Dunia tanpa sempadan kini membuka ruang untuk perbandingan dan kerjasama dalam membangunkan pendekatan yang terbaik untuk negara. Hal ini boleh dilaksanakan melalui kajian mendalam dalam memahami kesan budaya dan sejarah dalam mempengaruhi sistem pendidikan, serta membina kesefahaman bersama di peringkat negara, rantau Asean, Asia bahkan dunia secara global. Peluang dalam menghadiri bengkel Antarabangsa berkaitan TVET baru-baru ini mengesa saya untuk menulis artikel ini. Memandangkan penyampainya adalah dari TU Dortmund Jerman, persoalan pertama yang bermain difikiran saya ialah “Apa yang ada pada TVET di Jerman?”.

Konsep yang terpakai dalam sistem pendidikan TVET di Jerman (bahkan dalam pendidikan secara umum) adalah berlandaskan kepada konsep ‘Bildung’. Konsep ini berbeza dengan istilah ‘Education’ dalam Bahasa Inggeris daripada beberapa persepektif. Begitu juga istilah ‘pendidikan’, ‘pelajaran’  dan lain-lain istilah dalam konteks di Malaysia.

‘Bildung’ adalah konsep pendidikan tertinggi dimana ia meraikan sifat kemanusiaan insan. ‘Bildung’ melahirkan pelajar yang berautonomi dalam pembelajaran, bahkan mampu membuat keputusan yang tepat berdasarkan pertimbangan peribadi. Konsep ‘pendidikan’ sebagai sistem pelbagai disiplin secara umum di sebut sebagai ‘Erziehung’, manakala pembelajaran melalui latihan dan menuruti langkah-langkah yang telah di atur adalah ‘Lernen’. Perbahasan terhadap konsep ini sangat panjang jika mahu diperbahaskan berikutan kepelbagaian latar belakang sejarah, sosial, ekonomi bahkan agama.

Nilai-nilai positif dari konsep ‘Bildung’ jika di terjemahkan ke dalam Bahasa tempatan barangkali membawa maksud ‘Jati diri’. ‘Jati diri’ menjadikan individu yang memilikinya unik dalam membuat keputusan, berani mengangkat kebenaran dan bersifat kepimpinan walaupun terhadap diri sendiri. ‘Jati diri’ dalam sistem pendidikan di Malaysia boleh dikaji melalui falsafah pendidikan kebangsaan yang sangat holistik sifatnya.

Berbalik kepada konsep ‘Bildung’ tadi, konsep ini menjadikan orang-orang di Jerman bebas menentukan hala tuju dalam pembelajaran mereka melalui sistem pendidikan terbuka tetapi cukup berstruktur. Mereka bebas menentukan perubahan aliran pendidikan daripada pendidikan akademik biasa kepada pendidikan kemahiran dan sebaliknya (apatah lagi dengan pendidikan percuma melalui pemotongan cukai gaji sehingga 45%!).  Individu yang disediakan di alam kerjaya juga bukanlah individu yang terhasil daripada sistem menurut perintah semata-mata, tetapi mampu memberikan justifikasi dan rasionalisasi atas setiap pekerjaan yang dilaksanakan.

Bukan setakat pada konsep nilainya sahaja, individu yang telibat dalam TVET di Jerman cukup memahami keluasan makna daripada istilah TVET. Ekosistem TVET seharusnya tidak dilihat daripada kaca mata sempit kemahiran teknikal semata-mata. Jika ini yang berlaku maka tidak mustahil ramai yang berfikiran untuk menjadi ‘individu TVET’, seseorang wajib memiliki persijilan kemahiran tertentu. Ironinya, TVET di Jerman meraikan kepelbagaian latarbelakang dalam memperkasakan sistem pendidikan mereka. Sebagai contoh, TVET Teachers dan TVET Trainers merupakan kumpulan individu yang berada dalam sistem TVET di Jerman. Kedua-duanya menyumbang kepada TVET dengan susuk kemahiran yang berbeza. TVET Teachers berfokus kepada pembangunan pedagogi, falsafah dan isu sekitar ilmu sains pendidikan kemahiran, manakala TVET Trainers adalah mereka yang sememangnya menguasai ilmu kemahiran teknikal yang spesifik.

Justeru apa yang boleh kita pelajari daripada TVET di Jerman?