NAMA varian virus Corona memang unik. Alpha, Beta, Delta, Gamma, Theta, Kappa dan Eta, adalah antara nama yang diberikan kepada virus ini yang dikategorikan kepada dua, iaitu varian membimbangkan (VOC) dan varian mempunyai kepentingan (VOI).

VOC seperti Alpha, Beta, Delta, Gamma, sesuai dengan maksudnya adalah varian yang perlu dibimbangkan kerana lebih mudah berjangkit, sukar dirawat dan boleh menyebabkan lebih banyak penyakit serius.

Varian Delta yang diiktiraf sebagai varian paling bahaya kerana selepas kali pertama dikesan di India, kini dilaporkan merebak ke lebih 80 negara. Di India, varian ini mencetuskan tsunami Covid-19 sehingga sistem perkhidmatan kesihatan negara itu hampir lumpuh.

Kini, Delta menjadi varian dominan di United Kingdom serta beberapa negara lain seperti Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka dan Indonesia, selain tidak ketinggalan dikesan di Malaysia. Turut dikenali sebagai Super Strain, varian ini dilaporkan 60 peratus lebih cepat merebak dan menyebabkan lebih banyak kematian.

Selepas Delta menghuru-harakan seluruh dunia, kini muncul satu lagi varian yang dikhuatiri boleh memberi impak lebih buruk, iaitu varian Lambda.

Walaupun setakat ini, Lambda masih dikategorikan sebagai VOI berbanding Delta (VOC), penularan Lambda yang muncul di Peru pada Ogos 2020 perlu dibimbangkan.

Lambda paling banyak dikesan di Peru, iaitu kira-kira 80 peratus daripada jangkitan baharu Covid-19 pada Jun lalu. Kini varian itu dikesan di beberapa negeri Amerika Syarikat serta sekurang-kurang 29 negara yang kebanyakan di Amerika Selatan.

Walaupun pakar virus WHO, Jairo Mendez-Rico, menyatakan bahawa setakat ini tiada tanda varian Lambda akan menjadi lebih agresif, beliau tidak menolak kemungkinan penularan varian ini akan menjadi lebih tinggi kerana agensi kesihatan dunia itu tidak mempunyai data mencukupi untuk dibandingkan dengan Gamma atau Delta.

Di Peru, pakar virus, Pablo Tsukayama bersama pasukannya di Universiti Peruana Heredia Cayetano, telah mengesan evolusi varian Lambda selama berbulan-bulan selepas dikenal pasti melalui ujian genome. Lambda didapati tersebar lebih pantas mengatasi varian Gamma yang menimbulkan masalah besar di negara jiran, Brazil.

Tsukayama mengaku bahawa Peru berdepan kesukaran menangani penularan Covid-19 hingga menyebabkan akhir Julai lalu, kadar kematian akibat wabak itu melepasi 195,000 orang. Kebimbangannya kini ialah kemunculan varian baharu dalam gelombang ketiga virus corona ketika musim sejuk di Amerika Selatan antara Julai hingga September ini.

Kembali ke Malaysia, setakat ini, kita boleh menarik nafas lega kerana belum ada varian Lambda dikesan, tetapi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataannya di Facebook, pada 8 Ogos lalu, berkata Lambda dikesan buat kali pertama di Jepun.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan negara itu memaklumkan bahawa varian itu dikesan pada seorang wanita berusia 30-an di Lapangan Terbang Haneda selepas tiba dari Peru pada 20 Julai lalu. Ketika pemeriksaan kuarantin, wanita itu didapati positif Covid-19 walaupun tidak mempunyai tanda simptom penyakit itu.

Penemuan varian di Jepun bermakna potensi Lambda merebak merentasi benua sudah berlaku. Sama seperti varian Delta yang mula dikesan di India pada akhir tahun 2020. Selepas empat bulan dikesan, Delta menyebabkan gelombang penularan Covid-19 di negara itu. Dua bulan kemudian, varian ini merebak ke lebih 80 negara.

Kebanyakan saintis percaya bahawa pandemik virus corona tidak akan berakhir sehingga sekurang-kurang 80 peratus penduduk dunia telah divaksin.

Oleh itu, vaksin menjadi pilihan terbaik untuk mengekang penularan Covid-19 walau apa jenis varian sekalipun yang muncul. Rakyat boleh bersyukur kerana kerajaan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, secara agresif memastikan setiap rakyat menerima suntikan vaksin.

Setakat semalam, lebih 25 juta rakyat sudah menerima dos pertama dan kedua vaksin, iaitu 16 juta orang menerima dos pertama dan 9 juta orang menerima dos kedua.

Sama ada Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, semua jenis vaksin ini mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai berkesan untuk mengurangkan kebarangkalian mendapat kesan jangkitan lebih teruk. Tiada sebab untuk menyatakan bahawa sesuatu vaksin kurang berkesan berbanding vaksin lain.

Pada masa sama, walaupun mulai semalam, pelbagai kelonggaran diberikan kepada individu yang lengkap menerima dua dos vaksin, disiplin untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta pelbagai saranan Kementerian Kesihatan perlu dipertahankan.