dalam kepala, seolah-olah kita hanya berangan-angan seperti Mat Jenin. Tetapi jika kita mula menulis, seolah-olah kita sudah ada dan tetapkan hala tuju untuk diri kita sampai ke satu destinasi yang diimpikan.
Ketika di sekolah rendah, kita selalu tulis cita-cita dalam biodata kita. Kita sering bertukar-tukar biodata dengan kawan-kawan dan kita mesti tulis cita-cita kita. Tiap-tiap tahun kita berdiri di dalam kelas, perkenalkan diri dan beritahu satu kelas cita-cita kita. Amalan ini ditinggalkan apabila kaki melangkah ke sekolah menengah, universiti dan ke alam pekerjaan. Dan akhirnya kita sendiri lupa apa hala tuju sebenar kita masa di bangku sekolah dulu.
Dan akhirnya kita kecewa dengan kehidupan kita sekarang yang kita sendiri bina tanpa hala tuju.
Perkara ni mungkin nampak macam tak ada apa-apa dan tak lebih dari sekadar sehelai kertas dan sebatang pen, tetapi sebenarnya ia sedang “bekerja” tanpa kita sedari. Kalau kita belajar metafizik atau membaca buku Think and Grow Rich, Napoleon Hill ada menerangkan tentang bagaimana menanam satu idea tu mampu mengubah hidup seseorang.
TULIS SEKARANG IMPIAN ANDA, BINA VISION BOARD ANDA!
Dah nak masuk tahun 2023 jadi tulis saja impian-impian anda untuk tahun depan. Beli rumah? Bercuti? Senaraikan saja impian-impian anda. Menulis impian ini percuma dan tak ada siapa pun marah.
Antara tips untuk menulis impian; Untuk impian jangka masa pendek, pastikan sumber atau jalan untuk capai impian sudah 50% terbentang, supaya kita ada motivasi untuk terus mengejar impian. Contohnya, kalau kita nak beli rumah tahun depan, pastikan sekarang kita dah siap-siap sudah ada duit untuk down payment rumah. Kalau tak ada pun, kita dah kenal pasti sumber untuk dapatkan wang untuk down payment.
Untuk jangka masa panjang, mulakan dengan sedikit. Sebagai contoh, jika kita mahu bebas kewangan maka kita sudah boleh mula mencari ilmu kewangan, menyimpan secara konsisten walaupun sedikit. Dalam erti kata lain, pupuk dulu tabiat kerana nak tukar tabiat bukan mudah.
YAKIN DAN USAHA
Bila dan senaraikan impian-impian kita, langkah seterusnya ialah yakin. Ini bersesuaian dengan hadis yang diriwayatkan oleh Sidna Abu Hurairah r.a, beliau berkata bahawa Nabi Muhammad ﷺ pernah bersabda;
“Aku sesuai dengan persangkaan hamba pada-Ku.”
Bila dah yakin, lakukan tindakan segera untuk mencapai impian kita. Jangan terlalu drastik tapi cukuplah dengan kecil untuk mendapatkan rentak. Contohnya, bila dah niat untuk mendirikan rumah tangga, terus cari ilmu tentang rumah tangga, tambah skill sebagai sebagai seorang suami atau isteri.
Bila kita dah berusaha ke arah mencapai impian, Allah akan menghantar bantuan melalui insan-insan yang terdiri daripada ahli keluarga, sahabat-sahabat dan termasuk mereka yang kita sendiri tak kenali untuk membantu kita. Wallahu a’lam.
Saya dan rasai kekuatannya dan kini giliran anda untuk capai impian anda semua. Selamat bercita-cita dan semoga berjaya!
Pembuatan Roti
Selain nasi, roti juga merupakan makanan yang sering diambil sebagai sumber karbohidrat. Terdapat pelbagai jenis roti yang ada dipasaran. Roti putih, roti gandum penuh, roti kismis, roti pelbagai inti dan sebagainya. Pernahkah anda terfikir bagaimana roti boleh terjadi dan apakah penjelasan sains disebalik kemenjadian makanan ini? Artikel ini akan menjelaskan serba sedikit mengenai sains pembuatan roti.
Terdapat pelbagai jenis resepi untuk membuat roti. Kebanyakannya menyenaraikan tepung gandum, yis, sedikit gula, secubit garam, mentega atau marjerin dan sedikit air. Secara ringkasnya terdapat 4 langkah untuk membuat roti iaitu penggabungan bahan bahan, uli menjadi doh, pengembangan dan pembakaran.
