Rakyat Malaysia berpeluang lagi menyaksikan sendiri secara langsung fenomena angkasa yang unik dikenali sebagai Hujan Meteor Perseid pada malam 12 Ogos .

Menurut kenyataan Planetarium Negara di Kuala Lumpur, pemandangan tersebut jelas dapat dilihat bermula pukul 9 malam pada tarikh itu sehingga menjelang awal pagi keesokan hari.

“Hujan meteor ini akan mencapai paras maksimum dengan kadar sebanyak 110 meteor pada setiap jam atau hampir dua meteor dalam seminit bermula pada waktu tersebut,” katanya.

Menerusi hantaran berbentuk infografik dalam akaun sosial Facebook rasmi agensi itu, ia memaklumkan bahawa pusat pancaran meteor itu kelazimannya datang dari arah buruj Perseus iaitu terletak di kawasan langit sebelah utara bumi sebelum hujan ini berpecah ke banyak arah lain.

Fenomena alam tahunan yang memukau itu jelas Planetarium Negara, sebenarnya sudah pun muncul dalam paras kecil sejak 17 Julai lalu dan akan berterusan sehingga 24 Ogos ini.

“Bagi mereka yang ingin memerhatikan fenomena hujan meteor ini dengan terang, anda dinasihatkan agar mencari kawasan gelap dan jauh dari sebarang pencemaran cahaya,” jelasnya.

Bagaimanapun, sesi secara langsung akan dibawakan oleh pentadbir Facebook dan Youtube Dark Sky Malaysia serta Karnival Sains Sabah bermula pukul 8 malam pada tarikh berkenaan.

Pancuran meteor Perseid ini sudah dicerap manusia lebih 2,000 tahun dahulu dan dinamakan sedemikian kerana titik asal muncul dari buruj Perseus, sempena wira mitos legenda Yunani.

Ia dianggap hujan meteor yang paling lebat dan lazimnya muncul di angkasa terutama kawasan hemisfera Utara planet ini dari setiap pertengahan Julai sehingga hampir akhir bulan Ogos.

Setakat ini, rekod pencerapan kadar kemuncak Hujan Meteor Perseid yang paling banyak ialah 173 meteor sejam pernah dicatatkan saintis astronomi antarabangsa pada 13 Ogos 2009.