The Power of Sedekah

Dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud barangsiapa yang bersedekah sebesar biji kurma dari usahanya yang halal, maka Allah akan menerima sedekahnya itu dengan tangan kanan-Nya, kerana sesungguhnya Allah hanya mahu menerima sedekah dari usaha yang halal, dan akan memberi tambahan kepada pemiliknya seperti seseorang di antara kamu yang terus menambah tabungnya yang sedikit, sampai menjadi gunung.”

(HR Bukhari dan Muslim)

——-

Antara sebab kenapa kita perlu berniaga ialah kerana dengan berniaga, dengan keuntungan yang kita dapat, dengan kekayaan masa yang kita ada, kita dapat buat lebih pilihan. Pilihan untuk berbelanja termasuk untuk bersedekah, berzakat, berwaqaf dan sebagainya.

Kami ingin kongsikan 9 Power of Sedekah untuk manfaat bersama. Sama-sama kita kongsikan ilmu bermanfaat ini untuk kebaikan bersama di hari Jumaat yang mulia ini, insyaAllah.

9 Power of Sedekah

1) UBAT SEGALA PENYAKIT

Sedekah merupakan ubat segala penyakit. Jika anda ada penyakit, tidak kiralah berbahaya atau biasa-biasa sahaja, bersedekahlah. Insya Allah, ada penawarnya.

Selain itu, sedekah boleh mengubat penyakit hati seperti dengki, sombong, kedekut, riak, dan bongkak dengan harta yang dimiliki.

2) MENAMBAH KEAKRABAN MANUSIA

Secara tidak langsung, sedekah dapat menjalin dan mengeratkan silaturrahim antara kita.

Ini kerana, kita dapat membantu golongan yang memerlukan seperti fakir miskin, anak-anak yatim, insan yang memerlukan seperti untuk pembedahan, rawatan penyakit dan sebagainya.

Dengan bantuan anda, mereka akan rasa lebih bersyukur dan berterima kasih.

3) MENAMBAH HARTA

Seperti kita sedia tahu, sedekah akan menambahkan harta kita, BUKAN makin berkurang. Jadikan bersedekah sebagai amalan hidup anda, tidak kiralah banyak atau sedikit asalkan anda mampu.

Allah tidak memandang pada nilai yang banyak atau sedikit, tapi keikhlasan hati anda.

4) MENANAMKAN PERASAAN BELAS KASIHAN 

Apa perasaan anda bila lihat seorang ibu meriba anaknya yang kecil meminta sedekah di tepi jalan?

Tentu sedih dan bersyukur kerana kita tidak dibesarkan dalam keadaan sebegitu. Itulah yang Allah cuba lihatkan pada kita, rasa bersyukur dan belas kasihan.

Hulurkan apa yang anda mampu untuk mereka, tidak kiralah wang ringgit atau makanan. Mungkin anda terfikir, betul ke mereka ni miskin, mungkin ada ejen yang letak mereka kat sini.

Jangan! Cuba ikhlaskan hati, itu urusan dia dan Allah. Kita jaga urusan kita.

5) HARTA LEBIH BERKAT

Pernah tak anda rasa, dengan gaji yang sedikit tetapi anda mampu hidup untuk sebulan dan ada lebihan lagi dari gaji anda?

Dengan untung yang mungkin kecil tapi anda boleh gunakannya untuk banyak perkara. Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan.

Dengan adanya keberkatan, harta atau rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.

6) MEMANJANGKAN UMUR

Dari Amru bin Auf R.A katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).”(Hadis Riwayat Bukhari)
——
Dari hadis berikut, dapat kita simpulkan dengan bersedekah Allah akan memanjangkan umur seseorang, jauhkan dari mati dalam keadaan mengaibkan dan menghapuskan sifat sombong, takbur dan riak.

7) MEMUDAHKAN URUSAN HIDUP

Bersedekah mampu menolak dan menjauhkan diri kita dari bala. Jika kita tiada harta, doalah semoga kehidupan mereka akan jadi lebih baik kerana doa juga merupakan sedekah.Dengan bersedekah yang ikhlas, Insya Allah akan dilindungi dan dirahmati hidup kita sepanjang hari. Melalui sedekah juga, kita telah menunaikan peranan seorang hamba iaitu dengan memudahkan urusan orang lain, maka Allah membalasnya dengan memudahkan urusan kita.

8) MENGHAPUSKAN SIFAT SOMBONG

Sudah menjadi lumrah apabila harta kita sudah banyak dan makin kaya, akan datang satu ujian perasaan iaitu perasaan riak atau sombong. Perlu diingat, harta kita bukan milik kita tetapi pinjaman dari Allah semata. Dengan bersedekah, Allah akan menghapuskan sifat-sifat mazmumah (tidak elok) dalam diri kita.

9) MENAMBAH RASA SYUKUR 

Apabila kita bersedekah, akan timbul perasaan syukur dan nikmat dalam diri dengan rezeki yang diperolehi.

Jika kita tidak bersyukur, kita akan rasa rezeki tidak cukup walaupun dengan gaji yang besar. Sekiranya kita bersyukur dengan rezeki yang ada, hidup akan lebih bahagia dan aman. Untuk menambahkan rasa syukur, kita harus lihat pada orang yang lebih susah dari kita seperti peminta sedekah dan fakir miskin.

Agama tentukan kebahagiaan keluarga

PERNAHKAH kita bertanya tujuan hidup di dunia ini atau hanya sekadar menjalani hidup tanpa pernah memikirkan makna daripada penciptaan diri kita? Mengetahui makna kehidupan membantu kita menjalani hidup lebih baik, mengenal pasti tujuan hidup supaya lebih terarah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan Rasul-Nya apabila ia menyeru kamu kepada perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna.” (Surah al-Anfal , ayat 24)

Jika diteliti makna di sebalik penurunan ayat ini, ia memberikan suatu konsep mengenai erti hayat atau hidup yang sebenar dalam Islam. Rasulullah SAW selaku utusan Allah SWT menyeru orang beriman supaya menyambut seruan Allah SWT dan Rasul-Nya.