Penggabungan bahan bahan
Pada peringkat permulaan, kesemua bahan disatukan ke dalam bekas. Tepung gandum mengandungi protein glutenin dan gliadin yang tinggi. Kedua dua protein ini berada dalam kategori gluten. Air ditambah kedalam tepung untuk membantu pembentukan gluten.
Gluten ialah jaringan viskoelastik yang berupaya untuk memerangkap gas. Garam bukan sahaja untuk memberikan rasa kepada roti, malah ia membantu untuk memperlahankan proses fermentasi. Selain itu, garam juga boleh menguatkan jaringan gluten seterusnya mengakibatkan doh menjadi semakin elastik.
Uli menjadi doh
Selain daripada protein, tepung gandum juga mempunyai kanji. Kanji ialah rantaian molekul gula yang panjang. Dengan kehadiran enzim, rantaian gula dirungkai menjadi gula ringkas. Terdapat dua enzim yang terlibat dalam proses ini, iaitu amylase dan maltase. Amylase merungkai kanji menjadi gula maltosa.
Kemudian, enzim maltase merungkai gula maltosa menjadi glukosa (gula ringkas). Glukosa diperlukan oleh yis untuk proses pengembangan. Selain itu, fungsi glukosa ialah memberikan rasa dan warna semasa pembakaran (browning reaction). Lemak (mentega atau marjerin) yang dimasukkan kedalam doh berfungsi sebagai pelincir kepada doh dengan cara melemahkan ikatan gluten dan menjadikan roti lebih lembut. Selain itu, lemak juga berfungsi untuk menstabilkan poket udara doh seterusnya meningkatkan isipadu lof roti.
Sesetengah resepi menggunakan baking soda atau baking powder kedalam doh. Baking soda hanyalah sodium bikarbonat. Ianya memerlukan air dan asiditi untuk menghasilkan gas karbon dioksida. Tetapi kelemahan baking soda jika ditambahkan kedalam doh, ia memberi rasa kelat sekiranya tidak cukup asiditi untuk menghasilkan karbon dioksida. Baking powder juga ialah sodium bikarbonat, tetapi ia disertakan dengan cream of tartar (potassium bitartrate) iaitu sejenis asid yang boleh mengaktifkan bikarbonat. Ini bermakna, baking powder tidak memerlukan asid yang lain untuk menghasilkan gas karbon dioksida.
Pengembangan doh
Yis ialah agen yang diperlukan untuk pengembangan doh. Untuk pengetahuan pembaca, yis ialah sejenis mikro organisma fungi satu sel yang memerlukan gula terutama sekali glukosa untuk menghasilkan karbon dioksida. Gas karbon dioksida yang terhasil menjadikan doh meninggi dan kembang.
Poket udara inilah yang menjadikan tekstur roti keras atau lembut. Saiz poket udara yang tehasil bergantung kepada masa doh direhatkan selepas pengulian. Semakin lama doh direhatkan selepas diuli, semakin tinggi doh mengembang. Selepas doh mengembang, kebiasaannya doh akan ditekan untuk melepaskan gas didalamnya dan diuli sekali lagi.
Pengulian kali kedua ini, akan menjadikan saiz roti lebih seragam. Selain daripada gas karbon dioksida, gabungan yis dan gula menghasilkan ethanol sebagai produk sampingan. Tetapi ethanol ini meruap sebaik sahaja doh dibakar.
Pembakaran
Proses terakhir ini adalah proses yang ditunggu tunggu. Doh siap untuk dimasukkan kedalam oven. Suhu yang digunakan kebiasaannya ialah 220°C selama lebih kurang 35 hingga 40 minit. Sebaik sahaja doh dikenakan haba, ia menjadi lembik, memudahkan sel gas mengembang dan menjadikan doh meninggi.
Proses ini dikenali sebagai oven spring. Punca utama oven spring ini adalah disebabkan oleh alkohol (ethanol) dan air bertukar menjadi gas. Kemudian, gas akan memenuhi ruang diantara rantaian gluten dan menjadikan doh mengembang dan tinggi 2 kali ganda daripada saiz asal. Suhu yang tinggi menukarkan doh roti yang berwarna putih atau pucat menjadi keperangan.
Warna perang ini disebabkan oleh kehadiran gula yang bertukar menjadi karamel apabila dikenakan suhu yang tinggi. Oven spring akan berhenti sebaik sahaja permukaan luaran (crust) roti menjadi keras dan suhu dalaman menjadi sekitar 70-80°C. Pada suhu ini, yis telah mati dan roti selamat untuk dinikmati.
