Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Malaysia merupakan program pemvaksinan terbesar yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia di negara ini sebagai satu pendekatan untuk membendung penularan penyakit koronavirus 2019 (COVID-19) serta menamatkan pandemik penyakit pernafasan ini di Malaysia apabila berjaya mencapai keimunan kelompok dalam kalangan rakyat dan juga bukan warganegara yang sedang menetap di negara ini. YB Haji Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, telah dilantik sebagai Menteri Penyelaras bagi program imunisasi ini setelah pelantikannya dipersetujui oleh Jemaah Menteri. Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Kesihatan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut ditubuhkan bagi memastikan pemerolehan bekalan vaksin COVID-19 untuk negara dapat dijalankan dengan teratur. Program imunisasi ini dilaksanakan secara berfasa mulai 24 Februari 2021 hingga Februari 2022 dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di Malaysia yang menerima suntikan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer–BioNTech ketika disiarkan melalui siaran langsung seluruh negara.

Pada pertengahan bulan Mac 2020, Malaysian Vaccines and Pharmaceuticals (MVP) Sdn. Bhd. dilaporkan meminta kerjasama dan sokongan dari kerajaan persekutuan, dengan pengarah eksekutifnya mendakwa bahawa pihaknya menghadapi banyak pertemuan tertangguh dalam usaha bertemu Menteri Kesihatan untuk meminta sampel daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Malaysia. IMR akan mula menguji vaksin tempatan yang ada dengan kerjasama MVP dan Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika Universiti Malaya (TIDREC UM) pada 25 Mac. Ujian vaksin tempatan akan dilakukan di makmal TIDREC UM, yang merupakan salah satu prasarana-prasarana dengan biokeselamatan modular tahap 3 (BSL3) di Malaysia yang sebelumnya digunakan untuk mengkaji agen sangat patogenik seperti koronavirus MERS dan virus Nipah dengan vaksin akan mula-mula diuji pada virus bronkitis berjangkit (IBV), sejenis koronavirus burung, memandangkan penyelidikan sebelumnya menunjukkan bahawa IBV pada haiwan unggas mempunyai persamaan genetik yang tinggi dengan koronavirus manusia.

Pada 18 November, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menandatangani perjanjian dengan Menteri Sains dan Teknologi ChinaWang Zhigang agar Malaysia diberi akses keutamaan terhadap vaksin COVID-19 yang dibangunkan di China.Pada 19 Disember, Menteri Kesihatan, Adham Baba mengesahkan bahawa kerajaan Malaysia akan membuat perjanjian dengan pihak syarikat farmaseutikal Britain, AstraZeneca untuk membeli vaksin COVID-19 mereka pada 21 Disember. Ini ialah perjanjian ketiga yang telah dimeterai oleh kerajaan Malaysia dengan para pembekal vaksin termasuk COVAX dan Pfizer untuk memenuhi keperluan vaksin negara.

Pada 22 Disember, pihak kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian dengan pihak AstraZeneca untuk mendapatkan tambahan 6.4 juta dos vaksin COVID-19, kira-kira 10% bekalan vaksin di negara ini. Ketika itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa Malaysia telah memperoleh anggaran 40% bekalan vaksin yang diperlukan melalui perjanjian bersama dengan COVAX, Pfizer, dan AstraZeneca.

Beberapa laluan pendaftaran pemvaksinan COVID-19 telah ditubuhkan kepada orang ramai. Kaedah paling umum ialah pendaftaran melalui aplikasi maklumat COVID-19 rasmi negara, MySejahtera, di samping pembukaan pendaftaran melalui laman rasmi program imunisasi. Bagi pendaftaran secara manual, laluan-laluan pendaftaran termasuk melalui talian pusat, kehadiran ke fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta, serta program-program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman. Sebagai pengesahan, rakyat yang selesai memperoleh vaksin secara lengkap akan diberikan sijil serta pasport pengesahan untuk memudahkan proses-proses tertentu seperti urusan imigresen.