Seruan yang mengajak mereka menjalani erti hidup yang sebenar. Hidup manusia sangat bererti memandangkan kemuncak hidup yang sejati ialah dengan makrifat Allah (mengenal Allah SWT).

Mengenal bahawa sifat ubudiyyah seorang Muslim mestilah dipersembahkan hanya kepada Allah SWT.

Menghuraikan tajuk Di Mana Kita Bertolak dalam rancangan Pesona D’Zahra di IKIMfm, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin, berkata agama adalah pegangan yang harus ada dalam diri setiap manusia.

Tanpa pegangan agama, maka akan goyahlah kehidupan manusia. Malah, agama juga dapat membentuk pandangan semesta seseorang, sesebuah masyarakat serta perilaku dan tindakan mereka dari segi pertuturan, perilaku atau gaya hidup.

,B>Agama asas pilih pasangan

Tidak dinafikan, agama Islam mengatur seluruh aspek kehidupan, termasuk urusan jodoh seperti mana ditegaskan Rasulullah SAW dalam sabda Baginda: “Dikahwinkan seorang perempuan itu kerana empat perkara. Kerana hartanya, kecantikannya, kedudukan atau keturunannya dan agamanya. Maka hendaklah memilih perempuan yang beragama, nescaya menguntungkan kamu.”

Agama dan keimanan yang kuat hendaklah diutamakan sebagai dasar pemilihan pasangan hidup. Menurut Muhammad, agama bukan bersandarkan kepada kelulusan semata-mata. Ia sebenarnya menjurus sejauh mana penghayatan dan amalan seseorang terhadap Allah SWT.

Dalam institusi rumah tangga, faktor agama adalah elemen yang penting. Pegangan agama yang kukuh dalam perkahwinan adalah tonggak kebahagiaan rumah tangga seperti mengamalkan solat berjemaah dapat mengeratkan hubungan suami isteri dengan restu Allah SWT.

Suami kena bimbing isteri

Suami perlu membimbing isteri ke jalan yang diredai Allah SWT. Jika isteri lebih bijak, tidak salah berkongsi sesuatu yang baik dengan suami supaya rumah tangga sentiasa mendapat keberkatan.

Islam dibina atas tiga asas utama meliputi soal akidah, syariat dan akhlak. Tiga perkara asas itu menjadi tunjang dalam pembentukan rumah tangga yang harmoni. Sebelum memilih sesuatu jalan, adalah lebih baik untuk diselidiki terlebih dahulu supaya tidak tersesat.

Suami isteri ibarat pakaian bagi pasangannya, yang saling menutupi, melindungi dan memerlukan antara satu sama lain. Oleh itu, hiasilah pasangan dengan amalan yang baik.

Demi menggapai reda Allah SWT, elak berada dalam situasi keluh kesah kerana bimbang keluh kesah adalah tanda kelemahan iman. Luaskan pelaksanaan dan penghayatan agama kepada seluruh amalan dalam kehidupan.

Moga dengan kebaikan yang kita lakukan walaupun kecil tetapi berterusan, mudah-mudahan dapat memberikan kebaikan dan membantu kita untuk terus memahami serta mendalami agama Islam.

Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan

Pada 23 Jun 2022, buat pertama kalinya filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ ditayangkan kepada khalayak terpilih, termasuk wartawan dengan harapan mendapat publisiti meluas untuk mengajak penonton kembali ke pawagam. Apatah lagi, penerbitnya iaitu Studio Kembara Sdn Bhd yang berpusat di Bandar Baru Bangi merupakan pendatang baharu dalam dunia perfileman tanah air.

Lebih setahun lalu, ketika bersembang-sembang sambil menghirup secawan teh tarik dan menikmati roti bakar di sebuah kafe di Bandar Baru Bangi bersama seorang kenalan penulis iaitu Zainal Johan dari Melaka, beliau ada menyatakan turut terlibat secara tidak langsung dengan pengolahan semula skrip ‘Mat Kilau:Kebangkitan Pahlawan’. Ketika itu, saya tertanya-tanya, apakah alasan penerbit memilih tokoh Mat Kilau yang merupakan seorang daripada puluhan pejuang tanah air menentang penjajah Inggeris bermula awal abad ke-19 sehingga kemuncaknya pada Mac 1946, iaitu kebangkitan besar-besaran orang Melayu menentang Malayan Union.

Pertanyaan kedua, adakah filem biografik epik sejarah seperti ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ ini mampu mengajak penonton ke pawagam? Bukankah trend penonton sekarang lebih meminati cerita jenaka seperti ‘Hantu Kak Limah Balik Rumah’, ‘Man Laksa’ atau ‘Zombi Kampung Pisang’, atau filem-filem lasak saperti ‘Evolusi KL Drift’ dan filem seram Islamik saperti ‘Munafik’, ‘Dukun’, dan sebagainya? Saya menganggap ia suatu keberanian bagi dua bersaudara Shaharuddin Dali dan abangnya Abdul Rahman Dali. Paling mengejutkan, mereka berasal dari Perak dan bukannya Pahang iaitu negeri kelahiran tokoh Melayu yang diangkat dalam filem ini.

Kepentingan ROI, keutamaan CSR

Jika saya sebagai penerbit sebuah filem, tentulah perkiraan dan harapan utama ialah untuk meraih keuntungan atau return of investment (ROI), atau sekurang-kurangnya sekadar pulangan modal minima supaya boleh terus kekal menghasilkan filem. Dalam masa yang sama dapat menyemarakkan niat atau tujuan mulia untuk terus menghasilkan filem-filem sejarah dan patriotik yang ketika ini berada di pinggiran.