Laman Edibel Desa Bakti UTM
Resipi Perapan Sate Ayam Sedap
CARA MASAK SATE AYAM YANG SEDAP & BERJUS. MUDAH JE RESIPINYA
BAHAN-BAHAN:
1 ekor ayam – ambil isi
1 sudu makan ketumbar – sangai (*)
2 sudu makan jintan manis – sangai (*)
1 sudu makan jintan putih – sangai (*) –
1 inci halia (*)
1 inci kunyit (*)
3 biji bawang Holland (*) –
1 labu bawang putih (*)
6 batang serai (*)
5 keping nise atau gula kabung – masak dengan segelas air –
3 sudu asam jawa tanpa biji –
Gula dan garam secukupnya
Lidi satay untuk mencucuk
CARA MEMASAK:
1.Potong isi ayam berbentuk kiub. Rangka ayam boleh dimasak gulai. Jika nak mudah, boleh beli dada ayam sahaja. Kemudian basuh dan toskan airnya hingga kering.
2. Sementara itu sangaikan ketumbar, jintan manis dan jintan kemudian kisar lumat semua bahan yang bertanda (*).
3. Dalam bekas besar, satukan isi ayam dan ramuan yang dikisar tadi.
4. Kemudian masukkan garam, gula, air nise @ gula kabung dan asam jawa.
5. Gaul rata semua bahan supaya tekstur isi ayam atau daging (jika nak campur) menjadi lembut dan mesra dengan rempah.
6. Perap semalaman atau sekurang-kurangnya 3 jam sebelum dicucuk dan dibakar.
RESIPI KUAH SATE
BAHAN-BAHAN:
1/2kg kacang tanah – goreng & kisar kering @ tumbuk –
2 biji santan kelapa
Serai – diketuk
Air asam jawa secukupnya
6 keping gula nise (gula melaka)
Garam dan gula putih biasa secukupnya (kuah kena mais baru sedap)
BAHAN KISAR HALUS:
Bawang holland
Cili kering
Lengkuas
Jintan manis
Jintan putih
IKLAN
CARA MEMASAK:
1.Tumis kesemua bahan yang dikisar tadi kecuali kacang tanah dan serai hingga garing dan pecah minyak.
2. Kemudian masukkan santan cair dan kisaran kacang tanah. Biarkan mendidih sekejap.
3. Bila nampak sempurna, masukkan bahan-bahan lain dan ubah suai rasa ikut selera masing-masing.
4. Bila kuah kacang sudah pecah minyak, angkat dan hidangkan bersama sate.
TIP MASAK SATE YANG SEDAP & JUICY
1.Jika nak sate nampak kuning, boleh tambah serbuk kunyit bergantung pada selera masing-masing.
2. Air lebihan perapan jangan dibuang. Campurkan dengan segelas minyak untuk digunakan semasa membakar sate nanti.
3. Ketuk 2 batang serai, ikat dan celup dalam campuran minyak untuk disapu pada sate. Ia adalah salah satu rahsia sate yang dibakar tetap juicy.
4. Rajin-rajin balikkan sate supaya hasilnya cantik, tidak hangit dan hitam.
JENIS-JENIS TARANNUM SECARA RINGKAS
TARANNUM BAYYATI
Perkataan bayyati adalah dari bahasa Arab yang bererti rumah atau tempat kediaman.
Sifat Tarannum Al-Bayyati
• Lembut disamping tegas.
• Sesuai dengan tobaqot sederhana.
• Harmoni.
• Berunsur ketenangan.
Peranan Tarannum Al-Bayyati
• Memantapkan persembahan.
• Sesuai sebagai tarannum pembukaan dan penutup.
• Pengukuran kepada tarannum sesudahnya.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.
TARANNUM SOBA
Bermaksud rindu. dipopularkan kini oleh qari mesir
Sifat Tarannum Soba
• Gerak ringan meresap jiwa.
• Alunan lembut yang mendayu.
• Sesuai dengan tobaqot sederhana.
• Sesuai dengan ayat memohon, merayu, merintih dan sebagainya.
Peranan Tarannum Soba
• Menenangkan persembahan.
• Membawa kekhusyukan dan keinsafan.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.
TARANNUM HIJAZ
Hijaz ialah sebuah kawasan di dalam Arab Saudi. Sangat popular sebagai suatu cabang pelopor tarannum dahulu. Tetapi kini tarannum hijaz telah diubahsuai oleh Qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.
Sifat Tarannum Hijaz
• Gerak lambat tapi berkesan.
• Ketegasan pendorong semangat.
