Penyataan ini mengambilkira pernyataan rasmi oleh Kerajaan, KPT, dan UTM terhadap Arahan Kawalan Pergerakan (MCO) dari 18 Mac hingga 14  April 2020, dan pernyataan TNCAA pada 26 Mac 2020. Bagi tujuan penyelarasan dan semangat sinergi Fakulti Kejuruteraan, mesyuarat antara Pengerusi dan Naib Pengerusi (Akademik dan Pembangunan Pelajar) semua Sekolah di bawah Fakulti Kejuruteraan pada 26 Mac 2020 telah menggariskan beberapa keputusan dan garispanduan bagi perlaksanaan program prasiswazah dan pascasiswazah seperti berikut:

1. AKTIVITI PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN

Semua aktiviti pembelajaran dan pengajaran (PdP) perlu dilaksanakan secara jarak jauh dan dalam talian/Online Learning (OL) bermula dari 1 April 2020 hingga 26 Jun 2020, iaitu sehingga akhir Semester 2 Sesi 2019/2020. Ini termasuk proses pentaksiran. Staf yang mengajar kursus dipohon untuk;

i. meningkatkan pengetahuan dalam pembelajaran OL. UTMLead akan membantu menyediakan kursus utk melaksanakan OL ini;
ii. menilai kapasiti kemudahan bagi staf dan pelajar khasnya capaian internet bagi melaksanakan OL. Jika terdapat kekurangan, mohon maklumkan agar Sekolah dapat membantu. Staf digalakkan menggunakan pendekatan pengajaran online secara Asynchronous bagi mengurangkan kos dan kepayahan capaian internet. (Pengajaran online secara Asynchronous – pengajaran yg tidak memerlukan bersemuka secara terus menerus)
iii. Menilai semula kaedah pentaksiran kerja kursus sesuai dengan penggunaannya di atas talian (online assessment). Staf dimohon untuk membuat perubahan terhadap dokumen Course Information (CI) yang sedia ada. CI yang diubah hanya untuk digunakan pada semester yang terkesan oleh MCO ini sahaja. Bagi mengawal kualiti pentaksiran sesuai dengan keperluan EAC atau badan akreditasi, kandungan perubahan dokumen CI yang telah diubah perlu mendapat kelulusan JKA Sekolah. Kelulusan ini akan dibuat secara edaran.

2. PEPERIKSAAN AKHIR

Peperiksaan akhir akan dilaksanakan secara fizikal pada tarikh yang ditetapkan oleh Universiti berdasarkan kepada kalendar akademik yang terkini yang telah diluluskan oleh Senat universiti* (dijangkakan antara 7 Jun. – 26 Jun. 2020). Dalam keadaan tidak memungkin peperiksaan akhir secara fizikal dilaksanakan pada tarikh yang ditetapkan, peperiksaan akhir akan dilaksanakan pada tempoh semester pendek (Semester 3). Walaubagaimanapun perlaksanaan ini tertakluk kepada kelulusan Senat Universiti.

*Ini berdasarkan kepada andaian bahawa wabak akan mereda dan keadaan akan kembali normal yang membolehkan pergerakan bebas staf dan pelajar. Rujukan kalendar akademik yang diluluskan oleh Senat bertarikh 25. Mac 2020.

3. PROJEK SARJANA MUDA DAN PROJEK SARJANA

Perlaksanaan Projek Sarjana Muda (PSM) dan Projek Sarjana (PS) akan dipindahkan ke Semester 3. Ini memberi ruang kepada pelajar untuk melaksanakan PSM dan PS tanpa gangguan khasnya kepada pelajar yang perlu menggunakan kemudahan makmal bagi melaksanakan ujikaji, juga bagi membolehkan penilaian pembentangan PSM dan PS dilaksanakan secara bersemuka.
Memandangkan perubahan ini akan melibatkan sistem akademik universiti, pihak Sekolah/Fakulti akan berbincang dengan Bahagian Pengurusan Akademik (AMD) bagi isu urusan pengguguran kursus PSM dan PS bagi Semester 2 dan pendaftaran pada Semester 3. Ini akan diputuskan kemudian di peringkat Universiti. Sebarang keputusan akan dimaklumkan kemudian.