Dengan usaha sedemikian, genre filem seperti ini dapat kembali ke arus perdana, berupaya memupuk semangat patriotisme dan cintakan tanah air dalam kalangan generasi muda. Selain itu, ia juga dapat merangsang kembali industri filem tanah air yang dilihat seperti berada dalam keadaan ‘hidup segan, mati tak mahu’.

Pelaburan sebanyak RM8 juta bukanlah suatu jumlah yang mudah untuk memperoleh pulangan. Namun, saya percaya pastinya ada penerbit yang mendapat keuntungan daripada perniagaan lain kemudian membuat pelaburan dalam pembikinan filem patriotik seperti ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ ini sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka untuk disumbangkan kepada negara dan bangsa.

Filem luar biasa, bermutu tinggi

Setelah terpaku pada kerusi empuk di dewan tayangan Golden Screen Cinema (GSC) Starling Mall di Petaling Jaya selama hampir dua jam, saya terpaksa mengakui bahawa filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ terbitan sulung Studio Kembara dengan kerjasama Skop Productions Sdn Bhd, ini luar biasa baiknya dan bermutu tinggi. Ia sebuah filem biografik epik sejarah yang berjaya melepaskan diri jauh daripada format filem-filem Melayu lama seperti di Studio Jalan Ampas, Cathay Keris, dan Studio Merdeka.

Pastinya, ia disebabkan oleh gabungan beberapa faktor seperti cerita asal, skrip dengan lakon layarnya yang mantap. Lebih penting daripada itu adalah olahan cerita asal serta garapan pengarahan yang kemas dan bijak oleh pengarah muda Syamsul Yusof yang terkenal dengan penghasilan filem-filem lasak menggunakan teknik penyuntingan ‘fast editing’.

Saya dimaklumkan bahawa filem ini telah melalui olahan semula sebanyak dua kali, sebelum terhasilnya versi ketiga untuk tayangan kepada umum. Selama hampir dua jam menonton membuatkan kita sentiasa berada dalam keadaan yang cemas, serta tidak dapat meneka apa akan berlaku seterusnya.

Gandingan pelakon berbakat

Tidak kurang pentingnya adalah pemilihan pelakon untuk watak utama iaitu Dato Mohamed Hadi Putera Halim atau nama pentasnya Ady Putra sebagai ‘Mat Kilau’ yang berjaya menjiwai watak pahlawan Melayu itu dengan cemerlang. Gandingan pelakon-pelakon veteran handalan seperti Dato Abdul Rahim Mohd Razali (Rahim Razali) sebagai Mufti Botok Haji Uthman, Wan Hanafi Su (Tok Gajah), Dato Jalaluddin Hassan (Dato Haji Muhammad), Shaharuddin Thamby (Dato Bahaman) dan Zakaria Ahmad (A.Galak) sebagai Pak Deris, menambah seri kepada filem yang telah menjalani proses penggambaran pada 1 April 2018.

Selain itu, barisan pelakon hebat seperti NurKusyairy Zakuan Osman (Beto Kusyairy) sebagai Wahid, Abdul Fattah Mohd Amin (Fattah Amin) sebagai Awang, Johan Ariff As’ari (Johan As’ari) sebagai Yassin, Khairulizam Abdul Rahman (Khir Rahman) sebagai Usop, Shahili Abdan (Namron) sebagai Haji Sulong Semantan, Ellie Suriaty Omar (Ellie Suriati) sebagai Salmah ibu kepada Yassin dan penampilan hebat pelakon Indonesia yang juga seorang artis seni bela diri Yayan Ruhian sebagai Toga. Beliau memegang watak antagonis iaitu pro penjajah Inggeris.

Memartabat seni silat Melayu

Satu lagi keistimewaan filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ ialah kejayaan menampilkan kehebatan dan keindahan seni silat Melayu dalam situasi menentang penjajahan Inggeris. Pada masa lalu ia amat jarang ditampilkan sedemikian. Akhirnya, sesuatu yang amat sukar dalam membuat filem sejarah adalah props, hiasan, dan busana. Namun ia dapat ditangani dengan cermat dan teliti oleh pengarah seni dan pasukannya.

Setakat 28 Jun 2022, filem ini telah berjaya membuat kutipan sebanyak RM16 juta selepas lima hari tayangan di pawagan seluruh Malaysia. Filem yang tertangguh tayangannya kerana COVID-19 mula mempamerkan poster rasminya pada 13 Mei lepas dan treler rasminya telah dipertontonkan pada 16 Jun lepas.

Semoga kejayaan penerbitan filem perjuangan dan patriotik saperti ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ ini akan merangsang kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) memberi keutamaan yang berbeza daripada filem-filem genre romantik, komedi dan seram.

Tinggi harapan saya agar filem genre biografik epik sejarah ini diterima baik oleh masyarakat Malaysia dan berjaya melebarkan sayapnya hingga ke peringkat antarabangsa.

Mencari sunnah dengan sukan memanah tradisional

Memanah bukan semata-mata sukan biasa, sebaliknya ia menjadi antara sunnah yang dituntut kepada umat Islam untuk mempelajarinya, selain berenang dan menunggang kuda.

Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kalian (belajar) memanah kerana ia sebaik-baik permainan.” (HR Bazzar dan Tabarani)

Falsafah memanah sebenarnya bukan saja dapat melatih fizikal seseorang, bahkan ia turut mendidiknya daripada sudut emosi untuk menjadi lebih sabar, tenang dan tidak mudah gelabah.

Ini kerana sekiranya emosi seseorang berada dalam keadaan tertekan, panik dan marah, sudah tentu tumpuannya akan terjejas, manakala pemikiran mudah tersasar.

Lebih penting lagi, memanah juga menjadi antara aktiviti riadah yang boleh memperkasakan ummah dan negara.

Tidak hairanlah Saidina Umar ibnu Khattab sendiri menyuruh umat Islam supaya menerapkan sukan memanah sebagai antara pendidikan kepada generasi muda seperti katanya: “Ajarlah anak-anak kamu dengan memanah, menunggang kuda dan berenang.”