• Kelincahan menghidupkan persembahan.
• Sesuai dengan mana-mana tobaqot.
• Sesuai dengan ayat perintah, tegas atau marah.
Peranan Tarannum Hijaz.
• Memberi semangat kepada persembahan.
• Memberi kepuasan kepada pembaca dan pendengar.
• Memberi tenaga kepada tarannum sesudahnya.
• Menunjukkan Ketegasan kepada mesej Al-Quran.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.
TARANNUM NAHWAND
Nahwand juga adalah nama suatu tempat. Terletak di Hamadan Parsi (kini Iran). Tetapi kini tarannum nahawand telah diubahsuai oleh qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.
Sifat Tarannum Nahwand
• Gerak ringan yang berkesan.
• Kelembutan bersopan.
• Sederhana memikat jiwa.
• Kehalusan seni.
• Sesuai dengan tobaqot sederhana.
Peranan Tarannum Nahawand
• Melembutkan bacaan.
• Menenangkan jiwa pembaca dan pendengar.
• Sesuai dengan ayat memohon, bercerita dan sebagainya.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.
TARANNUM RAST
Berasal dari parsi (iran) kemudian digunapakai oleh qari-qari Hijazi. Tetapi kini tarannum rast telah diubahsuai oleh qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.
Sifat Tarannum Rast
• Gerak lembut disamping ketegasan.
• Kelembutan alunan.
• Lincah menyemarakkan.
• Sesuai dengan mana-mana tobaqot.
• Sesuai dengan mana-mana bentuk ayat.
Peranan Tarannum Rast
• Memberi semangat kepada persembahan.
• Memberi tenaga kepada tarannum berikutnya.
• Memberi kepuasan kepada pembaca dan pendengar.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.
TARANNUM SIKAH
Berasal dari parsi (iran) kemudian digunapakai oleh qari-qari Hijazi (pada kurun-kurun 7 masihi hingga 19 masihi). Tetapi kini tarannum Sikah telah diubahsuai oleh qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.
Sifat Tarannum Sikah
• Gerak lambat meyakinkan.
• Kelembutan menusuk kalbu.
• Berciri kesedihan dan kerintihan.
• Sesuai dengan ayat-ayat merayu, memohon, merintih dan sebagainya.
• Sesuai dengan mana-mana tobaqot.
Peranan Tarannum Sikah
• Melembutkan persembahan.
• Memberi kepuasan kepada pembaca dan pendengar.
• Membawa kekhusukan dan keinsafan.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.
TARANNUM JIHARKAH
Berasal dari parsi (iran) kemudian digunapakai oleh qari-qari Hijazi (pada kurun-kurun 7 masihi hingga 19 masihi). Tetapi kini tarannum Jiharkah telah diubahsuai oleh qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.
Sifat Tarannum Jiharkah
• Gerak ringan yang berkesan.
• Kelembutan menusuk kalbu.
• Harmoni.
• Sesuai dengan ayat-ayat merayu, memohon, merintih dan sebagainya.
• Sesuai dengan tobaqot sederhana.
Peranan Tarannum Jiharkah
• Menenangkan ketegangan persembahan.
• Melembutkan persembahan.
• Membawa kekhusukan dan keinsafan.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.
PENGENALAN TARANNUM DI MALAYSIA
Qari-qari dari Malaysia masa kini telah mempopularkan bacaan al-Quran dengan tarannum yang disusun seperti berikut:
1. Bayyati, Soba, Hijaz, Nahwand dan Rast.
2. Bayyati, Hijaz, Nahwand, Rast dan Sikah.
3. Bayyati, Nahwand, Rast, Sikah dan Jaharkah.
4. Bayyati, Soba, Nahwand, Rast dan Sikah.
5. Bayyati, Iraqi, Hijaz, Sikah dan Rast.
50% daripada qari di Malaysia membaca dengan bahagian (1) dan (2), 30% pula membaca dengan bacaan mengikut turutan (3), 15% lagi membaca dengan bahagian (4) dan 5% lagi membaca dengan bacaan mengikut turutan (5).
Namun mengikut seorang pakar tarannum di Malaysia, Hj Nik Jaafar bin Nik Ismail; susunan lagu-lagu yang popular di Malaysia ialah
1. Bayyati, Soba, Hijaz, Nahwand dan Rast.
2. Bayyati, Hijaz, Nahwand, Rast dan Sikah.
3. Bayyati, Nahwand, Rast, Sikah dan Jaharkah.
Bagi lagu-lagu lain hanya sebagai selingan sahaja.
Recent Comments