Suara hati atau hati nurani ini adalah sangat berbeza dengan emosi. Emosi adalah suatu perasaan yang memungkinkan kita merasa bahagia dan gembira, atau yang mungkin membangkitkan perasaan marah atau sedih, suka atau duka. Suara hati atau hati nurani pula boleh ditafsirkan sebagai suatu ’suara’ yang menjadi petunjuk kepada kita dan sentiasa mempersoalkan setiap buah fikiran kita. Suara hati adalah satu garis panduan yang kita setiasa patuhi dalam apa jua yang kita lakukan samada mengambil sesuatu tindakan, berfikir dalam membuat keputusan atau menyelesaikan masalah mahupun berfikir tentang apa yang telah kita fikirkan. Dalam erti kata yang lain kita seumpama menyemak dan mempertimbangkan berulang kali dan seterusnya menilai tentang apa yang telah difikirkan berlandaskan nilai-nilai sejagat. (Eight Habit of Highly Effective Person-Steven Covey (2005), Emotional and Spiritual Quotient, Ary Ginanjar (2005), Emotional Quotion, Goleman).
Bertens(2006) mentafsirkan ‘hati nurani’ sebagai
“penghayatan tentang baik dan buruk berhubung dengan tingkah laku konkrit…untuk melakukan sesuatu kini dan di sini. Ia tidak berbicara tentang yang umum, melainkan tentang situasi yang sangat konkrit….Ia berkait rapat dengan kenyataan bahawa manusia mempunyai kesedaran (conscience)….iaitu kesanggupan manusia untuk mengenal diri sendiri dan kerana itu membuat rrefleksi tentang diri(dan pemikirannya). Ia bersifat adipersonal dan peribadi. Hati nurani bererti ‘hati yang diterangi’ (nur = cahaya)”.(p.37-41)
Beliau menegaskan dengan keras bahawa mereka yang tidak mengikut hati nurani bukan sahaja menghancurkan integriti peribadi dan mengkhianati martabat diri individu yang terdalam malah bagi mereka yang beragama seumpama melanggar kehendak Tuhan. Beliau seterusnya menyatakan bahawa bagi orang yang beragama (seperti sebahagian besar penduduk Malaysia), hati nurani sememangnya memiliki suatu dimensi keagamaan. Walaubagaimanapun, di dalam membuat sesuatu keputusan atau menyelesaikan masalah, hati nurani tidak melepaskan kita daripada kewajipan untuk bersikap kritis dan mempertanggungjawabkan perbuatan kita secara objektif.
Umpamanya, apabila kita melihat sesuatu situasi, kita sering membuat tanggapan yang melulu. Tetapi jika kita mengambil sedikit ruang untuk melihat kembali apa yang kita fikirkan terhadap situasi tadi, kita mungkin akan dapat menilai samaada adil dan bertanggungjawab bagi kita membuat penilaian sebegitu rupa. Hanya semata-mata pengalaman ataupun dari bahan bacaan kita menilai seseorang atau sesuatu keadaan sebegitu, tidak semestinya penilaian kita itu tepat. Oleh itu, memahami suara hati atau metakognisi ini adalah amat penting dalam proses pemikiran. Semua ini akan membawa kepada merdeka jiwa. Bebas dari persepsi, prinsip hidup, pengalaman dan sebagaianya seterusnya dapat membantu kita membuat penilaian yang lebih jujur, bertanggunggjawab, adil dan berperikemanusiaan.Oleh itu adalah releven untuk pengkaji memilih nilai-nilai ini bagi memenuhi tuntutan kajian ini.
Kepercayaan dan keyakinan seseorang tentang kewujudan suatu kuasa yang Maha Agung sesungguhnya membentuk ”tasawwur(pandangan hidup/worldview), perasaan dan tingkah laku yang sejajar” (Azma Mahmood ,2006 p. 20) dengan kehendak agama mereka. Beliau seterusnya menegaskan bahawa seseorang yang mampu untuk menghayati konsep keesaan Allah(s.w.t.) akan dapat merasai bahawa Allah sentiasa memerhati gerak-gerinya, mengetahui segala isi hati dan pemikirannya. Individu itu akan sentiasa memastikan bahawa perbuatan-perbuatan lahiriah dan bathiniahnya mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh kepercayaannya, dan di dalam kajian ini, lunas-lunas Islam yang bersifat universal agar beliau mendapat keredhaan Allah (s.w.t.). Kesedaran ini jugalah yang akan seterusnya memberi kesan kepada bagaimana seseorang itu berfikir dan kesedaran terhadap apa yang sedang difikirkannya.
Recent Comments