Ia bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi Allah SWT daripada orang beriman yang lemah.” (HR Muslim)

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkata agenda memperkasakan umat Islam memerlukan kerjasama setiap golongan lapisan masyarakat untuk menjayakannya.

 

Anjur program

Ahmad Zakiyuddin berkata, ketua masyarakat disarankan menganjurkan program yang boleh menarik minat segenap lapisan masyarakatnya.

“Usaha Surau Ar Rayyan di sini yang menganjurkan liga memanah, sangat baik kerana ia bukan sahaja menggalakkan masyarakat menyukai sukan digemari Nabi Muhammad SAW, bahkan menyatupadukan ummah.

“Melalui penganjuran sukan ini, masyarakat dari segenap lapisan dapat berhimpun dan berkumpul yang secara tidak langsung dapat bertukar-tukar fikiran.

“Ia akan dapat mengajak ummah ke arah kebenaran yang dituntut dalam Islam,” katanya selepas merasmikan Liga Memanah Tradisional Petal 3.0 di sini, baru-baru ini.

Ahmad Zakiyuddin berkata, kehadiran generasi muda khususnya ke masjid dan surau amat berkurangan hingga memerlukan setiap kariah memikirkan aktiviti yang boleh menarik minat mereka ke sana.

“Apa juga aktiviti yang ingin dilaksanakan jangan tinggal mana-mana golongan lapisan masyarakat sekiranya mahu melihat kepada perubahan.

“Sukan memanah yang dilaksanakan kariah ini, dapat menarik penyertaan semua golongan lapisan dari cilik, remaja hingga golongan dewasa yang pada masa sama ahli kariah dapat meuar-uarkan aktiviti lain yang dianjurkan,” katanya.

Sementara itu, Biro Akademi Memanah Rayyan (AMAR) Muhammad Afandy Abdullah, berkata sukan memanah yang sudah dianjurkan dalam kariah itu sejak tiga tahun lalu menampakkan hasil positif apabila mengeratkan persaudaraan dan membina semangat bekerjasama dalam kalangan Rukun Tetangga.

“Tujuan akademi mengadakan sukan ini kerana mahu menggalakkan seluruh generasi mempelajari dan mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW yang akan membangkitkan semangat kecintaan terhadap kekasih Allah SWT.

 

Menyatukan ummah

“Di sebalik penganjurannya juga, turut tersirat kemanisan dalam kalangan masyarakat apabila sukan ini juga mampu menyatukan ummah seperti yang dituntut dalam ajaran Islam,” katanya.

Bagi Pengerusi Kariah Surau Ar Rayyan, Muhd Helmi Md Zain, berkata akademi memanah yang diwujudkan dalam kariahnya begitu membantu dalam mengimarahkan kawasan surau.

“Surau yang terletak berdekatan dengan padang dijadikan tempat yang semua ahli datang menjalankan latihan pada setiap Ahad.

“Pada masa sama, kita dapat menggunakan peluang ini bagi mendekati mereka berkaitan aktiviti keagamaan yang dijalankan pihak surau,” katanya.

Jelasnya, bagi menarik lebih ramai rukun tetangga menyertai sukan memanah itu, pihaknya turut menyediakan kelengkapan memanah.

“Ini kerana kita mahu menarik lebih ramai menyertainya termasuk membantu mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

Anak amanah yang paling berharga

Dalam kehidupan seorang muslim, antara sifat yang mendapat kedudukan tinggi dalam akhlak Islam ialah amanah.

Amanah adalah sesuatu yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang atau pihak tertentu terhadap satu perkara seperti pekerjaan, perniagaan dan sebagainya. Islam menganjurkan umatnya menghiaskan diri dengan sifat amanah.

Amanah bukan sekadar membawa maksud untuk bersikap jujur dan benar dalam apa-apa jua urusan kehidupan manusia, malah turut mencakupi setiap tanggungjawab atau tugas yang wajib dilaksanakan.

Kehadiran anak dalam sebuah rumah tangga merupakan amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada setiap ibu bapa untuk mendidik dan mengasuh mereka supaya menjadi insan yang berguna kelak. Namun, pada ketika ini sesetengah masyarakat tidak mensyukuri kurniaan Allah dengan melakukan tindakan seperi membuang, membunuh dan mendera anak.

Hal pembuangan anak ini berpunca daripada permasalahan sosial dalam kalangan pasangan yang melakukan hubungan luar nikah yang khuatir perilaku mereka diketahui dan mengelak dari malu sehingga sanggup melakukan perilaku kejam. Ada juga sesetengahnya sanggup melakukan tindakan kejam kerana tidak sanggup menyara kehidupan anak itu akibat kewangan.

Manusia seperti inilah golongan yang tidak tahu mensyukuri dan menghargai anugerah Allah yang cukup bernilai.

Setiap anak yang baru dilahirkan umpama sehelai kain putih yang dicorakkan oleh ibu bapanya bukan untuk diperlakukan tanpa belas kasihan dan berperikemanusiaan.

Lahirnya seorang anak bukanlah satu bebanan malah sebaliknya, kelahiran anak yang diharap dapat menyambung warisan kekeluargaan dan sebagai satu ujian Allah kepada pasangan suami isteri atau ibu bapa. Kehadiran anak merupakan penawar kepada ibu bapa ketika sudah tua. Segalanya bergantung pada didikan dan ajaran ibu bapa terhadap anak-anak termasuk didikan agama dan sentiasa menjaga amanah yang diberikan Allah kepada mereka dengan sebaiknya.

Justeru, ibu bapa wajib menjaga anak mereka dengan selayaknya agar mereka boleh berbakti kepada kedua ibu bapanya kelak dan terus menyayangi, di samping sentiasa bersyukur dengan kehadiran anak di dalam keluarga.