4. MAKMAL

Semua kursus makmal bagi pelajar Tahun 1, 2, 3 dan 4 akan dipindahkan perlaksanaanya pada Semester 3. Bagi pelajar tahun 3 khasnya yang telah mendapat tempat bagi mengikuti Latihan Industri pada Semester 3 dan tidak dapat mendaftar/mengambil kursus makmal pada Semester 3 akan mengambil kursus makmal pada Semester 1 sesi berikutnya iaitu Sesi 2020/2021.
Memandangkan ia akan melibatkan sistem akademik universiti, perbincangan lanjut mengenai isu pengguguran dan pendaftaran akan dibincangkan dengan AMD dan akan dimaklumkan kemudian.

5. LATIHAN INDUSTRI

Latihan Industri (LI) bagi pelajar pelajar Tahun 3 khasnya Sesi 2019/2020 akan dilaksanakan berdasarkan kepada dua (2) opsyen.

i. Perlaksanakan LI pada Semester 3 akan diteruskan bagi pelajar yang telah mengesahkan tempat di industri (industri telah mengesahkan menerima kehadiran pelajar). Ini berdasarkan kepada andaian, pelajar akan melaksanakan LI pada minggu ke 3 peperiksaan akhir. Penjadualan peperiksaan akhir bagi pelajar tahun 3 akan dibuat dalam tempoh 2 minggu pertama minggu peperiksaan akhir. Pelajar akan tamat LI beberapa hari sebelum tarikh pendaftaran pelajar pada 14 Sept. 2020 (Dijangkakan pelajar akan memulakan LI pada 22 Jun 2020 dan tamat pada 11 Sept. 2020). Ini bertujuan menjaga nama baik Universiti, memenuhi keperluan EAC/MQA dan kurikulum yang memerlukan pelajar menjalani LI selama 12 minggu. Pelajar yang melaksanakan LI pada Semester 3 ini tidak akan dapat mengambil kursus makmal dan akan dilaksanakan sebagaimana dinyatakan di Perkara 4 di atas.

ii. Bagi pelajar yang tidak mendapat tempat di industri untuk melaksanakan LI, pelajar perlu melaksanakan LI pada Semester 3 Sesi 2020/2021 iaitu setelah tamat pengajian Semester 2 Sesi 2020/2021. Ini tidak dapat dielakkan. Perlaksanaan opsyen ini bergantung kpd kelulusan badan akreditasi; Engineering Accreditation Council (EAC) bagi program kejuruteraan dan MQA bagi bukan kejuruteraan dan Senat Universiti. Memandangkan ia juga melibatkan sistem akademik pelajar, perbincangan lanjut akan dibuat dengan badan akreditasi dan AMD dan kertaskerja perlu disediakan untuk mendapat kelulusan Senat Universiti.

6. VIVA VOCE DAN PEMBENTANGAN CADANGAN PENYELIDIKAN PhD DAN SARJANA PENYELIDIKAN

Semua aktiviti viva voce dan pembentangan cadangan penyelidikan di peringkat PhD dan Sarjana penyelidikan akan dibuat di awal Semester 3 Sesi 2019/2020. Kertaskerja Senat akan disediakan bagi mendapat kelulusan perlaksanaan tersebut. Walaubagaimanapun bagi meraikan fleksibiliti dalam melaksanakan kedua-dua aktiviti ini, kes khas akan dirujuk kepada Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) dan Pejabat TNCAA.

7. PENAMBAHAN SATU SEMESTER KHAS BAGI PELAJAR DOKTOR FALSAFAH DAN SARJANA PENYELIDIKAN YANG BERADA DI SEMESTER AKHIR DAN BERSTATUS PEPERIKSAAN BERIKUTAN PANDEMIK COVID-19

Pelajar PhD dan sarjana falsafah yang berada pada semester akhir dan berstatus peperiksaan (telah hantar tesis dan menunggu viva voce, dalam tempoh membuat pembetulan setelah viva voce) diberi satu semester tambahan disebabkan terkesan oleh pandemik COVID 2019. Cadangan ini telah di luluskan dalam mesyuarat Senat bertarikh 25 Mac 2020. Ini bermakna tarikh akhir penghantaran tesis pelajar terbabit adalah pada akhir Semester 1 Sesi 2020/2021. Semester semasa (Semester 2 Sesi 2019/2020) tidak akan diambilkira dalam pengiraan jumlah semester.

Nota:
Pihak sekolah akan memaklumkan dari semasa ke semasa sebarang perubahan yang berlaku.

Sila rujuk : FAQ Aktiviti Pembelajaran dan Pengajaran (PnP) UTM Bagi Semester 2 2019/2020