Hampir 60 muka surat memuatkan nota hujung kepada penyataan yang dibentangkan dalam setiap bab. Sememangnya penulis cukup berhati-hati dalam menyampaikan ulasan dan kesimpulan beliau. Inilah namanya amanah dengan ilmu.
Lagi-lagi ketika buku ini ditulis sekitar dua tahun lepas, topik ‘kecerdasan buatan’ AI masih baru untuk diangkat secara massa perdana. Malah kini pun, terlalu banyak lompongan terutamanya sisi baharu nilai kemanusiaan yang belum tuntas ditekuni.
Yang seketika heboh adalah tatkala Mark Zuckerberg bertingkah hujah dengan Elon Musk berkenaan pro dan kontra AI. Sesekali, dikongsi pandangan Jack Ma yang menyarankan bagaimana seharusnya manusia berinteraksi dengan AI.
Namun, ketiga-tiga mereka adalah teknologis inovatif. Dimanakah pula segenap pakar peradaban, kemanusiaan, sosiologi kehidupan, pendidikan ataupun keagamaan? Bukankah pandangan hujah, perspektif dan culaan mereka adalah amat penting?
Mungkin ada yang terlepas pandang dan baca. Ataupun sebenarnya memang tiada?
Mujurlah kita ada 2 tokoh ini yang selalu memberikan ingatan dan memahamkan kita selingkar maudu’ yang sama; iaitu Sultan Dr. Nazrin Muizzuddin Shah dan Tan Sri Dr. Dzulkifli Abd Razak.