Ciri-Ciri Wanita Dan Isteri Solehah Yang Disebutkan Allah

Wanita adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT. Dalam ajaran Islam wanita mempunyai kedudukan yang sangat baik. Islam sangat mengawasi maruah dan martabat seorang wanita. Wanita yang dimuliakan dalam Islam adalah wanita yang solehah tetapi siapakah yang dikatakan wanita solehah?

Bagaimana pula untuk kita mengenali ciri-ciri wanita dan isteri solehah tersebut?

Firman Allah SWT:

“Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada kerana Allah telah memelihara mereka.”
– Surah An-Nisa: 34

Berdasarkan firman tersebut, ciri-ciri utama seorang wanita atau isteri yang solehah adalah wanita yang mentaati Penciptanya dan mematuhi suaminya dengan memelihara kehormatan diri sewaktu ketiadaan suami.

Oleh yang demikian ciri seorang wanita solehah itu haruslah yang memelihara maruah suaminya iaitu wanita menjaga diri serta harta suaminya. Selain dari itu, apakah lagi ciri-ciri wanita solehah ini? Ada satu cerita semasa berlakunya permasalahan di antara Rasulullah SAW dengan para isteri Baginda, sehingga Baginda bersumpah untuk tidak mencampuri mereka selama sebulan.

Lalu Allah SWT berfirman;

“Jika sampai Nabi menceraikan kalian, mudah-mudahan Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kalian, Muslimat, Mukminat, Qanitat, Taibat, Abidat, Saihat dari kalangan janda ataupun gadis.”
– Surah At-Tahrim: 5

Berpandukan firman tersebut disenaraikan beberapa ciri wanita dan isteri solehah yang disebutkan oleh Allah:

1. Muslimat
Wanita-wanita yang ikhlas kepada Allah SWT dengan tunduk kepada perintahNya dan suruhan RasulNya.

2. Mukminat
Wanita-wanita yang mengakui perintah dan larangan Allah SWT.

3. Qanitat
Wanita-wanita yang taat kepada Allah.

4. Taibat
Wanita-wanita yang sentiasa bertaubat dari dosa-dosanya yang lampau dan kembali kepada perintah Rasulullah SAW walaupun harus meninggalkan segala kesenangan nafsu mereka.

5. Abidat
Wanita-wanita yang banyak melakukan ibadah kepada Allah SWT dengan mentauhidkan dirinya.

6. Saihat
Wanita-wanita yang sering berpuasa tidak kira dari kalangan janda atau pun anak dara.

Sesungguhnya mana-mana wanita yang sentiasa melakukan segala suruhan dan meninggalkan setiap larangan Allah pasti akan ditempatkan dalam golongan wanita yang dirahmati dan diberkati.

Rasulullah SAW juga ada bersabda;

“Apabila seorang wanita solat lima waktu, puasa sebulan di bulan Ramadan, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, maka dikatakan kepadanya: Masuklah engkau ke dalam syurga dari pintu mana saja yang engkau sukai.”
(Hadis Riwayat Ahmad)

Namun begitu, mencari wanita solehah itu bukanlah mudah. Diibaratkan seperti mencari sebutir permata di timbunan pasir, seakan sama tapi mungkin terpilih yang palsu. Wanita yang baik akan menjadi isteri yang solehah yang sama-sama membantu rumahtangga untuk menuju ke syurga.

Isteri yang yang bagaimana yang layak menghuni syurga?

Allah SWT berfirman:

“Mahukah aku beritahukan kepada kalian, isteri-isteri kalian yang menjadi penghuni surga iaitu isteri yang penuh kasih sayang, banyak anak, selalu kembali kepada suaminya. Di mana jika suaminya marah, dia mendatangi suaminya dan meletakkan tangannya pada tangan suaminya seraya berkata: ‘Aku tak dapat tidur sebelum engkau reda”
(Hadis Riwayat An-Nasai)

Berdasarkan firman tersebut dapat disimpulkan bahawa, ciri-ciri wanita dan isteri solehah adalah:

  1. Wanita yang mempunyai kasih sayang dan sentiasa mencari keredaan suaminya.
  2. Wanita yang melayani suaminya dengan cara yang paling terbaik (sedia berkhidmat kepada suami) dengan menyiapkan segala keperluannya.
  3. Wanita yang menjaga rahsia dan amanah suami,
  4. Wanita yang selalu berpenampilan menarik di hadapan suaminya sehingga akan menyenangkannya.
  5. Ketika bersama suaminya, wanita solehah itu tidak melakukan hal yang boleh menghalang suaminya untuk bermesra dengannya.
  6. Wanita yang sentiasa bersyukur akan segala kebaikan dan pemberian suami.

Seharusnya semua wanita mengambil berat akan sifat-sifat ini. Hal ini bukan sahaja menjamin kerukunan dan kebahagian sesebuah rumahtangga tetapi satu ukuran yang memberi saham seseorang wanita di alam sana nanti. Wanita yang solehah dan diredhai suaminya sudah tentu dijanjikan nikmat syurga yang abadi.

Jangan lupa juga bahawa anak-anak yang baik dan soleh juga bermula dari wanita yang solehah. Oleh itu, wahai kaum adam jadikanlah wanita yang mentaati agama itu sebagai pilihan utama berbanding kecantikan, keturunan serta hartanya. Carilah wanita yang elok agamanya sebagai isteri dan ibu kepada anakmu nescaya kamu akan perolehi keberuntungan.

7 Tip untuk Membina Keluarga Bahagia

Jika dibandingkan dengan setiap kesenangan material yang mungkin anda perolehi di dunia ini, pastilah tiada apa yang lebih bernilai daripada keluarga bahagia. Mendirikan rumah tangga dan menimang cahaya mata merupakan impian kebanyakan individu.

Namun, tidak semua rumah tangga dan keluarga yang dibina bahagia. Kebahagiaan sesebuah keluarga bukanlah tercipta dengan sendirinya sebaliknya memerlukan usaha berterusan.

