Sejak bermulanya pandemik COVID-19, Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) telah memantau status jangkitan COVID-19
terutama di dalam populasi remaja dan kanak-kanak.
• Bagi tempoh 25 Januari 2020 hingga 19 Januari 2022, jumlah kes
COVID-19 melibatkan individu berumur kurang daripada 18 tahun
adalah sebanyak 579,624 kes. Daripada jumlah tersebut, sebanyak
269,773 kes melibatkan kanak-kanak berumur 5 hingga 11
tahun.
• Walaupun kebiasaannya kanak-kanak hanya mengalami gejala
ringan, terdapat juga sebilangan kanak-kanak yang mengalami
gejala teruk serta memerlukan rawatan di hospital termasuk di unit
rawatan rapi (ICU).
• Secara keseluruhannya, sebanyak 144 kematian telah
direkodkan akibat daripada jangkitan COVID-19 dalam
kalangan populasi berumur 18 tahun dan ke bawah. Daripada
jumlah tersebut, 31 kes kematian melibatkan kanak-kanak
berumur 5 hingga 11 tahun.

Mutakhir ini, terdapat peningkatan jangkitan COVID-19 dalam
kalangan kanak-kanak terutamanya setelah pembukaan sekolah
pada awal tahun 2022 ini. Selain itu, varian baharu Omicron didapati
lebih mudah merebak dan berpotensi tinggi untuk menjangkiti
kanak-kanak serta orang dewasa.
• Data yang diperolehi daripada negara-negara yang terkesan
dengan varian Omicron ini juga menunjukkan terdapat peningkatan
kemasukan ke hospital dalam kalangan kanak-kanak.