Setiap orang mendambakan kebahagiaan dalam hidup di dunia juga di akhirat.

Pernah ditanya kepada ahli hikmah: “Siapakah manusia yang paling bahagia?” Jawabnya: “Orang yang membahagiakan orang lain.”

Rasulullah SAW pernah menyebutkan bahawa tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Hadis yang diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam R.A, Nabi SAW bersabda:

الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى

Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah (HR Bukhari (1427)

Al-Mubarakfuri berkata: “Tangan yang di atas adalah tangan yang memberi atau berinfaq. Sedangkan tangan yang dibawah ialah yang meminta.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/289)

Dalam sebuah hadis daripada Sa’ad bin Abi Waqqas R.A, Rasulullah SAW bersabda:

أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَب الْهَنِيءُ ، وَأَرْبَعٌ مِنَ الشَّقَاوَةِ : الْجَارُ السُّوءُ ، وَالْمَرْأَةُ السُّوءُ ، وَالْمَسْكَنُ الضِّيقُ ، وَالْمَرْكَبُ السُّوءُ

Empat tanda kebahagiaan; Isteri yang solehah, tempat tinggal yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan yang elok. Manakala empat tanda kedukaan adalah jiran yang buruk, isteri yang teruk, tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk.”(HR Ahmad No:1448)

Antara kebahagiaan yang ada pada ulamak terdahulu, Ibn al-Musayyib dengan ilahiyat (ketauhidan)nya, Imam al-Bukhari dengan kitab Sahihnya, Hasan al-Basri dengan sifat kejujurannya, Imam al-Syafi’e dengan kesimpulan hukumnya, Imam Malik dengan sikap muraqabah (merasa sentiasa dalam pengawasan Allah)nya, Imam Ahmad dengan sikap waraknya dan Thabit al-Bunaniy dengan ibadahnya.

Kita pula bahagia dengan apa?

Marilah kita sentiasa berdoa agar dikurniakan kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat.

وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”.(al-Baqarah ayat: 201)

Semoga Allah SWT menaungi kita dengan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat serta dijauhkan daripada kecelakaan..

SuburkanAmalanMantapkanKeperibadian