Oleh itu, ketahui 7 tips membina keluarga bahagia berikut untuk panduan bersama:

1. Solat berjemaah bersama

Kebanyakan agama menekankan kepentingan keluarga dan kestabilan rumah tangga. Oleh itu, tidak hairanlah pegangan agama memainkan peranan kepada hubungan anda dengan pasangan.

Menariknya, dalam satu kajian oleh General Social Survey (GSS) di Amerika Syarikat, mereka yang kerap hadir dalam majlis agama didapati lebih rendah kemungkinan curang terhadap pasangan berbanding mereka yang hadir hanya sekali setahun atau kurang daripada itu.

Bahkan faktor ini -kehadiran dalam majlis agama- merupakan faktor paling kuat berbanding faktor lain dalam menentukan kemungkinan kecurangan seorang lelaki atau perempuan.

Jadi, melaksanakan solat secara berjemaah bukan sahaja mewujudkan rutin sihat yang mengukuhkan ikatan kekeluargaan anda. Apabila seseorang lebih mendampingi agama, mereka lebih takut untuk melakukan perkara yang terlarang.

2. Makan malam bersama

Perkara ini nampak remeh, tetapi sebenarnya waktu makan bersama keluarga sangat penting.

Percaya atau tidak, dalam satu kajian yang dilakukan di University of Michigan mendapati bahawa masa yang dihabiskan anak anda untuk makan di rumah merupakan penentu paling besar terhadap pencapaian akademik dan masalah tingkah laku.

Masa makan bersama ini didapati lebih mempengaruhi anak anda berbanding faktor lain seperti tempoh masa dihabiskan di sekolah, tempoh masa belajar, tempoh masa menghadiri majlis agama mahupun tempoh masa bermain sukan.

Oleh itu, singkirkan gajet daripada meja makan anda. Baca doa makan bersama, kongsi cerita tentang hari masing-masing dan rancang aktiviti bersama. Ini merupakan salah satu tips keluarga bahagia yang paling baik.

Jadikan makan bersama sebagai suatu kebiasaan, sehingga semua akan berasa kehilangan jika salah seorang tiada. Jika keluarga anda mempunyai kekangan untuk selalu makan bersama, menurut kajian, seminggu sekali sudah mencukupi untuk memberi kesan kepada anak anda.

3. Kongsi sejarah keluarga

Dalam sebuah kajian yang melibatkan 48 buah keluarga, anak yang lebih tahu tentang sejarah keluarganya didapati lebih berupaya mengawal hidupnya dan lebih berkeyakinan diri.

Jadi, berkongsi sejarah keluarga merupakan satu pengisian penting untuk anak anda. Anak-anak yang tidak mengetahui pasang surut keluarga kecil anda akan mengambil mudah segala kesenangan yang mereka kecapi sekarang.

4. Keluarga bahagia jika libatkan atuk dan nenek

Penglibatan atuk dan nenek juga memainkan peranan. Dalam satu ringkasan tahun 1992 melibatkan 66 kajian, para ibu yang mempunyai sokongan para nenek didapati mempunyai anak yang kurang tertekan dan lebih pandai menyesuaikan diri.

Kajian lain turut mendapati bahawa apabila atuk dan nenek melibatkan diri dalam hidup si anak, mereka menjadi lebih pandai bersosial, lebih melibatkan diri di sekolah dan lebih bersimpati kepada orang lain.

Jadi, jika anda tidak mempunyai hubungan baik dengan orang tua anda, mungkin inilah masa yang sesuai untuk anda kembali berbaik-baik dengan mereka.

Tanpa mereka, anak-anak anda telah kehilangan sistem sokongan yang penting dalam hidup. Bahkan hubungan buruk ini mungkin kelak akan berulang pula dalam hubungan anda dengan anak anda sewaktu anda di usia senja nanti.

5. Libatkan keluarga dalam komuniti

Banyak kajian mendapati bahawa keluarga yang beragama lebih bahagia. Kajian lanjut mendapati kehidupan dalam komuniti merupakan sebab keluarga yang berpegang kepada agama lebih bahagia. Komuniti seagama memberikan rasa terhubung dengan masyarakat yang berfikiran sama.

Jadi, bawa anak-anak anda menyertai aktiviti di kawasan kejiranan anda. Sama ada menunaikan solat Jumaat di masjid, membantu aktiviti korban mahupun bergotong-royong untuk membersihkan kawasan kejiranan.

6. Bagi autonomi kepada anak anda

Kanak-kanak lebih mematuhi arahan apabila mereka merancang sesuatu sendiri atau pandangan mereka diterima dalam perancangan.

Membenarkan mereka menentukan hukuman ke atas kesalahan mereka juga boleh menjadi motivasi untuk mematuhi peraturan.

Contohnya, tanya anak anda jika sesuatu peraturan dilanggar, mereka patut dikenakan hukuman A atau B. Jika mereka lebih berusia, tanyakan mereka apa hukuman yang layak dikenakan kepada mereka jika mereka melakukan kesalahan tersebut.

7. Luangkan masa bersama untuk keluarga lebih bahagia

Selain solat dan makan bersama, sebarang aktiviti yang anda luangkan bersama dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Sama ada aktivi dalam rumah seperti mengemas rumah mahupun aktiviti di luar seperti bermusafir dan bercuti bersama-sama.

Si ayah seharusnya membiasakan diri mendidik anak-anak meringankan beban si ibu atau isteri yang telah penat memasak dan menyiapkan kerja rumah yang lain. Kerjasama ibu bapa dalam menguruskan hal rumah ini juga akan menunjukan contoh yang baik untuk ikutan anak-anak.

Aktiviti luar bersama keluarga pula bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan, malah dapat meningkatkan kesihatan mental dan fizikal. Lakukan aktiviti seperti berkelah, bersukan atau bercuti bersama.

Setiap kali anda menghabiskan masa bersama, rakamkan kenangan-kenangan manis ini untuk tatapan di masa akan datang.

Selain daripada 7 tips keluarga bahagia yang kami nyatakan di atas, pasti terdapat pelbagai tip lagi yang boleh anda pelajari daripada mereka yang lebih berpengalaman. Selamat beramal dan semoga anda dikurniakan dengan keluarga bahagia!

Sukan malam ‘pembunuh senyap’

Aktiviti bersukan seperti bermain futsal, beriadah di gimnasium dan bermain badminton pada waktu malam yang kini menjadi gaya hidup warga kota akibat kekangan masa akibat bekerja sebenarnya boleh menjadi ‘pembunuh senyap’.

Ini kerana, tanpa disedari individu berkenaan mungkin boleh diserang penyakit berbahaya seperti tekanan darah tinggi dan masalah jantung.

Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr Zubaidi Ahmad berkata, aktiviti tersebut yang banyak menggunakan tenaga boleh bertukar menjadi gejala tidak sihat dan membahayakan kesihatan jika tidak diuruskan dengan baik.

“Secara purata seseorang menghabiskan lapan jam bekerja sehari dan memerlukan waktu rehat. Aktiviti bersukan selepas bekerja terutama pada waktu malam menyebabkan badan menjadi lesu kerana tubuh dipaksa bekerja keras dan banyak tenaga dikeluarkan.

“Kita memaksa badan untuk bekerja keras dengan aktiviti sukan yang berat dan boleh mengakibatkan tekanan darah kita meningkat naik sekali gus boleh menyebabkan masalah darah tinggi dan jantung.

Menurut beliau, aktiviti bersukan pada waktu malam juga boleh membuatkan badan seseorang menjadi letih dan mengganggu waktu tidur.

“Jangan terlalu memaksa tubuh melakukan perkara-perkara yang di luar kemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes kematian mati mengejut ketika bersukan.

Terbaharu, Exco Majlis Belia Jajahan Gua Musang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika bermain futsal di Gelanggang Futsal KESEDAR, Gua Musang, malam tadi.

Mohd Khairi Harun, 31, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang 10.10 malam tadi.

Mengulas mengenai perkara itu, Dr Zubaidi berkata, mati mengejut ketika melakukan aktiviti fizikal bukanlah perkara baharu serta perlu diambil perhatian serius dan tidak dipandang remeh.

Katanya, kematian ini sekali gus membuktikan bahawa usia muda bukanlah jaminan seseorang itu selamat daripada risiko mati mengejut ketika melakukan aktiviti riadah.

“Punca utama mati mengejut dalam kalangan masyarakat pertengahan umur dan warga emas yang bersukan adalah disebabkan oleh serangan jantung akibat daripada penyumbatan salur darah koronari jantung.

“Keadaan ini dapat dikenalpasti dengan pemeriksaan doktor dan ujian jantung yang teliti sebelum giat bersukan untuk mencegah kematian di gelanggang sukan,” katanya.

Tambah beliau lagi, kebanyakan masyarakat mengambil ringan pemeriksaan kesihatan sedangkan sebaiknya seseorang itu mengetahui status kesihatan mereka sebelum bersukan.

“Masyarakat kita hari ini terlalu mengambil ringan soal pemeriksaan kesihatan kerana ada yang beranggapan hanya orang berusia sahaja berpenyakit, orang muda tidak.

“Mereka yang bersukan ini kadang-kadang tidak pernah melakukan pemeriksaan kesihatan sebab mereka ingat mereka sihat, muda dan tidak ada penyakit.

“Apabila mereka bersukan yang memerlukan banyak tenaga menyebabkan jantung bekerja dengan lebih kuat serta tidak mampu mengepam lebih baik dan akhirnya terhenti akibat serangan jantung,” katanya.

Bersenam, bukan joging tapi kayuh basikal

Hasil kajian mendapati senaman kayuhan basikal selama lapan minit dan 40 saat atau sembilan minit setiap dua hari sudah cukup untuk meningkatkan tahap kesihatan jantung.

Saintis mendakwa latihan senaman pendek boleh mengurangkan risiko penyakit janting sehingga 15 peratus, begitu juga dapat menghalang daripada penyakit kencing manis tahap 2.

Penyelidikan yang dilakukan itu menunjukkan oksigen dalam badan manusia dipam di dalam saluran darah yang menjadikan seseorang itu lebih cergas dan sihat.

Saranan meletakkan basikal senaman di pejabat boleh mengurangkan alasan orang yang tidak cukup masa untuk melakukan senaman lebih kerap.

Malah penyelidik juga yakin kaedah ini memudahkan semua orang untuk bersenam walaupun dengan berpakaian pejabat.


Senaman basikal boleh mengurangkan risiki sakit jantung.

“Tahap kardio respiratori antara penyebab besar masalah kardiovaskular, kanser dan berkaitan,” jelas pasukan penyelidik dari Universiti Stirling, Scotland serta Swansea dan Mesir.

Menurut Pensyarah Sains Senaman, Dr Niels Vollaard: “Hasil kajian mendapati rutin efektif menjadikan kesihatan keseluruhan meningkat terhadap peserta kajian.

“Kami juga menemui semua peserta mencapai tahap rutin, penerimaan dan gembria.”

Untuk kekal sihat, individu dewasa berusia 19 hingga 64 tahun perlu mencuba untuk kekal aktif dengan sekurang-kurangnya 150 minit seminggu.

Antara rutin aktiviti yang boleh dilakukan adalah dengan senaman aerobik, berbasikal, berjalan serta melakukan latihan kekuatan dua kali seminggu di bahagian kaki, pinggang, perut, dada, bahu serta lengan.

Ada asma atau lelah, jangan ambil mudah

Jangan ambil mudah soal kesihatan terutama jika anda menghidap asma atau lelah.

Tinjauan yang dijalankan oleh Realise Asia mendapati sembilan daripada 10 penghidap asma percaya penyakit mereka dapat dikawal di sebalik gejala yang berterusan dan serangan asma.

Hasil tinjauan yang ditaja Mundipharma Pharmaceuticals menunjukkan bahawa 93 peratus daripada 151 responden Malaysia tidak menganggap penyakit asma mereka itu serius.

Sementara itu, 79 peratus pula percaya mereka boleh mengawal penyakit mereka tanpa bantuan doktor dan separuh daripada responden memberitahu mereka tidak seronok menggunakan alat sedutan atau “inhaler.”

Sebagai tambahan kepada hasil tinjauan itu, 41 peratus tidak merasa penting untuk mengambil ubat secara kerap memandangkan mereka tidak mengalami gejala atau serangan asma.

Bagaimanapun, di sebalik tanggapan positif responden, 92 peratus daripada mereka masih mengalami pelbagai gejala yang membimbangkan termasuk sesak nafas, batuk dan sakit dada.

Seramai 62 peratus mengalami masalah susah tidur akibat gejala asma yang berlaku pada waktu malam yang memerlukan rawatan dan 40 peratus memerlukan rawatan kecemasan di hospital.

Apabila keadaan ini berlaku, dua pertiga daripada responden terpaksa tidak hadir ke sekolah atau ke pejabat sekurang-kurangnya sehari sementara seperlima responden memerlukan rehat seminggu.

Hasil tinjauan ini menunjukkan sekiranya penyakit asma tidak diurus dengan baik, ia boleh menjejaskan kualiti kehidupan seseorang serta kegiatan hariannya.

Sikap ambil mudah

Datuk Dr Abdul Razak Abdul Muttalif, Pengarah Institut Perubatan Pernafasan juga Pakar Perunding Kanan Dada, percaya keadaan yang membimbangkan ini mungkin boleh dikaitkan dengan sikap ambil mudah rakyat Malaysia.

“Walaupun sedang sakit bila kita tanya, ‘pak cik apa khabar’ mereka akan jawab, ‘baik’,” kata Abdul Razak sambil menambah pesakit-pesakitnya sering memandang ringan keseriusan penyakit asma mereka.

Bercakap kepada para pemberita di Majlis Taklimat Media Tinjauan Realise Asia di Kuala Lumpur baru-baru ini, beliau berkata pesakit yang percaya asma mereka dapat dikawal berkemungkinan besar tidak mengambil ubat yang mungkin dapat mencegah serangan teruk asma.

Mereka juga, katanya, mungkin tidak akan mengendahkan gejala serangan asma.

“Pesakit asma perlu belajar mengurus keadaan diri mereka dengan lebih lagi agar dapat menyumbang kepada mutu kehidupan mereka.

“Penting juga untuk pesakit berbincang dengan doktor mengenai langkah mengawal asma,” katanya.

Bila asma menyerang

Asma atau lelah adalah penyakit saluran udara jangka panjang yang kronik. Ia boleh menyebabkan nafas berbunyi, sesak nafas, ketat dada dan batuk.

Ciri utama penyakit ini ialah pencerutan saluran udara dalam paru-paru yang berpunca daripada inflamasi dan menyebabkan pesakit sukar bernafas.

Batuk yang berterusan tanpa demam, terutamanya pada waktu malam dan awal pagi adalah tanda kuat asma.

Tidak seperti penyakit alahan seperti rinitis dan ekzema, asma berkait dengan faktor genetik dan alam sekitar.

Antara punca yang menyebabkan serangan asma termasuk alergen seperti habuk, bulu haiwan, lipas dan debunga.

Punca lain berkaitan dengan asap rokok serta kimia di samping perubatan, seperti contoh aspirin serta kegiatan fizikal.

Sekiranya tidak dirawat, gejala mungkin menjadi lebih teruk dan menjadi lebih rumit untuk dikawal.

Pesakit juga berdepan dengan risiko sakit mendadak, terpaksa dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia.

Asma dianggap isu kesihatan awam serius dan melibatkan lebih 70 juta orang di Asia dan angka ini semakin meningkat.

Antara pilihan untuk mengurus asma ialah dengan penggunaan alat sedutan pengawal dan alat sedutan penahan.

Alat sedutan pengawal biasanya digunakan dua kali sehari untuk mencegah gejala serta membantu inflamasi dalam saluran udara.

Sementara itu, alat sedutan penahan berfungsi untuk melega dan meluaskan otot saluran udara tetapi bukan untuk inflamasi.

Kekeliruan perubatan

Menurut Abdul Razak, ramai yang menderita asma tidak menguruskan penyakit mereka secara berkesan kerana kekurangan ilmu dan masalah kewangan.

Beliau menekankan pendidikan adalah penting untuk menyekat masalah ini bukan sahaja untuk orang ramai tetapi juga untuk doktor.

“Doktor juga perlu belajar bagaimana untuk menangani pesakit asma serta menyakinkan mereka bahawa penyakit ini adalah untuk sepanjang hayat dan memerlukan perubatan berterusan.

“Jika tidak, pesakit mungkin akan mengambil ubat untuk tempoh tertentu sahaja sebelum berhenti,” katanya.

Dari segi kewangan, beliau menekankan bahawa klinik kerajaan menyediakan perubatan asma dengan kos amat minimum.

Bagaimanapun, ramai yang lebih suka pergi ke klinik swasta kerana mahukan perkhidmatan yang cepat.

“Tetapi apabila mendengar harga ubat di sana, mereka akan kata mahal dan akhirnya enggan untuk membelinya,” tambah beliau.

Satu lagi isu ialah salah tanggapan orang ramai berhubung penggunaan steroid atau ‘corticosteroids’ dalam perubatan asma.

“Jumlah steroid yang digunakan dalam alat sedutan adalah dos paling minimum. Ia adalah sedikit berbanding ubat batuk biasa, jadi kesan sampingannya kurang.

“Steroid amat berkesan untuk merawat banyak penyakit yang menyebabkan keradangan bukan sahaja asma dan perlu diambil apabila perlu, ” jelas Abdul Razak.